Sunday, February 9, 2014

RAHMAT ALLAH

Rahmat Allah SWT Berada Bersama Jemaah Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW. bersabda maksudnya : "Barang siapa berpecah belah, maka dia bukanlah dari golongan kami (bukan umat Nabi Muhammad SAW). Rahmat Allah berada bersama-sama dengan jemaah dan sesungguhnya serigala hanya akan memakan kambing yang menyendirikan diri." (Hadis Riwayat Tabarani)

Berdasarkan hadis diatas terdapat tiga perkara pokok untuk dihuraikan :

Pertama : Barang siapa berpecah belah, maka dia bukanlah dari golongan kami (bukan umat Nabi Muhammad SAW).

Kedua : Rahmat Allah berada bersama-sama dengan jemaah.

Ketiga : Sesungguhnya serigala hanya akan memakan kambing yang menyendirikan diri.

Huraiannya :

Pertama : Barang siapa berpecah belah, maka dia bukanlah dari golongan kami (bukan umat Nabi Muhammad SAW).

Nabi SAW tidak akan mengaku sebagai umatnya apabila berlaku pecah belah di kalangan umat Islam. Apa saja perbuatan yang boleh mendatangkan salah faham dan timbul syak wasangka dikalangan umat Islam maka ianya dikira sebagai memecah belahkan umat.

Termasuk juga dianggap berpecah belah apabila ada di kalangan umat Islam telah menjauhkan diri daripada kebenaran dan petunjuk lalu dia menghina ulama dan pemimpin Islam dan membenci amal-amal Islami yang dijalankan. Memecah belahkan perpaduan umat Islam dengan menaburkan fitnah, mendatangkan huru-hara, mengadu domba, mengaibkan orang lain, mengumpat dan menimbulkan kebencian sesama umat Islam. Perkara kecil diperbesarkan semata-mata untuk membalas dendam sikap seperti ini adalah sikap orang fasik.

Nabi SAW memberi ancamannya yang keras kepada umatnya yang tidak menjaga lidahnya dan suka membuat "road show" untuk menjatuhkan orang lain kerana hasad dengki, iri hati, ego, sombong dan sifat ujub yang bersarang di dalam hatinya. Apabila fakta-fakta yang diberikan tidak tepat dan tidak ada bahan bukti yang sahih , ianya lahir daripada emosi yang tidak terkawal (marah) untuk menghukum seseorang maka perkara ini di anggap fitnah.

Terdapat beberapa hadis yang melarang sama sekali perbuatan fitnah memfitnah (untuk memecah belahkan umat Islam) :

1. Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah"
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Nabi SAW pernah bertanya sahabatnya: "Adakah aku belum pernah menerangkan kepadamu orang yang paling jahat daripada kamu?" Sahabat menjawab: "Belum!", lalu Nabi bersabda bermaksud: "Mereka yang berjalan ke sana ke mari membawa fitnah, mereka yang membuat kerosakan antara sesama sahabat dan mereka yang mencari-cari kekurangan pada orang yang tidak bersalah." (Hadis riwayat Ahmad)

3. Nabi SAW bersabda maksudnya : "Yang paling dikasihi oleh Allah di antara kamu adalah : mereka yang baik akhlak, yang merendahkan sayapnya (diri), yang suka dengan orang dan yang disukai orang. Manakala yang dimurkai oleh Allah adalah : mereka yang pergi membawa fitnah, yang menceraiberaikan di antara saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah akan kesalahannya" (Hadis riwayat Tabharani dan Abu Hurairah r.a.)

4. Abu Zhar Al-Ghiffari berkata, Rasullullah SAW. bersabda :"Barangsiapa menyiarkan terhadap orang muslim satu perkataan untuk memalukannya dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat"
(Hadis riwayat Ibnu Abid Dunya)

5. Abu Darda berkata : Rasulullah SAW. bersabda "Laki-laki manapun yang menyiarkan terhadap seseorang satu perkataan di aman orang itu terlepas (tiada tersangkut dengan perkataan tersebut), untuk memalukannya di dunia, nescaya berhak Allah menghancurkan laki-laki itu pada hari kiamat dalam api neraka".

Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa tukang fitnah tidak dapat dipercayai kata-katanya dan tidak diterima sedekahnya. Sesungguhnya fitnah ditegakkan di atas kedustaan, kedengkian dan kemunafikan. Kesemua sifat ini adalah tungku dapur kehinaan.

Kedua : Rahmat Allah berada bersama-sama dengan jemaah.

Allah SWT akan sentiasa memberi rahmatnya kepada jemaah Islam yang berusaha untuk menegakkan hukum-hukum Allah SWT, mengahyati ajaran Islam dan berusaha untuk melaksanakan kerja-kerja amal makruf dan mencegah kemungkaran. Seseorang yang telah terkeluar daripada Jemaah Islam (kerana melanggar peraturan) perlulah kembali kepangkuan jemaah bukannya terus keluar dan menabur fitnah.

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab." (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

Ketiga : Sesungguhnya serigala hanya akan memakan kambing yang menyendirikan diri.

Sesiapa yang telah terkeluar daripada jemaah ianya umpama kambing yang terkeluar daripada kandangnya maka amat mudah ianya di baham oleh serigala yang berada diluar kandang kambing.

Memang benar suasana diluar terdapat banyak serigala-serigala yang berkeliaran iaitu orang-orang fasik, munafik dan kafir  yang akan mengambil kesempatan untuk memecah belahkan perpaduan jemaah dan umat Islam . Mereka tidak akan duduk diam akan mencari peluang dan akan menggunakan orang yang telah kecewa untuk dijadikan "tokoh" untuk menyekat tarbiah, dakwah dan amal Islami . Akhbar arus perdana akan mengambil peluang keemasan ini untuk menghidupkan "fitnah-fitnah baru" yang menjadi bahan-bahan berita yang sensasi. Sedangkan mereka tidak sedar bahawa mereka sedang mempromosikan diri merka dan umat Islam yang tidak berdosa untuk menjadi "muflis" di hari akhirat.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama berhati-hati dan berwaspada di atas segala berita dan peristiwa yang berlaku disekeliling kita supaya tidak terhapus segala amal ibadah, amal soleh dan amal kebaikan yang telah kita lakukan sepanjang hidup kita. Amat malang dan rugi sekiranya sekian lama kita beramal soleh tiba-tiba ianya di hapuskan hanya dengan berita fitnah dan berita palsu yang kita dengar samaada melalui media massa , internet, TV, radio dan sembang-sembang dikedai kopi. Syaitan amat suka semakin ramai anggota masyarakat kita menjadi agen membawa fitnah kerana syaitan tidak payah bekerja keras kerana mereka semuanya tidak dapat masuk syurga  dan menjadi kawannya di neraka. Berdoalah kita semuga Allah SWT selamatkan kita daripada fitnah dunia akhir zaman yang menjauhkan kita daripada rahmat Allah SWT.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML