Thursday, October 23, 2014

RAIH PAHALA DENGAN MEMAAFKAN



Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Di bawah ini saya salin beberapa ganjaran pahala apabila kita memaafkan kesilapan orang lain.

Semuanya ini dirujuk dalam buku Amalan Meraih Ganjaran Pahala, Antaranya ialah:

1) Mendapat keampunan daripada Allah SWT.

 وَلۡيَعۡفُواْ وَلۡيَصۡفَحُوٓاْ‌ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغۡفِرَ ٱللَّهُ لَكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ  

"..hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani". (An-Nuur [24] : 22)

2) Mendapat redha Allah SWT.

 فَمَنۡ عَفَا وَأَصۡلَحَ فَأَجۡرُهُ ۥ عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ

"...sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (atas tanggungan Allah dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim". (Asy-Syura [42] : 40)

Maksud أَجۡرُهُ ۥ عَلَى ٱللَّهِ ialah ganjaran pahala yang dikurniakan sendiri oleh Allah SWT, bukan oleh manusia seperti raja atau pemimpin dan sebagainya, malah ganjaran itu datang daripada raja sekelian raja iaitu Allah SWT. Maka apakah yang kita mahukan lebih daripada itu? Allah memberi jaminan dengan ganjaran yang begitu besar.

3) Mendapat keuntungan yang besar (حَظٍّ عَظِيمٍ۬)

وَلَا تَسۡتَوِى ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُ‌ۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِى بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُ ۥ
 عَدَٲوَةٌ۬ كَأَنَّهُ ۥ وَلِىٌّ حَمِيمٌ۬ وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ۬ 

"Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat". (Fussilat [41] : 34 - 35)

Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan kita supaya membalas kejahatan yang dilakukan oleh manusia dengan melakukan kebaikan semampu yang boleh. Dengan kata lain kita perlu membalas setiap dosa orang kepada kita dengan kemaafan, kemarahan dibalas dengan kesabaran, tidak mengambil kira kesilapan yang telah berlaku serta rela menanggung keperitan daripada perlakuan orang lain terhadap kita.

Mujahid al-Farra' berkata بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ ialah membalasnya dengan kesejahteraan dan keselamatan bagi kejahatan yang diterima dan bermaaf-maafan ketika bertemu. Dan ayat فَإِذَا ٱلَّذِى بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُ ۥ عَدَٲوَةٌ۬ كَأَنَّهُ ۥ وَلِىٌّ حَمِيمٌ۬ (orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib); menjelaskan hasil yang diperoleh daripada tindakan memaafkan atau dengan kata lain membalas dengan kebaikan bagi apa-apa kejahatan yang dilakukan terhadap kita; dengan sendirinya dia akan bertukar daripada musuh kepada rakan karib.

Imam az-Zajjaj berkata, ayat ini وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ bermaskud tidak dianugerahkan sifat ini (membalas kejahatan dengan kebaikan) kecuali kepada orang-orang yang sabar menanggung kemarahan dan keperitan.  

Ayat ini pula وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ۬ bermaksud ganjaran dan kebaikan yang diperoleh daripada orang yang mengamalkan sifat-sifat di atas adalah orang-orang itu sangat beruntung. Qatadah berkata "Keuntungan yang besar itu ialah balasan syurga"

4) Mendapat ganjaran pahala kerana meneladani salah satu sifat Allah iaitu al-'afwu. 

Al-'afwu bermaksud Allah Maha Memaafkan kesalahan. Allah mengampunkan dosa yang dilakukan oleh hambaNya yang menderhaka dan Allah tidak membalas kesalahan hambaNya semasa berada di dunia dengan menyegerakan hukuman.

 إِن تُبۡدُواْ خَيۡرًا أَوۡ تُخۡفُوهُ أَوۡ تَعۡفُواْ عَن سُوٓءٍ۬ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَفُوًّ۬ا قَدِيرًا 

"Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan atau menyembunyikannya atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa".
(An-Nisa' [4] : 149)

Ayat ini bermaksud Allah memaafkan dan mengampunkan dosa orang-orang yang melakukan kejahatan walaupun Allah Berkuasa membalas dengan segera. Oleh itu contohilah sifat Allah ini.

5) Mendapat pahala kerana mencontohi akhlak Rasulullah SAW

Para nabi dan rasul tidak pernah memabalas kejahatan kaum mereka. Para nabi dan rasul menyerahkan urusan tersebut kepada Allah SWT. Siapakah kita sehingga kita tidak sanggup bersifat pemaaf dan menganggap sifat pemaaf itu hina dan rendah? 

6) Mendapat kelebihan termasuk ke dalam golongan orang-orang yang memaafkan kesilapan dan kejahatan orang lain terhadap kita dan mendapat ganjaran syurga 'Adn. 

"Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata dan mendirikan solat, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (Memberi hormat dengan berkata): Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu. (ar-Ra'd [13] : 22 - 24)  

7) Kemaafan yang kita berikan adalah kebaikan yang kita lakukan dan akan dapat balasan yang baik.

هَلۡ جَزَآءُ ٱلۡإِحۡسَـٰنِ إِلَّا ٱلۡإِحۡسَـٰنُ 

"Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga?" (ar-Rahmaan [55] : 60)

Allah membalas hamba-hambaNya dengan balasan yang setimpal dengan kebaikan yang dilakukan. Jika hambaNya memaafkan kesalahan orang maka Allah akan memaakan dan mengampuni dosanya.  

8) Mendapat kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT pada hari Isnin dan Khamis.

Rasulullah SAW bersabda; 

"Dibukakan pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis bagi setiap hamba yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali (bagi) lelaki yang di antaranya dan saudaranya permusuhan maka dikatakan; Lihatlah kepada dua orang ini sehingga mereka berdua berdamai". (Direkodkan oleh Muslim)

9) Dicintai Allah SWT 

 فَٱعۡفُ عَنۡہُمۡ وَٱصۡفَحۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ 

"Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berbuat baik". (al-Maaidah [5] : 13)

10) Ditinggikan kedudukan oleh Allah SWT baik di dunia mahupun di akhirat atau kedua-duanya. 

Rasulullah SAW menyebut:

"Allah tidak menambah (kepada) seseorang hamba yang (bersifat) pemaaf kecuali kemuliaan dan tidak merendah diri seseorang kepada Allah kecuali diangkat oleh Allah". (Direkodkan oleh Muslim).

Harapan dan cita-cita kita ialah untuk mendapat cinta Allah. Sesungguhnya jika seseorang itu dikasihi atau dicintai Alllah, para malaikat dan semua manusia turut mengasihinya. Orang yang sentiasa mendahului orang lain dalam melakukan amal kebajikan adalah orang yang mendapat kejayaan dan kelebihan.  

Sekian, mudah-mudahan memberikan manfaat.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML