Monday, February 10, 2014

QUDWAH HASANAH

Qudwah Hasanah dan Berlemah Lembut Akhlak Seorang Mukmin

 Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang Muslim mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa dan harta bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat menyingkap kebakhilan seseorang itu ialah dengan cara memintanya membelanjakan wang ringgit kerana berapa banyak dari kalangan mereka yang berkedudukan, bercita-cita tinggi serta berpangkat gugur tercicir dari jalan ini, disebabkan oleh sikap rakus terhadap harta benda. Di dalam Al-Quran sendiri terdapat berpuluh-puluh ayat yang menjelaskan ciri-ciri keimanan yang dikaitkan dengan sifat pemurah.

Setiap sesuatu yang hendak dibina mestilah ada asasnya.Maka asas kepada pembentukan adab dan kelakuan seorang Muslim ialah empat buah hadis nabi sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Qairawani, seorang Ulama' besar dalam mazhab Maliki.

1.Dari Abu Hurairah r.a katanya: " Telah bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya : "Sebaik-baik Islam seseorang itu adalah peninggalannya tentang apa yang tiada kena mengena dengannya.”

Asas pertama ialah kita hendaklah meninggalkan perkara-perkara yang tiada kena mengena dengan kita sebagai Muslim. perkara yang tiada kena mengena dengan kita ialah segala perkara yang haram dan makruh di sisi agama.Manakala segala perkara yang berkaitan dengan kita ialah perkara yang menjadi suruhan Allah baik berupa perkara wajib mahupun sunat.

Adapun perkara harus itu hendaklah kita berhati-hati dengannya kerana boleh jadi ia berkaitan dengan kita dan boleh jadi ia tidak berkaitan dengan kita. Umpamanya, hiburan nyanyian itu harus hukumnya di sisi Islam tetapi ia boleh membawa makruh dan haram sekiranya tidak penuhi syarat-syaratnya.Malah, ulama' berpendapat bahawa orang yang sudah terbiasa dengan nyanyian itu tidaklah boleh diterima penyaksiannya di mahkamah syari'ah.

Maka kesimpulannya, Al Qur'an dan As Sunnah lah yang menjadi kayu ukur sama ada sesuatu itu ada kena mengena dengan kita atau tidak.

2.Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik r.a  kepada Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Tiada beriman sesaorang kamu, sehinggalah ia mencintai bagi saudaranya sama seperti ia menyintai bagi dirinya sendiri."

Asas kedua yang hendak dibincangkan ialah berkenaan cara berkasih sayang dan bercinta sesama manusia dalam Islam. Hadis di atas menekankan bahawa tanda kesempurnaan iman seseorang Muslim itu ialah dia menyayangi sesuatu yang ada pada saudaranya sebagaimana ia menyayangi sesuatu yang ada pada dirinya sendiri. Sebagai contohnya, sekiranya kita sayangkan kesihatan diri kita, jaga diri kita supaya sentiasa sihat, maka begitu juga kita hendaklah merasakan bahawa saudara seislam dengan kita pun patut menjaga kesihatan. Begitu juga kalau kita sayang anak kita dan mahu mereka berjaya di dunia dan akhirat, samalah dengan saudara seIslam dengan kita.

Namun begitu, cinta dan sayang kita kepada apa yang ada pada diri kita ataupun yang ada pada saudara kita haruslah tidak melebihi cinta kita kepada Allah dan Rasul-Nya kerana ia boleh membawa murtad sekiranya kita ucap atau iktiqad begitu.

3. Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : " Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah berkata yang baik atau berdiam diri... ."

Asas yang ketiga ialah bercakap dengan perkataan yang baik ataupun diam sahaja.
Seorang Muslim sejati hendaklah sentiasa menjaga kata-katanya agar tidak terkeluar daripada batas-batas syari'at. Ini kerana kata-kata yang terkeluar daripada batas syara' boleh menyebabkan seseorang itu mendapat kemurkaan Allah dan lebih teruk lagi, boleh menyebabkan aqidah tergadai!!! Itu yang melibatkan dosa besar, sedangkan dosa kecil yang melibatkan perkataan pun Nabi larang.

4. Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya ada seorang telah berkata kepada Nabi s.a.w. : "Nasihatilah kepadaku ! " Dijawab oleh Nabi s.a.w : " Jangan marah! " Orang itu berulangkali meminta supaya dirinya dinasihati, maka tetap Rasulullah s.a.w.mengatakan : " Jangan marah ! "

Asas yang keempat ialah menahan diri daripada perasaan marah. Suka marah adalah salah satu sifat mazmumah(terkeji). Ia merupakan ajaran syaitan kerana marah itu sifatnya panas dan panas itu sifat api. Maka cara untuk memadamkan api ialah dengan air. Apabila seseorang itu terasa ingin marah, maka nabi mengajar kita agar berwudhu' supaya hati yang ingin atau sedang marah disejukkan oleh air wudhu'. Marah tidak mendatangkan manfaat kepada kita bahkan ia membawa kepada permusuhan dan dendam kesumat. Jadi, seorang muslim sejati hendaklah mengawal emosinya agar tidak mudah marah dan menggantikannya dengan sifat sabar, salah satu sifat mahmudah(terpuji).

Adapun marah kerana agama, maka ia adalah dituntut. Contohnya, kita marahkan anak kita kerana tidak menunaikan solat.Maka perbuatan itu adalah bertujuan untuk mendidik. Hendaklah kita membezakan antara marah kerana emosi dengan marah kerana mendidik.

 Firman Allah s.w.t.
وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

Yang bermaksud: "Dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka."
(Surah Al-Anfaal, Ayat: 3).

Firman Allah s.w.t.
وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَلِأَنْفُسِكُمْ وَمَا تُنْفِقُونَ إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ خَيْرٍ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

Yang bermaksud: "Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurang."
(Surah Al-Baqarah ayat  272).

Orang-orang yang bakhil atau kikir seharusnya mendengar dan mengambil pengajaran dari pesanan Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Tidak ada suatu haripun yang dilalui oleh seorang hamba kecuali (hari-hari) didatangi oleh dia Malaikat lalu salah satu darinya berdoa: "Ya Allah! Berikanlah ganti kepada si hamba yang menafkahkan hartanya". Manakala Malaikat yang kedua pula berdoa: Ya Allah! Berikanlah kebinasaan kepada si hamba yang bakhil ini".

Sahabat yang dimuliakan,
Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan kepada kita qudwah hasanah (suri tauladan yang baik) adalah untuk menjadi ikutan kita. Qudwah hasanah adalah satu bentuk dakwah yang paling berkesan sekali untuk kita mengajak orang lain kepada kebenaran Islam. Betapa ramai orang kafir dizaman Nabi s.a.w telah memeluk agama Islam disebabkan mereka melihat contoh dan akhlak yang baik ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

Selain dari sifat-sifat yang dinyatakan di atas, seorang Muslim mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai. Segala tingkah-lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Sesungguhnya adalah bagi kamu pada (diri) Rasulullah itu satu tauladan yang baik, bagi orang yang percaya kepada Allah dan Hari Kemudian dan menyebut, Allah (sebutan) yang banyak.” (Surah al Ahzab ayat 21)

Dalam hadis yang panjang, hadis ke dua dalam matan Al Arbain Imam Nawawi ada membincangkan tentang Ihsan. Rasulullah s.a.w.telah memberikan makna Ihsan sebagai “Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Allah, kiranya engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Allah tetap melihat kamu.”  

Rasulullah s.a.w.adalah qudwah yang baik bagi manusia. Dalam hubungan dengan pembinaan akhlak insan, kita kena faham bahawa akhlak Rasulullah adalah hasil didikan terus dari Allah s.w.t. Rasulullah merealisasikan akhlak yang terkandung dalam ajaran al Qur'an (khuluqul Qur'an) atau menzahirkan akhlak al Qur'an. Sekiranya ingin melihat manusia yang sedar kepada konsep ihsan dan melaksanakan dalam kehidupan sehariannya maka lihatlah apa yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam amalan kehidupannya (sunnah).

Bagaimana konsep ihsan ini dapat membentuk akhlak insan? Kesedaran ke atas konsep ihsan ini sewajarnya timbul dari dalam diri seseorang dan menjadikan seseorang itu merasakan dirinya sentiasa di perhatikan oleh Allah s.w.t.

Sejauhmana sampainya makna Maha Melihat dan Maha Mendengar itu ke dalam diri kita. Kalau sekadar ada pengetahuan dan faham akan konsep ihsan itu ia belum membawa apa-apa makna kepada diri kita. Ia sekadar tibanya maklumat dan pengetahuan kedalam benak otak kita tetapi konsep ihsan itu tidak merubah perangai atau tingkah laku kita. Selagi konsep ihsan itu tidak mampu merubah tingkahlaku zahir kita selagi itu kita belum ada ilmu tentang ihsan. Ilmu ditakrifkan sampainya makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Kalau makna sesuatu sampai ke dalam diri, maka ia akan dizahirkan sebagi perubahan tingkah laku. Oleh itu akhlak adalah bermaksud perlakuan atau perbuatan yang terhasil dari arahan ilmu.

Sebagai contoh mudah, ramai orang tahu bahawa solat itu wajib dilakukan lima kali setiap hari. Terdapat ramai orang yang tahu hal ini tetapi tidak melaksanakan perintah wajib itu. Mereka seperti ini sekadar ada maklumat dan pengetahuan tentang wajibnya solat itu tetapi tak sampai makna wajib solat itu kedalam dirinya. Ertinya orang ini tidak ada ilmu tentang solat. Pengetahuan solat yang dimiliki tidak menggerakkan ia untuk melaksanakan solat lima kali sehari semalam. Akhlaknya dizahirkan sebagai orang yang suka meninggalkan solat. 

Begitu juga ramai orang yang ada maklumat dan pengetahuan tentang puasa, zakat dan lain-lain kewajipan tetapi bila berkemampuan tidak melaksanakan kewajipan itu, ini ertinya tidak sampai makna kedalam dirinya tentang kewajipan itu. Dia tiada ilmu berkaitan dengan hal itu. Maklumat dan pengetahuan tidak merobah tingkah lakunya.

Seterusnya ramai orang tahu rasuah itu haram bagi yang menerima dan memberi tetapi manusia mencari kelemahan undang-undang agar mereka terlepas dari tangkapan maka orang yang seperti ini tidak ada ilmu tentang haramnya rasuah itu.

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah kita memberi perhatian tentang konsep ihsan ini agar kita bukan sekadar ada maklumat, ada pengetahuan tentang sesuatu perkara tetapi juga kita ada ilmu tentang hal itu, kerana ilmulah yang dapat merubah tingkahlaku seseorang bagi membentuk akhlak yang mulia. Ilmu inilah yang mengangkat darjat manusia disisi Allah s.w.t.. Kalau sekadar maklumat dan pengetahuan ia belum boleh mengangkat darjat manusia disisi Allah s.w.t.. Contoh terbaik ialah apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML