Monday, June 23, 2014

SUNNAH NABI VS SUNNAH IKLAN TV

Banyak percanggahan antara anjuran Nabi sallAllahu `alaihi wasallam kepada kita dengan anjuran iklan-iklan di media khususnya televisyen.  Sedar atau tidak sedar, telah ramai terpengaruh dengan anjuran iklan-iklan di televisyen hasil dari promosi yang dilakukan secara berterusan.  Ramai mengamalkan sunnah-sunnah yang dipromosikan oleh iklan di TV berbanding mengamalkan sunnah-sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

Adakah ia kebetulan?  Mungkinkah ada perancangan rapi yang sengaja dilakukan oleh pihak di ‘belakang tabir’ agar manusia menyelisihi sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam?  Mungkin ya dan mungkin tidak.  Apa pun, ia tetap suatu yang wajar dirisaukan oleh kita semua.

Mari kita sama-sama fikir beberapa contoh di bawah yang jelas boleh membuatkan manusia menyimpang dari sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam:


Contoh 1:

Sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam ialah tidak mencukur janggut dan membiarkannya tumbuh serta memeliharanya.  (Baca selanjutnya di sini)

-  Tetapi iklan di tv selalu mengajak agar kita melicinkan dagu dan pipi kita.  Dan menonjolkan bahawa lelaki yang dagunya licin dan pipinya halus sebagai lelaki yang bergaya dan berketrampilan.  Contohnya iklan iklan pisau cukur.

Syariat Islam menyuruh menyimpan janggut. Bukan mencukurnya.


Contoh 2:

Sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam ialah menyuruh para wanita agar menutup aurat dan tidak mendedahkan kecantikan diri kepada khalayak umum.  (Baca selanjutnya di sini)

-  Tetapi iklan di tv selalu mengajak para wanita agar menonjolkan kecantikan masing-masing dengan menayangkan rambut yang lembut terurai dan tubuh yang langsing menggiurkan.  Contohnya iklan syampu rambut dan iklan pelangsingan badan.



Contoh 3:

Sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam ialah hidup secara sederhana dan bersifat qanaah.

-  Tetapi iklan di tv selalu mengajak agar kita hidup dengan mewah sehingga melebihi keperluan.  Dan menggambarkan bahawa kehidupan yang sebegitulah kehidupan yang bahagia.  Contohnya iklan perabot dan kereta.
Iklan selalu mendorong masyarakat untuk hidup bermewah-mewahan.

Contoh 4:
Sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam ialah melarang para wanita dari memakai haruman di khalayak ramai, terutamanya jika ada lelaki yang bukan mahram.

-  Tetapi iklan di tv selalu mengajak para wanita agar memakai minyak wangi di khalayak ramai dan menjadikan minyak wangi tersebut sebagai bahan penggoda kepada para lelaki.  Ini ternyata maksiat yang jelas.  Iklan-iklan minyak wangi dan alat solek wanita banyak membawa mesej ini.


Contoh 5:

Sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam ialah melarang lelaki dan wanita dari berikhtilat, yakni bercampur bebas sesama mereka.

-  Tetapi iklan di tv selalu menunjukkan bahawa percampuran lelaki dan perempuan adalah suatu yang meriangkan dan menyeronokkan.  Malah ia suatu yang lumrah dalam kehidupan sosial masyarakat moden hari ini.  Contoh iklan yang mengenengahkan mesej begini sangat banyak.


Contoh 6:
Sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam ialah makan dan minum dalam keadaan duduk.  Dan jika minum berdiri pun tidak mengapa jika sekali-sekala dan mengikut keadaan tertentu.

-  Tetapi, iklan di tv selalu menunjukkan betapa makan dan minum secara berdiri ini sebagai suatu amalan harian dan menjadi kelaziman.  Malah ditonjolkan makan dan minum secara berdiri ini sebagai kehidupan seorang yang aktif dan produktif.  Contohnya iklan minuman isotonik, minuman tenaga, minuman berkarbonat, makanan ringan dan makanan segera.

Minum duduk lebih baik dari minum berdiri

__________________________________________________________________________________


Itu cuma sebahagian contoh sahaja.  Tentu banyak lagi contoh sekiranya kita amat-amati iklan-iklan yang dipaparkan di media.

Tidak peliklah mengapa masyarakat semakin jauh dari kehidupan berlandaskan sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.  Bukan sahaja sunnah-sunnah Nabi tidak diketahui akibat kurang pendedahan kepadanya, malah cara hidup yang bertentangan dengan cara hidup Nabi pula dipromosi setiap hari di dalam media kita khususnya tv.  Minda masyarakat terutamanya anak-anak dan remaja telah dibasuh sejak awal lagi bahawa kehidupan yang dipaparkan tv itulah cara kehidupan yang sebenar dan terpuji lagi tepat.  Astaghfirullah.

Sebab itulah aktiviti menonton tv seharusnya dikurangkan dan dikawal.  Terlalu banyak unsur yang bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam dipertontonkan saban hari.  Ia secara tidak langsung mempengaruhi minda bawah sedar masyarakat kita terutama generasi muda.  Jika orang-orang yang mempunyai latar belakang pelajaran agama pun mudah terpengaruh, inikan pula orang-orang biasa yang tidak mempunyai asas-asas pengetahuan agama yang kukuh.

Jadi, selepas ini jika tuan/puan tertonton iklan orang yang mencukur janggut, bisikkan dalam hati bahawa perbuatan tersebut tidak menepati syara` kerana Nabi suruh kita simpan janggut.  Jika tuan/puan tertonton iklan yang mengajak para wanita mempertontonkan kecantikan mereka, bisikkan di dalam hati bahawa perbuatan itu bercanggah dengan syara` kerana Islam menyuruh wanita-wanita menutup aurat dan disuruh malu.  Dan lain-lain lagi.  Supaya dengan bisikan itu, minda bawah sedar kita membenci perbuatan-perbuatan yang diiklankan tersebut.  Dan membenci perkara yang bercanggah dengan syariat Islam adalah sebahagian daripada Iman.

Semoga kita semua dikurniakan ALLAH Ta`ala akan hidayah dan taufiq untuk melazimi sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.  Bukannya sunnah selain daripadanya, amin.

Sekadar mengajak agar berwaspada.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML