Wednesday, January 15, 2014

SIFAT SOMBONG ( 7 CIRI )

Jauhi Tujuh Jenis Sombong Yang Di Laknat Oleh Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sombong adalah salah satu ...sifat mazmumah yang paling dibenci oleh Allah SWT. Manusia yang diciptakan oleh Allah SWT adalah serba kekurangan , lemah dan perlu bergantung kepada Allah SWT yang bersifat Maha Perkasa dan Maha Bijaksana.

Manusia yang bersifat sombong cuba hendak meniru sifat Allah SWT dan sifat ini amat ditegah untuk di amalkan oleh sesiapa sahaja dikalangan makhlukNya. Iblis mendapat laknat dan kutukan daripada Allah SWT kerana cuba bersikap sombong dan enggan menurut perintah Allah SWT untuk bersujud kepada Nabi Adam a.s.

Terdapat tujuh jenis sombong yang akan mendapat laknat Allah SWT.

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama: Sombong kerana kelebihan seseorang dengan pengetahuan ilmunya, baik ilmu dunia atau ilmu akhirat.

Apabila ilmu sudah penuh di dada, dia menganggap orang lain jahil belaka, semua orang buta dan jika ada pandangan yang bernas tetapi tidak diterimanya. Orang yang sombong seumpama ini hendak dirinya selalu dihormati oleh orang lain terutama ketika di khalayak ramai, oleh anak muridnya dan orang bawahannya serta sentiasa meminta diberi layanan mulia.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat kesombongan walau hanya sebesar zarah.” (Hadis riwayat Muslim)

Kedua: Sombong kerana kelebihan beribadat seseorang.

Penyakit orang ahli abid yang merasa diri mereka terlalu banyak beribadat berbanding dengan orang lain sehingga menganggap orang lain tidak mampu beribadat seperti mereka.

Sedangkan mereka sebenarnya terpedaya dengan tipu daya syaitan. Rasulullah SAW telah mengingatkan melalui sabda Baginda yang bermaksud: “Bahawa siapa yang memuji dirinya sendiri atas suatu amal soleh, bererti sudah tersesat daripada mensyukurinya, dan gugurlah segala amal perbuatannya.“

Ketiga: Sombong kerana ego memperkasakan keturunannya dan memandang rendah keturunan orang lain.

Sesiapa yang memperjuangkan asyabiah dan berbangga dengan bangsanya, suku kaumnya atau keturunan bangsawa dan menganggap bahawa berketurunannya lebih mulia berbanding orang lain, atau berbangga dengan kehebatan datuk nenek moyangnya bahawa mereka adalah pahlawan terbilang atau ada karramah maka ini termasuk sombong yang dilarang.

Contoh kisah Abu Zar r.a pernah menghina Bilal r.a dengan sebutan menghina keturunannya. Nabi SAW menjelaskan bahawa jika seseorang menghina seseorang kerana keturunannya maka dalam dirinya masih ada sifat jahiliah. Dalam kisah ini Abu Zar r.a telah menyesal dan bertaubat dan meminta maaf kepada Bilal r.a.

Sifat sombong seperti ini tidak ubah seperti kaum Bani Israel yang dilaknat Tuhan, seperti termaktub dalam al-Quran. Mereka bangga dengan keturunan mereka yang banyak menjadi nabi ikutan, konon keturunan mulia dikasihi Tuhan.

Keempat: Sombong kerana berasa diri cantik dan sempurna.

Sesiapa yang suka memandang orang lain dengan hina, seperti merendah-rendah ciptaan Allah hingga sanggup menyindir atau memberi gelaran tidak baik seperti pendek, berkulit hitam atau gemuk adalah jenis sombong yang dilaknat.

Kelima: Sombong yang berpunca daripada kelebihan harta.

Apabila diberi Allah SWT harta maka membuat dia lupa daratan, berbangga dengan kekayaan yang ada, rumah besar, kereta mewah hingga memandang rendah orang yang kurang berada. Sifat ini ditunjukkan oleh Qarun (umat dizaman Nabi Musa a.s.) berbangga dengan kekayaannya hingga dia dan hartanya telah ditelah bumi dengan izin Allah SWT.

Keenam: Sombong kerana kekuatan dan kegagahan diri.

Semua orang akan dibuli kerana kuatnya badan kita tidak terperi, hingga boleh memakan kaca, kunyah besi, boleh menarik bas dan lori hanya dengan gigi, boleh dihempap badan dengan batu dan besi, atau sebagainya. Menunjukkan badan berketul-ketul , menang bertanding bina badan dan berbangga dengan badan yang cantik.

Contoh dizaman Nabi SAW ada seseorang yang berjuang kerana bangsa arab dan berjuang supaya digelar seorang pahlawan arab yang terbilang (namanya Qazman) maka matinya bukan kerana Allah SWT dan dia tidak termasuk mati syahid dan akan dicampakkan ke dalam neraka.

Ketujuh: Sombong dan berbangga kerana ramainya pengikut setia di belakang.

Biasanya sombong seperti ini berlaku kepada pemimpin negara, pemimpin masyarakat, ketua organasasi, ketua NGO, pemimpin parti atau ulama tersohor ( orang alim). Jika berlaku dikalangan ulama dia berbangga dengan ramainya murid yang memuji. Guru silat pula berbangga dengan ramainya murid yang hebat menunjukkan ketangkasan bermain senjata dan sebagainya.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah adakah kita terlibat dengan salah satu tujuh sifat sombong yang dilaknat oleh Allah SWT seperti yang dinyatakan di atas? Jika ada cubalah kita buangkan jauh-jauh daripada diri kita supaya di akhirat nanti sifat sombong ini akan menjauhkan daripada rahmat Allah SWT dan akan mencampakkan diri ke dalam neraka.

Neraka adalah tempat golongan yang sombong, ego, riak, bongkak, takbur, ujub dan sum'ah. Penawarnya ada di tangan kita sendiri kerana penyakit sombong ini hanya akan memakan diri. Jika bukan sekarang, mungkin di masa akan datang. Ubatilah sifat sombong itu dan jangan sesekali menghina orang lain kerana ianya sifat yang dilaknat oleh Allah.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh manusia, kerana hinanya mereka pada Allah.” (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari Abu Hurairah)


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML