Sunday, April 27, 2014

WANITA BUKAN BUNGA, LELAKI BUKAN KUMBANG



Memang bunga dijadikan ALLAH berwarna-warni.  Tujuannya adalah supaya kumbang tertarik dengannya, seterusnya dapat menggalakkan proses persenyawaan tumbuh-tumbuhan yang berbunga.  Keserlahan warna bunga sentiasa akan menarik perhatian mana-mana kumbang untuk datang dekat dan hinggap di atasnya.  Memang itulah fitrah kumbang.

Tarikan yang dihasilkan oleh si bunga jarang dapat dinafikan oleh si kumbang.  Lekas pancaindera si kumbang menangkap kecantikan bunga, dan dengan lekas juga dia datang menghampiri.  Bunga menggoda.  Kumbang tergoda.

Dalam masyarakat kita, ada perumpamaan yang menyerupakan wanita sebagai bunga dan lelaki pula diibaratkan sebagai kumbang.

Jika kumbang tertarik dengan keserlahan cantiknya bunga, maka lelaki pula sentiasa tertarik dengan keserlahan cantiknya wanita.  Ini adalah hakikat fitrah kejadian.  Apatah lagi jika wanita itu memakai pakaian yang berwarna-warni dan disolek pula parasnya, tentulah wanita itu mudah untuk mendapat perhatian lelaki.  Memang itulah fitrah lelaki.  Macam kumbang.  Tergoda kerana digoda.

Namun, pada hakikatnya bukan itu yang dimahukan syariat Islam.

Si wanita tidak boleh sewenang-wenangnya memaparkan kecantikannya kepada mana-mana lelaki.  Dan si lelaki pula tidak boleh dengan mudah-mudah terus menghampiri si wanita yang telah menarik perhatiannya.

Wanita Bukan Bunga

Sifat wanita sepatutnya bukan seperti bunga yang menonjol-nonjolkan kecantikan untuk dihampiri si kumbang.  Bukan!  Menyedari hakikat bahawa lelaki memang mudah tertarik dengan kecantikan dan keberadaan wanita, maka sebab itulah wanita mesti menjaga diri.

Islam sebagai agama yang sesuai dengan fitrah manusia telah menetapkan bahawa wanita apabila mahu keluar dari rumah atau berada di hadapan lelaki yang bukan mahram, hendaklah dia meneliti akan beberapa hal.  Antaranya adalah cara berpakaian dan pembawaan diri.  Penampilan wanita tidak boleh sehingga menarik perhatian kaum lelaki.






Jika para wanita menafikan bahawa perhiasan dan warna-warni yang terdapat pada pakaian mereka bukan bertujuan menarik perhatian lelaki, penafian itu sebenarnya tidak bererti kerana ia telah pun menarik perhatian lelaki samada sengaja atau tidak sengaja.  Memang lelaki secara fitrah mudah tertarik pandangan dan perhatian mereka kepada wanita yang cantik, apatah lagi yang berpakaian berwarna-warni, berperhiasan dan seumpamanya.

Justeru, wanita mesti menjaga diri sebagaimana yang telah dianjurkan Islam.  Tundukkanlah pandangan, tutuplah aurat, bersederhanalah ketika berpakaian, jangan tonjolkan bentuk dan penampilan serta malulah.  Jagalah syariat ALLAH.  Jika para wanita jaga syariat ALLAH terutama dalam hal berpakaian yang sedang kita bincangkan ini, nescaya ALLAH akan jaga mereka di dunia dan di akhirat.

Lelaki Bukan Kumbang
Bukan sahaja wanita mesti menyedari hakikat di atas, bahkan lelaki juga mesti menyedari bahawa mereka tidak boleh disamakan dengan tabiat si kumbang.

Apakah tabiat si kumbang?  Jika kita lihat tabiat serangga ini, mereka secara tabi`i memang mudah teransang dan tertarik dengan warna-warni serta kecantikan.  Mereka datang menyinggah, mengucup dan menyedut apa-apa yang bernilai pada si bunga, kemudian pergi menghinggap ke bunga lain pula dengan perbuatan yang sama.

Adakah sifat lelaki begitu?

Tentu sekali bukan!  Lelaki tidak wajar dengan sewenang-wenangnya menghampiri wanita yang dia tertarik dengannya.  Akal dan hati yang dikurniakan ALLAH pada manusia lelaki mesti berfungsi baik sebagai manusia.  Bukan berfungsi sebagai kumbang atau lain-lain serangga dan haiwan.  Ada pertimbangan yang mesti didahulukan.

Islam telah menggariskan panduan buat lelaki bahawa dia mesti menundukkan pandangannya dengan tujuan supaya hati dan imannya terjaga.  Persoalan baik, buruk, halal, haram, syurga dan neraka mesti berselang-seli melintasi akal dan hatinya.  Bukan sahaja tidak boleh bagi si lelaki menghampiri dan menyentuh wanita (bukan isterinya), bahkan dia mesti segera mengalihkan pandangannya ke arah lain bagi tujuan menjaga hati dan iman.



Malah, jika dia berminat ingin menyunting wanita yang diminati tersebut sebagai isteri, dia mesti selidik dahulu samada wanita tersebut sudah bersuami atau belum. Dan jika belum, mesti diselidik pula samada sudah dipinang orang lain atau belum.  Ada peraturannya.  Ada batasnya.  Jika mahu berjaya di dunia dan di akhirat.

Ya, lelaki bukan seperti kumbang yang apabila dia berasa hendak terus pergi dan terjah.  Tidak!  Lelaki beriman bertindak sebagaimana yang dikehendaki ALLAH kepadanya.

Sekali lagi saya ingin menekankan bahawa lelaki-lelaki dan wanita-wanita yang beriman hidupnya bukan persis serangga dan bunga.  Mereka adalah makhluq mulia yang ada peraturan khas sebagaimana disebut di dalam al-Quran dan as-Sunnah.  Tidak boleh semborono.  Tidak boleh ikut sedap rasa.  Tidak boleh bertindak secara kehaiwanan.  Tindakan mereka mesti rasional, waras dan berlandaskan syariat.

Semoga tulisan ini bermanfaat buat semua, terutamanya para pemuda dari kalangan lelaki dan wanita beriman, in shaa’ ALLAH.

Sekadar berkongsi,

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML