Sunday, February 9, 2014

JAUHI RASUAH




Jauhilah Rasuah Untuk Mendapat Keredhaan Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasuah adalah perbuatan yang ditegah dan haram di sisi Islam. Sesiapa yang memberi dan mengambil rasuah adalah melakukan perbuatan yang haram dan di murkai oleh Allah s.w.t.

Apakah takrif rasuah dan perbuatan macamana yang termasuk dalam kategori rasuah? Rasuah ialah “Memberikan apa jua bentuk pemberian seperti hadiah dan wang tunai untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan , pertolongan , diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan dan sebagainya dengan jalan yang salah."

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya :
“Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)”
(Hadis Riwayat Abu Daud : 2943, Dinilai oleh Albani sebagai sahih)

Begitu juga dengan sebuah riwayat yang menceritakan bagaimana Rasulullah s.a.w pernah mengutus seorang sahabat yang bernama Abdullah bin Rawahah ke Khaibar untuk melakukan penilaian dan pembahagian hasil tanaman buah kurma kerana baginda telah menetapkan bahawa hasil tanaman kurma tersebut mestilah dibahagi kepada dua bahagian : Setengah daripadanya untuk kaum Yahudi dan setengah lagi diberikan kepada kaum Muslimin.

Apabila Abdullah sedang sibuk menjalankan tugasnya , maka datanglah orang-orang Yahudi membawakan kepadanya pelbagai hadiah dari barang-barang perhiasan dan sebagainya serta berkata kepada Abdullah :

“Perhiasan ini untuk kamu wahai Abdullah, maka ringankanlah kami dan berikanlah kepada kami hasil kurma itu lebih dari separuh,” Lalu dijawab oleh Abdullah menjawab, “Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!” Mendengar jawaban tersebut mereka (Yahudi) berkata, “Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak!”
(Hadis Riwayat Imam Malik, Al Muwattha':1450) 

Sahabat yang dimuliakan,
Rasuah adalah perbuatan jenayah yang telah menular dan menjadi darah daging dalam kehidupan masyarakat manusia di semua tempat. Berdasarkan laporan dalam media cetak dan elektronik di dapati pada kebiasaannya penglibatan rasuah dalam politik, sektor perkhidmatan awam, swasta dan orang awam meliputi perbuatan meminta, menawar, menerima suapan atau tuntutan palsu atau menyalahguna jawatan untuk kepentingan diri, keluarga dan puak tertentu. 

Rasuah dalam perspektif hukum Islam adalah haram. Ini berdasarkan dalil yang qat’ie iaitu al-Qur'an, as-Sunnah dan Ijmak Ulamak. Dalam al-Qur'an terdapat ayat yang menggariskan tentang rasuah berdasarkan firman Allah s.w.t.  dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: “ Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Manakala sabda Rasulullah s.a.w.  maksudnya :  “ Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api Neraka”.
(Hadis Riwayat at-Tabrani)

Berdasarkan pemerhatian, punca-punca menyebabkan berlaku rasuah ialah bernafsu besar atau sifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja.

Sama ada disedari atau tidak bahawa mereka yang terlibat dengan jenayah ini sebenarnya mengakibatkan beberapa kesan buruk seperti pembahagian kekayaan negara tertumpu kepada orang tertentu sahaja, meningkatkan kadar inflasi dan berleluasa kezaliman dalam masyarakat. Dengan demikian golongan yang paling malang dan rugi ialah golongan yang berpenat lelah mencari rezeki halal menggunakan tulang empat kerat seperti para petani, nelayan, penoreh getah, buruh kasar dan kumpulan dhaif yang lain . 

Apakah kesan yang negatif akan berlaku sekiranya jenayah rasuah ini berleluasa di dalam masyarakat kita?

Kesan-kesannya adalah seperti berikut:

1. Tidak akan berlaku keadilan di dalam keputusan perbicaraan dimahkamah. Mereka yang tidak bersalah akan dizalimi dan penjenayah akan terlepas daripada hukuman yang patut diterima.

2. Barang-barang penyeludupan dapat masuk dengan mudah dan negara akan kerugian untuk mendapatkan cukai barangan import.

3. Para penjenayah akan terlepas dengan mudah tanpa didakwa dimahkamah.

4. Keselamatan negara akan terancam apabila ada pihak tertentu menjual maklumat negara kepada pihak luar dan menjadi 'musuh dalam selimut'

5. Kualiti sesuatu projek pembangunan akan berkurangan dan mugkin boleh membahayakan keselamatan pengguna apabila ianya tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

6. Rakyat akan memiliki pemimpin yang rendah akhlaknya dan tidak beramanah kerana terpaksa memilih mereka disebabkan terpengaruh dengan habuan yang diberikan.

Rasuah adalah perbuatan haram yang boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah solat dan do'a kita. Alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan rasuah ibadah dan do'a kita menjadi sia-sia, justeru akan menjauhkan kita daripada mendapat rahmat Allah s.w.t.. 

Lebih membimbangkan lagi jika kita tidak segera membanteras penyakit rasuah boleh menyebabkan kita terdedah dengan pelbagai malapetaka dan bencana dalam kehidupan, akibat kemurkaan Allah seperti firman Allah s.w.t. dalam surah Ali Imran ayat 112:
Maksudnya: “Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka ingkar akan ayat-ayat Allah, dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas.” 

Jika ketua keluarga membawa wang haram hasil daripada rasuah dan memberi makan anak isterinya maka wang haram ini mengakibatkan do'a-do'a  mereka terhijab dan tidak akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t. dan daging yang tumbuh daripada harta yang haram lebih layak menjadi bahan bakar api Neraka. 

Pada suatu hari Saad bin Abi Waqqas bertanya kepada Rasulullah s.a.w. : "Ya Rasulullah, do'akan aku kepada Allah agar aku dijadikan Allah orang yang makbul do'anya." Rasulullah s.a.w. menjawab, "Hai Saad, makanlah yang baik (halal) tentu engkau menjadi orang yang makbul do'anya. Demi Allah yang memegang jiwa Muhammad, sesungguhnya seorang yang pernah melemparkan sesuap makanan haram ke dalam mulutnya (perutnya), maka tidaklah akan dikabulkan do'anya selama 40 hari. Siapa saja manusia yang dagingnya tumbuh dari makanan yang haram, maka Nerakalah yang berhak untuk orang itu."
(Hadis Riwayat  Alhaafidh Abubakar bin Mardawih dikutip oleh Alhaafidh Ibnu Kathin dalam tafsirnya).

Sebagaimana dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, menceritakan sorang lelaki yang bermusafir menadah tangan memohon doa kepada Allah s.w.t., lantaran Rasulullah menegaskan bagaimanakah mahu diperkenankan do'anya, sedangkan makannya dari benda yang haram, minumannya haram, pakaiannya juga haram dan dia dibesarkan dengan memakan makanan yang haram.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan cara melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya di samping berusaha mencari kehidupan yang diberkati dan diredhai serta hidup kita dengan berbekalkan sumber rezeki halal dan dapat menjauhkan diri daripada memberi dan menerima rasuah. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi insan yang beruntung di dunia dan akhirat.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML