Sunday, February 9, 2014

RAHSIA ALLAH

Enam Rahsia Allah SWT Kepada Hamba-hamba-Nya

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya . Nikmat dan rahmat Allah SWT yang telah dikurniakan-Nya ketika di dunia ini terlalu banyak hingga manusia tidak akan mampu membalasnya. Nikmat yang paling besar Allah SWT kurniakan kepada kita adalah nikmat iman dan Islam. Dengan nikmat ini kita menjadi mulia di dunia ini dan menjadi umat terbaik dan di hari akhirat nanti kita akan mendapat balasan dan nikmat syurga yang tiada tolok bandingnya.

Terdapat enam rahsia Allah SWT tidak diberitahu-Nya kepada manusia semata-mata sebagai ujian untuk manusia meneruskan amal-amal soleh yang berterusan tanpa rasa ragu-ragu, kecewa dan bangga diri.

Sayyidina Umar bin Al-Khattab r.a berkata :

Pertama : Allah menyembunyikan keredaan dalam ketaatan.

Allah tidak menzahirkan penerimaan atas amalan-amalan ketaatan yang kita persembahkan  kepadaNya supaya kita tidak kecewa diatas amalan tersebut dengan hikmah agar kita terus melakukan amalan tersebut,walaupun terdapat sedikit kecacatan yang kita tidak ketahui.

Dalam satu hadis Qudsi Allah berfirman yang bermaksud: “Ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsia-Ku. Aku titiskan ia dalam hati hamba-hambaku yang Aku mangasihinya” (Riwayat Abu Hasan Al Basri)

Kerana ikhlas satu rahsia Allah tentu tidak mungkin kita dapat mengetahui siapa yang ikhlas dan siapa yang tidak. Malah diri kita sendiri pun mungkin kadang-kadang susah untuk dipastikan apakah amalan kita itu ikhlas atau sebaliknya. 

Bagi orang-orang yang ikhlas, pujian dan kejian tidak pernah difikirkan apalagi hendak di harapkan. Mereka sangat takut kalau-kalau Allah menolak amalan dan memurkai mereka. Sebaliknya mereka sangat ingin Allah menerima baik amalan-amalan mereka serta meredaai mereka. Mereka sanggup mengetepikan kepentingan sendiri dalam usaha mencari keredaan Allah. Mereka tidak bimbang nasib diri, rugi atau untung, orang keji atau puji, menang atau kalah, yang penting supaya Allah menerima baik amalan mereka.

Rasulullah SAW kerana menganjurkan sifat ikhlas telah bersabda yang bermaksud:“Berbuat baiklah pada orang yang berbuat jahat kepada kamu”

Seseorang yang mencari keredaan Allah, akan sentiasa mencari peluang untuk berbakti kepada-Nya. Ketika orang lain bertindak jahat pada mereka, mereka akan merasa berpeluang untuk mendapat pahala dan kasih sayang Allah. Sebab itu kejahatan orang diterima baik dan dibalas dengan kebaikan pula.

Kedua : Allah menyembunyikan kemurkaan diatas kemaksiatan kita. 

Allah tidak menarik nikmat dan kemewahan daripada seseorang, walaupun nikmat yang Allah anugerahkan kepadanya digunakan untuk kemaksiatan kerana Allah masih bersifat rahmat didunia, sedangkan sebenarnya Allah murka kepada kita.

Allah SWT. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Barang siapa memperbanyak Istighfar maka Allah akan membebaskannya dari kedukaan, dan memberinya jalan keluar bagi kesempitannya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak diduga-duga"
(Hadis Riwayat Abu Dawud).

Oleh yang demikian kita perlu selalu dan segera bertaubat. Taubat bererti kita kembali merujuk kepada Allah. Meninggalkan dosa, menyesali yang sudah terlanjur dan berazam untuk tidak mengulangi lagi serta memperbaiki amalan dengan memperbanyakkan kebaikan. Ia adalah proses pembersihan dari kekotoran. Orang yang bertaubat bersih dari segala dosa.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud : "Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak punya dosa."

Ketiga : Allah menyembunyikan kedatangan  malam Lailatul Qadar pada tarikh tertentu agar hambaNya tidak melakukan ibadat pada malam tersebut sahaja dan berpesta maksiat pada malam-malam yang lain.

Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat.

Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3. yang maksudnya :" Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu malam "   

Maksudnya adalah kita menghidupkan malam Lailatul-Qadardengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi SAW maksudnya :" Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada
dosa-dosa yang telah lalu "

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW. apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan  maksudnya : " Rasulullah SAW. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh
akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam-malam lain. "

Oleh itu Allah menghendaki  hambaNya melakukan ketaatan dan beribadah sepanjang bulan Ramadan (utamakan 10 malam terakhir) dan sepanjang hayatnya.

Keempat : Allah menyembunyikan wali-wali Allah  atau hambaNya yang dikasihi supaya manusia tidak menghina atau menyembah wali-wali tersebut.

Dari Abu Hurirah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Allah Ta’ala berfirman, barang siapa memusuhi wali-Ku maka aku izinkan untuk diperangi. Tidaklah seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan suatu amal ibadah yang lebih aku cintai dari pada perkara yang Aku wajibkan. Hamba-Ku akan senantiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan sunnah hingga Aku mencintainya. Jika Aku mencintainya, Akulah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, Akulah penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, Akulah tangannya yang dia gunakan untuk berbuat, Akulah kakinya yang dia gunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepada-Ku akan Aku berikan, jika dia meminta perlindungan pada-Ku, akan Aku lindungi.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Istilah wali menurut Ahlusunnah wal Jamaah adalah setiap mukmin yang bertakwa dan bukan Nabi. Inilah definisi Wali menurut Ahlusunnah wal Jamaah iaitu bahwa Wali adalah setiap orang yang memiliki keimanan dan ketakwaan.

Kerana derajat keimanan dan ketakwaan bertingkat-tingkat, maka derajat kewalian iaitu kecintaan dan pertolongan Allah pada hamba-Nya-juga bertingkat-tingkat. Yang dimaksud dengan wali adalah orang yang senantiasa menyempurnakan keimanan dan ketakwaan sesuai dengan kemampuannya serta sebagian besar keadaannya berada dalam keimanan dan ketakwaan. Hal ini berdasarkan firman Allah SAW maksudnya : “Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa.”
(Surah Yunus ayat 62-63)

Sesungguhnya wali Allah akan dibenci oleh mereka yang bertuhankan hawa nafsu kerana wali-wali Allah tidak pernah menaruh hati sedikit pun pada tawaran-tawaran mereka.

Kelima : Allah menyembunyikan tarikh kematian hambaNya dengan hikmah agar hambaNya sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan dan tidak melakukan kemaksiatan kerana mati akan tiba pada bila-bila masa sahaja.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Surah al-Anbiyak ayat 35)

Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat kematian. Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau miskin.

Rasulullah SAW  juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak kulitnya dari daging ketika hidup-hidup. Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian.

Kalau hendak diikutkan siapa yang hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yang amat menyeksakan. Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan husnul khatimah (kematian yang baik).

Rasulullah SAW. pernah berpesan bahawa orang yang sebenarnya cerdik ialah orang yang mengingati mati, lalu dia mempersiapkan diri untuk menghadapi saat-saat itu. Jadi apabila tiba masanya dia tidaklah kelam kabut atau menyesal berpanjangan.

Jika Allah zahirkan tarikh dan tempat kematiannya pasti hamba-hambaNya tidak dapat menjalani kehidupan ini dengan lebih sempurna, lihatlah  banduan yang berada dibilik akhir sebelum dihukum gantung, mereka telah hilang akal dan melakukan perkara-perkara diluar akal kita kerana akal mereka sudah tidak berfungsi lagi.

Keenam : Allah menyembunyi solat kita yang terbaik disisiNya dengan hikmah supaya kita terus beribadat dan solat kepadaNya sepanjang hayat.

Ibnu Abbas ra. berkata: Nabi SAW. bersabda : Allah SWT. berfirman maksudnya : "Sesungguhnya Aku hanya menerima solat dari orang yang merendahkan diri kerana keagungan-Ku dan tiada menyombongkan dirinya di atas makhluk-Ku, tiada terus menerus bermaksiat pada-Ku, menghabiskan masa harinya berzikir kepada-Ku, berbalas kasih kepada orang miskin, orang musafir-ibnussabil- perempuan janda dan orang yang terkena mushibah. Ia bercahaya laksana matahari. Aku lindungi ia dengan kesabaran-Ku dan memerintahkan malaikat-Ku menjaganya. Aku berinya cahaya dalam kegelapan dan kesabaran dalam kesukaran. Ia di antara makhluk-makhluk-Ku laksana "firdaus" diantara barisan Syurga".
(Hadis Riwayat Al-Bazzar)

Sebelum Allah SWT  menerima solat seseorang hamba di hari akhirat nanti.maka Allah SWT. akan terima solat itu di dunia ini lagi.Jika Allah SWT menolak solat seseorang ketika di dunia maka solatnya tidak akan diterima apabila dipersembahkan olehnya dihadapan Allah SWT nanti. Selain daripada khusyuk dan betul dari rukun dan syarat sah solat, terdapat lima faktur lain yang akan diambil kira untuk diterima solat kita oleh Allah SWT :

1. Merendakkan diri kerana keagungan Allah SWT.

2. . Tidak bersikap sombong kepada makhluk Allah SWT.

3.. Tidak berterusan melakukan maksiat. Jika melakukan sesuatu maksiat segera beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT.

4. Menghabiskan masanya untuk sentiasa berzikir kepada Allah SWT.

5. Mengasihi orang-orang miskin, orang musafir ( ibnussabil) dan wanita janda dan orang yang ditimpa musibah (sentiasa memberikan bantuan kepada mereka).

Begitulah beberapa ciri-ciri solat kita diterima oleh Allah SWT, jika Dia menzahirkan solat yang terbaik kita lakukan berkemunginan kita rasa bangga diri dan menceritakan kepada orang lain. Itulah hikmah Allah SWT merahsiakan solat terbaik kita yang dilakukan disisi-Nya.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita pertingkatkan amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan yang kita kerjakan semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Jadikanlah enam rahsia Allah SWT yang disembunyikan-Nya kepada kita semata-mata supaya kita teruskan beribadah dengan ikhlas tanpa mengharapkan pujian daripada manusia tetapi mengharapkan keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML