KISAH 16 Jenazah Ditemui Masih Elok Sempurna, Kubur Berbau Harum
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Orang ramai yang membantu kerja-kerja menggali semula Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Badak Segamat, kelmarin terkejut apabila mereka diselubungi bau harum dan menemui 16 jenazah termasuk Allahyarham Maheran Jaaffar, seorang guru Al-Quran yang masih lagi elok dan sempurna.
Lebih mengejutkan, turut ditemui pasangan anak beranak, Allahyarham Jaafar Mohd Said, 78, dan Yusuf yang masih dalam keadaan baik. Kedua-duanya merupakan bekas Penghulu Mukim Gemereh. Pusara kesemua jenazah tersebut yang digali semula untuk dipindahkan telahpun dikebumikan antara tujuh hingga 40 tahun lalu. Al-Fatihah…
.
.
16 Jasad Ditemui Sempurna
Selain jasad arwah Jaafar Mohd Said, Yusuf dan Maheran, 15 lagi jasad termasuk dua janin turut didapati masih sempurna daripada keseluruhan 150 kubur yang digali dan mayat di dalamnya dipindahkan bagi memberi laluan kepada projek pelebaran Jalan Segamat-Ledang.
Kesemua jenazah itu ditemui dalam keadaan sempurna dan berbau wangi, tidak ubah seperti hari pertama ia dikebumikan walaupun pada hakikatnya telah dikebumikan sejak berdekad lalu di tanah perkuburan berusia lebih 100 tahun itu.
Jenazah-jenazah tersebut ditemui dalam keadaan sempurna. Sedangkan menurut pakar feronsik mayat akan cepat mereput dan seharusnya hanya tinggal tulang sahaja dalam tempoh sebulan.
Penyelia Tanah Perkuburan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Jamaluddin Sapuan, 52, berkata, perkara tersebut disedari pekerja yang terlibat dalam usaha menggali dan memindahkan kira-kira 150 jenazah di tanah perkuburan yang menempatkan 350 buah kubur sejak hari pertama kerja tersebut dijalankan.
“Sejak hari pertama penggalian sehingga kelmarin, terdapat 12 jasad yang dikeluarkan dengan keadaan kain kafan masih baik, cuma sedikit kotor dan lusuh.”
“Jasad yang kain kafannya masih elok ini baru berusia di antara lapan hingga 12 tahun dan boleh dikategorikan sebagai baharu. Jasadnya tetap sama tidak berubah seperti hari pertama dikebumikan dan hanya sedikit bahagian anggota badan yang terusik,” katanya
Beliau yang terlibat menyelia penggalian dan pemindahan 150 jasad di tanah perkuburan tersebut bagi memberi laluan pembinaaan Lebuh Raya Segamat-Tangkak-Muar sejauh 63 kilometer.
Kerja menggali dan memindahkan kubur terbabit mula dilakukan pada 6 November lalu dan dijadualkan berakhir minggu depan.
“Seramai 15 penggali kubur yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) memulakan kerja menggali sambil dilihat beberapa jabatan kerajaan, waris dan penduduk setempat.” katanya.
Beliau berkata, selepas dikeluarkan, kesemua jenazah itu terus disarungkan semula dengan kain yang baharu dan bersih. Ia kemudian dimasukkan ke dalam keranda untuk disemadikan semula di kawasan baharu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alai, kira-kira dua kilometer dari tapak lama.
.
.
Tanda Kekuasaan Allah SWT
Jamaluddin berkata, kejadian tersebut bukanlah sesuatu yang pelik. “Penemuan jenazah yang masih sempurna dan berbau wangi tanda kekuasaan Allah SWT dan balasan yang baik kepada mereka yang melakukan suruhan Allah.”
“Ia membuktikan kekuasaan Allah terhadap hamba-Nya yang terpilih. Banyak perkara tersirat daripada kejadian ini. Majoriti jenazah dalam keadaan baik, masih ada daging yang tidak reput,” katanya.
Jamaluddin yang sudah 22 tahun menggali kubur pernah menemui jasad yang langsung tidak terusik meskipun ia sudah 30 tahun dikebumikan dan penemuan dalam kerja pemindahan jenazah ke tanah perkuburan baharu ini perlu menjadi pengajaran sebagai bukti kekuasaan Allah SWT.
“Kes yang terbaharu ini boleh menjadi iktibar dan pedoman kepada kita yang masih hidup,” jelasnya.
Dia yang sebelum ini terlibat dengan kerja pemindahan tanah perkuburan di Pengerang, Kota Tinggi, berkata, sejak hari pertama kerja dijalankan tanah perkuburan tersebut diselubungi bau harum, namun dia menganggap itu sebagai paparan pengajaran untuk umat akhir zaman.
.
.
Tidak Meninggalkan Solat Berjemaah
Azli Lisot, 49, waris kepada Allahyarham Rahmat Raub, 65, yang jasadnya antara 16 jenazah didapati masih berkeadaan sempurna ketika kerja menggali dan memindahkan 150 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Badak, dilakukan.
Azli yang berada di tanah perkuburan sejak 6 November lalu untuk melihat proses penggalian dan pengebumian semula dilakukan berkata, arwah bapa saudaranya itu yang juga bekas tentera yang pernah bertempur dengan pengganas Komunis di Baling, Kedah dan kembali menetap di kampong itu selepas bersara telah meninggal dunia pada 2006 akibat sakit tua. Al-Fatihah…
“Saya terkejut apabila mendapati jasad arwah masih dalam keadaan baik. Arwah adalah imam surau di kampung ini dan sentiasa berjemaah di surau atau masjid.”
“Ketika hayatnya, arwah bapa saudara tidak pernah meninggalkan solat dan sentiasa berjemaah di surau atau masjid walaupun dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan.
“Pernah sekali dia diusung ke masjid untuk solat berjemaah walaupun dinasihatkan supaya hanya untuk bersolat di rumah,” kata Azli.
Sewajarnya kita mengengambil ikhtibar dan berusaha mencontohi Allahyarham Rahmat Raub yang amat menjaga solat jemaahnya dan berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah SAW, sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis berikut:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَلْقَى اللَّهَ غَدًا مُسْلِمًا فَلْيُحَافِظْ عَلَى هَؤُلَاءِ الصَّلَوَاتِ حَيْثُ يُنَادَى بِهِنَّ, فَإِنَّ اللَّهَ شَرَعَ
لِنَبِيِّكُمْ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُنَنَ الْهُدَى, وَإِنَّهُنَّ مِنْ سُنَنِ الْهُدَى, وَلَوْ أَنَّكُمْ صَلَّيْتُمْ فِي بُيُوتِكُمْ كَمَا يُصَلِّي هَذَا الْمُتَخَلِّفُ فِي بَيْتِهِ لَتَرَكْتُمْ سُنَّةَ
نَبِيِّكُمْ, وَلَوْ تَرَكْتُمْ سُنَّةَ نَبِيِّكُمْ لَضَلَلْتُمْ …وَلَقَدْ رَأَيْتُنَا وَمَا يَتَخَلَّفُ عَنْهَا إِلَّا مُنَافِقٌ مَعْلُومُ النِّفَاقِ وَلَقَدْ كَانَ الرَّجُلُ يُؤْتَى بِهِ يُهَادَى بَيْنَ الرَّجُلَيْنِ
حَتَّى يُقَامَ فِي الصَّفِّ. رَوَاهُ مُسْلِمٌ.
Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: “Sesiapa yang suka untuk berjumpa Allah di besok hari (qiamat) dalam keadaan muslim (selamat), maka hendaklah dia menjaga solat-solat fardhu (dengan dilakukan berjemaah) di mana sahaja azan berkumandang. Sesungguhnya Allah SWT telah mensyariatkan kepada Nabi kamu sunanul huda (jalan-jalan hidayah), dan sesungguhnya solat berjemaah itu sebahagian daripada sunanul huda. Maka jika kamu bersolat di rumah-rumah kamu sebagaimana orang yang tidak hadir ini bersolat di rumahnya, maka sebenarnya kamu telah meninggalkan sunnah Nabi kamu. Dan jika kamu meninggalkan sunnah nabi kamu, nescaya kamu akan sesat…Dan sesungguhnya kami (para sahabat) menganggap bahawa tiada yang tidak hadir untuk berjemaah melainkan orang munafiq yang jelas kemunafiqannya. Dan sesungguhnya ada seorang lelaki (di kalangan kami yang uzur) dibawa (juga untuk berjemaah) dengan dipapah oleh dua orang, (dipapah) sehinggalah dia diletakkan ke dalam saf (solat).”
(Hadis Riwayat Muslim r.a.)
.
.
Arwah Amal Baca Al-Quran Ketika Hidup
Allahyarham Mohd. Said Ahmad yang jenazahnya masih sempurna selepas 40 tahun dikebumikan. Allahyarham yang kuburnya digali kelmarin bukan sahaja seorang yang warak semasa hayatnya malah tidak pernah lekang membaca Al-Quran jika ada masa terluang.
Anak Allahyarham, Jaafar Mohd Said, 78, berkata, arwah bapanya pernah menjadi Penghulu Mukim Gemereh ketika hayatnya dan telah meninggal dunia sekitar tahun 1970-an, ketika berusia 78 tahun.
Menurut Jaafar, sepanjang hayat bersama ayahnya, dia mendapati ayahnya yang sangat penyabar itu tidak pernah marah walaupun dia merupakan penghulu Mukim Gemereh.
Malah ayahnya suka menolong orang yang dalam kesusahan dan sifat itu diwarisi oleh abangnya, Yusuf yang kemudian mengambil alih jawatan Penghulu Mukim Gemereh sebelum meninggal dunia ketika berusia 63 tahun, tujuh tahun lalu.
“Apa yang boleh saya perkatakan ialah kedua-dua waris saya ini semasa hayatnya memanglah warak dan taat kepada ajaran agama.”
“Mereka selalu membaca Al-Quran setiap kali ada masa terluang,” katanya.
Sukar untuk saya menyatakan sesuatu berhubung perkara ini kerana apa yang berlaku hanya Allah sahaja yang tahu sebabnya yang tidak terjangkau oleh pemikiran kita sebagai hamba-Nya yang lemah. Saya bimbang jika apa yang berlaku ini boleh mendorong kita kepada sifat riak dan takbur.
.
Sementara itu, Rahmah Mohd Zain, 77, waris kepada dua lagi jasad yang tidak terusik berkata, ini merupakan kali pertama dia berhadapan dengan situasi seperti itu dan bersyukur dapat melihat kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.
“Saya pernah tinggal berhampiran kubur ini selama 32 tahun. Di sini, terdapat empat buah kubur waris saya iaitu kubur datuk, emak, kakak ipar dan adik lelaki saya. Kubur kakak ipar, Senyum Salleh dan adik lelaki saya, Harun Mohd. Zain sahaja yang masih elok kain kafannya.”
“Salah satu jasad yang masih elok itu ialah Ahmad Raof dan seorang lagi dikenali sebagai Mehran yang sewaktu hayatnya merupakan seorang yang alim dan sering ke surau lama yang terletak bersebelahan kubur ini. Arwah Mehran pula tidak pernah meninggalkan solat, di samping mengajar mengaji tanpa upah,” katanya lagi.
Hamisah Kassim, 67, anak kepada Mehran Jaafar yang tinggal tidak jauh dari tanah perkuburan tersebut memberitahu, “Seorang lagi warisnya yang ditemui dalam keadaan sempurna adalah abang iparnya, Ahmad Raof yang meninggal dunia lapan tahun lalu.”
“Saya tidak dapat memastikan apakah kedua-dua mereka (ibu dan abang ipar) hafal al-Quran, tetapi setahu saya, mereka berdua memang membaca al-Quran hampir setiap hari. Tapi apa yang saya dengar jenazah orang yang hafal al-Quran selalunya tidak mereput,” katanya.
.
Waris kepada beberapa jenazah yang ditemui dalam keadaan sempurna semasa kerja penggalian dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Badak mahu orang ramai mengambil iktibar daripada kejadian tersebut sebagai renungan hidup.
Jaafar Mohd. Said, 78, waris kepada Mohd. Said Ahmad dan Yusuf Mohd. Said, masing-masing bapa dan abangnya, menyifatkan segala yang berlaku sebagai petanda baik, selain berharap roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh. Al-Fatihah…
Mayat Guru Al-Quran Dikebumi 7 Tahun Lalu Masih Sempurna Dan Wangi
Jenazah Allahyarham Maheran Jaaffar, seorang guru agama yang meninggal kira-kira 7 tahun lalu pada 2006 adalah antara 350 kubur yang turut digali semula untuk dipindahkan, ditemui dalam keadaan sempurna dan berbau wangi ketika kerja menggali tanah perkuburan tersebut kelmarin.
Waris melihat jenazah ahli keluarga mereka dibawa keluar.
Waris melihat jenazah ahli keluarga mereka dibawa keluar.
Ketika dikeluarkan dari liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Badak kelmarin, jasad arwah Maheran didapati masih dalam keadaan sempurna.
“Ketika proses menggali dan mengeluarkan jasad arwah dilakukan, tiba-tiba seluruh kawasan tanah perkuburan ini berbau harum.”
“Saya melihat sendiri kain kafan yang membaluti arwah masih berkeadaan baik. Ia tidak reput, sebaliknya hanya dikotori tanah,” kata Abdullah Abdul Karim, 74.
Abdullah adalah menantu kepada arwah Maheran Jaaffar yang meninggal dunia akibat sakit tua pada 2006 ketika usia 74 tahun.
.
.
Rajin Zikir, Patuhi Suami
Abdullah berkata, dia yakin keistimewaan yang dikesan pada jasad arwah Maheran, berkait rapat dengan amalan arwah ibu mentuanya ketika hidup.
“Arwah rajin berzikir dan amalan itu dilakukan sebaik bangun daripada tidur. Malah, arwah tidak pernah mengambil sarapan sebelum berzikir. Arwah juga sangat patuh kepada suami selain rajin beribadah di masjid dan dia juga mengajar al-Quran kepada anak-anak jiran,” katanya.
Selain itu, Abdullah berkata, arwah ibu mentuanya yang agak pendiam juga seorang yang pemurah dan sering bersedekah.
“Saya bekerja sebagai penjaga di tanah perkuburan ini sejak 20 tahun lalu. Keadaan jasad arwah ibu mentua yang masih sempurna biarpun selepas tujuh tahun dikebumikan menunjukkan kebesaran Allah yang perlu dijadikan iktibar.”
“Saya juga bersyukur kerana segala proses menggali kubur dan memindahkan jasad ibu mentua saya serta jasad lain berjalan lancar,” katanya lagi.
.
.
Bertanggungjawab
Anak sulung Allahyarham Maheran, Hamisah Kassim, 67, berkata beliau terkejut dan hiba apabila dimaklumkan jenazah ibunya dalam keadaan wangi dan masih sempurna, termasuk kain kapan yang masih utuh.
“Kubur emak adalah yang pertama digali untuk dipindahkan ke Tanah Perkuburan Wakaf di Kampung Tasek. Saya terharu diberitahu jenazah ibu masih elok dan wangi.
“Mungkin itu balasan yang diterima ibu kerana ketika hayatnya arwah mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran. Seingat saya, arwah sentiasa mengamalkan amalan berselawat, berzikir dan sering bersedekah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Hamisah berkata, arwah ibunya juga seorang yang bertanggungjawab menjaga empat lagi adik-beradiknya dan seorang yang pendiam. Beliau turut bersyukur dan berharap roh arwah ibunya ditempatkan Allah bersama roh orang soleh.
.
.
Insan Berhati Mulia
Sementara itu, individu yang mengurus dan mengkafankan jenazah arwah Maheran, Wan Khatijah Wan Abas, 80, berkata, dia terharu apabila berpeluang melihat jenazah arwah digali semula dari kubur.
“Saya dapati tali pengikat dan kain kafan jenazah arwah masih cantik, seolah-olah sahabat saya ini baru meninggal dunia semalam.”
“Tiada langsung bahagian kain kafan yang rosak. Ini memang petunjuk daripada Allah kepada hamba-Nya. Saya bersyukur diberi peluang menatap kebesaran Allah ini,” katanya.
Menurut Wan Khatijah, ketika mengkafankan jenazah arwah Maheran lapan tahun lalu, ia cukup mudah dilakukan.
“Arwah memang insan berhati mulia. Ini balasan Allah untuk orang sebaik arwah,” katanya.
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
.
No comments:
Post a Comment