Sunday, April 27, 2014

HUKUM TUNJUK DENGAN IBU JARI/JARI TELUNJUK



Ramai yang heboh mengenai isu isyarat atau tunjuk dengan ibu jari atau Jari Telunjuk, cerita ini telah disebarkan dalam laman sosial (FB). Jadi pihak PENDAKWAH ISLAM berasa bertanggungjawab untuk mendapatkan jawapan yang terbaik agar semua pihak berpuas hati .

Di bawah ulasan ringkas Akhi Al-Aziz Ustaz Adlan Abdul Aziz dalam blognya.

Isyarat Dengan Ibu Jari atau Jari Telunjuk?

Secara ringkas, ada sebahagian pihak yang membangkitkan isu ini iaitu ‘tidak boleh’ mengisyaratkan sesuatu atau seseorang dengan menggunakan ibu jari sebagaimana sebahagian masyarakat kita lakukan. Isyarat tersebut dianggap sebagai ajaran Yahudi. Lalu isyarat yang sedemikian mesti digantikan dengan isyarat menggunakan jari telunjuk kerana itu adalah Sunnah Rasulullah s.a.w.

Mungkin penjelasan berikut daripada saya yang serba kekurangan ini mampu membuat kita semua berfikir sebelum menerima dakwaan sebegini atau dakwaan lain yang mengaitkan sesuatu perbuatan dengan hukum atau dengan agama.

1- Menyatakan isyarat dengan ibu jari sebagai amalan Yahudi perlukan bukti. Bukanlah dengan mudah kita labelkan sesuatu itu diamalkan oleh segolongan atau sesuatu agama.

2- Kalau dilihat dalam Al-Quran dan Hadith-Hadith yang sahih dan masyhur, belum ditemui (sekadar pencarian yang mampu) wujudnya kenyataan yang menisbahkan cara begitu (isyarat dengan ibu jari) adalah perbuatan Yahudi.

3- Sekadar pencarian juga, pihak yang mendakwa cara begitu adalah cara Yahudi juga tidak membawa mana-mana Hadith untuk dibincangkan tetapi sekadar secara umum dan juga membawa fatwa seorang ahli ilmu yang tidak diketahui siapa namanya dan bilakah ‘fatwa’ itu dikeluarkan. Semuanya dalam keadaan ‘tidak dikenali’ dan ‘tidak diketahui’.

4- Apabila melihat pula isyarat dengan jari telunjuk, memang ia wujud dalam Hadith secara umum seperti ketika tasyahud/tahiyat [Sahih Muslim], ketika Rasulullah s.a.w. memberitahu dekatnya hari kiamat (dijarakkan antara jari telunjuk dan jari tengah) [Sahih Bukhari], ketika Rasulullah s.a.w. mengisyaratkan waktu fajar sadiq (dengan dua jari telunjuk dipanjangkan) [Sahih Bukhari] dan sebagainya. Namun secara khusus untuk mengisyaratkan kepada seseorang atau sesuatu, juga tiada ditemui secara khusus (sekadar pencarian yang mampu), wAllahu a’lam.

5- Bagaimanapun terdapat satu Hadith dalam Kitab ‘asy-Syamaail al-Muhammadiyyah’  [no.225, bab Bagaimana Percakapan Rasulullah s.a.w.] yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. apabila mengisyaratkan sesuatu atau seseorang, Nabi s.a.w. menggunakan seluruh tapak tangannya iaitu semua jari-jarinya. Namun begitu tiada ulama (sekadar ditemui) yang menyatakan ‘wajib’ mengisyaratkan dengan semua tapak tangan atau semua jari. Ia lebih kepada keterbukaan untuk melakukannya atau tidak.

6- Maka jika kedudukan isyarat dengan ibu jari masih tidak dapat dipastikan ‘haram’ atau benarkah ia ‘amalan Yahudi’. Begitu juga jika kedudukan mengisyaratkan dengan jari telunjuk kepada sesuatu atau seseorang juga tidak ditemui dengan jelas dan terang dalam Hadith Sahih, maka tidak patut untuk kita mengharamkan salah satunya atau mewajibkan salah satu dari keduanya. Keduanya boleh digunakan, wAllahu a’lam.

7- Nasihat untuk diri saya dan pembaca – untuk menyatakan sesuatu itu ‘haram’, ‘bid’ah’, ‘amalan Yahudi’ dan sebagainya perlukan kepada bukti/dalil dan juga huraian dan fatwa ulama yang masyhur dan terkenal sepanjang zaman. Begitu juga untuk menyatakan sesuatu perbuatan sebagai ‘sunnah’ atau ‘wajib dibuat’ juga perlukan bukti dan huraian ulama. Berhati-hati adalah yang terbaik dan jangan gopoh membuat kesimpulan.

Semoga penerangan ini membantu kajian saya seterusnya. Mohon dipanjangkan kepada SAYA sekiranya ada kesalahan atau info baru. Insya Allah akan diubah apa yang salah dan dibetulkan. Jazakumullah.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML