Thursday, October 23, 2014

NASIB BAIK HIDUP LAGI


Manusia kadang-kadang sangat mudah lupa bahawa segala nikmat yang dikurniakan kepada kita adalah daripada Allah semata-mata. Kadang-kadang juga mereka akan berkata-kata dengan keterlaluan, tanpa mereka sedari bahawa Allah tidak tuli mahupun pekak, bahkan Allah sentiasa tahu apa yang kita lakukan.

Dalam surah al-Fathir ayat 10, Allah berfirman yang bermaksud: 

“Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya. Kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh dinaikkan-Nya. Dan orang-orang yang merencanakan kejahatan bagi mereka azab yang keras. Dan rencana jahat mereka akan hancur.”

Dalam satu seminar yang mengumpulkan pelajar-pelajar lulusan agama dari hampir seluruh universiti. Telah berlangsung satu sesi yang berasaskan etika kerja. Pensyarah luar telah dijemput untuk menyampaikan ceramah tersebut.

Pada awalnya penceramah telah berceramah dengan kosisten sekali, semua peserta memberi perhatian dan seronok semasa berkursus.

Tiba-tiba pada satu ketika, entah bagaimana dia telah memulakan perbincangan yang agak panas kepada khalayak peserta.

Satu provokasi kepada ustaz dan ustazah yang hadir.

“Saya ingin membuat perkongsian dengan anda sekalian. Saya tahu hampir keseluruhan daripada kamu adalah ustaz dan ustazah. Maaf, saya bukan berasal dari latar belakang pengajian agama. Namun saya yakin Islam itu sendiri tidak pernah menyekat kebebasan berfikir, menganalisis dan memberikan pendapat walaupun pendapat tersebut lain daripada yang lain.”

Para peserta terkejut dengan kata-kata penceramah tersebut, beberapa peserta yang hampir tersungkur dek kantuk yang melampau tiba-tiba menggeletak bagaikan terkena renjatan mini eletrik.

Mata mereka buntang, ingin menyaksikan perkongsian daripada penceramah itu.

Kata penceramah itu, “Tahukah kamu semua bahawa, saya mendapati wanita yang bertudung terutamanya yang bertudung labuh seperti kamu semua adalah amat tidak produktif dalam kerja. Dalam erti kata lain, sangat lembab!”

Kesemua peserta bagaikan terkena renjatan eletrik, nafas menjadi turun naik tidak keruan. Jantung berdebar-debar tanpa ritma yang sekata.

“Boleh dikatakan kesemua perempuan yang saya jumpa, jika dia dari jenis yang memakai jubah dan bertudung labuh sangat lembab dan menyusahkan orang sahaja.”

Sudah ada yang mendidih darahnya. Sementelahan pula, majoriti muslimat yang ada di dalam dewan itu adalah ustazah yang memakai tudung labuh.

“Golongan ini bukan sahaja sangat tidak cekap bekerja malah hampir tidak pandai bersosial. Jalan hanya menunduk ke bumi, perlahan pula. Mungkin dia ingat baik sangat kalau buat begitu.” Sindiran penceramah itu semakin pedas.

Ramai peserta sudah mula tidak selesa, namun tidak berani membantah kerana dikhuatiri tidak akan dikurniakan sijil tamat kursus yang merupakan lesen untuk pengesahan untuk mereka mendapatkan ijazah mereka.

“Kamu ingat bagus sangat jadi baik, jadi ustaz, jadi ustazah!? Padahal kamulah manusia paling kolot yang ada di muka bumi ini.”

Dia menambah lagi, “Bagaimana kamu ingin menyatakan kepada anak-anak murid kamu bahawa arak itu haram, judi itu haram, zina itu haram sedangkan kamu semua tidak pernah merasainya? Saya ingin beritahu, saya sudah merasai kesemuanya dan sekarang saya tahu apa itu arak, judi dan zina. Baharulah layak untuk memberi nasihat kepada anak-anak murid mengenainya.”

Suasana semakin membahang, sudah ada dua atau tiga bakal ustazah yang keluar, tidak tahan didera dengan sindiran demi sindiran yang terhambur dari lafaz sang pensyarah. Para ustaz pula masih mampu bersabar, mungkin keliru pada konsep sabar itu sendiri.

“Siapa yang pernah minum arak?”

Khali. (diam)

“Siapa pula yang sudah berzina?”

Khali.

“Siapa pula yang pernah berjudi?”

Khali jua.

Pensyarah itu mundar-mandir seolah-olah tidak berpuas hati, dia iginkan respon daripada khalayak.

Tiba-tiba.

“Tuan!”

Semua mata tertumpu kepadanya, Ustaz Burhan. Peserta termuda sekali dalam kursus itu cuba mengatur bicara.

“Tuan, saya mewakili kawan-kawan saya di sini ingin menjawab persoalan yang tuan lontarkan sebentar tadi.” Lembut tuturnya.

“Silakan.”

“Berkenaan dengan ustazah yang berpakaian labuh namun sangat tidak bagus gerak kerjanya. Dan tuan salahkan pemakaiannya, itu adalah salah kerana menutup aurat adalah kewajipan kepada kaum muslimin. Sila tuan rujuk kepada surah An-Nur ayat 30. Secara terang Allah memerintahkan kaum muslimat supaya menutup aurat.”

Ustaz Burhan menambah lagi, “Dia lembab mahupun tidak produktif bukan kerana pakaiannya, kerana masih ramai lagi yang berpakaian menutup aurat namun sangat bagus gerak kerjanya. Sebaliknya mereka yang tidak menutup aurat dan mendedah bahagian tubuh badan di sana sini bukan semuanya yang bagus dan produktif, jika diperiksa kalangan mereka juga ramai yang lebih lembab dan bodoh. Kerana mereka tidak faham hukum Allah.”

Perbincangan semakin rancak, si pensyarah memakukan pandangan kepada Ustaz Burhan.

“Saya ingin bertanya kepada tuan, boleh?”

Si pensyarah mengangguk.

“Antara dua orang pelajar tuan, yang seorang berpakaian lengkap menutup aurat malah memakai purdah untuk mengelakkan wajahnya dilihat orang awam, manakala yang seorang lagi berpakaian dengan sangat seksi di samping dirinya sendiri sangat manis orangnya. Rupa-rupanya keduanya adalah adik beradik kembar. Apabila kedua-duanya datang berjumpa tuan secara berasingan dalam keadaan yang jauh daripada pandangan orang ramai, agak-agaknya yang mana antara keduanya yang mampu mengetuk pintu nafsu tuan?”

Muka si pensyarah merah padam, “Tentu kamu juga tahu jawapannya!”

“Jadi salahkah ustazah tersebut menutup auratnya dengan sempurna? Sudah terbukti tuan sendiri juga tidak tertarik kepadanya. Ini bermakna dia selamat daripada sebarang ancaman jenayah seksual.”

Belumpun sempat pensyarah tersebut memberikan respon, salah seorang ustaz bangkit dan bersuara.

“Izinkan saya membuat perkongsian tuan.”

Tiada respon darinya, ustaz Halim meneruskan sahaja bicaranya.

“Dulu, saya ada seorang kawan yang berfikiran seperti tuan. Katanya dia mahu merasainya semua perkara dahulu, walaupun perkara tersebut haram. Dalam banyak-banyak dosa besar yang ingin dia lakukan, dia memilih untuk minum arak. Kerana itulah paling ringan mengikut perkiraannya. Kemudian dia akan bertaubatlah katanya.”

Semua yang hadir menumpukan perhatian kepada ustaz Halim.

Dia meneruskan bicara, “Maha suci Allah yang maha berkuasa lagi maha mengetahui, saat pertama kali minum arak dia terus mabuk, dek kerana kemabukannya dia terus sahaja merogol wanita pelayan tersebut. Kerana ketakutan jenayahnya diketahui orang, tanpa berfikir panjang sementelah diri dibawah pengaruh arak wanita itu dibunuhnya. Setelah itu, dia melarikan diri dengan keretanya. Dalam keadaan yang tidak stabil, dengan takdir Allah keretanya terbabas dan meletup, sahabat saya meninggal dalam keadaan…wallahu’alam, hanya Allah yang selayaknya memberikan penilaian.”

“Apa kaitannya dengan saya?” Tingkah si pensyarah kasar.

“Tuan, sahabat saya punyai niat seperti tuan. Buat dosa dahulu kemudian bertaubat, begitu juga tuan. Tuan bertuah, masih punya nyawa hingga ke saat ini namun sahabat saya pergi dalam keadaan sedang melakukan dosa-dosa besar. Apakah tuan boleh bayangkan jika tuan adalah sahabat yang saya maksudkan tadi? Di mana tuan berada sekarang? Balasan apa yang akan Allah timpakan kepada tuan? Namun itu semua mustahil kerana, tuan masih hidup…hanya kerana Allah masih memberikan peluang kepada tuan, tuan sepatutnya menggunakan peluang tersebut dengan sebaik-baiknya.”

Semua hadirin mendapat manfaat dan menginsafi diri masing-masing. Pensyarah tersebut tenggelam dalam keinsafan juga.

________________________________________

PENGAJARAN

Setiap manusia itu tidak lari daripada melakukan dosa. Namun, setiap dosa itu ada penawarnya yakni bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat. Dan sesungguhnya Allah sangat mengasihi hamba-hamba-Nya yang sentiasa bertaubat kepada-NYA.

Kita hendaklah bertaubat sebelum pintu taubat tertutup buat selama-lamanya yakni pada masa kedatangan Hari Kiamat. Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari sebelah barat, maka Allah menerima taubatnya."
(Hadis Riwayat Muslim)

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML