Saturday, March 22, 2014

SOALAN LAZIM TENTANG AMALAN SEHARIAN



1. Doa Ketenteraman Hati
Soalan: 
Apakah doa yang boleh dibaca bagi orang yang tidak tenteram hatinya?

Zie...

Jawapan: 
Antara amalan dan doa yang paling baik untuk mententeramkan hati adalah " Selawat ke atas Nabi SAW."  Selain dari itu anda juga boleh mengamalkan doa yang kami selitkan dalam ruangan Himpunan Doa-doa Pilihan. Doa tersebut lengkap, dan amat mustajab (berkesan).


2. Mengawal Marah dan Khusyuk Beribadah
Soalan: 
Bagaimana mengelakkan perasaan marah dan cara untuk lebih khusyuk sewaktu beribadah?

Che Soyah, Serdang

Jawapan: 
Menurut Abullaits Assamarqandi dalam bukunya "Tanbihul Ghafilin" bahawa diantara manusia itu ada orang yang lekas marah tetapi juga lekas redanya maka ini seimbang. Adapula orang yang lambat marahnya dan lambat pula redanya, ini juga seimbang. Sebaik-baik kamu lambat marah dan cepat redanya dan sejahat-jahat kamu yang cepat marahnya dan lambat redanya.

Dalam hadis Rasulullah SAW banyak diterangkan tentang cara mengatasi sifat marah ini. Diantaranya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Marah itu bara api maka siapa yang merasakan demikian, jika ia sedang berdiri maka hendaklah duduk, dan bila sedang duduk hendaklah bersandar atau berbaring". 
Dalam keterangan lain juga disebutkan jika kita dalam keadaan marah maka syaitan telah meniup api kemarahnnya, untuk meredakannya maka berwuduklah, dengan cara itu api kemarahan akan terpadam.

Kemarahan itu menyebabkan hubungan kita dengan orang lain menjadi terjejas, oleh sebab itu bukakan hati kita agar segera memaafkan orang tersebut, dengan sendirinya kita telah mampu mengawal kemarahan kita daripada terus merebak. Dari Abu Umamah Albahili berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang dapat menahan marah padahal dia dapat untuk memuaskan kemarahannya, namun ia tidak menurutinya bahkan ia bersabar maka Allah SWT mengisi hatinya dengan keredhaan di hari kiamat".

Mengenai khusyuk dalam ibadah atau solat, para ahli banyak mengemukakan pendapat mereka diantaranya; Ibnu Abbas mengatakan bahawa khusyuk itu adalah orang yang takut dan tenang anggota badan dan hatinya. menurut Ali bin Abi Thalib, khusyuk itu adalah khusyuk hati, maksudnya khusyuk itu tempatnya didalam hati dan yang memetik khusyuk itu adalah hati itu sendiri.

Menurut Ibnu Katsir seorang ahli tafsir terkenal menerangkan khusyuk di dalam solat itu hanya dapat dihasilkan oleh orang yang membulatkan hatinya untuk solat dan menghindarkan soal lainnya dan mengutamakan solat dari hal-hal dunia. Dengan itu solat menjadi kecintaan dan kesenangan hati". Banyak lagi pendapat para ulama tentang khusyuk ini, namun semua berkisar pada kosentrasi tubuh dan jiwa kita dalam mengingati  Allah.  Wallahu A'lam.


3. Fadhilat Basmalah
Soalan: 
Assalamualaikum... 
Seseorang telah mengajar saya supaya mengamalkan membaca Bismillahirrahmanirrahim sebanyak 201 kali selepas sembahyang lima waktu...Insya Allah, Allah akan mengurniakan ganjaran yang besar serta memakbulkan segala permintaan kita. Apakah ini terdapat dalam amalan sunnah Rasullullah?

Fatimah Azzahra, KL

Jawapan: 
Membaca bismillah dalam segala pekerjaan memiliki fadhilat yang paling besar, kerana kita mendahulukan sesuatu itu dengan Asma dan Kebesaran Allah SWT. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda maksudnaya: "Tiada seorang hambapun mengucapkana "Bismillahirrahmanirrahim" kecuali Allah SWT perintahkan kepada para malaikat yang bertugas mencatat amal manusia untuk mencatat dalam buku induknya empat ratus kebaikan".

Banyak sekali khasiat dan fadhilat Basmallah ini yang telah diamalkan oleh para Salafussoleh. Sehingga diantara mereka ada merumuskan jumlah tertentu dengan keutamaan tertentu dari bacaan Basmalah tersebut. Diantaranya seperti yang puan amalkan itu. Wallahu A'lam. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang fadhilat atau keutamaan Basmallah dan ayat-ayat atau surah-surah Al Quran. Rujuk buku-buku tersebut:

HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 001 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 002 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )

4. Ayat "Seribu Dinnar"
Soalan: 
Boleh saya dapatkan ayat "seribu dinnar"?

Nizah, Shah Alam

Jawapan: 
Ayat seribu dinar dipetik dari ayat 2 (bermula dari Wa man yat ta qillah) dan (hingga) ayat 3 surah Ath Thalaq. Sila rujuk Al Quran, atau Al Quran dan Terjemahannya.


5. Amalan Membaca Yasin
Soalan: 
Assalamualaikum wr. wb. 
Apakah benar amalan membaca yasin 3 kali di malam nisfu syaaban merupakan bid'ah kerana tiada nas. Yang ada cuma hadis daif?

Abdul Hanan, KL

Jawapan: 
Menurut Ibnu Manzur dalam bukunya "Lisan al Arab" bid'ah bermaksud mengada-adakan sesuatu yang baru atau rekaan terhadap sesuatu yang baru yang tidak ada contoh sebelumnya. Jadi jelaslah bahawa bid'ah itu adalah sesuatu yang diada-adakan tanpa ada asas sebelumnya dan contoh yang boleh diikuti.

Menurut Al Jawhari menegaskan dalam kitabnya mengatakan; Bid'ah ialah mengada-adakan sesuatu di dalam agama selepas lengkapnya agama itu. Kemudian Al Allamah Asy Syanawi mendefinisikan bid'ah sebagai sesuatu yang diada-adakan yang bercanggah dengan kebenaran yang diterima daripada Rasulullah SAW dan ijma. Ia merangkumi rekaan sesuatu yang tidak diizinkan oleh syarak baik berbentuk perkataan, perbuatan secara sarih, isyarat dan tidak melibatkan perkara-perkara adat. Berdasarkan difenisi ini bid'ah merangkumi sesuatu yang dikeji oleh syarak dan dilarang olehnya samada ia diadakan sebagai agama Allah dan syariat ataupun tidak.

Berkaitan tentang membaca surah Yasin sebanyak tiga kali dimalam nisfu Syaaban antara lain; sesungguhnya membaca Al Quran disunatkan dan pembacanya mendapat pahala. Perkara ini tidak pernah dipertikaikan oleh seseorangpun dari kalangan ahli ilmu. Sangat banyak hadis yang menerangkan tentang kelebihan membaca Al Quran antaralain; "Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka baginya sepuluh pahala untuk setiap huruf yang dibaca itu, saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi alif itu satu huruf, Lam, satu huruf, dan Mim satu huruf". Namun jika mengkhususkannya pada hari-hari tertentu dan masa-masa tertentu setengah ahli mengatakannya bid'ah.

Untuk lebih jelas lagi kami terangkan bahawa bid'ah itu dapat juga dibahagikan kepada bid'ah hakikiah dan bid'ah Idafiah. Bid'ah hakikiah ialah bid'ah yang tidak mempunyai asas langsung dari Al Kitab, Sunnah dan ijmak ulama. Bid'ah idafah atau sandaran ialah bid'ah yang mempunyai sandaran dari Al Kitab, As sunnah dan ijma ulama tetapi masa dan teknik pelaksanaannya tidak berdasarkan kepada Al Kitab atau as sunnah. Mungkin berdasarkan pengertian ini mereka menetapkan perkara di atas sebagai bid'ah. Kerana di dalam amalan itu mengandungi dua makna. Pertama dia merupakan sunat, kedua ia merupakan bid'ah kerana menetapkan masa-masa tertentu ataupun jumlah-jumlah tertentu.

6. Membaca Ayat Al-Quran Tanpa Wudhu'
Soalan: 
Apakah menjadi kesalahan (berdosa) membaca ayat-ayat suci sewaktu kita tiada wudhu' umpamanya ketika hendak tidur atau terjaga dari tidur ?

Adi Putra , PJ

Jawapan: 
Berzikir menyebut nama Allah atau istighfar dan doa-doa baik ketika ingin tidur atau bangun tidur disunatkan mengambil wudhu', jika tidak berwudhu' tidaklah berdosa. Sesuai dengan hadis yang disampaikan oleh Aisyah yang bermaksud: "Rasulullah (SAW) selalu zikir kepada Allah pada setiap saat".

Menurut Jumhur ulama diharamkan bagi orang yang junub membaca sesuatu dari ayat-ayat Al-Quran, ini berdasarkan hadis daripada Ali ra. "Bahawa Rasulullah (SAW) tidak satupun yang menghalanginya dari Al-Quran kecuali janabat" (Riwayat Ash Habus Sunan disahkan oleh Tirmizi) 
Sedangkan menurut sebahagian ulama seperti Bukhari, Thabrani, Abu Daud dan Ibnu Hazmin berpendapat dibolehkannya membaca Al-Quran bagi orang yang junub.

7. Kiriman Doa Kepada Si Mati
Soalan: 
Dalam soalan terdahulu ustaz ada menyebut bahawa sekiranya kita ingin mengirimkan bacaan ayat Quran kepada arwah, kita perlu mengirimkan dlm bentuk doa dan bukan sedekah.  Bolehkah Ustaz menerangkan dgn lebih lanjut berkenaan ini. Adakah betul jika saya membaca begini..."Aku menghadiahkan pahala bacaan surah Al-Fatihah ini kepada roh umat Islam di seluruh dunia" atau bagaimanakah cara yang betul?

Fatimah, KL

Jawapan: 
Menurut ijmak ulama', doa dan istighfar seseorang memberi manfaat kepada orang yang telah meninggal dunia yang difokuskan doa dan istighfar tersebut kepadanya. Doa kepada si mati ialah sebagai berikut; "Ya Allah, Ya Tuhanku ampunilah segala dosa yang dilakukannya dan rahmatilah ia", atau membaca doa berikut: "Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah segala dosa-dosa kami dan dosa-dosa orang yang sebelum dari kami". Sila rujuk Buku feqah Islami keluaran Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Berhubung solat dan bacaan Al-Quran termasuklah membaca Al-Fatihah untuk si mati, ulama' Hanafi, Hanbali, Mutaakhir Syafi'i dan juga Maliki berpendapat pahala bacaannya sampai kepada si mati, jika ia hadir pada masa pengkebumian si mati tersebut. Menurut ulamak Hanbali boleh membaca Yasin di kubur si mati. Menurut riwayat Ad-Dar Qutni boleh membaca Qulhuallah sebanyak 10 kali di kubur si mati dan diniatkan pahalanya kepada si mati tersebut.

8. Doa yang tidak Ditolak
Soalan: 
Doa yang bagaimanakah yang tidak akan ditolak oleh Allah?

Izzat, Terengganu

Jawapan: 
Doa orang yang tidak ditolak oleh Allah SWT ialah: 
1. Imam atau pemimpin yang adil. 
2. Orang yang berpuasa sehingga ia berbuka. 
3. Orang yang dizalimi. 

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam  Ahmad dengan sanad yang baik.

9. Menghafal Al Quran dengan Berkesan
Soalan: 
Ada terpendam di dalam hati saya untuk menghafal al-quran. Jadi saya ingin tahu akan cara-cara yang berkesan untuk menghafal Al Quran, seperti waktu yang sesuai untuk menghafal, pantang-pantang dan sebagainya. Saya berbesar hati jika ustaz dapat menjawab soalan saya kerana sudah sekian lama saya ingin menghafalnya?

Fazli, Kampar

Jawapan: 
Menghafal Al-Quran memerlukan kesabaran jitu, kerana ia merupakan mukjizat Allah yang diturunkan kepada nabi besar Muhammad SAW. Al-Quran merupakan cahaya dan ia mudah hilang kerana kegelapan maksiat. Untuk itu cubalah jauhi perbuatan buruk walaupun pada perkara yang ringan seperti mendengar muzik, berbual kosong dan sebagainya. Menurut pendapat penghafal Al-Quran yang berpengalaman, masa yang sesuai untuk menghafal Al-Quran ialah ketika sunyi terutama di waktu pagi. Walaupun begitu, anda harus berlatih untuk menghafal dalam setiap situasi sekadar termampu.

Cara menghafalnya pula berbagai-bagai. Namun kaedah biasa ialah dengan mengulangi 2-3 ayat secara melihat kepada Al-Quran kemudian cuba mengingatinya, setelah itu bolehlah berpindah ke ayat-ayat yang lain. Untuk menguatkan hafalan, anda dikehendaki mengulanginya selalu. Kalau boleh bacakan ayat-ayat yang telah dihafal di dalam solat fardu atau sunat rawatib. Harus diingat menghafal ayat yang baru adalah lebih mudah dari menjaga ayat yang telah dihafal.

Oleh kerana itu peruntukkan waktu khusus untuk mengulanginya. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, "sesungguhnya Al-Quran lebih cepat luput dari hati dari hilangnya unta yang terlepas dari ikatannya". Anda hendaklah juga menjaga makanan, agar tidak memakan makanan yang haram atau syubhah, kerana ia boleh memberi kesan kepada mutu hafalan.

Perbanyakkan ibadat sunat dan solat hajat. Jika anda merasa masih terlalu susah hendak menghafal cuba lakukan solat ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Tabrani yang menceritakan bahawa saidina Ali pernah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang hafalannya yang buruk, lalu Rasulullah SAW menyuruhnya mendirikan solat pada tiap-tiap malam Jumaat sebanyak 4 rakaat. Pada rakaat pertama sesudah Al-Fatihah dibaca surah Yaasiin. Pada rakaat kedua sesudah Al-Fatihah dibaca surah Ad-Dukhan, seterusnya pada rakaat ketiga selepas Al-Fatihah dibaca surah As-Sajadah dan pada rakaat yang keempat selepas Al-Fatihah hendaklah dibaca surah Al-Mulk.

Setelah Saidina Ali melakukannya selama 7 kali Jumaat, beliau begitu gembira apabila memberitahu Rasulullah SAW yang beliau telah menghafal Al-Quran dan hadisnya dengan mudah. Diharapkan Allah SWT akan memberi taufik kepada saudara untuk terus menjadi generasi yang memelihara Al-Quran dan hadis-hadis nabi SAW. Untuk keterangan lanjut sila rujuk buku Fadail Al-Quran karangan Ibn Katheir.

10. Doa Menghalang Anak Bergaduh
Soalan: 
Saya ingin tahu adakah ayat-ayat Al-Quran yang boleh dijadikan doa untuk menghalang anak-anak dari bergaduh sesama mereka?

Asri, K Kinabalu

Jawapan: 
Tentang  ayat al Quran yang boleh menghalang anak anak dari bergaduh, anda boleh membaca surah al Fatihah dan selawat. Ini diikuti dengan bacaan surah al Insyirah sebanyak 7 kali kemudian bacakan ayat 200 dari surah ali-Imran serta doa berikut " Allahumma allif baina qulubihim wa ashlih zata bainihim ". Selepas itu dihembus ke dalam air untuk diberi minum kepada anak anak. Boleh juga dibaca dan dihembus ke ubun-ubun anak anda pada setiap malam.

11. Berdoa Menggunakan Buku
Soalan: 
Bagaimanakah jika membaca doa dengan membaca buku dan bukannya daripada hafalan. Adakah doa tersebut akan dimakbulkan oleh Allah?

Ariffin, KL

Jawapan: 
Supaya doa kita dapat diterima langsung oleh Allah SWT kemudian dikabulkan-Nya segala permintaan kita itu, maka kita harus melakukan beberapa syarat.
Di antara syaratnya iaitu: 
1. Iman kepada Allah dengan sebenarnya dan mematuhi segala ajaran-Nya.
2. Doa hendaknya dilakukan dengan merendahkan diri.
3. Tidak berputus asa dengan segala doa yang telah kita panjatkan.
4. Doa hendaklah dilakukan dengan sungguh-sungguh serta yakin akan terkabulnya doa tersebut baik cepat ataupun lambat.
5. Berdoalah dalam kalimat yang pendek, jelas, mencakup semua maksud yang dihajatkan.

Adalah lebih baik doa yang kita hajatkan terbit dari sanubari kita sendiri sehingga kita dapat menghayati isi doa yang kita panjatkan itu. Mungkin dengan memahami isi-isi penting dalam buku doa itu kemudian kita persembahkan dengan bahasa kita sendiri dan panjatkan kehadrat Ilahi lebih bermakna dan bererti, kerana dapat menghayati sesuatu yang kita hajatkan, sebab salah satu syarat termakbulnya doa itu diminta dengan secara sungguh-sungguh.

Namun begitu tidaklah salah berdoa dengan memegang buku doa, yang paling mustahak hayatilah doa dengan sungguh-sungguh, Insya Allah permintaan kita akan dikabulkan Allah SWT.

12. Amalan Menghindari Gangguan (Guna-guna)
Soalan: 
Apakah dia tiga wiritan atau amalan apa yang dapat menjadikan kekuatan buat diri kita agar kebal dari guna-guna/santet dan sebagainya?

Azman, K Kinabalu

Jawapan: 
Bagi menghindari gangguan ilmu sihir ataupun guna-guna, amalkanlah membaca ayat Kursi, surah Al Falaq dan surah An Nas serta berdoa memohon perlindungan daripada Allah SWT dengan penuh keyakinan. Insya Allah kita akan terhindar dari gangguan makhluk yang durjana.

13. Rujukan Ayat Tujuh
Soalan: 
Saya ada membeli buku keluaran Darul Nu'man yang bertajuk Amalan Surah-surah Pilihan - Fadhilat dan Khasiatnya. Pada bahagian akhir buku tersebut terdapat "7 ayat penyelamat daripada berbagai bencana." Yang menjadi kemusykilan saya, bolehkah pihak Ustaz memberi makna bagi 7 ayat tersebut atau memberi sumber dari mana ayat tersebut diambil. Jika daripada Al-Quran, bolehkan pihak Ustaz memberi nama Surah dan Ayat berapa?

Nini, P Pinang

Jawapan: 
Ayat tujuh ini diambil dari Al Quranul Karim.

1. Surah At Taubah ayat 51
2. Surah Yunus ayat 107
3. Surah Hud ayat 6
4. Surah Hud ayat 56
5. Surah Al Ankabut ayat 60
6. Surah Al fathir ayat 2
7. Surah Az Zumar ayat 38.

14. Ayat Al-Quran Sebagai Pendinding
Soalan: 
Apakah hukumnya mengunakan tangkal yang mengandungi ayat-ayat al-Quran sebagai pendinding?

Puteri Irzana, Johor Bahru

Jawapan: 
Al Quran merupakan petunjuk bagi umat manusia, di dalamnya tersimpan berjuta nikmat bahkan tidak dapat dihitung oleh manusia. Disamping itu al Quran juga sebagai ubat bagi jasmani dan rohani bagi insan yang mengerti dan mahu mengamalkannya menurut ketentuan sunnah. Orang-orang yang beriman, mereka yakin bahawa yang menyembuhkan segala penyakit hati dan fizikal itu hanya Allah. Jadi ayat yang digunakan untuk penyembuhan penyakit atau sebagai pendinding dalam istilah masyarakat melayu hanya merupakan ikhtiar untuk penyembuhan itu, sedangkan yang menyembuhkannya hanya hak Allah semata.

Bagi orang yang beriman dan yakin dengan Allah, maka bagi mereka dibolehkan untuk menggunakan ayat-ayat al Quran sebagai pendinding dan sebagainya demi untuk kebaikan. Namun bagi mereka yang fasiq dan ingkar tidak dibolehkan kerana akan menimbulkan fitnah, sebab mereka tidak menyandarkan sesuautu itu kepada Allah SWT. Wallahu 'alam.

15. Tidak Pandai Membaca Al Quran
Soalan: 
Buku apa kah yang harus saya perolehi untuk mengahtahui cara-cara hendak mengerjakan sembahyang, memandangkan saya tidak mengatahui membaca muqadam?

Jawapan: 
Sangat banyak buku-buku yang menjelaskan tentang cara mengerjakan solat. Dalam buku Fardhu Ain juga menjelaskan tentang bagaimana mengerjakan solat, bahkan ada juga buku yang khas menguraikan tentang kaedah mengerjakan solat lima waktu. Tapi yang perlu saudara ketahui bahawa bacaan-bacaan dalam solat semua dalam bentuk tulisan arab. Begitu juga ayat-ayat yang kita baca dalam solat semua diambil dari Al Quran. Jika saudara tidak pandai membaca Al Quran adalah lebih baik belajar membaca Al Quran terlebih dahulu, kerana jika saudara telah pandai membaca Al Quran dengan sendirinya mudah  mempelajari cara solat dan bacaan dalam solat.

16. Ucapan Selawat Rasulullah SAW
Soalan: 
Sewaktu Rasulullah SAW mendirikan sholat, apakah Rasulullah  membaca salawat atas nama beliau pada tahyat awal dan tahyat akhir. Mohon penjelasan dari Ustad?

Zulsaid, Tg.Balaikarimun, Indonesia

Jawapan: 
Selawat kepada Nabi ada tiga macam tingkatan:

1. Selawat Allah kepada Nabi dan Rasul-Nya istimewa kepada Nabi Muhammad SAW, bererti Allah memberi rahmat, memuji dan melahirkan keutamaan serta mendekatkan Nabi Muhammad SAW kepadaNya.

2. Selawat para Malaikat kepada para Nabi dan Rasul serta Nabi Muhammad SAW bererti malaikat-malaikat mendoakan atau memohon rahmat kemuliaan serta keampunan.

3. Selawat manusia kepada Nabi Muhammad SAW bererti mengakui kerasulannya, memohon kepada Allah melahirkan keutamaan, kemuliaan dan mengakui serta mengikuti kebenaran ajaran yang dibawanya.

Di dalam kitab suci Al Quran Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya selawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya". (Al Ahzab ayat 56)

Menurut Imam Syafie selawat itu wajib dibaca dalam tasyahud akhir iaitu diantara  tahiyyat dan salam. Menurutnya lagi dalam kitabnya Al Musnad, Sunnah Rasulullah SAW dalam melaksanakan solat jenazah adalah bertakbir pada permulaannya, setelah itu membaca fatihah lalu tkbir kedua dan sesudahnya membaca selawat dan kemudian bertakbir lagi kali yang ketiga". Jadi jika selawat itu merupakan perkara sunnah atau yang diwajibkan kerana diamalkan oleh baginda Rasulullah SAW, maka bacaan selawat yang dibaca oleh Rasulullah SAW samalah dengan bacaan selawat yangkita baca.

Tidak perlulah diragui lagi tentang perkara ini, sedangkan Allah dan para malaikat sendiri berselawat kepada Allah, sudah tentu Rasulullah SAW sebagai kekasihNya mensyukuri rahmat Allah yang luas itu dengan mengucapkan perkara yang sama seperti yang ditunjuk oleh Allah SWT. Begitu juga halnya dalam perkara syahadah, Rasulullah SAW juga mengucapkan syahadah yang sama seperti yang diajarkan kepada seluruh manusia.

17. Tanda-Tanda Amalan di Terima Allah SWT
Soalan: 
Apakah tanda-tanda yang amal ibadah kita di terima oleh ALLAH SWT?

Nazri, Sunway

Jawapan: 
Begitu besar rahmat dan kasih sayang Allah kepada umat manusia di dunia ini, sehingga tidak ada satu makhlukpun yang mampu menghitung besarnya rahmat Allah tersebut. Rahmat Allah yang luas itu diberikan kepada siapa yang dikehendakiNya tidak kira kepada orang yang beriman ataupun kepada orang ingkar. Dalam beribadah kepada Allah seseorang akan merasakan nikmat kedamaian dalam jiwanya jika ibadahnya diterima oleh Allah. Hati mereka menjadi tenteram bahkan segala kativiti harian yang dilakukannya diserahkan kepada ketentuan dan takdir Allah, setelah itu apapun ganjaran yang diterimanya diterima dengan perasaan redha.

