Bismillahirrahmaninrrahim.
Assalamu'alaikum.
Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.
Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan daripada langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya daripada berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran". (al-Baqarah [2] : 164)
Ayat di atas menyenaraikan 8 perkara yang perlu difikirkan oleh semua manusia tentang kekuasaan, kebijaksanaan dan keesaan Allah swt. Sebab-sebab nuzul ayat ini ialah; diceritakan bahawa ketika Nabi Muhammad saw mengatakan: وَإِلَـٰهُكُمۡ إِلَـٰهٌ۬ وَٲحِدٌ۬ۖ ("Tuhan kamu itu Tuhan yang Esa"), orang2 kafir musyrik di Mekah inginkan bukti. Mereka hairan bagaimana pula Tuhan itu Satu sedangkan mereka mempunyai 360 patung2 berhala untuk disembah berada di sekeliling Kaabah ketika itu.
Jadi untuk menjelaskan tentang keesaanNYA Allah swt menurunkan ayat ini dan menyuruh manusia berfikir dengan sebaik-baiknya dalam 8 perkara seperti di bawah:
PERTAMA: Manusia disuruh melihat kepada kejadian langit dan bumi, langit itu berlapis-lapis dan bumi juga berlapis-lapis.
Manusia disuruh melihat kejadian langit; Berapa jaraknya daripada bumi? Berapa tingginya terbentang di angkasa dengan tidak ada pula tempat pergantungannya dan tidak pula ada tiang untuk menyokongnya? Kelihatan pula matahari, bulan dan bintang.
Manusia disuruh melihat pula kepada bumi yang bulat, berapa lebar dan luasnya; di sana pula ada lautan, daratan, gunung-ganang; ada sungai, ada hutan, ada pelbagai logam di dalamnya.
semuanya ini membuktikan bahawa yang menciptanya ialah YANG SATU.
KEDUA: Manusia diminta melihat kepada pertukaran malam dan siang sebagai bukti keesaan Allah swt.
Malam pergi siangpun datang dan begitulah sebaliknya; kedua-duanya sentiasa silih berganti mengambil tempat tanpa berhenti. Ada tempat-tempat malamnya lebih lama daripad siangnya dan ada pula sebaliknya. Terjadilah suasana yang dikatakan gelap apabila malam mengambil tempat dan terang apabila siang mengganti malam. Kehidupan manusia akan jadi teratur bila menggunakan malam untuk berehat dan siang untuk bekerja.
Para ulama' mengatakan malam terjadi lebih dahulu daripada siang; dan setengah yang lain pula mengatakan siang terjadi lebih dahulu daripada malam. Yang mengatakan malam lebih dahulu ialah berdasarkan ayat ini; Allah dahulukan ٱلَّيۡلِ daripada ٱلنَّهَارِ . Dengan sebab itu penetapan haribulan Islam dimulakan sebelah malam dan disudahi dengan siang.
KETIGA: Manusia disuruh melihat kapal yang belayar di lautan. Bukti keesaan Allah ialah kapal yang sarat membawa muatan itu boleh terapung di atas air; badan kapal yang diperbuat daripada logam yang berat serta kayu dan segala isinya yang berat boleh mengapung tidak tenggelam; boleh belayar dari satu pelabuhan ke satu pelabuhan; menempuh ombak dan badai. Siapakah yang menyelamatkan kapal itu daripada dan diancam ombak dan badai lalu tenggelam? Tiadalah penyelamat semasa mengharungi lautan penuh bahaya itu kecuali ALLAH.
KEEMPAT: Manusia disuruh melihat kepada manfaat yang diperoleh orang yang belayar dengan kapal; membawa barang-barang dagangan. Jika Allah tidak teguhkan hati orang-orang yang berada di dalam kapal yang penuh dugaan mengharungi lautan itu; sudah pasti cita-cita mereka untuk mendapat keuntungan tidak tercapai.
Allah menghendaki setiap negeri mempunyai hasil yang tersendiri yang tidak dipunyai oleh negeri lain. Begitu juga Allah menghendaki tiap2 negeri itu berkehendakkan hasil daripada negeri2 yang lain. Dengan itu wujudlah perhubungan laut menggunakan kapal-kapal bagi mengangkut hasil daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk ditukar secara perdagangan; lalu wujudlah perhubungan perdagangan. Masing2 mahu keuntungan; lalu pelaut, pengembara, pemodal, pedagang dan yang seumpanya tidak takut akan bahaya dan tidak takut rugi.
Keberanian mereka ini tidak lain dan tidak bukan ialah kurniaan Allah; jika tidak kerana Allah yang memberikan keazaman yang kuat kepada mereka dan mengendalikan kapal di atas lautan tentu mereka tidak dapat berbuat apa2.
KELIMA: Manusia disuruh melihat kepada hujan yang Allah turunkan dari langit. Allah menjadikan hujan sebagi punca segala kehidupan makhluk yang melata di muka bumi. Allah biakkan tanaman dan binatang2 ternakan. Allah turunkan hujan dengan kadar yang dikehendaki dan dihajati. Ada tempa-tempat yang diturunkan hujan dan ada pula yang tidak.
KEENAM: Manusia disuruh melihat bagaimana Allah membiakkan makhluk yang ada di muka bumi ini. Manusia yang berasal daripada yang SATU (An-Nisa' [4] : 1), kemudian menjadi berlainan warna kulit, berlainan bahasa pertuturan, pelbagai bentuk tubuh badan, bermacam-macam pula perangai dan tabiat'. Begitu juga halnya dengan binatang dan tumbuh2an yang pelbagai.
KETUJUH: Manusia disuruh melihat peredaran angin dan awan; bagaimana Allah meniupkan angin daripada zat yang amat halus; tidak dapat dilihat oleh mata dan dicekau dengan tangan tetapi kekutannya luar biasa; dapat menumbangkan pokok; menerbangkan batu; menterbalikkan rumah, dan sebagainya. Namun dengan adanya angin atau udara; semua makhluk bernyawa hidup; jika sesaat sahaja ketiadaannya yang bernyawa akan mati atau akan busuk dan rosak binasa.
KELAPAN: Manusia disuruh melihat bagaimana awan yang berada di antara langit dan bumi. awan yang berarak-arak di angkasa; mengandungi air yang tak terhingga banyaknya. Jika ditimbang bertan-tan beratnya. Air inilah yang mengairi gunung dan bukit; membanjiri lembah dan lurah. Awan ini pula tidak mempunyai tiang atau penyokong; lalu siapakah yang menyokongnya dan berarak antara langit dan bumi? tidak juga mempunyai tali yang menggantungnya daripada langit. Sungguh ajaib; awan yang berat itu dapat berarak melayang-layang di udara; ringan pula bagikan kapas berterbangan di udara; kemudian menaburkan pula biji-biji air dengan perlahan-lahan; tidak serentak datang menghempap seluruh penduduk bumi. MAHA SUCI ALLAH yang menjadikan keajaiban alam.
Sesungguhnya Allah menggambarkan 8 keadaan di atas ini bagi membuka hati semua manusia. Andainya tidak juga terbuka maka sia-sialah kurnia Allah yang paling berharga ini buat manusia.
Kurniaan Allah yang paling berharga ialah aqal yang sihat dan waras yang boleh menyingkapkan rahsia-rahsia alam bagi membuktikan bahawa ALLAH MAHA BERKUASA.
No comments:
Post a Comment