“Beruntunglah badan. Wajahnya cantik, dipujai ramai pula!”
“Hebat sungguh dia. Sudah pakai kereta BMW…!”
“Kau dah tengok rumah dia? Dahsyat! Besar betul rumah dia. Bangga aku jadi kawan dia!”
“Kau nak tahu tak, gaji dia sekarang sudah 5 angka! Pangkat besar dia sekarang ni. Berjaya betul dia!”
“Bahagia betul dia tu kan. Asyik melancong je. Tiga bulan lepas ke Australia. Minggu lepas ke London pula”
Begitulah penilaian manusia kepada manusia lain. Hebat, berjaya atau beruntungnya seseorang semuanya dinilai pada rupa, wang, pangkat dan harta. Makin cantik rupa, makin banyak wang, makin tinggi pangkat dan makin melimpah harta, maka berjayalah seseorang itu pada pandangan manusia. Jika tidak mempunyai salah satu darinya, maka akan dinilailah seseorang itu sebagai orang yang rugi dan tidak berjaya. Itulah kejayaan definisi kebanyakan manusia.
Penilaian ALLAH `Azza wa Jalla yang merupakan TUHAN yang mentadbir dan memiliki alam seluruhnya ini tidak begitu. ALLAH menilai manusia bukan kepada rupa, wang, pangkat atau harta. DIA, TUHAN Yang Maha Agung menilai manusia berdasarkan iman, amalan dan taqwa yang dipunyai oleh seseorang manusia itu.
Ciri-ciri orang yang berjaya dan beruntung di sisi ALLAH telah disenaraikan di dalam al-Quran dalam banyak ayat. Antaranya ialah di dalam surah al-Baqarah, ayat 2-5. Di dalam ayat tersebut, ALLAH mencirikan orang yang berada di atas jalan hidayah ALLAH dan berjaya ialah orang-orang yang menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan dan petunjuk. Merekalah orang-orang yang bertaqwa, iaitu yang beriman dengan sungguh-sungguh dengan hal yang ghaib, mendirikan solat, menginfaqkan sebahagian kurniaan yang telah ALLAH berikan, beriman dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam serta apa yang diturunkan kepada para nabi sebelum Baginda. Mereka juga sangat-sangat yakin dengan adanya kehidupan dan pembalasan Hari Akhirat lalu berusaha mendapat balasan yang baik pada hari tersebut.
Di dalam surah al-Mukminun ayat 1-11 pula, tersenarai lagi beberapa ciri orang-orang yang berjaya untuk kita lekatkan pada diri kita. Mereka yang berjaya ialah orang-orang yang beriman yang khusyuk di dalam solatnya, yang menjauhkan diri mereka dari perkara-perkara yang tidak berguna, yang menunaikan zakat, yang menjaga kemaluannya, yang menjaga amanah dan janjinya serta orang-orang yang menjaga solatnya.
Orang yang khusyuk dan menjaga solat adalah antara ciri orang yang berjaya pada pandangan ALLAH. |
Orang-orang mukmin yang menyeru kepada kebaikan, yang menyuruh kepada hal-hal yang ma`ruf dan yang mencegah dari perkara-perkara yang mungkar juga termasuk di dalam orang-orang yang berjaya. Hal ini telah disebut oleh ALLAH Jalla wa A`la di dalam ayat 104 dari surah ali-`Imran.
Surah al-A`la dan asy-Syams pula menyebut orang yang beruntung pada pandangan ALLAH ialah orang-orang yang menyucikan jiwanya dengan beriman bersungguh-sungguh kepada ALLAH.
Dan di dalam surah yang biasa kita baca iaitu surah al-`Asr, ALLAH `Azza wa Jalla telah menyebut semua makhluq yang dinamakan manusia berada di dalam kerugian. Ya, semua dalam kerugian. Yang tidak rugi ialah manusia yang beriman kepada ALLAH, yang beramal dengan amalan yang soleh, yang nasihat-menasihati dengan kebenaran dan juga supaya tetap dalam kesabaran.
Nah, itulah antara ciri-ciri orang yang berjaya dan beruntung yang telah disebut oleh ALLAH Ta`ala di dalam al-Quran. Cuba bandingkan dengan kayu ukur penilaian-penilaian manusia.
Marilah kita sama-sama bermuhasabah adakah selama ini kita pernah menitik beratkan penilaian ALLAH dalam menilai diri kita? Atau adakah selama ini kita terperangkap dengan penilaian manusia lalu berlumba-lumba menaikkan nilai rupa, wang, pangkat dan harta untuk dinilai berjaya pada sisi pandangan manusia?
Penilaian siapakah yang sepatutnya kita kejar dan utamakan?
Terpulanglah kepada masing-masing. Kerana kita akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas tindakan kita. Pada Hari Akhirat nanti kita masing-masing akan dibangunkan untuk dihisab terhadap semua perbuatan kita ketika hidup di dunia.
Jika keberjayaan dan keberuntungan pada pandangan manusia yang kita kejar selama hidup di dunia, maka nasib kita akan diserahkan kepada manusia-manusia itu pada Hari Akhirat nanti. Bagaimana nasib akhir kita? Fikirlah sendiri!
Manakala jika keberjayaan dan keberuntungan pada pandangan ALLAH yang kita kejar selama hidup di dunia yang sementara ini, maka nasib kita akan diserahkan kepada ALLAH Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang. Dan sebaik-baik diserahkan urusan kita ialah kepada ALLAH `Azza wa Jalla!
ALLAHU A`LAM.
No comments:
Post a Comment