Friday, January 10, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 54

Soal Jawab Agama Siri 54 

(Jodoh Wanita Ahli Syurga, Wanita Dunia , Fitnah Wanita, Wanita Ahli Neraka Dan Ahli Syurga)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,      
Soal Jawab Agama Siri 54 adalah menjelaskan persoalan siapakan jodoh wanita ahli syurga, siapakah yang lebih mulia di antara wanita dunia dengan bidadari, fitnah wanita, wanita penghuni neraka dan wanita penghuni syurga.

556. Soalan : Jika seorang wanita yang solehah masuk syurga namun suaminya tidak masuk syurga, dengan siapakah dia akan dinikahkan di syurga?

Jawapan:
Untuk menjawab pertanyaan di atas, saya akan nukilkan fatwa salah seorang ulama terkemuka di zaman ini, Syeikh Muhammad al-’Utsaymīn.

Syeikh Muhammad al-’Utsaymīn pernah ditanya, “Jika seorang wanita dari kalangan ahli syurga belum pernah bernikah di dunia, atau beliau sudah bernikah namun suaminya tidak masuk syurga, maka siapakah yang akan bersama wanita itu (di syurga)?”

Beliau menjawab, “Jawapan atas pertanyaan ini dapat diambil dari keumuman firman Allah Taala:

وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ نُزُلاً مِّنْ غَفُورٍ رَّحِيم

Maksudnya, “Dan bagi kamu di dalamnya (akhirat) apa yang kamu inginkan dan bagi kamu (pula) di dalamnya apa yang kamu minta. Sebagai hidangan (bagimu) dari Rabb yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Fushshilat [41] ayat 31-32)

Juga dari (keumuman) firman Allah Taala:

وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْأَنفُسُ وَتَلَذُّ الْأَعْيُنُ وَأَنتُمْ فِيهَا خَالِدُون

Maksudnya, “Dan di dalam syurga itu terdapat segala apa yang diingini oleh hati dan sedap (dipandang) mata dan kamu kekal di dalamnya.” (Surah Az-Zukhruf [43] ayat 71)
Di syurga terdapat  ahli syurga dikalangan lelaki bujang yang belum pernah berkahwin semasa di dunia dan terdapat juga lelaki yang pernah berkahwin di dunia dia masuk syurga sedangkan isterinya ahli neraka. Wanita ahli syurga tadi akan berpeluang memilih sesiapa sahaja yang dia berkenan di kalangan lelaki ahli syurga tadi. Wallahu a'lam.

557. Soalan : Siapakah yang lebih mulia dan cantik di antara wanita solehah yang menjadi ahli syurga atau bidadari bermata jeli?

Jawapan :
Berdasarkan hadis Nabi SAW daripada riwayat Ummu Salamah wanita dunia yang solehah lebih mulia dan cantik berbanding dengan bidadari bermata jeli. Wanita tersebut akan menjadi ketua bidadari untuk suaminya.

Daripada Ummu Salamah, isteri Nabi SAW, katanya : 
Aku bertanya, "Ya Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari bermata jeli? 

Baginda menjawab, "Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari seperti kelebihan apa yang nampak dari apa yang tidak terlihat." 

Aku bertanya, "Mengapa wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari?" 

Baginda menjawab, "Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuningan, sanggulnya mutiara dan sisirnya terbuat dari emas." 

Mereka berkata : "Kami hidup abadi dan tidak mati. Kami lemah lembut dan tidak jahat sama sekali. Kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali. Kami reda dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya." (Hadis Riwayat ath-Tabrani)

558. Soalan : Bolehkan ustaz terangkan dalam satu hadis Nabi SAW menyatakan bahawa godaan wanita itu satu fitnah. Apakah maksud fitnah?

Jawapan :

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Tidak aku tinggalkan suatu fitnah sesudahku lebih merbahaya kepada kaum lelaki melainkan godaan wanita."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Begitulah kedudukan wanita, tidak kira samaada ia sebagai anak gadis, sebagai isteri atau sebagai ibu. Apabila ia seorang yang solehah, maka mereka merupakan sebaik-baik kedudukan di antara seisi dunia. Tetapi jika sebaliknya, mereka merupakan suatu fitnah yang merbahaya kepada dunia. Walaupun mereka tidak berniat untuk membuat fitnah, tetapi wanita itu sendiri dengan kehadirannya boleh membawa fitnah jika tidak dipandu dan dikawal oleh syariat. 

Masakan tidak, memandangnya saja boleh menimbulkan fitnah jika tubuhnya tidak dibaluti pakaian yang menutup aurat. Melangkah saja ia boleh mendatangkan fitnah jika ia melangkah tanpa mengikut peraturan syariat. 

Allah SWT. tidak mengenakan sedemikian kawalan yang ketat keatas mereka jika mereka tidak sedemikian bahaya.Bukankah Rasulullah SAW. telah mengingatkan tentang wanita dalam sabdanya yang bermaksud : "Wanita adalah alat perangkap (yang digunakan oleh) syaitan." (Hadis Riwayat Asy-Shihaab)
Tetapi jika wanita telah menjadi wanita solehah maka fitnah itu akan dapat di elakkan dan dia akan menjadi sebaik-baik perhiasan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :"Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah." (Hadis Riwayat Muslim)

 559. Soalan : Apakah sebabnya ramai wanita menjadi penghuni neraka ?

Jawapan :

Wanita ramai masuk ke neraka adalah kerana mereka suka mengutuk dan mengingkari suaminya (nusyuz). Sebagaimana hadis daripada Abdullah bin Umar.

Ðari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah SAW telah bersabda: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni neraka.” 
Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni neraka?” 
Rasulullah SAW bersabda: “Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada golongan kamu.” 
Wanita itu bertanya lagi: “Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu?” 
Rasulullah SAW bersabda: “Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mendirikan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama.” 
(Hadis riwayat Muslim)

Faktor lain yang menyebabkan wanita masuk neraka adalah kerana ramai yang tidak menutup aurat (jika ada yang bertudung pun tetapi masih tidak sempurna) dan tidak menjaga akhlak dan kehormatan diri.

560. Soalan : Minta ustaz huraikan terdapat pula hadis sahih menyatakan  bahawa bagi setiap lelaki penghuni dunia ini akan mempunyai dua isteri (di syurga), iaitu isteri ini adalah dari penghuni dunia. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) . Berdasarkan hadis ini wanita juga ramai yang akan menjadi penghuni syurga?

Jawapan : 

Jadi, berdasarkan hadis di atas, para ulama sebenarnya berbeza pendapat dalam menggabungkan hadis-hadis iaitu apakah wanita merupakan kebanyakan penghuni syurga atau penghuni neraka? 

Sebahagian ulama berkata, “Bahawa wanita adalah kebanyakan penghuni syurga dan juga kebanyakan penghuni neraka, kerana memang jumlah mereka banyak.” 

Qadhi 'Iyadl berkata, “Wanita adalah anak cucu Adam yang terbanyak.” (Tharh Tatsrib, 4/270) 

Sebahagian ulama yang lain berkata, “Wanita adalah penghuni neraka terbanyak berdasarkan hadis-hadis di atas dan mereka juga adalah penduduk syurga terbanyak jika digabungkan jumlahnya dengan bidadari syurga, kerananya jumlahnya kemudian menjadi lebih banyak dari pada laki-laki di syurga.” (al-Tadzkirah, 2/148). 

Yang lainnya lagi berkata: “Semula wanita adalah penghuni neraka terbanyak, namun kemudian mereka menjadi penghuni syurga terbanyak setelah yang muslimahnya keluar dari neraka.” 

Al-Qurthubi memberi huraian hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya aku melihat kalian sebagai penghuni neraka terbanyak.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim), 

Bahawasanya ini mungkin ketika mereka menjadi penghuni neraka terbanyak, akan tetapi setelah mereka keluar dari neraka kerana syafaat dan rahmat Allah, sehingga tidak ada yang tertinggal di neraka orang yang pernah mengucapkan kalimat syahadah, maka wanita pun kemudian menjadi yang terbanyak di syurga.(Hadi al-Arwah li Ibn al-Qayyim, 144). 

Kesimpulannya wanita adalah penduduk yang teramai di neraka dan di syurga. 

Jika muslimah semua berhajat menjadi penghuni syurga yang kekal abadi maka ikutlah perintah Nabi SAW yang bermaksud : "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya)."(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML