‘Kerana mulut badan binasa’.
Ya, mulut yang di dalamnya ada lidah adalah satu pancaindera yang selalu mendatangkan masalah kepada manusia jika disalahgunakan atau tersalahguna. Ramai hati bisa kecewa dan sakit lantaran lidah yang berkata-kata. Bahkan bangunan yang utuh pun bisa roboh dan negara antara negara pun bisa berperang akibat dari lidah.
Binasanya manusia disebabkan lidah bukan hanya setakat di dunia, bahkan di Akhirat sana lebih merugikan lagi. Justeru, lidah kurniaan ALLAH kepada manusia ini mesti disyukuri dan digunakan untuk kebaikan dan meraih redha Penciptanya, bukan sebaliknya.
Haram Ghibah
Ghibah atau dalam bahasa Melayunya ialah ‘mengumpat’, adalah perbuatan lidah yang agak selalu dilakukan oleh manusia samada dengan sengaja atau tanpa sengaja. Samada lelaki atau perempuan, ia tidak terkecuali.
Sedangkan perbuatan tersebut dilarang tegas oleh ALLAH Subhanahu wa Ta`ala dari melakukannya. Firman ALLAH Ta`ala:
Bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sebahagian kamu melakukan ghibah kepada sebahagian yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kamu kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Penerima taubat, lagi Maha Penyayang.”
(Surah al-Hujurat, 49:12)
Bukan sahaja perbuatan ghibah itu dilarang, bahkan dibawa suatu perumpamaan untuk manusia berfikir. Iaitu ghibah diumpamakan seperti memakan daging manusia yang sudah mati, iaitu daging mayat orang yang kita ghibahkan atau umpatkan itu. Mahukah kita memakannya jika ia dihidangkan di hadapan kita? Tentu sahaja kita berasa jijik terhadapnya bukan? Itulah perumpamaannya.
Sheikh Ibnu Uthaimin menerangkan kaitan ghibah dengan perumpamaan memakan daging orang mati dalam ayat di atas ialah kerana apabila seseorang melakukan ghibah atau mengumpat terhadap seseorang lain, orang yang diumpatkan itu tiada di hadapannya dan tidak dapat membela diri terhadap apa yang diungkapkan oleh si pengumpat. Serupalah dengan orang yang sudah mati. Dia tidak mampu bangkit untuk membela dirinya walaupun dagingnya dipotong dan dimakan oleh seseorang.
Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam ada menyebut apakah itu ghibah, iaitu ia merupakan suatu perbuatan lidah yang menceritakan tentang hal orang lain sedangkan hal itu tidak disukai oleh orang tersebut.
Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu sesungguhnya Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam pernah bersabda:
أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ ؟
قَالُوا : اللهُ ورسولُهُ أعْلَمُ
قَالَ : ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ
قِيْلَ : أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ ؟
ْقَالَ : إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ ، فَقَدِ اغْتَبْتَهُ . وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ ، فَقَد بَهَتَّهُ
Bermaksud:
“Tahukah kamu apakah itu ghibah?”
Para sahabat berkata: “ALLAH dan RasulNYA lebih mengetahui.”
Baginda pun bersabda: “Iaitu kamu menceritakan keadaan saudaramu sesuatu yang tidak disenanginya.”
Ada sahabat bertanya: “Bagaimana seandainya saya menceritakan apa yang sebenarnya terjadi pada saudara saya itu?”
Baginda bersabda: “Jika kamu menceritakan sesuatu yang sebenar, maka sesungguhnya kamu telah me-ghibah-nya (mengumpatnya). Dan jika kamu menceritakan sesuatu yang bukan sebenar, maka sesungguhnya kamu telah menuduhnya.”
(HR Muslim)
Justeru, hendaklah kita berhati-hati dengan lidah kita jangan sampai melakukan ghibah kerana ia suatu dosa yang besar di sisi ALLAH Jalla wa A`la.
Perintah Menjaga Lidah
ALLAH Tuhan Yang Maha Mencipta, telah memberi amaran kepada sekalian manusia bahawa semua yang diperbuat dan diucapkan akan dipertanggungjawabkan oleh diri masing-masing kelak.
Firman ALLAH Subhanahu wa Ta`ala:
Bermaksud:
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”
(Surah al-Isra’, 17:36)
Dan firman ALLAH Ta`ala:
“Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya.”
“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”
(Surah Qaaf, 50:17-18)
Justeru, kita sepatutnya sangat berhati-hati terhadap lidah kita kerana dikhuatiri ia akan menyebabkan diri kita terbinasa bukan sahaja di dunia, bahkan yang lebih malang ialah pada Hari Akhirat nanti.
Banyak hadith-hadith dari Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam yang menceritakan tentang pentingnya kita berwaspada terhadap lidah. Antaranya:
(1) Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:
ْمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ,فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُت
“Barangsiapa yang beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)
(2) Dari Abu Musa al-Asy`ari (أبو موسى الأشعري) radhiAllahu `anhu, katanya aku bertanya kepada Rasulullah:
يَا رَسُولَ اللهِ، أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ ؟
ِقَالَ : مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِه
“Wahai Rasulullah, Islam yang bagaimanakah lebih utama? Bersabda Baginda: “Sesiapa yang orang-orang Islam lainnya selamat dari lidahnya dan tangannya.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)
(3) Dari Sahl bin Sa`d as-Sa`idi (سهل بن سعد الساعدي) berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:
َمَنْ يَضْمَنُ لِيْ مَا بَيْنَ لَحْيَيْهِ وَمَا بَيْنَ رِجْلَيْهِ أَضْمَنُ لَهُ الْجَنَّة
“Barangsiapa yang berani memberi jaminan kepadaku akan apa yang ada di antara dua janggutnya dan apa yang ada di antara dua pehanya, aku menjamin untuknya Syurga.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)
(4) Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa beliau mendengar Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِِ ،مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا ,يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ ، أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ
“Sesungguhnya seseorang itu bisa kerana mengucapkan sesuatu perkataan yang tidak difikirkan terlebih dahulu membuatkannya tergelincir ke dalam api neraka yang luasnya lebih jauh dari timur dan barat.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)
(5) Dari Sufyan bin `Abdullah ath-Thaqafi (سفيان بن عبدالله الثقفي) berkata:
قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، حَدِّثْنِي بِأَمْرٍ أَعْتَصِمُ بِِهِ
ْقالَ: قُلْ ربِّيَ اللَّهُ ، ثُمَّ اسْتَقِم
قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ ، مَا أَخْوَفَ مَا تَخَافُ عَلَيَّ ؟
فَأَخَذَ بِلِسَانِ نَفْسِهِ ثُمَّ قالَ : هَذَا
“Saya berkata: “Wahai Rasulullah, terangkanlah kepada saya sesuatu yang dapat saya jadikan sebagai pegangan.”
Baginda bersabda: “Katakanlah Tuhanku ialah ALLAH, kemudian tetap istiqamahlah (dengan jalan yang benar)”.
Saya bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah perkara yang paling engkau takut berlaku ke atas saya?”
Maka Baginda memegang lidahnya sendiri, kemudian bersabda: “Ini!”.”
(HR at-Turmudzi, katanya hadith ini hasan sahih)
Itulah sebahagian kalam mulia dari Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam mengenai bahaya lidah. Banyak lagi amaran Nabi tentangnya, namun cukuplah ini dahulu dijadikan sebagai panduan kepada kita semua betapa pentingnya kita berwaspada terhadap lidah. Dengannya kita boleh mendapat pahala. Dengannya juga kita mudah mendapat dosa.
Jika mahu selamat, berkatalah hanya yang baik-baik ataupun diam sahajalah.
lisan
Semoga peringatan ini bermanfaat buat saya dan tuan/puan yang sudi membacanya. Kepada ALLAH lah kita memohon hidayah, taufiq, pertolongan dan keampunan.
Sekadar mengingatkan diri sendiri,
No comments:
Post a Comment