Jika perasaan redha dan sabar telah menyatu dalam kehidupan dan keperibadian seseorang maka ini suatu bukti bahawa amalan yang dilakukannya itu diterima oleh Allah. Tetapi jika mereka tergolong orang yang taat mengerjakan ibadah,namun pada masa yang sama masih melakukan pekerjaan mungkar dan terkutuk, sehingga tidak meninggalkan bekas dalam hati dan kehidupannya. ini membuktikan bahawa amalannya tidak diterima oleh Allah.

Contoh lain, umpamanya dalam ibadah solat dengan tegas Allah jelaskan "bahawa solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar". Namun dalam praktiknya ramai orang mengerjakan solat tetapi pada masa yang sama melakukan kemungkaran, ini suatu bukti bahawa tanda-tanda amalan solatnya tidak diterima oleh Allah. Kerana ibadah solatnya tidak memenuhi ketentuan yang telah digariskan oleh Allah SWT tadi. Begitu juga dalam ibadah haji, jika seseorang setelah kembalinya daripada tanah suci memiliki keperibadian yang mulia dan berubah dari kurang baik kepada yang lebih baik, ini membuktikan bahawa hajinya tergolong haji yang mabrur ertinya hajinya diterima oleh Allah. Tetapi ada juga sekembalinya dari tanah suci keperibdiannya lebih jahil daripada sebelumnya, ini membuktikan bahawa hajinya adalah haji mardud ertinya amalannya ditolak oleh Allah SWT.

Puncak dari diterimanya amalan seseorang itu adalah hati mereka menjadi aman dan tenteram dengan mengingat Allah SWT. Firman Allah SWT maksudnya: "Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah hanya dengan mengingat Allah lah hati menjadi tenteram". (Ar ra'd ayat 28) Wallahu A'lam.

18. Mencapai Kepuasan Dalam Beribadah
Soalan: 
Saya seoarng student ITM. Masalah saya ialah saya kurang untuk beribadah dan bagaimana caranya untuk mencapai kepuasan dalam ibadah?

Hamba berdosa, Banting

Jawapan: 
Ibadah yang disertakan dengan ilmu dan rasa khusyuk akan mendatangkan ketenangan dan kedamaian dalam jiwa. Jika perasaan malas menghangtui diri, maka mustahil seseorang itu akan memperoleh kepuasan dalam beribdahnya. Jadi langkah awal untuk memperoleh ketenangan dalam ibadah, isilah jiwa dan fikiran dengan ilmu, terutama berkaitan dengan ibadah tersebut. setelah itu kerjakanlah secara tekun dan bersungguh-sungguh, barulah dapat dirasakan nikmat dan roh kedamian dalam beribadah.

19. Zikir Harian
Soalan: 
Saya sebenarnya ingin meminta jasabaik pihak tuan jika sekiranya dapat pihak tuan memberitahu saya zikir harian yang dapat saya ucapkan pada setiap hari contohnya : isnin - yaallah, selasa - subhanallah. sbb saya masih mencari cari zikir harian tersebut. Saya harap dapatlah sekirannya tuan memberitahu. Saya berharap agar pihak tuan akan mendapat keberkatan dengan adanya sesi ini?

Noraihan, KL

Jawapan: 
Ada ulama yang membahagi masa tertentu dalam melafazkan zikir-zikir menurut masa atau hari. Walaupun begitu berzikir dan berdoa kepada Allah tidak mengenal batas dan waktu yang boleh kita kerjakan bila-bila masa saja dan dimana sahaja asalkan bukan tempat-tempat yang makruh melafazkannya seperti dalam tandas dan sebagainya. Zikir-zikir yang diamalkan dengan jumlah tertentu dengan hari tertentu ini mungkin disusun untuk memudahkan orang awam melatih diri dalam memperbanyak zikir kepadaNya. Diantaranya:

Hari Ahad: Ya Hayyu Ya Qayyum ( 1000 X ) 
Hari Isnin: La haula wala quwwata illa billa hil 'aliyyil 'a ziim ( 1000 X ) 
Hari Selasa: Allahumma salli 'ala 'abdika warasulika wanabiyyikal amiina wa'ala alihi wasahbihi wasallim ( 1000 X ) 
Hari Rabu: Astagh firullahal 'a ziim ( 1000 X ) 
Hari Khamis: Subhanallahii 'a ziim , Subhanallahi wabihamdihi ( 1000 X ) 
Hari Jumaat: Ya Allah ( 1000 X ) 
Hari Sabtu: La ilaha illallah ( 1000 X )

20. Ke Arah Mustajab Doa
Soalan: 
Apakah setiap doa akan dimakbulkan oleh Allah? Maksud saya selagi ia tak bertentangan dengan agama. Atau ada doa yang tertolak olehNya. Bagaimanakah cara yang terbaik untuk berdoa. Andainya kita telah berdoa untuk sesuatu perkara, tetapi masih belum dimakbulkan, adakah berdosa jika kita sudah berputus harap terhadap doa itu?

Ida, Pekan

Jawapan: 
Berdoa ertinya bermohon atau meminta sesuatu yang baik daripada Allah Yang Maha Pemurah. Allah menyuruh orang-orang Islam berdoa atau meminta sesuatu kepadaNya. Bagi mereka yang tidak mahu meminta kepada Allah maka mereka tergolong insan yang takbur dan sombong. Jika permohonan seseorang itu belum lagi terkabul, bukan kerana Allah tidak memperkenankannya, kemungkinan doanya tidak memenuhi syarat-syarat berdoa yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW. Disamping itu doa orang mukmin itu pasti akan dikabulkan Allah SWT, cuma saja ada tiga peringkat cara diperkenankan doa tersebut. Pertama, Allah akan kabulkan doanya disaat itu juga, kedua, ditangguhkan pada masa akan datang, dan ketiga, akan menerima balasannya di akhirat.

Allah SWT berfirman: "Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribdat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina". (Al Mukmin ayat 60) 
Firman-Nya lagi maksudnya: "Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendahkan diri dan  dengan suaru perlahan-lahan". 
(Al A'raaf aayat 55) 
Ada beberapa kaedah atau peraturan bedoa yang membolehkan doa seseorang tersebut dimakbulkan oleh Allah SWT. Diantara kaedah tersebut ialah:

Dalam keadaan suci dari hadas kecil dan besar serta suci pakaian dan tempat berdoa.
Mengadap kiblat dan berdoalah dengan khusyuk, tawadhuk serta merendahkan diri kepada Allah SWT. 
Doa dimulai dengan mumuji Allah, sekurng-kurangnya membaca "Alhamdulillahi Rabbil 'alamin" diikuti dengan membaca selawat atas Nabi.
Angkat kedua tangan hingga kelihatan kedua ketiak disamping perut dan anak jari mengadap ke atas. 
Setelah selesai berdoa sapukan tangan ke muka. 
Berdoa hendaklah dengan penuh yakin bahawa Allah SWT akan memperkenankan doa kita itu. Jangan sekali-kali  dalam keadaan hatinya lara dan lalai atau tidak cukup kuat keyakinannya serta kemahuannya. Tuhan tidak akan memperkenankan doa seperti tersebut. 
Setiap orang Islam hendaklah membanyakkan berdoa kepada Allah semasa dalam keadaan senang supaya Allah memperkenankan doanya ketika berdoa dalam keadaan susah. 
Berdoalah dengan suara yang perlahan serta merendahkan diri disamping mengakui segala kesalahan dan dosa-dosa yang pernah dilakukan. 
Sebaik-baik doa ialah dengan kata-kata yang mudah dan ringkas serta mempunyai pengertian yang luas. 
Untuk memohon sesuatu hajat, ulangilah menyebutnya sehingga sekurang-kurangnya tiga kali. 
Jangan sekali-kali berdoa untuk meminta sesuatu keburukan atau kejahatan dosa, perpecahan dalam masyarakat atau keluarga. Begitu juga jangan meminta sesuatu yang mustahil. 
Jangan sekali-kali merajuk apabila doanya belum dikabulkan oleh Allah SWT. Sebaliknya hendaklah bersabar dan terus berdoa disamping berserah diri kepada Allah SWT. 
Sebelum diakhiri dengan ucapan amin, setiap doa hendaklah ditutup dengan selawat Nabi SAW serta puji-pujian kepada Allah SWT.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML