GAMBAR HIASAN |
Orang Mukmin Hatinya Sentiasa Tenang dan Reda Dengan Kententuan Tuhan Kepadanya
أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT maksudnya : "Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd ayat 28)
Soalnya bagaimana hati seseorang boleh menjadi tenteram dan tenang dengan mengingati Tuhan?
Ini adalah kerana apabila hati seseorang mengingati Tuhan maka seseorang individu itu akan sedar, insaf dan faham apakah maksud ketentuan dan takdir Tuhan yang telah menimpa dirinya. Bila ditimpa musibah, katakanlah kemiskinan, dia sedar bahawa itu adalah ketentuan dari Allah SWT yang wajib diterima atas sifatnya sebagai hamba Allah.
Walaupun kalian telah berusaha segigih dan sekuat mungkin, tetapi jika ditakdirkan miskin, rezeki yang diusahakannya tidak berjaya, maka kalian perlu menerima bahawa segala ketentuan itu dengan hati yang sabar. Dalam hati perlu berkata, “takdir sentiasa mengatasi tadbir. Tentu ada hikmah di sebalik kepahitan ini.”
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan." (Surah al-Anbiyaa': 35)
Adapun orang yang benar dalam beriman ia akan senantiasa bertakwa kepada Allah dan menghambakan diri kepada-Nya dalam keadaan apapun. Bila ia mendapat kesenangan, kemudahan, dan kekayaan ia bersyukur. Namun jika ditimpa kesulitan, kesusahan, dan kemiskinan ia bersabar.
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya : "Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin. Sungguh seluruh urusannya adalah baik. Dan hal itu tidak dimiliki oleh seorangpun kecuali seorang mukmin. Jika ditimpa kesenangan ia bersyukur, maka hal itu baik baginya. Dan jika ditimpa musibah ia bersabar, maka hal itu juga baik baginya." (Hadis Riwayat Muslim dari Shuhaib ar-Rumi)
Kalian tidak akan menyalahkan diri sendiri, orang lain, apalagi Tuhan atas nasib yang menimpa kalian. Kerana apa? Kerana kalian perlu sedar sebagai hamba kalian hanya mampu berusaha tetapi ketentuan di tangan Allah SWT. Maka dengan keyakinan yang sebegini kalian akan merasai satu ketenangan dan kelapangan yang menjadikan kalian tidak mudah untuk marah-marah dan kecewa dalam hidup.
Kalian perlu yakin, bahawa semua takdir Allah itu adalah baik kerana ia datang dari Allah (yang Maha Pengasih) walaupun jika dilihat secara lahiriahnya kelihatan negatif. Sebab itu kalian diajar mengucapkan “innalillah wa inna ilahirajiun…” – ertinya "kami datang dari Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan."
Allah SWT berfirman maksudnya : "Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya."
(Surah al-Baqarah, ayat 155-157).
Tegasnya, ucapan ini mengingatkan bahawa kalian adalah hamba-Nya. Maka jika kalian sedar akan hakikat itu, layakkah kalian sebagai hamba untuk ‘memberontak’ menentang sebarang ketentuan Allah?
Sebagai hamba Allah SWT kalian wajib berusaha bukanlah alasan untuk menolak kemiskinan, kesakitan dan kegagalan namun jika ia berlaku juga tentulah ada kebaikan yang tersembunyi.
Tidak semua orang yang berubat akan sembuh dengan ubat yang dimakan dan tidak semua orang yang berusaha akan memperolehi apa yang dihajatkan. Usaha dan berikhtiar adalah ibadah dan kejayaan adalah urusan Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang .
Jika kalian meletakkan usaha itu pasti berjaya 100% ini bermakna kalian mendahului ketentuan Allah SWT dan menjadikan usaha itu sebagai 'tuhan' yang menentukannya.
Dan hakikat itu pastinya tidak dapat di singkap dengan akal yang sejengkal berbanding dengan ilmu Allah yang Maha luas. Lupakah kalian bahawa Allah pernah mengingatkan bahawa ada perkara yang di benci tetapi itu membawa kebaikan untuk kalian dan ada perkara yang kalian sukai tetapi itu tidak baik. Allah lebih mengetahui dan kalian sama sekali tidak mengetahui rahsia dan hikmah sesuatu kejadian ciptaan Tuhan.
Firman Allah SWT maksudnya : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah ayat 216)
Orang yang hatinya mengingati Allah juga akan bersifat syukur apabila mendapat nikmat. Hatinya tidak terlalu melonjak-lonjak, sombong, zalim dan memandang rendah kepada orang lain. Perlu sedar bahawa kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT hakikatnya adalah satu amanah daripada-Nya yang mempunyai maksud tertentu untuk difahami dan dilaksanakannya.
Syukur ertinya, menyedari bahawa nikmat itu adalah dari Allah seterusnya menggunakan nikmat itu selaras dengan tujuan pengurniaan nikmat tersebut. Jika kalian diberi kekayaan, kalian perlu sedar itu adalah amanah dari Allah untuk membantu hamba Allah yang lain. Maka dibelanjakanlah kelebihan itu untuk membantu fakir miskin melalui ibadah zakat, sedekah dan hibah. Jika kalian pandai, perlulah merasai bahawa rasa kepandaian itu datangnya dari Allah SWT lalu digunakannya kepandaian itu untuk mengajar orang lain dan membantu masyarakat.
Janganlah menjadi sombong seperti Qarun, yang merasai kekayaannya adalah hasil kepandaiannya berniaga, sedangkan dia lupa bahawa Nabi Musa a.s. telah mengajarkan ilmu Allah SWT kepadanya untuk menukarkan benda lain menjadi emas tulin. Sebaliknya jadilah peribadi mulia seperti mewarisi sifat Nabi Sulaiman a.s. yang apabila dipuji baginda berkata: “Semua ini adalah pemberian Tuhanku.”
Justeru apabila kalian dikurniakan nikmat, kalian telah diajar untuk mengucapkan alhamdulillah – ertinya, segala puji bagi Allah. Apa rahsia di sebalik ucapan ini? Ertinya, kalian diminta memuji Allah SWT bukan memuji diri sendiri apabila mendapat nikmat. Bila dikurniakan harta, ucapkanlah ‘segala puji bagi Allah’ yang bermaksud Tuhan itulah yang mengurniakan harta kepada kalian dan kepada-Nyalah kalian wajib berterima-kasih. Hati kalian akan puas dengan apa yang diberikan-Nya.
Sebaliknya jika kalian tidak rasakan itu pemberian dari Tuhan, maka kalian akan ditimpa oleh dua kemungkinan – satu rasa sombong diri dengan kelebihan dan kurniaan itu. Atau yang kedua, rasa belum cukup puas dengan apa yang ada dan terus haloba dengan apa yang tiada.
Mencari dan terus mencari, umpama orang yang minum air laut, makin diminum makin haus. Fenomena inilah yang melahirkan amalan ‘jenayah kolar putih’ – rasuah, penyelewengan dan berbagai-bagai skandal kewangan dikalangan orang atasan.
Sudah kaya harta, tapi masih tamak kerana miskin hatinya. Hakikat inilah yang pernah digambar oleh maksud hadis bahawa jika dunia ini diserahkan kepada seorang yang tamak, maka dia akan menuntut sebuah lagi dunia yang seumpanya.
Inilah bahana kerakusan nafsu yang tidak pernah kenal erti cukup dan puas. Ya, jika direnung dalam-dalam, ramai manusia hari ini tidak kira di mana, walau siapapun dirinya, dan pada bila-bila masapun, telah mengalami ‘sakit rohani’ . Memang, sifat sabar dan syukur jarang dimiliki oleh manusia.
Manusia selalunya bersifat keluh-kesah bila ditimpa musibah, tetapi lupakan diri apabila menerima nikmat. Tidak sabar dan tidak syukur ini menyebabkan manusia menderita dalam apa jua keadaan – sama ada dalam kekurangan atau dalam kelebihan.
Benarlah kata hukama bahawa, “barang siapa yang tidak cukup dengan yang sedikit, pasti tidak akan puas dengan yang banyak.”
Sahabat yang dimuliakan,
Harta dan wang ringgit tidak dinafikan perlu untuk kebahagiaan hidup tetapi ia bukanlah satu-satunya faktor yang menjamin kebahagiaan. Dunia masakini telah dihuni oleh ramai orang miskin yang kecewa, marah dan hasad terhadap kekayaan orang lain. Dan dengan sifat-sifat negatif itulah mereka terdorong untuk melakukan perbuatan mencuri, merompak dan rasuah. Kemiskinan harta yang dialami diiringi juga oleh kemiskinan hati.
Dunia masakini juga telah dipenuhi oleh orang kaya yang tidak bersyukur, yang terus merasa miskin walaupun ditimbuni oleh wang ringgit dan harta. Akibat kemiskinan hati, orang kaya ini sentiasa merasa kurang dengan apa yang ada.
Akibatnya, berlakulah penyelewengan, penipuan dalam perniagaan, merasuah, mengambil riba dan lain-lain jenayah kewangan yang dilakukan oleh orang yang telah kaya.
Dengan adanya dua kelompok manusia ini, dunia menjadi semakin huru-hara. Tidak ada hubungan yang harmoni antara yang miskin dan kaya. Yang miskin hasad dengki manakala yang kaya pula terus tamak dan sombong.
Carilah kekayaan hati di samping mencari kekayaan harta. Kekayaan hati bukan sahaja penting di akhirat sebagai jaminan keselamatan dan kebahagiaan di sana. Namun ia juga penting untuk kebahagiaan kita di alam dunia ini lagi.
Percayalah, ketenangan di dunia ini adalah bayangan kepada kebahagiaan di akhirat. Justeru dunia adalah ‘ladang’ akhirat. Bagaimana kalian akan dapat menuai hasil yang baik dan lumayan di akhirat nanti, jika pokok yang di tanam di dunia bantut dan kering layu?
Sebab itu ahli sufi pernah berkata: “Carilah syurga yang disegerakan di dunia (ajjanatul ajilah) yang berupa ketenangan hati kerana barangsiapa yang tidak mendapat syurga di dunia lagi, maka sukarlah ia mendapat syurga di akhirat nanti!”
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita sendiri, perbaikilah hati, jiwa dan akhlak kita untuk menjadi insan kamil, insan yang akan beroleh kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di hari akhirat dan diselamatkan oleh Allah SWT daripada seksaan api neraka.
Ingatlah nikmatnya syurga dunia adalah hati sentiasa lapang, tenang, bila kaya hati bersyukur dan bila miskin dan ditimpa musibah hati bersabar. Nikmat syurga akhirat yang paling hebat adalah dapat melihat wajah Allah SWT dan juga dapat menikmati kelazatan hidup tidak dapat dibayangkan dengan akal dan tidak pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga.
No comments:
Post a Comment