Orang Mukmin Akan Melaksanakan Amanah Dengan Penuh Tanggungjawab
أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap muslim akan dipertanggungjawab terhadap segala amalannya di dunia ini. Jika dia berusaha dan bersungguh-sungguh melaksanakan amanah dan tugas yang dibebankan dibahunya dengan penuh rasa tanggungjawab maka ianya akan meringankan timbangan amal di hari akhirat nanti.
Kebanyakan manusia suka menyempitkan pengertian amanah hanya menjaga urusan yang melibatkan kewangan sahaja bahkan pengertian amanah di dalam Islam cukup luas dan berat pertanggungjawabkan.
Sabda Rasulullah SAW bersabda maksudnya : " Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang kamu pemimpin, ketua atau imam adalah pemimpin dan ia akan diminta tanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Suami adalah pemimpin di dalam keluarganya, dan dia akan bertanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Isteri juga dipimpin, dalam mengendalikan rumahtangga suaminya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya, dan pembantu rumahtangga juga pemimpin dalam mengawasi harta benda majikannya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya." (Hadis Riwayat Bukhari)
Dari hadis ini jelaslah bahawa tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan diri dari tanggungjawab, dan tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan tugasnya terhadap masyarakat dan semuanya akan ditanya oleh Allah apakah tanggungjawab kita itu dapat dilaksanakan dengan baik atau tidak.
Setiap lelaki muslim dan wanita muslimah mempunyai perbezaan tanggungjawab ketika di dunia ini mengikut bidang dan tugas masing-masing. Kaum lelaki mempunyai tanggungjawab yang lebih berat dan besar berbanding dengan kaum wanita. Dia akan bertanggungjawab kepada isterinya, anak-anaknya, adik perempuannya dan kepada ibu-bapanya.
Imam al-Ghazali pernah bertanya kepada anak muridnya : "Apa yang paling berat di dunia ini?". Ada yang menjawab "besi dan gajah".
Semua jawapan adalah benar, kata Imam Ghazali, tapi yang paling berat adalah "MEMEGANG AMANAH" .
Jarang kita ingat bahawa amanah yang kita pikul sebagai seorang hamba Allah di muka bumi ini adalah satu tanggungjawab berat. Sedarlah kita bahawa amanah pernah Allah tawarkan kepada langit dan bumi, tetapi kedua-duanya menolak, lantaran beratnya tanggungjawab menjaga amanah Allah itu serta bimbang akan mengkhianatinya.
Ibnu Hatim ada menceritakan bahawa Mujahid berkata apabila Allah jadikan langit dan bumi lalu dibentangkan kepada mereka amanah.
Namun, kedua-duanya menolak tawaran Allah itu. Akan, tetapi apabila dijadikan Nabi Adam a.s, amanah itu ditawarkan pula kepadanya.
Nabi Adam berkata: “Apa ini, ya Tuhan?” Jawab Allah: “Ini jika kamu tunaikan dengan baik akan diganjarkan pahala, tetapi seandainya kamu cuai, kamu akan diazab”.
Kemudian Nabi Adam berkata: “Aku sanggup menanggungnya”.
Hal ini sebenarnya ada Allah khabarkan melalui Surah Al-Ahzab ayat 72 .
Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang tetap semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir tidak akan melaksanakannya (berat) lalu dipikullah amanat itu oleh manusia. Sungguh manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh."
Inilah kisahnya bagaimana manusia menerima amanah Allah.
Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi kalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak dapat memegang amanahnya.
Sahabat yang dimuliakan,
Amanah adalah nilai peribadi mukmin sejati dan sangat dituntut Islam ke atas setiap umatnya tanpa mengira pangkat dan kedudukan, lebih-lebih lagi pada pemimpin.
Seorang pemimpin yang sebenar mesti memiliki sifat amanah sebagai tonggak kepada kemercuan imej perwatakan diri yang unggul.Ingatlah tanpa amanah akan menjerumuskan seseorang kepada ciri-ciri orang munafik.
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: ‘Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga: Apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mengingkarinya dan jika diberi amanah dia mengkhianatinya’.
Saidina Abu Bakar pula ketika menyampaikan ucapan dasar selepas dilantik sebagai khalifah ada menyatakan: “Kejujuran adalah suatu amanah dan kedustaan adalah suatu khianat”.
Az-Zamakhsyari menyatakan amanah ialah rasa taat yang ada pada manusia itu terhadap segala perintah Allah. Ertinya segala tanggungjawab itu seharusnya dilaksanakan penuh taat dan tidak sekali-kali menyeleweng daripada ketaatan.
Al- Alusi ada membandingkan amanah itu seumpama jantung kepada tubuh manusia. Jantung berperanan menyedut darah ke seluruh tubuh manusia yang membolehkan kita bergerak dan dapat melakukan sesuatu kerja. Tanpa jantung manusia tidak akan hidup.
Begitulah halnya dengan amanah. Amanah adalah jantung kepada ciri peribadi seseorang insan. Lari atau menyeleweng daripada menunaikan amanah bermakna insan itu sudah mati.
Digambarkan bahawa Saidina Ali Abi Talib apabila masuk saja waktu solat, maka kuning mukanya dan berubah raut wajahnya.
Lalu ditanya mengapakah terjadi demikian? Lalu dijawabnya: “Sesungguhnya sudah masuk kepadaku amanah yang ditawarkan oleh Allah kepada langit dan bumi yang kedua-duanya menolaknya dan tidak sanggup menerimanya. Sesungguhnya aku menanggungnya, aku tidak tahu bagaimana aku hendak tunaikan”.
Subhanallah, begitu hebat dan mendalam kesungguhan rasa insaf Saidina Ali tentang amanah itu. Kita bagaimana?
Demikian gambaran mengenai peri pentingnya kedudukan nilai amanah pada setiap mukmin. Cerita berikut dikisahkan semula sebagai tatapan rohani, sekali gus menjernihkan hati sanubari kita agar sentiasa memegang kukuh nilai amanah dalam kehidupan di dunia ini.
Kisahnya Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz dikunjungi oleh emak saudaranya. Tujuannya kerana berhajat untuk meminta tambahan wang saraan daripada Baitul Mal.
Pada waktu itu, Umar bin Abdul Aziz sedang makan kacang bercampur bawang dan adas iaitu makanan yang rakyat biasa makan. Melihat emak saudaranya datang berkunjung itu, Umar pun berhenti makan lalu mengambil sekeping wang bernilai satu dirham dan membakarnya.
Kemudian Umar membungkus wang berkenaan dengan sehelai kain dan diberikannya kepada emak saudaranya sambil berkata: “Inilah tambahan saraan wang yang mak cik minta”.
Apabila saja dipegangnya, emak saudaranya lantas menjerit kerana kepanasan.
Kemudiannya Umar pun berkata: “Kalau api dunia terasa sangat panas, bagaimana nanti api neraka yang akan membakar diriku dan mak cik kerana mengkhianati amanah dan berbuat seleweng terhadap harta kaum Muslimin?”
Peristiwa di antara Umar bin Abdul Aziz dengan emak saudaranya itu jelas menunjukkan yang khalifah itu sangat menjaga nilai amanah hatta kepada kaum kerabatnya sendiri.
Begitulah suci dan luhurnya peribadi seorang khalifah agung dan peristiwa berkenaan sewajar memberikan pengajaran kepada kita supaya sentiasa mengamalkan sikap amanah sebagai agenda hidup.
Jika amanah sudah kukuh dan mantap terserap dalam diri seseorang mukmin, pasti sukarlah syaitan untuk ‘melemparkan senjatanya’ ke dalam diri mukmin itu. Siapapun diri kita, tinggi atau rendahnya pangkat kedudukan kita, pemimpin kecil atau pemimpin besar, semua tidak terkecuali daripada memegang sikap amanah ini.
Jika amanah ini dilaksanakan oleh pemimpin negara, para menterinya, pegawai kerajaan dan rakyat seluruhnya maka negara akan mendapat keberkatan, tenteram dan harmoni . Seandainya semua mereka terutama pemimpin sedar dan insaf mengenai menjaga amanah Allah itu, sudah pasti tidak akan timbul sama sekali gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Ingatlah wahai pemimpin! "Engkau akan ditanya Allah apakah engkau sudah melaksanakan amanah itu dengan sempurna.?"
Ingatlah ! "Engkau pasti akan ditanya! Bermuhasabah diri daripada sekarang dan insaflah akan akibat masa berhadapan dengan Allah SWT dihari akhirat nanti"
Dalam membentuk masyarakat cemerlang dan menggemilangkan sesebuah negara, pemimpin mesti seorang yang berintegriti dan kuat sikap amanahnya.
Jika kita teliti apa yang dilakukan Rasulullah SAW ketika memilih pemimpin, Baginda sangat peka terhadap nilai amanah pada seseorang itu sebelum dilantik sebagai pemimpin.
Manakala dalam surah al-Nisa’ ayat 58 Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)”.
Jadi di sini jelas bahawa nilai amanah adalah kriteria utama dalam memilih seseorang pemimpin negara, negeri, daerah, kawasan dan pemimpin masyarakat .
Pengertian amanah bererti menempatkan sesuatu pada tempatnya yang wajar, seperti sesuatu kedudukan tidak diberikan kecuali kepada orang yang betul-betul berhak dan yang betul-betul mampu menunaikan tugas dan kewajipannya dengan benar.
Amanah hendaklah diberikan kepada orang yang benar-benar boleh melaksanakannya, kerana menurut hadis Rsulullah SAW. dari riwayat Muslim : " Dari Abu Zar, dia berkata : " Saya berkata " : Ya Rasulullah mengapa engkau tidak memilih saya. " Rasulullah bersabda " hai Abu Zar engkau seorang yang lemah, sedangkan itu sebagai amanah pada hari kiamat hanya akan menjadi penyesalan dan kehinaan. Kecuali orang yang dapat menunaikan hak kewajipannya dan memenuhi tanggungjawabnya.
Hadis di atas kita lihat dimana Abu Zar ketika meminta jawatan, tidak dipedulikan oleh Rasulullah. Kerana amanah menuntut dan menghendaki kita memilih orang-orang yang lebih baik untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan. Jika kita cenderung memilih yang lain secara tidak berhati-hati, kerana mengamalkan sikap pilih kasih, bermakna kita telah melakukan pengkhianatan yang berat, kerana menyingkirkan orang yang ahli (mampu) dan mengangkat orang yang bukan ahli.
Untuk memenuhi erti amanah, hendaklah manusia berlumba menunaikan tugasnya dengan tegas dan bersungguh-sungguh serta sebaik-baiknya dalam menyempurnakan satu amanah yang dijunjung tinggi. Islam menyarankan supaya manusia ikhlas bekerja dan suka memperhatikan hak-hak manusia yang diamanahkan kepadanya, tidak memandang ringan tugas yang diamanahkan.
Rasulullah SAW telah menjelaskan, tidak akan berlaku kiamat yang lebih besar dan yang lebih buruk daripada khianat seorang muslim yang diamanahkan memimpin urusan manusia, tetapi kemudian dia mengabaikannya sehingga semua urusan jadi terbiar dan sia-sia. Oleh itu jangan kita menyalahgunakan kedudukan yang diberikan untuk menarik keuntungan peribadi atau keluarga.
Memang telah sewajarnya bagi pekerja tanpa mengira pangkat mendapat imbuhan gaji sebagai ganjarannya, tetapi berusaha mencari tambahan gaji atau upah dengan jalan penyelewengan seperti rasuah adalah usaha haram dan berdosa besar.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :"Barangsiapa yang kami angkat menjadi penguasa (pemerintah) untuk mengerjakan sesuatu, dan kami memberi upah menurut semestinya, maka apa yang dia ambil lebih dari upah yang sepatutnya adalah satu kesalahan "
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Sahabat yang dikasihi,
Di hari akhirat nanti terdapat empat golongan lelaki yang akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita kerana ketika di dunia ini dia tidak melaksanakan amanah iaitu mendidik mereka dengan ajaran dan akhlak Islam dan tidak memberikan hak kepada wanita . Mereka ialah:
1. Ayahnya.
Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia memperbiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik
ke neraka oleh anaknya.
2. Suaminya.
Apabila suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yg bukan mahram apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal , membayar zakat dan mengerjakan fardu haji ke Baitullah, maka dia akan turut ditarik oleh isterinya. Suami mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya adalah satu kesalahan dan dosa yang mana isteri boleh menuntut haknya di hari akhirat.
3. Abang-abangnya.
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya. Jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiarkan melencong dari ajaran Islam, tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.
4. Anak lelakinya.
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yg haram dari ajaran Islam, bila ibu membuat kemungkaran pengumpat , mendedahkan aurat dan membuat maksiat sebagainya maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak. Nantikan tarikan ibunya ke neraka.
Oleh itu marilah sama-sama kita tunaikan amanah yang diberikan kepada kita dengan penuh tanggungjawab dan istiqamah, kerana sesungguhnya 'amanah' yang laksanakan dengan sempurna nanti akan menunggu kita ditepi 'Titian Sirat' untuk membantu dan memudahkan perjalanan kita untuk menuju ke syurga Allah SWT.
No comments:
Post a Comment