Friday, February 14, 2014

AMAL SOLEH ( 20 Perkara Yang Perlu Ditinggalkan )

20 Perkara Yang Perlu di Jauhi Untuk Mencari Keredaan Allah


أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam kehidupan kita seharian ada perkara yang perlu kita segerakan untuk dilaksanakan dan ada pula perkara yang perlu dijauhi dan ditinggalkan. Setiap perkara yang ditegah atau dilarang sebenarnya terdapat beberapa hikmah dan kebaikan samaada berbentuk luaran (fizikal)  atau dalaman (hati dan jiwa)

Terdapat 20 perkara yang patut dijauhi. Perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Jangan sengaja lewatkan solat. Perbuatan ini tidak disukai Allah SWT. Kalau tertidur akan dimaafkan.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Yang membezakan (seorang itu mukmin) dan kufur serta syirik adalah meninggalkan solat". (Hadis Riwayat Muslim)

Firman Allah SWT

فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلاتِهِمْ سَاهُونَ

Maksudnya: "Kecelakaanlah bagi orang yang solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya." (Surah Al-Ma’un ayat 4-5).

Kedua : Jangan masuk ke tandas atau bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar). Takut kalau-kalau terbawa keluar najis, mengotori seluruh rumah kita.

Perlu biasakan memakai selipar atau terompak bila masuk ketandas atau bilik air untuk menjaga kebersihan kaki kita setelah mandi dan mengambil wuduk,  supaya najis tidak dibawa keluar bilik air.

Ketiga : Jangan makan dan minum dalam bekas yang pecah atau sumbing. Makruh kerana ia membahayakan. Dan jangan bernafas dalam minuman atau meniup kedalam minuman.

Di dalam kitab Sunan Abi Daud diriwayatkan hadis dari Abu Said Al-Khudri bahawa ia mengkhabarkan : "Rasulullah Sallalahu 'Alaihi Wasalam melarang minum dari bahagian cawan yang pecah dan melarang untuk bernafas dalam air minum."

Jika cawan atau pingan kita retak , pecah atau sumbing hendaklah dibuangkan sahaja jangan digunakan lagi.

Ini termasuk etika yang diajarkan untuk kemaslahatan orang yang minum, sebab minum melalui bahagian cawan yang sumbing boleh menyebabkan beberapa bahaya:

Kotoran yang biasanya ada dipermukaan air, akan berkumpul di bahagian cawan yang sumbinng, lain halnya bahagian tepi cawan yang masih utuh.
1.  Ia boleh mengganggu ketika minum. Minum melalui bahagian cawan yang sumbing atau pecah tidak boleh dilakukan dengan baik.
2. Kotoran dan seumpamanya biasa terhimpun di bahagian cawan yang pecah, kerana tidak ikut dibersihkan ketika dicuci, tidak sebagaimana cawan yang  masih baik.
3. Bahagian yang sumbing adalah bahagian yang buruk pada cawan, iaitu bahagian yang paling tidak bagus hingga mesti dielakkan, lebih baik dicari bahagian yang masih baik, sebab bahagian yang buruk dari segala sesuatu pasti tidak ada baiknya.
 4. Boleh jadi bahagian yang pecah itu mempunyai belahan atau bahagian yang runcing yang boleh melukai mulut orang yang minum melalui bahagian tersebut.

Adapun bernafas dalam air minum, risikonya adalah menimbulkan bau busuk pada air minum yang tidak disukai orang lain, terutama sekali orang yang bau mulutnya mengalami perubahan buruk. Pada dasarnya, secara umum nafas orang yang minum akan bercampur ke dalam air tersebut.

Justeru, Rasulullah Sallahu 'Alaihi Wasalam menggabungkan antara larangan meniup air dan larangan bernafas dalam air dalam hadis At-Tirmizi dan dinyatakan sahih oleh beliau, dari Ibnu Abbas bahawa ia mengkhabarkan : "Rasulullah melarang meniup air dan bernafas dalam air minum."

Keempat : Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh. Makruh dan mewarisi kepapaan. Pastikan semua pingan mangkuk, periuk belanga, cawan dan bekas makanan dicuci sebaik sahaja selesai digunakan. Sisi-sisi makanan yang dibiarkan didalam bekas makanan bermalaman tanpa dibersihkan  adalah menjadi habuan syaitan , kerana syaitan suka kepada makanan yang kotor dan busuk.

Islam menggalakkan kebersihan dan benci pada sifat pengotor dan menjauhkan diri daripada perkara yang boleh mendatangkan penyakit.

Dari ‘Amr bin Syu’aib : ‘Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah itu mencintai kalau melihat bekas kenikmatan-Nya atas hamba-Nya itu, dengan jalan menunjukkan keindahan dan kesempurnaannya dalam berpakaian, makan, berumahtangga dan lain-lain.” (Hadis Riwayat Imam Tirdmizi dan ia mengatakan bahawa ini adalah hadis Hassan.)

Kelima : Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki mahal (kerana berpagi-pagi itu membuka pintu rezeki dan keberkatan).

Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu Abbas) telah melihat anaknya tidur pada waktu Subuh. Maka dikatakan kepada anaknya, "Bangun! Apakah kamu tidur pada waktu rezeki dibahagi-bahagikan?"

Rasulullah SAW tidak tidur selepas menunaikan solat Subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi, seperti satu hadis yang berbunyi: 'اللهم بارك لأمتي في بكورها'
(Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi). Untuk itu, para fuqaha' memakruhkan tidur selepas solat Subuh.

Telah thabit dari Nabi SAW bahawasanya baginda berdoa kepada Allah supaya memberkati umatnya yang berpagi-pagi, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ashab as-Sunan yg empat dan Ibn Hibban dalam Sahihnya, Nabi melewati anaknya Fatimah r.ha yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka baginda bersabda:

يا بنية قومي اشهدي رزق ربك، ولا تكوني من الغافلين، فإن الله يقسم أرزاق الناس ما بين طلوع الفجر إلى طلوع الشمس '

"Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari." (Hadis Diriwayatkan al-Baihaqi)

Berkata Nabi di dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabarani di dalam al-Awsath:

باكروا الغدو -أي الصباح- في طلب الرزق، فإن الغدو بركة ونجاح'

"Berpagi-pagilah (subuh) dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah berkat dan kejayaan."

Oleh itu para fuqaha menetapkan kemakruhan tidur selepas solat Subuh, dan dinukilkan oleh Imam as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat Subuh dan Asar.

Keenam : Jangan makan tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan. Nanti rezeki kita di kongsi syaitan.

Dari 'Amr bin Abu Salamah radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah SAW  bersabda kepadaku:  "Ucapkanlah Bismillah dan makanlah dengan tangan kananmu serta makanlah dari makanan yang ada di dekatmu." (Muttafaq 'alaih)

Dari Umayyah bin Makhsyi as-Shahabi r.a., katanya: "Rasulullah SAW (pada suatu ketika) duduk di situ ada seorang lelaki yang makan lalu tidak mengucapkan Bismillah, sehingga makanannya tidak tertinggal melainkan sesuap saja. Setelah orang itu mengangkatkan sesuatu yang tertinggal tadi di mulutnya, tiba-tiba dia mengucapkan: 'Bismillahi awwalahu wa akhirahu.' Kemudian Nabi SAW. ketawa lalu bersabda: "Tidak henti-hentinya syaitan tadi makan bersama orang itu. Tetapi setelah dia ingat untuk mengucapkan nama Allah (yakni setelah membaca Bismillah), maka syaitan tadi memuntahkan seluruh makanan yang telah ada dalam perutnya. (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Nasa'i)

Ketujuh : Jangan keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan. Takut-takut kita mati dalam perjalanan dengan niat yang tidak baik.

Membaca doa bila hendak keluar daripada rumah. "Bismillahi tawakaltu ‘alallahi laa haula walaa quwwata illa billah"
maksudnya: “Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan selain dari Allah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzy dan Nasai)

Sunnah berikutnya adalah mendahulukan kaki kiri ketika keluar rumah, serta memberi salam kepada keluarga. Sebelum keluar rumah hendaknya menentukan niat dan tujuan, serta memastikan barang bawaan tidak ada yang tertinggal.

Kelapan : Jangan pakai sepatu atau selipar yang berlainan pasangan atau pun memakai sebelah sahaja.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Jika engkau memakai kasutmu, mulailah dengan kaki kanan.  Jika engkau menanggalkan kasutmu, mulailah dengan kaki kiri. Hendaknya sebelah kanan mula memakai kasut dan sebelah kiri mula menanggalkan kasut. Dan jangan berjalan dengan sebelah kasut. Tanggalkan kedua-duanya atau pakai kedua-duanya” (Silsilah as-Shahihah Albani)

Kesembilan : Jangan biarkan mata liar di perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.

Allah Subhanahu Wa Taala berfirman maksudnya : " Katakanlah kepada orang-orang beriman lelaki agar mereka menundukkan pandangan mata ( terhadap wanita ), dan memelihara akan kemaluan mereka ( menutupya ). Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya."( Surah An-Nur ayat 30-31 )

Kesepuluh : Jangan bergaul bebas ditempat kerja. Banyak buruk dari baiknya.

Rasulul­lah SAW  bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai mahramnya kerana sesung­guhnya yang ketiga itu tentulah syaitan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Kesebelas : Jangan menangguh taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila masa.

Rasulullah SAW  pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah : "Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu dengan-Nya, memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah)."

Justeru itu bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT perlulah dibuat secara berterusan tanpa henti.Taubat haruslah di perbaharui dari masa ke masa. Ini kerana, setiap insan tidak mungkin terlepas dari dosa, samaada besar atau kecil, dosa batin atau lahir, dosa yang diketahui atau tidak atau lalai dalam menunaikan hak Allah dan manusia lainnya. Bahkan dosa kerana tidak menambah ilmu pengetahuan dalam agama dan sebagainya juga tidak terkecuali.

Kedua belas : Jangan ego (sombong)  untuk meminta maaf pada ibu bapa dan sesama manusia kalau memang kita bersalah.

Sifat orang mukmin akan sentiasa meminta maaf dan merendahkan diri terhadap kedua ibu bapanya. Sentiasa memberi khidmat terbaik terutama apabila mereka menjangkau usia tua yang uzur. Begitu juga sifat orang mukmin yang suka meminta maaf kepada siapa sahaja orang lain yang dirasakan bersalah .

Di dalam surah al-Israk, firman Allah yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." (Surah al-Israk ayat 23)

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang menanggung sesuatu kezaliman yang dilakukan terhadap orang lain, sama ada yang mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara yang lain, maka dari sekarang juga hendaklah ia meminta orang itu melepaskannya dengan jalan memaafkan atau menghalalkannya sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya; bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu sekadar perbuatan aniaya yang dilakukannya untuk diberi kepada orang itu; kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Ketiga belas : Jangan mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak persahabatan kita hilang bahagia.

Dari Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa Rasulullah  bersabda yang bermaksud, " Tahukah kamu apakah ghaibah? Jawab sahabat, "Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. " Maka Rasulullah SAW. bersabda maksudnya , "Ghaibah itu jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah." Lalu Rasulullah SAW ditanya," Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? "Jawab Rasulullah SAW " Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah. Tetapi jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).

Keempat belas : Jangan lupa bergantung kepada ALLAH dalam setiap kerja kita. Nanti kita sombong apabila berjaya. Kalau gagal kecewa pula.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)." (Surah al-Thalaq ayat 3).

Kelima belas : Jangan bakhil untuk bersedekah. Sedekah boleh memadamkan kemurkaan Allah SWT dan kematian yang buruk.

Rasulullah SAW bersabda: “Si pemurah yang jahil lebih dicintai Allah daripada ahli ibadah yang bakhil.” (Hadis Riwayat Al Khatib)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).” (Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Dari Abu Hurairah r.a, bahwa sesungguhnya Rasulullah SAW, telah bersabda : “Apabila mati anak adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang dimanafaatkan dan anak yang soleh yang mendoakannya untuknya.”
(Hadis Riwayat Bukhari).

Nabi SAW bersabda maksudnya : “ Sesiapa yang sanggup diantara kamu menjaga dirinya daripada api neraka hendaklah ia bersedekah walau hanya dengan sebiji kurma, dan sesiapa yang tidak mempunyai apa-apa hendaklah ia mengucapkan perkataan yang baik.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)

Keenam belas : Jangan banyak ketawa. Nanti mati jiwa.

Suatu ketika, Rasulullah SAW berjalan di depan sekumpulan orang yang sedang ketawa, lalu baginda bersabda yang bermaksud: "Demi Tuhan yang jiwaku ini berada dalam genggaman-Nya. Jika kamu semua tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Abu Hurairah).

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW mengingatkan kita banyak ketawa dengan sabda baginda yang bermaksud: “Terlalu banyak ketawa itu boleh menghilangkan cahaya daripada wajah kita.”

Ketujuh belas : Jangan biasakan berbohong, kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih orang kepada kita.

Rasulullah S.A.W.  bersabda kepada Sayyidina Ali k.w. yang bermaksud :
"Wahai Ali ! Berbuatlah jujur sekalipun hal itu akan membahayakan dirimu didunia. Sesungguhnya kejujuran itu bermanfaat di kemudian hari. Dan janganlah berdusta sekalipun bermanfaat bagimu ketika itu kerana kedustaan itu akan menyulitkan kamu di kemudian hari."

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Empat perkara, siapa yang terdapat padanya empat perkara ini, maka ia adalah munafik tulin, dan siapa yang terdapat padanya salah satu darinya, maka padanya ada satu ciri kemunafikan; apabila diberi amanah ia berkhianat, apabila bercerita ia berdusta, apabila membuat janji ia mungkiri dan apabila berdebat ia curang.”  (Hadis Riwayat Bukhari no. 34, 2459, 3178 dan Muslim no. 2635. dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a.)

Kelapan belas : Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan. Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan Allah SWT.

Ingatlah bahawa doa orang yang dizalimi di fitnah sungguh mustajab di sisi Allah S.W.T.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang diantaranya untuk diterima oleh Allah."
(Hadis riwayat Ahmad - sanad hasan)

Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara."
(Hadis riwayat Hakim - sanad sahih)

Kesembilan belas : Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.

Ingatlah! Dunia tempat menanam, akhirat tempat menuai. Waktu menuai memanglah susah, tidak semudah waktu menuai. Tetapi tanpa melalui kesusahan, kita tidak akan dapat menikmati kesenangan. Jangan sekali-kali mengikut ajakan syaitan dan godaan nafsu menyuruh berbuat jahat dan kemungkaran., anggaplah kesukaran di dunia adalah bersifat sementara dan jangan sekali-kali berputus asa dengan rahmat Allah.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : "... dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusof ayat 87).

Sabda Nabi SAW maksudnya; Jadilah engkau di dunia seolah-olah orang berjalan, diwaktu petang engkau tidak menunggu pagi dan apabila diwaktu pagi tidak menunggu petang, Perumpamaan aku dan dunia seperti orang musafir duduk berteduh dibawah pokok kemudian bangun dan meninggalkannya. "

Kedua puluh : Jangan mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN. Sebab semuanya untuk keselamatan kita. ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba ciptaanNya.

Sesungguhnya setiap perkara yang dilarang itu ada hikmahnya begitu juga dengan perkara yang baik itu pasti ada kemuliaannya. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berhati-hati agak tidak melakukan kesilapan hingga terjerumus ke lambah kebinasaan.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Tiga perkara yang menyelamatkan , iaitu takut pada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah, berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri.”
(Hadis Riwayat Abu Syeikh)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita tinggalkan dan jauhi 20 perkara keburukan semata-maat untuk mencari keredaan Allah SWT. Hidup di dunia adalah sementara dan akhiratlah kehidupan yang kekal abadi. Pertingkatkanlah amal-amal soleh kita dan jauhi kemugkaran, maksiat, perkara subhat dan makruh supaya kita menjadi mukmin yang bertakwa dan dikasihi oleh Allah SWT.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML