Friday, February 14, 2014

AMAL SOLEH

Tiga Amalan Yang Boleh Bersama Para Siddiqiin di Hari Akhirat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, Berkata Ibnu Abbas ra. bahwasanya Nabi SAW. bersabda: “Allah telah berfirman: Bismillaahir-Rahmaanir-Rahiim. Sesungguhnya barangsiapa yang berserah diri kepada qadak-Ku, reda dengan hukum-Ku dan bersabar atas bala-Ku, nescaya akan Aku bangkitkan di hari kiamat bersama para siddiqiin.” (Hadis Riwayat Dailami)


Berdasarkan hadis qudsi di atas jelaslah kepada kita bahawa sesiapa dikalangan orang mukmin yang memiliki tiga ciri sifat yang mulia maka dia akan mendapat kedudukan mulia di sisi Allah SWT iaitu akan bersama para siddiqin (orang yang benar) dihari akhirat nanti.


Tiga sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut :

1. Berserah diri kepada qadak Allah SWT.

2. Reda terhadap hukum-hukum Allah SWT.

3. Bersabar di atas bala yang di berikan oleh Allah SWT.


Huraiannya :


1. Berserah diri kepada qadak Allah SWT.


Sebagai seorang mukmin kita wajib beriman kepada qadak dan qadar kerana beriman kepada qadak dan qadar adalah termasuk di dalam rukun iman. Yakinlah bahawa sesuatu yang ditetapkan oleh Allah SWT di dalam qadak-Nya adalah sesuatu yang terbaik dan mengandungi hikmahnya yang tidak mampu difikirkan oleh manusia. 


Firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 39 yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa juga yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan apa juga yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) pada sisi-Nya ada ibu segala suratan.”

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Allah SAW  berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku'."
(Hadis RiwayatAl-Bukhari)  

Apabila kita bersangka baik dengan Allah SWT maka insya Allah kita akan memperolehi apa yang kita sangkakan. 

2. Reda terhadap hukum Allah SWT.


Sesiapa yang reda dengan hukum Allah SWT dan melaksanakan hukum tersebut di dalam kehidupan maka dia akan mendapat rahmat dan kasih sayang-Nya.


Reda menerima hukum-hukum Allah SWT adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan takwa dan kepatuhan kepada Allah SWT  kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa. 


Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah SWT. dan Rasul-Nya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah SWT  dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya. 


Firman Allah SWT. yang bermaksud : ” Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh – sungguh “. ( Surah An-Nisaa’ ayat 65 ) 



3. Bersabar di atas bala yang di berikan oleh Allah SWT.


Firman Allah SWT maksudnya : "Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan." (Surah al-Anbiyaa' ayat 35)


Adapun orang yang benar dalam beriman ia akan senantiasa bertakwa kepada Allah dan menghambakan diri kepada-Nya dalam keadaan apapun. Bila ia mendapat kesenangan, kemudahan, dan kekayaan ia bersyukur. Namun jika ditimpa bala, kesulitan, kesusahan, dan kemiskinan ia bersabar.


Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya : "Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin. Sungguh seluruh urusannya adalah baik. Dan hal itu tidak dimiliki oleh seorangpun kecuali seorang mukmin. Jika ditimpa kesenangan ia bersyukur, maka hal itu baik baginya. Dan jika ditimpa musibah ia bersabar, maka hal itu juga baik baginya." (Hadis Riwayat Muslim dari Shuhaib ar-Rumi)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita hayati tiga perkara di atas tanda kita beriman dan bertakwa kepada Allah SWT iaitu berserah diri terhadap qadak Allah SWT, reda terhadap hukum-hukum Allah SWT dan sentiasa bersabar di atas bala dan ujian daripada-Nya. Jika kita patuh dan hayati tiga perkara di atas kita akan dimasukkan kedalam golongan para siddiqiin di hari akhirat nanti.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML