Monday, February 10, 2014

RAHMAT ALLAH S.W.T (Kisah Ahli Ibadah 500 Tahun)

Berdoalah Memohon Rahmat Allah SWT Kerana Rahmat-Nya 
Mengatasi Kemurkaan-Nya

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seseorang akan masuk syurga adalah dengan rahmat Allah SWT bukan kerana amalan-amalannya yang banyak. Amalan-amalan yang dikerjakan di dunia adalah kerana mengikut perintah Allah SWT kerana Dia menyuruh supaya beramal soleh didunia ini. Allah SWT akan mengasihi para hamba-Nya yang beramal soleh dan beribadah semata-mata ikhlas dan untuk mencari keredhaan-Nya.

Limpahan rahmat dan kasih sayang Allah SWT tidak akan diberikan-Nya kepada mereka yang suka melakukan maksiat dan dosa dan tidak mahu bertaubat kepada-Nya.

Sabda Rasulullah S.A.W.  dari Abu Hurairah r.a maksudnya :"Ketika Allah S.W.T. menentukan takdir makhluk-Nya , Dia menuliskan di dalam kitab-Nya di atas Arasy : 'Sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan (mengatasi) marah-Ku'. "
(Hadis Muttafaqun 'Alaih  )

Dari Jabir, ia berkata: Saya pernah mendengar Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Amal soleh seseorang diantara kamu tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga dan tidak dapat menjauhkannya dari azab api neraka dan tidak pula aku, kecuali dengan rahmat Allah." (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut masuknya kita ke dalam syurga Allah S.W.T.  adalah disebabkan dengan rahmat Allah bukan dengan amalan yang kita laksanakan. Walaubagaimana pun untuk mendapatkan rahmat Allah perlulah beriman dan bertakwa dan mengerjakan amal-amal soleh ketika di dunia. Terdapa banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW menyuruh mengerjakan amal soleh.

Firman Allah SWT  yang bermaksud :“Masuklah kamu ke dalam syurga disebabkan apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah An-Nahl ayat 32)

 Firman Allah SWT maksudnya : "Berlumba-lumbalah kamu untuk mendapatkan ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulnya." (Surah al-Hadid ayat 21)

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat satu kisah yang diceritakan oleh Nabi SAW  melalui riwayat Jabir bahawa terdapat seorang hamba Allah SWT yang telah beribadah selama 500 tahun.

Di hari akhirat nanti Allah SWT  menyuruh malaikat:"Masukkanlah hambaku itu ke dalam syurga dengan limpah rahmat-Ku:"

Maka berkata orang itu:"Dengan disebabkan amalku?"

Maka Allah SWT. menyuruh malaikat menghitung semua amalnya dengan nikmat yang Allah SWT. berikan. Apabila penghitungan dibuat maka amal yang dibuat oleh orang itu selama 500 tahun itu telah habis apabila dikira dengan sebelah mata, yakni nikmat pengelihatan yang Allah SWT. berikan padanya, sedangkan nikmat-nikmat lain belum dikira.

Maka Allah SWT. berfirman:"Masukkan ia kedalam neraka".

Apabila ia ditarik ke neraka maka ia pun berkata:"Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam syurga dengan rahmat-Mu."

Lalu Allah SWT. berfirman kepada malaikat:"Bawakan ia ke mari".

Kemudian Allah SWT bertanya orang itu:"Siapakah yang menjadikan kamu daripada tidak ada"

Lalu orang itu menjawab:"Engkau ya Allah".

Kemudian Allah SWT. bertanya lagi:"Apakah itu kerana amalmu atau rahmat-Ku?".

Jawab orang itu:"Ya Allah, dengan rahmat-Mu."

Allah SWT. bertanya lagi:"Siapakah yang memberikan kekuatan sehingga 500 tahun kamu beribadat?".

Jawab orang itu:"Engkau ya Allah".

Allah SWT. bertanya lagi:"Siapakah yang menempatkan kamu diatas bukit yang di tengah-tengah lautan, dan siapakah yang mengeluarkan air tawar yang bersih dari tengah-tengah lautan yang airnya sangat masin dan siapakah yang menumbuhkan sebuah pohon delima yang mengeluarkan sebiji delima setiap hari, padahal buah itu hanya berbuah setahun sekali lalu kamu meminta supaya aku matikan kamu dalam sujud, jadi siapakah yang membuat semua itu?" 

Lalu orang itu berkata:"Ya Allah, ya Tuhanku Engkaulah yang melakukanya."

Allah SWT berfirman:"Maka semua itu adalah dengan rahmat-Ku dan kini Aku masukkan kamu ke dalam syurga juga adalah dengan rahmat-Ku."

Malaikat Jibril berkata:"Segala sesuatu itu terjadi hanya dengan rahmat Allah SWT. Amal yang dibuat oleh seseorang itu tidak akan dapat menyamai walaupun setitik debu sekalipun dengan nikmat yang Allah SWT. berikan pada hamba-Nya, oleh itu janganlah mengharapkan amal kita itu akan dapat memasukkan kita ke dalam syurga Allah SWT. sebaliknya memohonlah dengan rahmat-Nya. Sebab hanya dengan rahmat Allah SWT. sajalah seseorang itu dapat memasuki syurganya. Apabila kita memohon kepada Allah SWT supaya dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmatnya maka mintalah supaya Allah SWT memasukkan kita dengan rahmatnya ke dalam Syurga Firdaus."

Sahabat yang dikasihi,
Kita masih bernafas dan sihat tubuh badan kerana rahmat Allah. Kita telah diberi-Nya rezeki yang tak putus-putus, masih beriman dan bertakwa dan masih berpeluang menjalani ibadah dan menikmati rezeki daripada Allah SWT. semuanya kerana rahmat Allah SWT. Hidup dan mati kita, diterima-Nya amal ibadah dan amal soleh kita dihari akhirat dan dimasukkan kedalam syurga-Nya seluas langit dan bumi adalah kerana rahmat-Nya.

Al-Sonhaji berkata: "Sesetengah orang-orang yang mengabdikan diri kepada Allah dan menyembah-Nya itu ada tiga tingkatan pengabdiannya:

Pertama : Siapa yang mengabdikan diri kepada Allah kerana takutkan neraka-Nya, Allah amankan dia dari apa yang ditakutinya. Ia sesuai dengan maghfirah (keampunan) yang diberikan oleh Allah.

Kedua : Siapa yang mengabdikan diri kepada Allah kerana mengharapkan syurga-Nya, Allah jayakan untuk mencapai apa yang dicita-citakannya. Dan ini sesuai dengan rahmat-Nya yang dikurniakan oleh Allah iaitu syurga-Nya kerana salah satu daripada syurga itu bernama Rahmat.

Ketiga : Sesiapa yang mengabdikan diri kepada Allah semata-matu untuk ke hadrat Allah dan tidak kepada yang lain, dialah hamba Allah yang tulus ikhlas yang dilayakkan untuk menerima kehormatan dari Allah SWT.

Semoga kita semua menjadi golongan yang mendapat keampunan Allah, rahmat dan keredaan-Nya. Amin.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML