Perkahwinan seumpama ini pada zaman sekarang, memang tersangat biasa kerana keluarga biasanya memilih jalan ini untuk menutup malu. Bila dapat tahu anak mengandung luar nikah, maka cepat- cepat dikahwinkan.
Berdasarkan kenyataan ini, nikah itu TIDAK SAH, maka pasangan itu kelak hidup dalam zina sampai bila-bila… .
Persoalan ini telah diajukan kepada seorang Imam, di mana banyak persoalan lain timbul dari persoalan pokok tersebut. Saya kongsikan bersama ustaz di sini kerana ianya amat penting:
Soalan 1 : Apakah langkah yang sewajarnya sekiranya seorang gadis belum berkahwin didapati hamil anak luar nikah?
Jawapan 1 : Gadis itu tidak boleh berkahwin sehingga bayi itu dilahirkan.
Soalan 2 : Sekiranya lelaki yang bertanggungjawab itu bersedia mengahwini gadis itu, bolehkah mereka bernikah?
Jawapan 2 : Tidak. Mereka tidak boleh bernikah sehingga bayi itu dilahirkan.
Soalan 3 : Adakah pernikahan itu sah sekiranya mereka berkawin?
Jawapan 3 : Tidak. Pernikahan itu TIDAK SAH. Seorang lelaki tidak boleh mengahwini seorang wanita hamil, walaupun lelaki itu merupakana ayah kepada bayi yang dikandung itu.
Soalan 4 : Sekiranya mereka bernikah, apakah tindakan mereka untuk memperbetulkan keadaan?
Jawapan 4 : Mereka mesti berpisah. Perempuan itu mestilah menunggu sehingga melahirkan, atau sehingga sah dia tidak mengandung, barulah mereka boleh bernikah sekali lagi, secara sah.
Soalan 5 : Bagaimana sekiranya keadaan itu tidak diperbetulkan?
Jawapan 5 : Maka mereka akan hidup di dalam zina kerana pernikahan itu tidak sah
Soalan 6 : Apakah hak seorang anak luar nikah?
Jawapan 6 : Kebanyakan pendapat mengatakan bahawa anak itu TIADA HAK untuk menuntut apa-apa daripada ayahnya.
Soalan 7 : Sekiranya hukum mengatakan lelaki itu bukan ayah kepada anak tersebut, adakah itu bermakna dia bukan mahram kepada anak perempuannya sendiri?
Jawapan 7 : Ya. Dia tidak boleh menjadi mahram.
Soalan 8 : Sekiranya seorang lelaki Muslim Dan seorang wanita Muslim (atau bukan Muslim) ingin bernikah setelah bersekedudukan, apakah tindakan yang sewajarnya?
Jawapan 8 : Mereka mesti tinggal berasingan segera Dan menunggu sehingga perempuan itu haid satu kali sebelum mereka boleh bernikah.
Soalan 9 : Sekiranya saya kenal/tahu seseorang di dalam keadaan ini,apakah saya perlu memberitahu kepadanya, atau lebih baik menjaga tepi kain sendiri?
jawapan 9 : Anda wajib memberitahu, kerana itu sebahagian tanggungjawab anda sebagai saudaranya. Mereka harus diberi peluang untuk memperbetulkan keadaan mereka, kalau tidak semua keturunan yang lahir dari pernikahan tidak sah itu adalah anak-anak yang tidak sah taraf.
Kesimpulannya:
Ibubapa, saudaramara, orang-orang kampung, tuan-tuan Imam, tuan-tuan Kadi dan saksi-saksi yang tahu akan keadaan tersebut tetapi mendiamkan, membiarkan atau membenarkan pernikahan tersebut diteruskan maka mereka juga tidak terlepas daripada menanggung azab Dan seksaan samada didunia atau pun diakhirat…
Sepakat para ulama Hanafiyah, Malikiyah, Syafieyah dan Hanabilahmengatakan bahawa dihalalkan bagi penzina lelaki berkahwin dengan penzina wanita (yang dia berzina dengannya). Ini bermaksud dibenarkan kepada si penzina lelaki untuk berkahwin dengan si penzina wanita walaupun di dalam keadaan wanita tersebut sedang hamil. Ini merupakan pendapat yang dipegang oleh Jumhur ulama.
Titik perselisihan dikalangan para ulama bukanlah pada permasalahan perkahwinan antara penzina lelaki dengan penzina wanita tersebut. Para ulama berselisih pendapat pada perkahwinan yang berlaku di antara penzina wanita dengan lelaki lain yang tidak berzina dengannya.
Penjelasan Oleh Ustaz Zaharudin Dengan Lebih Meneliti Isu Semasa :
Jika dilihat dari perspektif mazhab Hanbali dan beberapa ulama kontemporari, yang mana mereka mengiktiraf mengandung hasil zina boleh membawa hukum ‘iddah, hasilnya, haram bernikah dengan wanita yang sedang ‘iddah dan berlakulah segala satu macam kerumitan sebagaimana yang digambarkan dalam jawapan tuan imam ini.
Kesimpulan Ustaz Zaharudin
Bagi saya jawapan yang lebih utuh dalam keadaan masyarakat yang amat bermasalah hari ini adalah sah pernikahan dengan syarat si pasangan bertaubat.
HUKUM PERKAHWINAN PENZINA WANITA DENGAN LELAKI YANG TIDAK BERZINA DENGANNYA
Kata Imam Hassan al-Basri : Perkara ini memfasakhkan nikah tersebut. Manakala Jumhur para ulama mengatakan bahawa harus bagi lelaki tersebut mengahwini wanita penzina itu.
Titik perselisihan tersebut berlaku berdasarkan pemahaman terhadap penafsiran ayat 3 di dalam surah al-Nur. Allah taala berfirman :
الزَّانِي لا يَنْكِحُ إلاَّ زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لا يَنْكِحُهَا إِلاَّ زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذَلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak akan berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.
Imam Hassan al-Basri rahimahullah memahami bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa perkahwinan itu akan menjadi terfasakh kerana zahir ayat ini menunjukkan bahawa haram bagi golongan mukmin mengahwini wanita penzina.Manakala Jumhur para ulama pula memahami ayat ini bukanlah bermaksud haram tetapi sebaliknya suatu kejian dan sangat tidak layak bagi seorang mukmin mengahwini wanita penzina. Kejian tersebut bukanlah bermaksud tidak boleh dikahwini.
Menurut Syeikh al-Mufassir Muhammad Ali Shabuni hafizahullah: Para ulama mentakwilkan ayat ini dengan mengatakan bahawa kebiasaannya lelaki dan perempuan penzina tidak akan berkenan untuk mengahwini lelaki yang soleh atau wanita yang solehah. Mereka tentu lebih menggemari lelaki dan wanita yang seumpama dengan mereka.
Jumhur para ulama juga menggunakan dalil yang dikeluarkan oleh al-Imam Ibn Majah dan Imam al-Baihaqi daripada hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ibn Umar dan Saidatina Aisyah radhiyallahu anhuma:
لا يحرم الحرام الحلال
Maksudnya: Perkara yang haram (zina) tidak akan mengharamkan perkara yang halal( nikah).
Hadis ini bermaksud, penzinaan tidaklah menghalang seseorang tersebut berkahwin dengan wanita yang berzina tersebut.
Para ulama berbeza pendapat sekiranya wanita yang ingin dikahwini tersebut mengandung. (Perlu diingat, perbahasan yang kita bahaskan sekarang bukanlah perkahwinan penzina lelaki dengan penzina wanita tetapi perkahwinan diantara penzina wanita dan lelaki yang suci daripada zina.).
Imam Abu Hanifah dan Imam Muhammad bin Hassan al-Syaibani rahimahumullah berpendapat jika wanita tersebut mengandung tetap sah aqad nikah lelaki tersebut dengannya.Tetapi dengan syarat lelaki tersebut tidak menyetubuhinya sehinggalah wanita tersebut melahirkan anak itu.
Manakala Imam Abu Yusuf dan Zufar ( Ulama Hanafiyah) berpendapat mengatakan bahawa diharamkan untuk berkahwin dalam keadaan wanita itu masih mengandung.
Para ulama Malikiyah pula berpendapat mengatakan bahawa tidak dibenarkan untuk mengahwini wanita penzina selagi wanita tersebut tidak suci daripada 3 kali haid.
Para ulama Hanabilah pula berpendapat , jika seoarang wanita berzina maka tidak dihalalkan kepada sesiapa yang mengetahuinya untuk mengahwininya melainkan setelah selesai dua perkara. Pertama, setelah selesai melahirkan kandungan tersebut. Kedua, setelah memastikan bahawa wanita tersebut telah bertaubat.
Manakala permasalahan nasab bagi anak zina ????…
Adakah anak zina dinasabkan kepada lelaki yang melakukan penzinaan dengan wanita yang melahirkan anak zina tersebut?Terima kasih kepada yang bertanya berkenaan perkara ini.Mengikut pendapat para ulama,seperti yang disebutkan di dalam kitab Fatawa al-Islamiyah oleh Majlis Fatwa Ulama Mesir : Anak tersebut tidak akan dinasabkan kepada lelaki tersebut.Ini kerana anak tersebut tidaklah diiktiraf sebagai anaknya.Jika kita menasabkan anak tersebut kepada lelaki berkenaan maka seolah-olah kita telah mengiktiraf perbuatan kejinya tersebut.
Nasab seseorang tersebut hanya sah jika berlaku melalui perkahwinan yang sah.Ini adalah mengikut kepada pendapat kebanyakkan ulama di dalam mazhab Maliki,Syafie dan Hanbali.
Manakala mengikut pendapat sebahagian ulama bermazhab Hanafi rahimahumullah mengatakan bahawa jika anak tersebut lahir selepas 6 bulan perkahwinan dilangsungkan maka anak tersebut bolehlah dinasabkan kepada lelaki berkenaan(yang melakukan perbuatan keji tersebut). Tetapi jika bayi tersebut dilahirkan kurang daripada 6 bulan selepas perkahwinan dilangsungkan maka anak tersebut tidaklah dinasabkan kepada si lelaki tersebut.
Gambaran mudah di dalam memahami permasalahan yang disebutkan oleh para ulama bermazhab Hanafi ini ialah seperti berikut:
A telah melakukan perzinaan dengan B (na’uzubillah).Selepas 2 bulan ,dilakukan pemeriksaan doktor dan B didapati mengandung 2 bulan.Sebaik mendengar berita tersebut maka si A terus mengahwini si B tersebut.Selepas 7 bulan perkahwinan maka kandungan tersebut telah mencapai 9 bulan dan bayi tersebut dilahirkan.Maka mengikut pendapat para ulama bermazhab Hanafi bayi tersebut boleh dinasabkan kepada lelaki terbabit.
Tetapi sebaiknya kita mengikut dan berpegang dengan pendapat kebanyakkan para ulama yang tidak meletakkan nasab bayi tersebut kepada lelaki berkenaan.Ini kerana,jika kita menggunakan pendapat yang kedua,bimbang akan berlaku penyalahgunaan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.Saya cuma menyampaikan amanah ilmu.
KESIMPULAN
Setelah kita bahaskan dengan ringkas, maka jelaslah bahawa perkahwinan tersebut sah.Tiada masalah padanya. Saya berpandangan mungkin Imam tersebut bercampur permasalahan di antara perkahwinan penzina lelaki dengan penzina wanita dan permasalahan perkahwinan penzina wanita dengan lelaki yang suci. Ini memerlukan pengkajian yang teliti.Islam adalah agama yang mudah dan memberikan rahmat kepada umatnya.Sayugialah bagi seorang alim untuk mengkaji terlebih dahulu sebelum menjawab segala persoalan. Bimbang akan menyusahkan masyarakat.
Sebaiknya jika berlaku sebarang permasalahan perlu dirujuk kepada pihak berwajib yang berhak untuk menentukan perkara ini dengan sebaiknya.
Wallallahu a’lam.
Rujukan:
1. Fiqh al-Islami wa Adillatuhu oleh Syeikh Wahbah Zuhaili cetakan Darul Fikr Syria Jilid 9 mukasurat 6648-6650
2. Tafsir Ayat al-Ahkam oleh Syeikh Muhammad Ali al-Shabuni cetakan Darul Shabuni Jilid 2.
3. Fatawa Darul Ifta’ Misriyah jilid 8
4. Fatawa Syeikh Ali Jum’ah Jilid 1
5. Fiqh Islami wa Adillatuhu oleh Syeikh Wahbah Zuhaili jilid 9 cetakan Darul Fikr
6. Fatawa Islamiyah oleh Darul Ifta’ Misriyyah jilid 2.
Sumber :
Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir ,
Usuluddin Jurusan Tafsir, Universiti Al-Azhar
Ustaz Zaharudin Bin Abdul Rahman
Pensyarah kanan (UIAM)
PhD, Syariah & Islamic Finance, Univ of Wales, United Kingdom.
No comments:
Post a Comment