Friday, January 10, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 49

Soal Jawab Agama Siri 49 

(Doa Ketika Berbuka, Menanam Anggota Manusia, Ucapan Kepada Mayat dan Tafsir Mimpi)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah, Soal Jawab Agama Siri 49 adalah menjelaskan persoalan iaitu doa ketika berbuka, menanam anggota badan manusia yang terpisah, ucapkan baik kepada mayat dan tafsir mimpi menurut Islam.

531. Soalan : Apakah doa yang dibaca oleh Nabi SAW ketika berbuka puasa?

Jawapan :

“Dari Ibnu Umar, adalah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, apabila berbuka (puasa) baginda mengucapkan :

ذَهَبَ الظَمَأُ، وَابْتَلَّتِ اْلعُرُوقُ، وَثَبَتَ اْلأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللهُ.

DZAHABAZH ZHAAMA-U WABTALLATIL ‘URUQU WA TSABATAL AJRU INSYA ALLAH (Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basahlah kerongkongan/urat-urat, dan telah tetap ganjaran/pahala, Inysa Allah").

(Hadis Hasan Riwayat : Abu Dawud No. 2357, Nasa’i 1/66. Daruquthni dan ia mengatakan sanad hadits ini Hasan. Hakim 1/422 Baihaqy 4/239) Al-Albani menyetujui apa yang dikatakan Daruquthni.!)

532. Soalan : Apakah hukum menanam anggota manusia yang terpisah. Adakah perlu di mandikan dan kafankan?

Jawapan :

Adalah mustahab (digalakkan) apabila anggota badan yang terpisah dari badan seseorang yang masih hidup ditanam didalam tanah. Walaupun hukumnya bukan wajib, akan tetapi sebagai memuliakan kedudukan manusia sebagaimana firman Allah SWT :-

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي ءَادَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلاً

Maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’ ayat 70)

Menurut Imam al-Nawawi r.h didalam al-Majmu’ bahawa amalan pengkebumian tidak hanya dikhususkan kepada kematiannya sahaja, bahkan semua anggota yang terpisah dari badan orang yang hidup, seperti rambut, kuku dan selainnya adalah mustahab ditanam.

Hendaklah ditanam didalam tanah yang dikorek dan ditimbuskan anggota tersebut. Ini adalah bagi mengelakkan dari anggota tersebut dibaham oleh binatang buas . Imam Nawawi r.h ada menyebut bahawa :

ونقل المتولي رحمه الله الاتفاق على أنه لا يغسل ولا يصلى عليه فقال: لا خلاف أن اليد المقطوعة في السَّرقة والقِصاص لا تغسل ولا يُصلَّى عليها، ولكن تلفُّ في خِرقة وتدفن وكذا الأظفار المقلومة والشَّعَر المأخوذ من الأحياء لا يصلَّى على شيء منها، لكن يستحَبُّ دفنها

“Al-Mutawalli menukilkan adalah dipersetujui bahawa anggota yang terpisah itu tidak perlu dimandi dan disolatkan. Kata beliau: Tiada khilaf bahawa tangan yang dipotong kerana hukuman mencuri dan qisas tidak wajib dimandi dan disolatkan. Memadai dengan hanya dibalut dengan secebis kain dan ditanam. Begitu juga dengan kuku dan rambut yang dipotong daripada orang yang masih hidup. Maka ia tidak perlu disolatkan, tetapi mustahab (digalakan) ditanam.” (Kitab al-Majmu’ 5/254).

Mengenai kematian janin yang belum bernyawa lagi, Imam al-Nawawi r.h mengatakan bahawa janin tersebut sunat ditanam tanpa perlu disolatkan. Maknanya dibolehkan untuk membasuhnya dan dibungkuskan dengan kain dan disunatkan untuk di tanam. Malah menurut Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani rh adalah haram bersolat keatasnya.

Kesimpulannya, apa sahaja yang terpisah dari badan manusia yang masih bernyawa seperti rambut, kuku, darah, jari, dsb adalah mustahab (digalakan) ditanam didalam tanah. Ini adalah kerana Allah SWT memuliakan manusia ini. Wallahu a'lam.

533. Soalan : Saya dapati hampir setiap majlis kematian yang saya hadiri kini, selepas sahaja solat jenazah, imam akan bertanya dengan suara yang lantang "Apa kita katakan ke atas mayat ini?" lalu dijawab oleh para makmum "Baik". Perkara ini diulangi sebanyak 3 kali. Bolehkan ustaz jelaskan adakah ada amalan ini ada sandaran nas yang sahih daripada amalan Nabi SAW dan para sahabat?

 Jawapan :

Amalan yang dilakukan oleh masyarakat kita pada masa ini tidak bercanggah dengan ajaran Islam, dan sebagaimana mana yang dinyatakan, ia merupakan amalan yang dilakukan pada zaman dahulu. Ucapan baik, baik, baik (3 kali ucapan) sebagai doa kepada mayat tersebut semoga mendapat kebaikan.

Benarlah amalan berkata baik kepada seseorang itu datang dari sebuah hadis sahih, berkata Anas bin Malik ra. :-

مر بجنازة فأثني عليها خيرا فقال نبي الله صلى الله عليه وسلم وجبت وجبت وجبت ومر بجنازة فأثني عليها شرا فقال نبي الله صلى الله عليه وسلم وجبت وجبت وجبت قال عمر فدى لك أبي وأمي مر بجنازة فأثني عليها خير فقلت وجبت وجبت وجبت ومر بجنازة فأثني عليها شر فقلت وجبت وجبت وجبت فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم من أثنيتم عليه خيرا وجبت له الجنة ومن أثنيتم عليه شرا وجبت له النار أنتم شهداء الله في الأرضأنتم شهداء الله في الأرض أنتم شهداء الله في الأرض

Maksudnya : “Ketika iring-iringan membawa jenazah lewat, orang-orang memuji jenazah dengan kebaikan, kemudian Nabi SAW. bersabda: Wajib, wajib, wajib. Lalu lewat pula iringan jenazah lain, orang-orang mencelanya dengan keburukan, kemudian Nabi SAW. bersabda: Wajib, wajib, wajib. Umar berkata: Menjadi penebusmu, ayah dan ibuku! Ada iringan jenazah lewat dan orang-orang memujinya sebagai orang baik, lalu engkau mengatakan:' Wajib, wajib, wajib' Lewat pula iringan jenazah lain yang disifati sebagai orang jahat, lalu engkau mengatakan:' Wajib, wajib, wajib'. Apa ertinya itu? Rasulullah SAW bersabda maksudnya : 'Orang yang kamu puji sebagai orang baik, maka wajib baginya syurga, sedangkan orang yang kamu katakan sebagai jahat, maka wajib baginya neraka. Kamu adalah para saksi Allah di bumi. Kalian adalah para saksi Allah di bumi. Kalian adalah para saksi Allah di bumi." (Hadis Riwayat Imam Muslim No.1578)

Begitu juga didalam sebuah hadis yang menjelaskan bahawa kata-kata baik dari seseorang jiran juga dianggap doa agar Allah SWT memberi kebaikan kepada si mati.

ما من مسلم يموت فيشهد له أربعة من أهل أبيات جيرانه الأدنين أنهم لا يعلمون إلا خيرا , إلا قال الله ، عز وجل : قد قبلت قولكم ، أو قال : شهادتكم , وغفرت له ما لا تعلمون

Maksudnya : “Tidak ada sesorang Muslim yang mati apabila empat orang jiran memberi keterangan bahawa mereka tidak tahu yang lain mengenai mayat ini melainkan perkara baik yang dilakukan. Melainkkan Allah akan berkata : Aku terima semua kesaksian kamu dan mengampunkan semua dosa-dosanya yang kamu tidak tahu” (Hadis Riwayat Musnad Abu Ya‘la, Sahih Ibnu Hibban; Sahih At-Targheeb H/3515; Talkhees P. 26.)


534. Soalan : Saya bermimpi mandi di dalam air hujan, kemudian saya meminumnya dan saya berwuduk dengan air hujan tersebut apakah tafsiran mimpi saya ini bolehkan ustaz tolong huraikan?

Jawapan.

Jika di lihat daripada Ensiklopedia Tafsir Mimpi Menurut Islam yang ditulis oleh Muhammad Ibnu Sirin (ulama tabien) apabila mandi dengan air hujan dan berwuduk tafsirannya baik dalam agamanya dan dunianya.

Meminum air hujan jika air tersebut jernih maka akan beroleh kebaikan tetapi jika air hujan tersebut keruh ianya menandakan penyakit. Besar atau kecilnya kebaikan tersebut bergantung banyak atau sedikit air hujan (yang jernih)  diminum tadi. Wallahu a'lam.

535. Soalan : Saya bermimpi ibu bapa saya yang telah meninggal dunia datang berjumpa saya, apakah maksud tafsiran tersebut?

Jawapan :

Jika mimpi bapa yang telah meninggal dunia datang berjumpa saudara ini bermaksud bahawa jika saudara sedang susah dan memerlukan sesuatu, maka in syaa Allah , Allah SWT akan memberikan  apa yang saudara hajatkan. Jika ada ahli keluarga yang hilang akan kembali dan jika ada penyakit in syaa Allah akan sembuh. Wallahu a'lam.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML