Wednesday, April 16, 2014

BEKALAN MENEMPUH KEHIDUPAN DI UNIVERSITI


Betapa jarangnya remaja yang mahu mendengar nasihat, inikan pula mencari nasihat.  Saya ucapkan syabas kepada ibubapa dan guru-guru mereka.  Tentu sekali tahniah buat diri mereka sendiri.  Latar belakang pendidikan agama yang mereka perolehi selama ini sudah membuahkan hasil awalan.  Mudah-mudahan kembara ilmu mereka dalam bidang dan universiti pilihan masing-masing bakal membentuk diri mereka lebih mulia di sisi ALLAH kelak. Mungkin ada baiknya juga saya menyusunnya semula di blog ini supaya sebahagian daripada nasihat-nasihat itu dapat turut sama dimanfaatkan oleh remaja-remaja lain, insyaALLAH.

1)  Luruskan niat.
Dalam apa-apa perbuatan pun, persoalan niat mesti diutamakan dan diberi penekanan.  Niat merupakan sebab kepada perbuatan itu samada diterima atau ditolak, samada untung atau rugi.  Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

ِاِنَّمَا الاَعْمَالُ بِالنِّيَّات
Maksudnya:  “Semua amalan adalah dinilai dengan niat.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

Jadi, luruskanlah niat kalian.  Dan niat yang paling lurus dan beruntung ialah apabila kita niatkan kerana ALLAH Ta`ala.  Tidak kiralah apa pun jurusan yang kalian ambil, luruskanlah niat kalian kerana ALLAH Ta`ala.  Dunia ini milik ALLAH dan jiwa kita adalah milik ALLAH.  Maka sepatutnyalah kita belajar untuk berkhidmat kepada ALLAH Ta`ala.

2)  Fokus kepada matlamat.
Selain niat, matlamat perbuatan juga mesti jelas.  Matlamat dapat memandu kita ke arah tempat yang dituju.  Tanpa matlamat, tentu perjalanan kita akan hilang arah.

Masalah yang berlaku kepada saya dan orang ramai bukanlah tiada matlamat, tetapi tidak fokus kepada matlamat.  Disebabkan tidak fokus, perjalanan dalam dunia belajar di universiti bisa tersadai atau kurang cemerlang keputusannya.  Justeru, kalian mesti fokus dengan matlamat kalian.

Kalian tentu sahaja mempunyai matlamat masing-masing yang telah terbit dari hati nurani kalian.  Terpulanglah, asal sahaja matlamat itu tidak merosakkan diri kalian.  Samada matlamat kalian belajar di universiti ingin mendapatkan habuan dunia atau akhirat, semuanya mesti fokus.  Jika hilang fokus, maka matlamat akan kabur.

Dan ingin saya mengingatkan kalian akan matlamat kepada semua matlamat yang telah difirmankan ALLAH `Azza wa Jalla kepada RasulNYA sallAllahu `alaihi wasallam:

ِوَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَ الْاِنْسَ اِلَّا لِيَعْبُدُوْن
Maksudnya:  “Dan tidak AKU telah jadikan golongan jin dan golongan manusia kecuali untuk mengabdikan diri (kepadaKU).”

(Adz-Dzariyaat, 51:56)

Sepanjang menjalani kehidupan di universiti, jangan sekali-kali kalian hilang fokus dari matlamat yang ini.  Ia matlamat yang paling utama.  Ia matlamat kenapa kita dijadikan.  Ia matlamat sepanjang hidup.  Samada kalian cemerlang di universiti atau kurang cemerlang atau tidak cemerlang, matlamat inilah yang kalian mesti fokus betul-betul.

3)  Jagalah syariat ALLAH
Seterusnya, jagalah syariat dan hak ALLAH seperti tidak sesekali mensyirikkanNYA dengan sesuatu, jaga dan kerjakan solat-solat yang difardhukan, puasa Ramadhan, menutup aurat dan semua yang wajib dalam ajaran Islam.

Jika kalian menjaga syariat dan hak ALLAH, pastinya perjalanan kalian semasa di universiti dijagai ALLAH Ta`ala.  DIA akan memberikan kepada kalian petunjuk kepada kebenaran, jalan keluar dari bermacam-macam masalah dan rezeki dari berbagai-bagai punca.  Lalu memudahkan kembara ilmu kalian semasa di universiti nanti, insyaALLAH.

Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah menjanjikan hal ini dengan katanya:

َاِحْفَظِ اللهَ يَحْفَظْك
Maksudnya:  “Jagalah ALLAH, nescaya DIA jaga kamu.”

(HR at-Tirmidzi, katanya hasan sahih)



Jagalah hak ALLAH, nescaya DIA akan jaga kalian dunia dan akhirat.  InsyaALLAH akan terbit jati diri yang jitu dari dalam diri kalian jika kalian benar-benar berdisiplin dan jaga sungguh-sungguh akan hak ALLAH.  Kalian tidak akan tergelincir.  Dan jika kalian tergelincir pun, kalian akan mudah bangun kerana ALLAH jaga kalian.

4)  Pilih kawan dan lingkungan yang baik.
Ramai yang berubah disebabkan oleh kawan dan lingkungan.  Jika berubah kepada yang lebih baik, tentu sahaja ia suatu yang baik.  Apa yang dikhuatirkan ialah jika perubahan yang menimpa diri kalian ialah perubahan yang negatif.

Bukan sedikit yang berubah dari baik kepada kurang baik atau tidak baik.  Ia banyak sekali.  Mata ini telah melihat banyak sekali perubahan tersebut.  Dan majoriti sebab kepada perubahan itu ialah akibat dari pengaruh kawan atau lingkungan.

Di universiti ada banyak persatuan, pergerakan dan kumpulan yang boleh disertai secara langsung atau tidak langsung.  Kesemuanya boleh mempengaruhi cara kalian bersosial dan berinteraksi.  Ia boleh dijadikan medan yang baik untuk kalian membentuk karisma diri dan pola fikir sebelum kalian masuk ke dunia yang penuh cabaran iaitu dunia pekerjaan, rumahtangga dan kemasyarakatan.  Universiti adalah mini masyarakat yang di dalamnya kalian boleh memainkan peranan masing-masing.

Tapi awas, dalam keenakan kalian bersosial sesama sendiri, semuanya itu akan terkesan pada diri kalian.  Jika kawan atau lingkungan yang kalian pilih itu suka enjoy, maka enjoylah kalian.  Jika mereka kaki games/movies, maka ber’games/movies’lah kalian.  Jika mereka kuat berjalan, maka berjalanlah juga kalian.  Jika mereka selalu berbohong, maka berbohonglah kalian.  Jika mereka selalu bicara tentang wang, wanita dan kedudukan, maka begitulah juga kalian.

Tetapi jika sebaliknya kawan atau lingkungan kalian selalu berbicara tentang perjuangan, tentang amanah, tentang masa depan, tentang pembangunan masyarakat, tentang hidup bermaruah, tentang agama, tentang keadilan, tentang syurga, tentang neraka, tentang ALLAH, maka insyaALLAH kalian akan begitu juga.  Ma sha’ ALLAH, beruntunglah kalian.

Hal mengenai pengaruh kawan atau lingkungan ini pernah disabdakan oleh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang lebih kurang maksudnya:

“Kawan yang soleh ibarat penjual minyak wangi.  Jika dia tidak memberimu minyak wangi, kamu akan dapat mencium keharumannya.  Sedangkan kawan yang buruk ibarat tukang besi.  Jika kamu tidak terkena apinya, kamu  tentu akan terkena asapnya.”

(HR al-Bukhari)

Jadi, berhati-hatilah dalam memilih kawan dan lingkungan.  Sungguh, pemilihan kawan dan lingkungan sangat penting dalam pembentukan diri.   Jika tidak 100% ia memberi kesan kepada kalian, pasti tertempias juga barang sedikit. Tidak salah cerewet dalam hal memilih kawan dan lingkungan.  Kerana cerewet dalam hal yang boleh menyelamatkan diri dari kebinasaan adalah cerewet yang mulia.

5)  Mintalah hidayah dan taufiq dari ALLAH sepanjang masa.
Perjalanan hidup kalian di universiti hendaklah diiringi sepanjang masa dengan permohonan hidayah dan taufiq daripada ALLAH Ta`ala.  Hasrat hati mahu berjaya dikhuatiri diacu oleh iblis yang dilaknati ALLAH.  Kita risau sepanjang perjalanan mengecap kejayaan itu kita langgar perintah ALLAH, kita cuai suruhan ALLAH dan terhijab dari kebenaran dari sisi ALLAH.

Betapa ramai yang terpesong dalam perjalanan mereka menuju kejayaan yang dihajati.  Dan betapa ramai juga yang terpesong jalan mereka setelah berjaya memeluk kejayaan yang mereka impikan.

Mintalah pada ALLAH akan hidayah dan taufiqNYA.  Mohonlah perlindungan ALLAH dari keburukan diri kalian dan kejahatan amal perbuatan kalian.  Di dalam solat sentiasa kita memohon dengan ALLAH akan hidayah dan taufiq melalui surah al-Fatihah yang kita baca setiap rakaat.  Jika 17 rakaat kita solat sehari semalam, maka 17 kali jugalah kita meminta dengan ALLAH akan petunjuk.  Jika solat lebih dari itu, maka lebih banyaklah kekerapan kita memintanya.

ََاِهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيْم
Maksudnya:  “Tunjukkanlah kami jalan yang lurus”

(Surah al-Fatihah)

Pintalah juga dari ALLAH agar DIA tidak membiarkan kalian melangkah sendirian dalam mengejar cita-cita kalian.  Pohonlah agar ALLAH sentiasa membimbing dan memperbaiki kita.  Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah mengajar kepada Fatimah akan suatu doa yang sangat syahdu maknanya, iaitu:

َيَا حَيُّ يَا قَيُّوم بِرَحْمَتِكَ اَسْتَغِيث اَصْلِحْ لِي شَأنِي كُلَّهُ وَلَا تَكِلْنِي اِلَى نَفْسِي طَرْفَة عَيْن
Maksudnya:  “Wahai Yang Maha Hidup, wahai Yang Maha Berdiri Sendiri.  Dengan rahmatMU aku memohon pertolongan, perbaikkanlah untukku urusanku seluruhnya.  Dan janganlah ENGKAU serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata.”

(HR Nasa’i, al-Bazzar & al-Hakim, dinilai hasan oleh Nasiruddin al-Albani)

Doa ini juga baik untuk dibaca selalu dengan penuh pengharapan:

َ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِك
Maksudnya:  “Ya ALLAH wahai Tuhan Yang Membolak-balikkan Semua Hati, tetapkanlah hatiku ini di atas agamaMU.”

(HR at-Tirmidzi)



Doa di atas selalu dibaca oleh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dan diikuti amalan ini oleh para sahabat, tabi`in, tabi`ut tabi`in dan orang-orang soleh selepas mereka.  Justeru, amalan memohon kepada ALLAH agar ditetapkan hati di atas agamaNYA sewajarnya dipohon selalu oleh kita.

Dan doa berikut ini mesti dibaca setiap waktu dan dihayati sungguh-sungguh akan maknanya serta dipinta kepada ALLAH dengan penuh baik sangka, harap dan tawakkal, iaitu:

ِرَبَّنَا اَتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya:  “Tuhan kami, kurniakanlah buat kami di dunia dengan kebaikan dan di Akhirat dengan kebaikan dan peliharalah kami dari azab api neraka.”

(Surah al-Baqarah, 2:201)

Pada doa ini terhimpun semua kebaikan padanya.  Jika doa-doa yang lain tidak sempat hendak dipohon, memadailah doa ini merangkum semua hajat-hajat kita yang baik-baik melalui doa di atas.

Berdoalah kepada ALLAH sungguh-sungguh dengan penuh sedar dan harapan.  Jangan sambil lewa ketika meminta daripadaNYA.

6)  Tambahi ilmu agama dan fahamkannya.
Semasa berada di universiti kalian bukan berada di gedung-gedung beli-belah, pasar-pasar atau majlis keraian.  Tetapi kalian sedang berada di dalam gedung ilmu yang suasananya suasana ilmu, ruhnya ruh ilmu.  Justeru, manfaat sungguh-sungguh akan suasana keilmuan yang ada padanya ketika kalian berada di dalamnya.

Selain ilmu-ilmu dan kemahiran-kemahiran yang kalian cuba dalami dalam bidang masing-masing, jangan lupakan pada ilmu-ilmu agama yang merupakan sebab untuk kalian mendapatkan kebaikan dari sisi ALLAH.

Nabi sallAllahu `alaihi wasallam ada bersabda mengenai hal ini iaitu:

ِمَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّين
Maksudnya:  “Barangsiapa yang dikehendaki ALLAH kebaikan pada dirinya, dia akan difahamkan pada agamanya.”

(HR al-Bukhari & Muslim)



Rapatkan diri kalian kepada masjid, majlis ilmu, kitab-kitab agama dan orang-orang berilmu tatkala kalian di universiti.  Jangan buang peluang ini apabila berada di universiti.  Ketika inilah kalian berpeluang memperbaiki amal dan menambah ilmu dan memantapkan kefahaman agama.  Sibukkanlah diri kalian bagi memahamkan diri kalian akan agama kerana ia ‘benchmark’ ALLAH mahukan kebaikan buat kalian.

Jika masa kalian ALLAH sibukkan dengan peningkatan diri terhadap ilmu agama, maka ketahuilah bahawa ALLAH sedang meletakkan kebaikan kepada diri kalian.  Tetapi jika sepanjang kalian tinggal di universiti kalian sibuk dengan hal-hal lain, maka muhasabahlah diri.  Dikhuatiri ALLAH sedang membiarkan kalian tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang mahu diberikan kebaikan dari sisiNYA.

Antara doa yang baik dibaca ialah:

اَللَّهُمَّ رَبِّيْ زِدْنِيْ عِلْمًا وَ ارْزُقْنِيْ فَهْمًا
Maksudnya:  “Ya ALLAH, Tuhanku, tambahilah diriku akan ilmu dan kurniakanlah buatku kefahaman.”

7)  Risau dan harap
Ada yang mengatakan dia risau, seram dan takut untuk berhadapan dengan kehidupan di universiti.  Jika kalian berasa risau, seram atau takut akan cabaran yang bakal terhidang di dalam dunia universiti, ya ia perasaan yang wajar ada pada diri kalian.  Kerana telah ramai yang gagal mengawal diri lantaran jati diri yang lemah.  Kehidupan universiti yang agak bebas telah mencabut perasaan malu dari banyak pemuda dan pemudi.  Ramai hilang kawalan dipandu nafsu.

Jadi, perasaan risau atau takut yang ada pada diri kalian akan membuatkan kalian sentiasa awas dan waspada.  Kalian tidak akan semborono di sana.  Kalian akan menempuhi kehidupan di universiti ibarat berjalan di jalanan yang penuh duri.  Hati-hati dan penuh waspada.

Cuma, janganlah keterlaluan dalam mempunyai perasaan risau dan takut itu.  Datangkanlah juga perasaan harapan yang menggunung di dalam hati kerana kehidupan di universiti juga tersedia di sana seribu perkara positif dan indah untuk dinikmati dan dipelajari.

Sepanjang menjalani kehidupan di universiti, jalanilah ia dengan rasa risau dan harap berselang-seli secara sederhana.  Mungkin ada yang rasa terlalu risau dan takut ketika berada di sana.  Dan ada pula yang terlalu yakin lantaran besarnya harapan dalam hati untuk berjaya.  Imbangilah rasa risau dan harap itu dengan sederhana.

Rasa risau kepada kegagalan akan membuatkan kalian berhati-hati dan waspada terhadap semua yang menanti di hadapan.  Kalian tidak akan terlalu yakin sehingga menyebabkan kalian terbabas.

Rasa harap kepada kejayaan akan membuatkan kalian segar bugar dan bermotivasi untuk mengecap kejayaan.  Kalian tidak akan terlalu murung lantaran terlalu risau dan takut kepada kegagalan.

Gabungan kedua-dua rasa risau dan takut ini secara seimbang dan sederhana insyaALLAH akan menatijahkan kebaikan buat kalian.  Kalian akan memperolehi emosi dan fikiran yang rasional menghadapi semua mehnah yang tersedia di sepanjang jalan perjuangan ketika di universiti, insyaALLAH.

8)  Tawakkal kepada ALLAH.
Sifat tawakkal kepada ALLAH iaitu berserah diri kepada ALLAH selepas melakukan usaha yang gigih adalah suatu sifat yang penting mesti ada pada diri kalian sepanjang kehidupan di universiti.  ALLAH akan mencukupkan kalian jika kalian bertawakkal kepadaNYA.  ALLAH Ta`ala berfirman:

ُوَمَن يَّتَوَكَّلْ عَلَى اللهِ فَهُوَ حَسْبُه
Maksudnya:  “Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada ALLAH, maka DIA akan mencukupkan (keperluan)nya.”

(Surah at-Tolaq, 65:3)

Natijah samada baik atau tidak hasil dari usaha kalian belajar dan hidup di universiti itu, serahkanlah pada ALLAH.  Pasti ada hikmah pada apa yang berlaku pada diri kalian hasil dari bertawakkal kepada ALLAH.  Dengan syarat, tawakkal itu tawakkal yang betul iaitu menyerahkan urusan yang kalian lakukan itu kepada ALLAH selepas berusaha dengan penuh sungguh-sungguh, tekun dan betul cara dan kaedahnya.

-

Itulah sebahagian nasihat umum yang sangat asas yang mampu saya kongsikan dengan adik-adik sekalian yang bakal melanjutkan diri ke universiti.  Banyak lagi tips-tips dan nasihat-nasihat boleh diperolehi daripada orang lain jika kalian bertanya dengan mereka.

Apa yang tersenarai di atas bukan sahaja boleh dipakai nasihatnya untuk dijadikan bekalan menempuh universiti iaitu institusi tempat kalian bakal belajar di sana.  Tetapi juga boleh dijadikan panduan dan bekalan untuk menempuhi ‘universiti kehidupan’ yang jauh lebih mencabar dan penuh ujian, insya ALLAH.

Semoga ALLAH pelihara kita semua dengan hidayah dan taufiqNYA, amin.

Sekadar berkongsi,

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML