Saturday, July 12, 2014

KHUSYUK SOLAT

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Hari ini ingin berkongsi tentang tajuk 'Khusyuk'. Semuanya ini adalah hasil mendengar ceramah tafsir berdasarkan tajuk (tafsir maudhu'i) yang bertajuk memahami makna khusyuk.

Istilah khusyuk ini sebenarnya bukan hanya kepada solat meskipun yang sering kita dengar kalimah ini kerap digunakan untuk solat.

Sebenarnya erti yang luas ialah merangkumi semua ibadah namun di sini ditulis dahulu tentang khusyuk dalam solat.

Orang-orang yang khusyuk dalam solat tanda-tandanya jelas kelihatan daripada ekspresinya yang tenang, tidak begitu tergesa-gesa dan kelihatan begitu sabar dalam melaksanakannya.

Dalam ayat di bawah ini khusyuk ialah ciri utama orang mukmin yang berjaya. Klik orang yang berjaya dan beruntung ialah orang khusyuk dalam solat.


Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. (al-Mukminun [23] : 1- 2)

Kita boleh muhasabah diri kita, sama ada kita boleh mendapatkan khusyuk dalam solat atau tidak bedasarkan ayat-ayat yang akan diterangkan berikut:


"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya". (al-Baqarah [2] : 45-46)

Ayat di atas ini boleh memberi makna khusyuk. Ada beberapa POIN penting untuk memahami khusyuk seterusnya mencapai khusyuk.

POIN PERTAMA adalah berkait rapat dengan perasaan amat memerlukan. Seseorang yang sedang merasakan amat memerlukan Allah, ibadah solatnya, puasanya dan zikir dan wiridnya sangat khusyuk. Ini berdasarkan:

وَٱسۡتَعِينُواْ 
"Mintalah pertolongan"

MINTALAH, itu bermaksud hanya orang yang memerlukan sahaja akan meminta, jika dah boleh berdikari orang itu tak akan meminta.

Oleh sebab itu tanamkan sifat sangat memerlukan Allah, apatah lagi kita ini manusia yang lemah dan kita sangat memerlukan Allah.


"(Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dialah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji". (Fatir [35] : 15)

ٱلۡفُقَرَآءُ

Ayat ini memberitahu kita kedudukan kita yang sebenar di sisi Allah. Al-Fuqara' ini maksudnya kita ini faqir dan amat berhajat kepada Allah. Seandai tulang belakang kita patah bayangkan apa yang kita boleh buat, makan, minum, bergerak semuanya memerlukan pertolongan orang lain. Faqir di sini bukan setakat memerlukan makan minum tetapi segalanya hinggakan nak mengerdipkan mata sekalipun kita tak berdaya jika tidak digerakkan Allah.

Allah Maha Kaya tak memerlukan atau berhajat kepada yang lain. Jadi janganlah kita merasakan kita boleh berdikari, bila malam kita boleh tidur janganlah terlalu yakin kita akan bangun esok harinya. Begitulah jika pada hari ini kita masih boleh mengetuk keyboard jangan terlalu yakin esok kita masih lagi dapat mengetuknya.

Jadi di sini, orang yang tidak ada keperluan payah untuk khusyuk, mungkin bila berdoapun seperti nak tak nak sahaja, laju dan tak fahampun apa maksudnya.

Kita kena merasa yang kita ini ada masalah. Mana mungkin kita tidak ada masalah cuma mungkin kita tidak peka kepada masalah. Contoh A, B, C dan D masing-masing ada anak. Semua perangai anak-anak mereka sama tidak ambil peduli tentang agama. A pandang ini masalah besar dan amat risau, B pula kurang sikit risaunya, C lagi kurang risaunya daripada B, manakala D langsung tak risau apa-apa dan D inipun sama seperti anak-anaknya.

Masalah kita sebenarnya terlalu banyak, apatah lagi kita banyak melakukan dosa. Hari-hari kita buat dosa. Sedangkan taubat kita entahkan cukup atau tidak. Bila kita bermuhasabah dengan ikhlas antara dosa dan taubat dan mendapati taubat kita kurang itulah masalah besar kita. Jadi bila nak mula solat dan merasakan dosa terlalu banyak daripada taubat sepatutnya kita dah rasa takut jadi bila berdoa dalam solat contoh bila berdoa dalam duduk atara dua sujud ketika kita kata Rabbighfirli kita rasa bergetar memohon keampunan daripada Allah.

Sebelum ini kita sering dengar, ketika kita angkat takbiratul ihram 'Allahu Akbar' tinggalkan masalah di belakang. Sepintas lalu ada kebenarannya, tetapi kena lihat apa masalah yang nak kena tinggal. Jika masalah makan tengah hari tadi tak sedap, atau masalah tadi bergaduh di jalan raya, itu tak bolehlah dibawa dalam solat.

Oleh itu kita perlu rakam dulu dalam memori kita apa masalah yang nak dibawa menghadap Allah, jika dosa ingat satu-satu perkataan yang kita ucapkan dalam solat, jika kita kata Allahu akbar segala rasa sombong, pandai dan hebat, semuanya hancur. Bila berdoa dalam duduk antara dua sujud ingat kesemua nama Allah asmaul husna, Allah al-Ghafur (Maha Pengampun), Allah ar-Rahman, Allah al-Jabbar, Allah ar-Rafi', Allah ar-Razzak, Allah al-Hadii, Allah al-'Afuww. Masalah kita mesti ada dalam 7 doa ini. Allahpun menyuruh kita memohon dengan menyebut namaNya dalam asmaul husna.


Marilah kita mula menghayati ketika kita duduk di antara dua sujud semasa solat. Dengan rendah hati kita nyatakanlah permohonan ampun kepada Allah. Boleh baca Hayatilah doa antara dua sujud di sini

Ketika ucap Rabbighfirli (Tuhanku!, ampunilah aku). Diamlah sejenak, buka diri kita untuk menerima ampunan daripada Allah.

Warhamni (dan kasihanilah aku). Diam dan tundukkanlah diri kita untuk menerima kasih sayang Allah yang tak terhitung besarnya. Ingatlah bahawa Allah Maha Pengasih akan sentiasa memberikan banyak kasih sayangNya kepada kita.

Begitulah berturut-turut sampaikanlah permintaan-permintaan berikut dengan merasakan sebagaimana tersebut di atas, satu persatu.

Wajburnii (tutuplah aib-aibku)

Warfa'nii (angkatlah darjatku)

Warzuqnii (berilah aku rezeki)

Wahdinii (berilah aku petunjuk)

Wa'Aafinii (sihatkanlah aku)

Wa'fuannii (maafkan aku)

Setelah selsai, diamlah sejenak lalu sampaikan rasa syukur kita. Betapa besarnya nilai sebuah doa ini. Jangan kita bazirkan begitu sahaja. Janganlah kita lafazkan dalam keadaan seperti kita tidak sedar atau seperti kita sedang berpura-pura memohon sesuatu sedangkan hati antara mahu dan tidak mahu. Jika begini selayaknyalah Allah menilai kita seperti itu.

Contoh yang mudah, katalah kita ingin berjumpa dengan orang yang kita rasakan hajat kita boleh ditunaikan, dan orang itu bersedia mahu berjumpa kita, namun bila kita bertemu dengannya, kita tak bercakap tentang apa yang kita hajati, kita hanya berbual sekadar menceritakan hal-hal lain. Akhirnya kita pulang dengan tangan kosong.

Kita tak perlulah bawa banyak sangat masalah untuk Allah selesaikan dalam satu solat. Elok cari masalah yang lebih utama. Syaratnya simpan dalam memori kemudian khasnya dalam doa duduk antara dua sujud tu mohon kepada Allah. Subhanallah, sangat makbul sebab Allah dah suruh mintalah pertolongan dengan solat. Tentang doa ini, sebenarnya banyak dalam solat kita apatah lagi solat keseluruhannya adalah doa, mulai daripada doa ifititah sampailah ke salam semuanya doa.

CERITA:

1) Kisah dalam Surah Ali Imran [3] ayat 37 hingga ayat 41


Maka dia (Mariam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Mariam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: Wahai Mariam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini? Mariam menjawab; Ia adalah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira. (37) Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan. (38) Lalu dia diseru oleh malaikat sedang dia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): Bahawasanya Allah memberi khabar yang menggembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua dan juga akan menahan diri dari berkahwin dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh. (39) Nabi Zakaria berkata: Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul? Allah berfirman: Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya. (40) Nabi Zakaria berkata lagi: Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung). Allah berfirman: Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi. (41)

Di sini masalah Nabi Zakaria ialah dia tidak ada zuriat, sedangkan dia sedar dia telah tua, isterinya pula mandul, dia pula sebatang kara, dia risau tidak ada pengganti untuk meneruskan ajarannya. Mungkin berbulan-bulan atau bertahun-tahun Nabi Zakaria berdoa, jadi ketika dia nampak Mariam dapat rezeki di dalam Mihrab, dia bertanya kepada Mariam daripada mana semuanya ini. Dan dijawab oleh Mariam ; Ia adalah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira. Lalu Nabi Zakaria berdoa seperti dalam ayat 38 di atas. Bila Nabi zakaria berdoa yang menariknya doanya disambut dengan jawapan oleh malaikat seperti dalam ayat 39 iaitu Nabi Zakaria masih lagi dalam solat (Nabi Zakaria masih lagi sedang berdiri di Mihrab). Maksudnya Allah bagi tahu kepada Nabi Zakaria ketika dalam solat. Nabi Zakria pula berkomunikasi dengan Allah juga dalam solat dengan bertanya separti dalam ayat 40 dan Allah menjawabnya dalam ayat 41.

Dalam kisah ini bukanlah Nabi Zakaria berdialog secara berhadapan dengan Allah maksudnya melihat Zat Allah, tetapi Nabi Zakaria berdoa dengan begitu khusyuk dalam solatnya dan dapat merasa Allah berkomunikasi dengannya.

2) Kisah dalam ayat (al-Baqarah [2] : 144) . Nabi Muhammad saw pun pernah alami perkara seperti ini. Lihat ayat berikut:



"Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidilharam (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan". (al-Baqarah [2] : 144)

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Kami bersembahyang di Madinah menghadap Baitul Maqdis selama 16 belas bulan, dan setiap kali mendirikan solat menghadap Baitul Maqdis Nabi berharap sangat Allah mengutuskan Jibril as membawa wahyu menukarkan kiblat ke Kaabah dan Allah Maha Mengetahui akan hati Nabi yang sangat merindui Kaabah. Ini dialami oleh Nabi bukan sekali dua bahkan kerap dan agak lama. Sangat luar biasa, ketika Nabi sedang solat turunlah ayat di atas. Lalu Nabi terus menukar kiblat pada ketika itu juga. Jadi itulah doa dalam solat. Ini berlaku dalam Masjid Qiblatain.

Itulah POIN PERTAMA iaitu mintalah pertolongan. Nak dapat khusyuk mestilah ada rasa memerlukan lebih-lebih lagi besar hajatnya. Kita ini faqir, apatah lagi kita dah tak dapat mengharapkan siapa-siapa lagi contoh jika kita sakit, ubat dan doktor semuanya dah dicuba. Jika berhutang kita dah minta tolong kepada ramai orang semuanya tak dapat membantu. Ketika ini hatta orang-orang kafirpun akan khusyuk, lihat ayat di bawah:


"Dialah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur". (Yunus [10] : 22)

Jadi kesimpulan bagi POIN pertama ini ialah cuba senaraikan masalah kita untuk dibawa dalam solat, supaya kita khusyuk dalam solat.

InsyaAllah jika ada kekuatan akan sambung lagi POIN KEDUA. Semoga bermanfaat.



No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML