Wednesday, April 16, 2014

LAMARLAH LELAKI ITU JIKA........


“Bolehkah wanita melamar lelaki?”

“Tidak jatuhkah maruah seorang perempuan jika mereka melamar lelaki?”


“Bagaimana cara hendak melamar lelaki?”



“Bukankah perbuatan ini menyalahi adat ibarat perigi mencari timba?”

Itulah antara persoalan-persoalan yang berlegar di dalam fikiran para wanita apabila timbul di dalam hati mereka perasaan minat yang sungguh-sungguh kepada seseorang lelaki sedangkan lelaki tersebut tidak mengetahui.  Sebelum saya menjawab persoalan-persoalan itu, ingin saya menyentuh beberapa perkara dahulu.

Yang pertama ialah tentang hakikat bahawa kurangnya lelaki-lelaki soleh pada zaman mutakhir ini.  Ini adalah suatu hakikat yang pahit namun terpaksa ditelan oleh semua orang.  Bukan sahaja para wanita yang secara khususnya perlu berhadapan dengan hakikat ini.  Malah juga terpaksa dihadapi oleh ibubapa yang tentunya sangat risau untuk menyerahkan anak-anak perempuan mereka kepada bakal suami masing-masing yang entah bagaimana latar belakangnya.

Yang kedua ialah tentang kepentingan memilih lelaki yang soleh dan berkualiti sebagai suami.  Kerana suamilah tunggak keluarga yang menegakkan rumahtangga.  Dan suamilah nakhoda yang berperanan mengemudi bahtera rumahtangga.  Tanpa tunggak yang utuh dan nakhoda yang berhikmah, tentunya rumahtangga mudah goyah akibat angin ribut yang meniup dan gelombang ombak yang memukul.  Justeru memilih lelaki yang soleh dan berkualiti sebagai bakal suami amat penting.  Mesti disertai dengan menggunakan akal dan rasional yang tinggi.  Bukan hanya memilih berdasarkan perasaan cinta semata-mata.

Berdasarkan dua perkara ini tentunya para wanita dapat memilih tindakan yang sewajarnya apabila tiba-tiba mereka mendapati ada lelaki soleh dan berkualiti yang layak untuk dijadikan tunggak dan nakhoda buat rumahtangga yang bakal mereka dirikan kelak.  Apakah tindakan itu?

Ya, tepat sekali.  Lamarlah lelaki itu…!

Itulah nasihat yang saya selalu berikan apabila saya didatangkan dengan situasi-situasi seperti ini dalam beberapa emel yang saya terima.  Tentunya juga jangan terburu-buru.  Selidik dan kajilah dahulu latar belakangnya.  Sertakan juga dengan do`a dan solat istikharah agar ALLAH memberikan petunjuk kepada persoalan yang penting ini.  Petunjuk dari ALLAH adalah suatu yang sangat penting untuk diminta dalam membuat semua keputusan.

Sekarang saya akan cuba menjawab beberapa persoalan yang dilontarkan di awal tulisan ini.

“Bolehkah wanita melamar lelaki?”
Dalam agama Islam, tiada larangan untuk mana-mana jantina untuk melakukan lamaran.  Samada lelaki atau wanita, mereka layak dan boleh untuk menyatakan hasrat masing-masing untuk memperisteri atau mempersuami sesiapa sahaja yang mereka berkenan asalkan belum lagi menjadi milik orang lain.

Malah di dalam sejarah Islam, seorang wanita yang mulia dan banyak berjasa dalam dakwah awal Islam telah melakukannya.  Beliau ialah Ummu al-Mukminin Khadijah radhiAllahu `anha binti Khuwailid.  Beliau telah melamar seorang lelaki mulia, lagi bijak, lagi amanah, lagi kacak, lagi jujur iaitu Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam untuk dijadikan suami kepada beliau.

Betapa Khadijah tahu apa yang baik untuk dirinya.  Beliaulah yang memulakan lamaran apabila di sana terlihat pada pandangan mata dan hatinya seorang lelaki yang layak dan bisa membimbing beliau.  Dan ternyata perbuatannya itu menghasilkan keberuntungan, bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat.

Nah, perbuatan melamar lelaki bukan sahaja boleh, malah telah dilakukan oleh seorang wanita yang mulia dan ahli Syurga, iaitu Khadijah radhiAllahu `anha.  Mencontohi perbuatan orang-orang yang mulia dalam agama, insyaALLAH akan menghasilkan natijah yang juga mulia.

“Tidak jatuhkah maruah seorang perempuan jika mereka melamar lelaki?”
Ini antara soalan yang selalu juga diutarakan oleh para wanita apabila membicarakan soal ini.  Mari kita lihat Khadijah radhiAllahu `anha dalam memahami situasi ini.

Khadijah radhiAllahu `anha bukanlah hanya wanita biasa dalam masyarakatnya.  Beliau adalah seorang yang dipandang mulia dan tinggi oleh masyarakatnya.  Harta kekayaannya besar.  Perniagaannya juga berjaya.

Beliau bukan sahaja hartawan dan usahawan, tetapi juga seorang ‘selebriti’ yakni tokoh yang disegani.  Telah beberapa kali Khadijah dilamar oleh orang-orang kaya dan kenamaan, namun ditolaknya.  Pilihan beliau teralih kepada seorang pemuda yang tidak punya apa-apa.  Tiada kekayaan.  Tiada harta.  Tiada pangkat.  Apa yang hanya ada pada lelaki tersebut ialah akhlaq yang baik, amanah, jujur, bijaksana dan merupakan keturunan yang mulia.  Lelaki itu ialah Muhammad al-Amin sallAllahu `alaihi wasallam.

Pada ketika itu, Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam berumur 25 tahun dan belum lagi menjadi Nabi dan Rasul.  Ini bermakna tiada apa-apa kelebihan yang terdapat pada Baginda melainkan apa yang telah disebut di atas.  Yang tertarik pada pandangan Khadijah ialah peribadinya sahaja.

Cuba lihat; seorang wanita yang hartawan, usahawan, jelitawan dan bangsawan tiba-tiba datang melamar seorang lelaki biasa.  Pada pandangan masyarakat ia mungkin menjatuhkan maruah.  Tetapi pada pandangan Khadijah, ia bukan.  Bahkan beliau tahu ia untuk kebaikan buat dirinya.

Dan hasil perbuatannya itu, bukan maruah yang jatuh.  Tetapi maruah dan kedudukannya diangkat setinggi-tingginya hingga hari ini, hingga Hari Kiamat.  Beliau adalah Ummu al-Mukminin dan dipuji oleh penduduk bumi dan langit.

Perbuatan melamar lelaki yang soleh dan berkualiti bukanlah suatu yang menjatuhkan maruah.  Bahkan ia melambangkan bahawa wanita itu mempunyai maruah yang tinggi dan mahu maruahnya dibela oleh lelaki yang layak dan tinggi maruahnya.  Dan insyaALLAH, maruah itu akan terus terjaga sampai Hari Akhirat.

“Bagaimana cara hendak melamar lelaki?”
Di dalam kitab sirah ada diceritakan bagaimana Khadijah melamar Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Sebenarnya Khadijah pada awalnya telah tertarik dengan pemuda bernama Muhammad setelah mendengar berita tentang sifat-sifat mulianya.  Khadijah lalu menawarkan Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam untuk membawa barang dagangannya ke Syam.

Kembali ke Makkah dari Syam, Khadijah mendapati keuntungannya berganda.  Keuntungan yang banyak ini hasil daripada peribadi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam yang baik, jujur, amanah, akhlaq yang mulia, fikiran yang tajam dan tutur kata yang benar.  Sifat-sifat ini telah diceritakan oleh Maisarah iaitu hamba Khadijah yang dihantar membantu Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam berdagang di Syam.

Khadijah mendapati apa yang dicarinya sudah ditemui.  Hasrat murninya itu telah disampaikan seorang temannya yang bernama Nafisah binti Muniyyah.  Nafisah lalu menemui Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam dan menyatakan apa yang telah disampaikan Khadijah kepadanya.  Baginda menerima dengan baik apa yang dihasratkan oleh Khadijah melalui Nafisah itu.

Lalu Baginda memberitahu bapa-bapa saudaranya tentang hal itu.  Kemudian bapa-bapa saudara Baginda pergi menemui bapa saudara Khadijah untuk melamarnya.  Ekoran daripada itu, berlangsunglah perkahwinan dua insan yang mulia ini.  Khadijahlah wanita pertama yang dinikahi Baginda sallAllahu `alaihi wasallam dan Baginda tidak mengahwini wanita lain sehinggalah Khadijah meninggal dunia.

Dapat diambil iktibar daripada kisah yang mulia ini tentang cara yang baik bagaimana wanita melamar lelaki.   Caranya ialah dengan menghantar wakil menjumpai lelaki yang dihasratkan itu lalu bertanya tentang niat yang mulia tersebut.  Jika dipersetujui, maka pihak lelakilah yang datang melamar si wanita sebagaimana adat masyarakat kita dan umumnya di mana-mana.

“Bukankah perbuatan ini menyalahi adat ibarat perigi mencari timba?”
Sebagaimana telah disebut di atas, perbuatan melamar lelaki telah dicontohkan kepada kita oleh wanita yang sangat mulia iaitu Khadijah radhiAllahu `anha.  Natijah dari perbuatan tersebut telah memberikan kebaikan kepada beliau.  Wanita yang solehah, mulia dan suci tentu mahu yang soleh, mulia dan suci juga untuk dirinya.

Juga telah dikongsikan di atas bagaimana caranya untuk melamar lelaki.  Caranya tetap sama sebagaimana adat dalam masyarakat kita, cuma hasratnya sahaja dinyatakan terlebih dahulu oleh si wanita.  Langkah-langkah seterusnya dilakukan mengikut adat kebiasaan iaitu pihak lelaki datang melamar pula.

Jika masyarakat mahu ibaratkan juga ia sebagai perigi mencari timba, biarlah.  Katakan kepada mereka bahawa perigi yang ada ini adalah perigi istimewa.  Perigi yang suci.  Perigi yang mulia.  Dialah yang memilih timba mana yang layak untuk menimba kebaikan dari perigi itu.  Bukan sewenang-wenangnya si timba datang mahu mengaut kebaikan di dalam perigi ini.  Perigi ini perigi yang memilih timba, bukan perigi yang dipilih timba!

Katakan juga kepada mereka bahawa air dalam perigi ini bersih.  Dia tidak mahu air dalam perigi itu dicemari dek timba yang kotor dan tidak mencapai tahap piawai yang ditentukan sendiri oleh si perigi.  Justeru, sebab itulah perigi sendiri yang mencari timba.

Jika kata-kata di atas tidak sesuai diucapkan kepada orang, lalu berbisiklah kepada diri sendiri sahaja.  Supaya kalian tahu siapa diri kalian.  Dan kalian mahu hanya yang terbaik buat diri kalian.

Nasihat Buat Wanita, Lelaki dan Ibubapa
Sebagai penutup, saya ingin juga menasihatkan buat wanita-wanita di luar sana terutama buat wanita-wanita solehah.  Telah banyak kedengaran di dalam berita dan mulut-mulut orang tentang nasib kurang baik yang dialami oleh para isteri yang diperlakukan oleh suami mereka.  Antara sebabnya ialah mereka memlihi suami berdasarkan hanya kepada perasaan.  Nilai rasional dan akal ditolak ke tepi dalam memilih bakal suami.

Ada juga kerana termakan budi.  Disebabkan si lelaki atau keluarga si lelaki telah banyak menabur budi maka berkahwinlah mereka.  Sedangkan sepatutnya perkara ini difikirkan semasak-masaknya terutama dalam menilai peribadi, akhlaq dan nilai agama lelaki tersebut.

Justeru, buat wanita saya nasihatkan fikirlah baik-baik dan gunalah akal dan rasional yang waras dalam memilih pasangan hidup kalian.  Mintalah kepada ALLAH akan petunjuk dan berdoalah kepada ALLAH agar DIA berkati.  Dan gunakanlah hak-hak kalian sebagaimana Islam telah meluaskan hak kalian dalam hal memilih pasangan.

Buat lelaki, saya ingin menasihatkan agar jika kalian menerima lamaran daripada wanita, ketahuilah bahawa wanita itu telah melihat suatu yang baik lahir dari diri kalian.  Hormatilah dia.  Jangan kecilkan hatinya.  Jangan perli dan hina dia.  Dia cuma mengikuti sunnah Khadijah, Ummu al-Mukminin radhiAllahu `anha yang mahu hanya terbaik buat dirinya.  Jika kalian setuju, katakanlah.  Jika kalian tidak setuju, katakanlah juga.  Dan katakanlah samada setuju atau tidak setuju itu dengan penuh rasa hormat dan mulia.

Buat saya dan ibubapa yang membaca tulisan ini, saya menasihati diri ini dan kalian agar prihatinlah terhadap bakal suami anak-anak gadis kita.  Kita mahu yang terbaik buat mereka.  Baik bukan hanya di dunia.  Tetapi yang lebih utama ialah baik di negeri akhirat sana.  Jika terlihat di sana ada pemuda yang soleh, janganlah segan-segan untuk bertanya.  Risiklah sudahkah dia berpunya.  Jika belum dan ternyata dia seorang lelaki yang soleh hasil selidikan kalian, nyatakan hasrat yang mulia itu.

Sungguh, kita siang malam memikirkan kebaikan untuk anak-anak kita.  Kita do`a yang baik-baik untuk anak-anak kita.  Kita mahu dikumpulkan di Syurga sekeluarga.  Maka, dalam hal memilih suami untuk mereka juga, hendaklah kita teliti dan proaktif.  Kerana warna suami akan kuat tercurah mewarnakan isteri.  Jika mahu anak-anak kita baik, maka pilihlah suami yang baik buat mereka.  Kita harus mainkan juga peranan.

Semoga apa yang ditulis ini terdapat manfaat padanya, insyaALLAH.  Mudah-mudahan ALLAH berikan kita semua kebaikan di dunia, kebaikan di akhirat dan dijauhkan kita semua dari azab api neraka, amin…

WALLAHU A`LAM.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML