Wednesday, January 15, 2014

SIFAT MUKMIN

Empat Sifat Orang Mukmin Sidiq, Amanah , Tabilq dan Fatanah.

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap orang mukmin yang ingin menjadi para daie yang istiqamah perlulah mewarisi sifat para Nabi dan Rasul iaitu siddiq, amanah, tablig dan fatanah. Walaupun mungkin sebagai manusia biasa kita tidak mampu mewarisi sepenuhnya sifat-sifat yang mulia ini kerana para Nabi dan Rasul bersifat maksum, tetapi sebagai asas akhlak yang mulia perlulah empat sifat ini menjadi pakaian dan perhiasan untuk para daie yang mukmin, yang berhasrat menjadi pewaris para nabi untuk menegakkan risalah Allah S.W.T.

Perwatakan seorang mukmin mestilah dihiasi dengan sifat ikhlas, murah hati, merendah diri dan benar, berhemah tinggi dan sederhana juga diharumi dengan sifat mengasihi dan menyayangi serta sentiasa mengalirkan kegembiraan dalam perhubungan, menjadikan  akhlaknya sentiasa menjadi ikutan masyarakat.

Dalam dirinya tercantum segala sifat-sifat mahmudah yang sejati. Pada waktu siangnya bekerja keras untuk mencari nafkah untuk keluarga dan pada masa yang sama menyampaikan mesej dakwah dan tarbiah kepada masyarakat. Di waktu malamnya solat tahajud, berdoa dan bermunajat sehingga menitiskan air mata penyesalan mengadap Tuhan Rabbul Jalil. 

Sahabat yang dikasihi,
Di sini akan difokuskan kepada empat sifat dasar yang merupakan sifat yang perlu ada pada setiap orang mukmin yang menjadi pemimpin umat. Sifat-sifat tersebut adalah siddiq, amanah, fatanah dan tabligh. Apabila sifat sifat ini lahir dalam kehidupan maka ianya akan menjadi contoh kepada umat Islam lain yang mengharapkan keredaan Allah S.W.T.

Sifat-sifat tersebuat adalah seperti berikut :

Pertama : Siddiq (Benar)

Seorang mukmin harus memiliki sifat benar tidak ada sepatah pun perkataannya yang mengandungi kebatilan, dalam apa sahaja keadaan dan suasana. Sifat siddiq adalah asas kemuliaan, lambang ketinggian, tanda kesempurnaan dan gambaran dari tingkah perlakuan yang bersih dan suci.

Sifat inilah juga yang menjamin dapat mengembalikan hak-hak kepada yang berhak, memperkukuh ikatan antara anggota masyarakat, tidak terkecuali samada dia itu seorang alim, atau seorang yang berkuasa atau seorang saudagar, samada laki-laki atau perempuan, dewasa ataupun kanak –kanak, selama mereka hidup dalam satu masyarakat yang saling perlu memerlukan antara seorang dengan yang lain. 

Sifat siddiq (benar) adalah inti sari daripada kebaikan. Sifat inilah yang dimiliki sahabat yang paling disayangi Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar as -Siddiq.
DariAbdullah bin Masud, Nabi S.A.W.  bersabda bermaksud :
"Sesungguhnya siddiq (benar) itu membawa pada kebaikan, dan kebaikan akan menunjukkan pada syurga. Seseorang berperi laku siddiq, hingga ia dikatakan sebagai seorang yang siddiq. Pendustaan pula akan membawa kepada keburukan,dan keburukan akan menghantarkan pada neraka. Seseorang berperi laku dusta, hingga ia dikatakan sebagai pendusta."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
 "Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang Muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama)Allah, Allah menyediakan untuk mereka ampunan dan ganjaran yang besar."(Surahal-Ahzab ayat 35).

Selain mendapatkan keampunan dan ganjaran yang besar dari Allah, golongan siddiqin juga akan mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah  di akhirat. Mereka akan disatukan bersama nabi, orang syahid, serta salihin.
Seorang mukmin akan sentiasa berkata benar tidak berbohong, mungkir janji dan lidahnya tidak suka mengumpat dan memfitah orang lain walaupun terhadap orang fasik yang menghina dan menyerang peribadinya. Setiap nasihat dan tunjuk ajarnya membuatkan seseorang tertarik untuk mendekatkan diri dengan Islam kerana tuturkata yang lemah lembut dan penuh hikmah.
  
Kedua : Amanah

Amanah ialah sifat mulia yang pasti dipunyai oleh setiap orang dalam menghadapi perjuangan hidup demi untuk mencapai cita cita yang diazamkan. Suatu masyarakat itu tidak akan dapat dibina dengan harmoni melainkan hanya di atas asas yang kukuh dan tetap, antaranya asas amanah. Dengan jelas kita dapat menyaksikan perbezaan antara dua jenis manusia pertama yang amanah atau al amin dan kedua yang khianat atau al-Khain. Orang yang amanah akan menjadi tempat kepercayaan dan penghormatan orang ramai, sebaliknya orang khianat itu pula menjadi tumpuan kemarahan dan kehinaan.

Sifat seorang mukmin yang amanah akan melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan penuh bertanggungjawab. Dia tidak akan 'curi tulang', tidak akan mengambil rasuah dan tidak akan melaksanakan tugas sambil lewa sahaja. Dia merasai tanggungjawab dihadapan Allah S.W.T. jika di dunia diabaikan amanah yang diberikan kepadanya.

Jika sifat amanah ini dimiliki oleh para pemimpin kita, para ulama , guru-guru, pegawai atasan dan ahli perniagaan maka kita akan dapati negara akan berkembang maju dan  kekayaan negara akan dapat di manfaatkan sepenuhnya untuk rakyat dan keseluruhan rakyat umumnya akan mempunyai akhlak yang baik. Oleh kerana sifat amanah suduh hilang atau berkurangan maka kesan daripadanya menyebabkan hutang negara bertambah kerana membazirkan wang negara untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni yang bangkrap akibatnya negara terpaksa menanggung hutang yang besar. Selain daripada itu kesan sifat tidak amanah ini juga maka kadar jenayah semakin meningkat kerana tidak ada amanah diperingkat penguasaan undang-undang.

Daripada Ibnu Umar r.a., katanya, saya mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :
"Setiap orang daripada kamu adalah penggembala dan setiap seorang dari kamu akan ditanya perihal penggembalaannya. Pemimpin adalah penggembala dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang lelaki adalah penggembala dalam keluarganya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang wanita adalah penggembala dalam rumah suaminya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Buruh adalah penggembala dalam harta majikannya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Jadi setiap seorang dari engkau semua itu adalah penggembala dan tentu akan ditanya perihal penggembalaannya. "
(Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih) 

Ketiga : Tabligh

Tabligh atau sifat menyampaikan dakwah dan Islam kepada masyarakat adalah satu sifat atau tugas yang diamanahkan oleh Allah S.W.T.

Firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 67 yang bermaksud : ”Wahai Rasulullah, Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya(dengan menyampaikan kesemuanya) maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya. ”

Walaupun ayat ini arahan Allah S.W.T kepada Rasulullah S.A.W. sebagai Rasul pilihan-Nya untuk menyampaikan apa yang diturunkan oleh Allah S.W.T., tetapi sebagai hamba Allah S.W.T. dan umat Nabi S.A.W. kita juga berkawajipan untuk menyambung perjuangan Nabi S.A.W. iaitu berdakwah dan menyampaikan risalah Allah S.W.T. yang dilaksanakan oleh baginda kepada umat manusia seluruhnya.


Firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali-Imran ayat Ayat 104)

Kewajipan berdakwah adalah tanggungjawab besar yang menjadi tonggak utama agama dan tiang seri atau paksi menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturan serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka dia hendaklah mengubah dengan tangannya; jika dia tidak mampu berbuat demikian, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya; dan sekiranya dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya, itulah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)  
Berdakwah kepada Allah adalah amalan kebaikan diperintahkan supaya hamba-Nya sentiasa berdoa untuk mendapat keredaan Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti mana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya.” (Hadis riwayat Muslim)


Keempat : Fathanah (Kebijaksana dan cergas)

Sifat keempat  ialah fathanah(bijaksana dan cerdas). Sifat ini adalah sifat penting yang perlu ada pada seorang mukmin yang bertugas menyampaikan dakwah kepada masyarakat, kerana sifat fatanah akan menyempurnakan sifat tabligh. Seseorang pendakwah yang terlibat secara lansung akan selalu terlibat dalam perbincanagan dengan musuh, menghadapi pertanyaan daripada ahli jemaah, serangan serta kritikan orang yang masih meragukan. Seorang yang memiliki sifat fatanah ini cukup faham keadaan mereka yang ingin didakwahkan dan mengambil pendekatan lemah lembut dan penuh hikmah. Dia juga berkemampuan untuk memahami isu-isu semasa, memahami kekuatan dan kelemahan orang yang ingin di dakwahkan dan mengambil pendekatan yang bijak supaya dapat mengelakkan fitnah dan penghinaan kepada Islam. 

Kita dapati ada dikalangan para pendakwah yang cuba menyampaikan Islam dengan cara yang keras dan kurang hikmah hingga menyebabkan orang yang bukan Islam menganggap Islam itu ekstrim dan agama yang tidak ada toleransi. Ada setengahnya pula menyerang peribadi-peribadi tertentu untuk menjadi bahan ketawa. Perlulah diingatkan cara berdakwah yang berkesan adalah tidak mendedakkan keaiban seseorang dan berdakwah dengan cara lemah lembut dan penuh hikmah kerana inilah cara dakwah Rasulullah S.A.W. , betapa ramai orang kafir yang memusuhi Nabi S.A.W. tetapi akhirnya memeluk Islam keranamelihat ketinggian akhlak dan peribadai baginda.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita sama-sama mendidik diri kita menjadi seorang mukmin yang memiliki sifat siddiq, amanah, tabliq dan fatanah. Sifat yang mulia ini adalah sifat yang wajib dimiliki oleh para Nabi dan Rasul. Jika kita mempunyai sifat-sifat yang mulia ini barulah kita layak mendapat syafaat Rasulullah S.A.W dan termasuk dikalangan hamba yang dirahmati Allah S.W.T. dan akan layak memasuki syurga-Nya.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML