Friday, February 14, 2014

AMALAN PENGHILANG DUKACITA

Lima Amalan Untuk Menghilangkan Rasa Hiba Dan Dukacita

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم   

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.  

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia yang dijadikan Allah dibekalkan dengan akal dan emosi agar manusia boleh menjalankan kehidupan dengan sebaik yang mungkin. Emosi perlu dikawal oleh akal dan akal pula perlu dikawal oleh iman. Jika ketiga-tiga ini ada di dalam diri manusia, maka sudah pasti ia akan menjadi manusia yang baik dan soleh. Bergantung kepada cara individu tersebut untuk mengawal emosinya agar tidak keterlaluan dan sentiasa berada dalam keadaan normal. 

Emosi yang hanya berpandukan kepada akal semata-mata akan menjadi sesat dan jauh menyimpang dari ajaran Islam. Contoh yang dapat kita lihat sekarang seperti ramai umat Islam yang sanggup membunuh diri kerana kekecewaan yang sangat. Ada pula yang sanggup membunuh atau mencederakan orang lain kerana terlalu marah. Tetapi apabila ia dikawal oleh akal dan iman sudah tentu orang yang sedih akan pasrah kerana ia tahu bahawa itu adalah ketentuan Allah dan setiap perkara itu ada hikmah disebaliknya.

Hati yang hiba tidak boleh kita hapuskan dan ia merupakan sebahagian daripada emosi yang telah dianugerahkan kepada manusia. 

Caranya untuk mengawal hati yang hiba ini ialah kembali kepada Islam seperti yang saya tegaskan di atas. Islam mempunyai penawar yang mujarab bagi mengubati segala penyakit manusia sama ada rohani atau jasmani. Hal ini sangat berbeza dengan agama-agama yang lain kerana mereka tidak ada asas pembinaan rohani kepada setiap umat mereka.

Terdapat lima cara untuk menghilangkan rasa hiba dan dukacita : 

Pertama : Membaca Al-Quran.

Al-Quran adalah ubat yang sangat mustajab kepada manusia bagi menghilangkan perasaan hiba dan segala penyakit hati dan jasad. Setiap orang yang membaca Al-Quran akan menjadi tenang dan Allah SWT akan memberikannya jalan keluar atas segala kesulitan yang dihadapi olehnya. 

Firman Allah yang bermaksud : “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Surah Al-Isra ayat 82)

Seorang lelaki datang berjumpa dengan Ibnu Mas’ud. Dia mengeluh dan berkata “Wahai Ibnu Mas’ud nasihatilah aku dan berilah penawar untuk jiwaku yang gelisah ini, aku tidak tenteram, jiwa gelisah dan fikiran aku bercelaru. Ibnu Mas’ud menjawab “kalau begitu bacalah Al-Quran atau engkau mendengar orang membaca Al-Quran.

Kedua : Mengunjungi Tempat Pengajian.

Mengunjungi tempat pengajian juga merupakan cara untuk mendidik jiwa agar mengenali dan sentiasa mengingati Allah SWT. Tidak rugi orang yang sentiasa mengunjungi tempat pengajian, kerana di dalam pengajian tersebut dipenuhi dengan nasihat, ilmu, ayat-ayat Al-Quran dan hadis. Ini bertujuan untuk mendidik nafsu dan emosi kita agar sentiasa bertindak mengikuti kehendak Allah SWT dan tidak menyalahi syarak. Menuntut ilmu adalah amalan yang sangat baik dan sangat dituntut oleh Islam dan ia juga merupakan fardu ain bagi sekalian umat Islam.

Telah Berkata Muadz bin Jabal : “Pelajarilah Ilmu, kerana mempelajari ilmu merupakan bentuk Khosyah (takut) kepada Allah, Menuntutnya adalah ibadah dan mempelajarinya secara bersama-sama adalah tasbih”.

Jelas di sini, orang yang rajin menuntut ilmu atau menghadiri kelas-kelas pengajian ilmu, seolahnya ia sentiasa bertasbih dan berzikir kepada Allah. Segala kepayahan, kesukaran dan kesedihan yang dihadapi olehnya akan terubat dan ia tahu bagaimana untuk bertindak sesuai dengan tuntutan Islam. Ini berbeza dengan orang yang tidak menuntut ilmu, kerana mereka sering melakukan kesalahan dalam tindakan mereka dan kadang-kadang ibadah yang dilakukan juga silap. Perkara sebegini sangat bahaya dan sangat merugikan orang yang tidak berilmu.

Ketiga : Sentiasa Berzikir

Untuk menghilangkan perasaan hiba yang dialami oleh seseorang, maka hendaklah ia sentiasa berzikir menyebut nama Allah. Perasaan hiba ini berlaku apabila hati seseorang itu terluka. Untuk merawat hati yang terluka memerlukan suatu kaedah yang rohaniah dan tidak boleh menggunakan ubat-ubatan farmasi atau klinik. Zikir adalah ubat yang sangat mustajab dan sangat mempengaruhi hati seseorang yang selalu berzikir.

Jika ia berjalan tersepak batu mulutnya terus menyebut “Allah Akbar”, setelah kekenyangan dia menyebut “Alhamdulillah”, apabila ia terperanjat atau melihat sesuatu yang menakjubkan dia menyebut “Subhanallah”. Inilah yang dikatakan orang yang memiliki hati yang hidup dan sentiasa mengingati Allah. 

Firman Allah SWT yang bermaksud :"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah Ar-Rad ayat 28)

Keempat : Mengerjakan Solat

Solat merupakan ibadah yang paling penting di dalam Islam, tanpa mendirikan solat! ibadah lain juga turut ditolak. Jadi kita sebagai umat Islam, jangan sesekali mensia-siakan amanah yang diperintahkan Allah ini pada setiap hari dan waktu, walaupun sibuk dengan tugasan harian, namun solat sesekali tidak pernah ditinggalkan. Hadis Nabi yang bermaksud :
“Solat itu tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa meninggalkan solat dia telah meruntuhkan agama”. (Hadis Riwayat Baihaqi)

Berkata Dr. Musfir Bin Said Az-Zahrani bahawa solat adalah satu nama yang menunjukkan adanya ikatan yang kuat antara hamba dengan Tuhannya. Dalam solat, hamba seolah-olah berada di hadapan Tuhannya dan dengan penuh kekhusyukannya memohon banyak hal kepada-Nya. Perasaan ini akhirnya boleh menimbulkan adanya kejernihan spiritual, ketenangan hati dan keamanan diri di kala ia mengerahkan semua emosi dan anggota tubuhnya mengarahkan kepada-Nya dengan meninggalkan semua kesibukkan dunia dan permasalahannya. Pada saat solat ia boleh sepenuhnya memikirkan Tuhannya tanpa ada interaksi dari sesiapa pun hingga pada saat itulah ia merasakan ketenangan dan akalnya pun seola-olah menemukan waktu rehatnya.

Jelas di sini, bahawa solat adalah sebahagian dari terapi yang boleh mengubati jiwa seseorang yang berada di dalam keadaan hiba. Semasa mendirikan solat, seseorang itu harus mengosongkan jiwa dan raganya untuk member sepenuh tumpuan kepada Allah SWT. 

Segala yang berlaku sebelum solat telah diredhakannya kerana ia hendak memfokuskan seluruh hatinya kepada solat dengan harapan mendapat khusyuk kepada Allah SWT. Secara tidak langsung, kita tidak mempunyai perasaan iri hati dan dendam kepada sesiapa yang melakukan masalah kepada kita kerana telah redha kepada ketentuan dan ketetapan Allah SWT. Dua perkara yang dapat kita hindar setelah menunaikan solat iaitu perasaan hiba atau kecewa dan perasaan ingin melakukan kejahatan yang jelas dilarang oleh Islam. 

Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar’’ (Surah Al-Ankabut ayat 45)

Amat rugi bagi orang yang mendirikan solat secara sambil lewa tanpa ada semangat untuk melaksanakan solat dengan baik sepertimana yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Solat yang tidak sempurna diibaratkan seperti kain buruk dan kain itu akan dicampakkan oleh Allah ke muka hamba tersebut apabila dihari perhitungan nanti.

Kelima : Bersangka Baik Kepada Orang.

Salah satu sifat yang disarankan oleh Islam ialah bersangka baik kepada orang lain (husnuzon) dan ia adalah salah satu dari sifat mahmudah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Punca timbulnya  rasa tidak tenang kepada orang lain adalah kerana kita mempunyai perasangka yang tidak baik kepada orang lain sehingga menyebabkan hubungan kita dengan orang tersebut tidak selesa. 

Firman Allah yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”  (Surah Al-Hujurat ayat 12)

Sikap berbaik sangka ada banyak kebaikannya di antara diri kita dan orang lain. Orang yang berbaik sangka sentiasa mudah untuk menerima orang lain di dalam kehidupannya walaupun orang tersebut tidak mempunyai apa-apa pertalian darah darinya. Walaupun begitu, dia menganggap orang lain seperti saudaranya yang dekat dan sentiasa mudah untuk membantu dan menjalinkan hubungan sosial dengan orang lain. Malah inilah perkara yang dianjurkan oleh Islam, kerana setiap umat Islam itu adalah bersaudara. Ibarat tangan kanan dicubit tangan kiri juga turut merasai kesakitannya.

Selain dari itu, hubungan persaudaraan sesama Islam menjadi lebih baik dan lebih inteam di antara satu sama lain. Ini berlaku adalah disebabkan oleh perasaan yang bebas dan hati yang terbuka dari sebarang sikap dan sifat yang buruk terhadap saudaranya yang lain. Segala kesalahan dan teguran dari orang lain akan dinilai olehnya dengan positif, jika teguran itu baik menuruti lunas-lunas undang-undang Islam akan diterimanya dengan tenang. Manakala yang tidak menepati kehendak Islam akan ditolaknya dengan alasan yang baik dan terbuka. Sekiranya orang lain melakukan kesalahan kepadanya seperti mencerca dan menyakiti hatinya, ia akan segera memaafkan orang tersebut dan diubati kesakitannya dengan zikir dan mengingati Allah.

Sahabat yang dikasihi,
Segala garis panduan yang diberikan di sini, boleh mengubati perasaan yang hiba itu, kerana hati yang hiba tidak boleh diubati dengan ubat, ia mesti diubati dengan rawatan rohani yang hanya terdapat di dalam agama Islam sahaja. Islam meliputi semua aspek iaitu rohani dan jasmani dan merupakan pelengkap kepada kehidupan manusia. Setiap apa yang berlaku kembalilah kepada agama Islam, nescaya Islam itu mempunyai kaedah yang tersendiri dan mampu mengubati seluruh penyakit yang ada pada manusia. Selain itu, segala ibadah yang dilakukan dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah dan menjadikan kita seorang hamba yang baik dan soleh. Hal ini semua boleh diperolehi, jika segala ibadah dilakukan dengan sebaik yang mungkin seperti ikhlas dan tanpa ada apa-apa perasaan sebaliknya.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML