Friday, January 10, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 48

Soal Jawab Agama Siri 48 

(Solat Witir, Fadilat Solat Terawih, Nafkah Isteri , Kesan Perzinaan dan Masa Iddah)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 48 adalah menjelaskan persoalan iaitu membaca surah semasa solat witir, fadilat solat terawih, nafkah isteri, kesan buruk perzinaan dan iddah isteri kematian suami.

526. Soalan : Apakah bacaan surah yang dibaca oleh Rasulullah SAW semasa solat witir?

Jawapan :

Dari Ubay bin Ka’ab ia berkata: Adalah Rasulullah SAW. solat witir dengan membaca: (Sabihisma Rabbikal A’la) dan (Qul ya ayyuhal kafirun) dan (Qulhu wallahu ahad). (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Annasa’i dan Ibnu Majah)

527. Soalan : Apakah fadilat solat Terawih yang yang dikerjakan di bulan Ramadan?

Jawapan : 
  
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah SAW pernah menggalakkan sahabatnya berqiam Ramadan tanpa menyuruh mereka dengan kesungguhan (yang menunjukkan wajib), kemudian sabdanya: “Barangsiapa yang berqiam Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan redha dan ganjaran Allah) akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”.(Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

528. Soalan : Saya ingin bertanya. Apakah maksud terperinci nafkah suami kepada isterinya? Adakah kerana dia telah membeli barangan keperluan seperti makanan sudah cukup dinamakan nafkah? 

Adakah salah jika isteri meminta wang kepada suaminya untuk dirinya sendiri sedangkan suaminya tidak pernah memberi wang, alasannya dia telah membeli barangan keperluan semua. 

Adakah wajib suami memberi keluarga mertua sedikit sumbangan seperti wang ringgit atau sebagainya?

Dan apakah hukumnya jikalau keperluan yang dibeli oleh si suami menjadi ungkitannya semula. Disini saya terlalu musykil, harap dapatlah memberi penjelasan. Sekian terima kasih...

Jawapan : 

 Wajib suami memberi nafkah kepada isteri mengikut kemampuannya dan juga dengan meraikan keperluan isteri. 

Firman Allah SWT yang bermaksud; "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan" (Surah at-Thalaq, ayat 7).

Di dalam hadis yang menceritakan Hindun (isteri Abu Sufyan) yang mengadu kepada Rasulullah tentang suaminya (Abu Sufyan) yang kedekut (tidak memberi belanja yang mencukupi untuk isteri dan anaknya), Rasulullah berkata kepada Hindun; "Kamu ambillah dari hartanya kadar yang mencukupi untuk kamu dan anak kamu mengikut kebiasaannya"(Hadis al-Jamaah kecuali Imam at-Tirmizi. Lihat hadis ini dalam Nailul-Autar, Kitab an-Nafaqaat, bab al-Mar,ah Tunfiqu Min Mali az-Zauji min Ghair 'ilmihi...). 

Hadis ini menunjukkan bahawa keperluan isteri juga diambil kira dalam kewajipan memberi nafkah kerana Nabi SAW menyebutkan "ambillah kadar yang mencukupi". Kecualilah jika suami miskin, maka ia dituntut memberi nafkah mengikut kemampuannya dan isteri hendaklah redha dengan keadaan suami dan berpada dengan apa yang diberikan.

Adapun jumhur (majoriti) ulamak, mereka tidaklah menentukan kadar tetap, akan tetapi dirujuk kepada kemampuan suami dan juga keperluan isteri. Kemampuan suami boleh berubah, begitu juga keperluan isteri. Pada ketika suami melihat keadaanya lebih senang, ia hendaklah melebihkan sedikit belanjanya untuk isteri dan isteri pula berhak menuntut peruntukan yang lebih. Begitu juga jika keperluan isteri bertambah kerana sesuatu sebab, pertambahan itu juga perlu berada dalam penilaian suami jika ia mampu meraikannya. Di dalam al-Quran, Allah amat menekan para suami agar melayani isteri dengan baik untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga. Firman Allah SWT yang bermaksud; "Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik" (Surah an-Nisa', ayat 19).

Mungkin kita boleh meletakkan tahap-tahap bagi perbelanjaan dengan merujuk kepada tahap-tahap maslahah manusia yang diputuskan ulamak iaitu tiga peringkat;

Pertama; (tahap keperluan paling atas); iaitu keperluan daruriyat.
Kedua; keperluan hajiyat.
Ketiga; keperluan tahsiniyat.

Keperluan daruriyat ialah yang boleh menyebabkan kerosakan hidup jika tidak diberikan. Ini merangkumi makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal yang asas. termasuk juga keperluan ilmu khususnya ilmu agama kerana tanpanya akan rosak kehidupan di akhirat. 

Keperluan hajiyat ialah yang bawah dari daruriyat, iaitu yang jika tidak ada tidaklah membawa kerosakan hidup, tetapi membawa kepada kehidupan yang susah, sukar dan menderita. Contohnya; perabot-perabot rumah yang asas, peralatan dapur, pakaian yang lebih sedikit dari keperluan daruriyat tadi dan sebagainya. 

Keperluan Tahsiniyat ialah yang jika tidak ada tidaklah membawa kerosakan dan tidak juga membawa kesusahan hidup, cuma kewujudannya boleh menambah keselesaan hidup.

Balik kepada soalan yang ditanya, jika suami puan miskin, puan hendaklah berpada dengan apa yang diberinya untuk keperluan pertama (daruriyat) atau keperluan kedua (hajiyat). Jika suami puan berada, bolehlah puan meminta lebih dari itu. Suami pula hendaklah meraikan isteri jika ia mampu demi mengekalkan keharmonian rumah tangga. 

Di dalam hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; "Allah mengasihi seorang lelaki yang bertolak ansur bila menjual, bila membeli dan bila menuntut (hutangnya)" 
(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dari Jabir). 

Dalam riwayat lain; "...Bertolak ansur ketika membayar hutang dan menuntut hutan" 
(Hadis Imam at-Thabrani dari Jabir). 

Walaupu hadis ini menyentuh jual-beli dan hutang-piutang, tetapi ruh tolak ansur yang disarankan Nabi tidak ada salahnya untuk kita amalkan di mana-mana sahaja dalam kehidupan terutamanya dalam perkongsian hidup suami isteri. Maksudnya, suami bertolak ansur dalam melayani permintaan isteri dan isteri pula bertolak ansur dalam menuntut haknya. 

Mengenai pemberian kepada mertua, tidaklah wajib suami memberi nafkah atau belanja untuk mertua sekalipun mertua miskin, kecualilah atas ihsan darinya sahaja. Jika ia mampu, eloklah ia memberinya kerana itu juga boleh mengukuhkan lagi kasih-sayang dengan isteri. 

Mertua yang miskin dan tidak mampu berkerja, ia wajib dinafkahi oleh keluarganya sendiri (iaitu bapa atau anak-anaknya), bukan menantunya. Jika mertua terpaksa bergantung hidup dengan anak perempuannya yang telah berkahwin, suami hendaklah memberi izin kepada isteri untuk menziarahi dan berkhidmat kepada ibu-bapanya (tanpa menjejaskan hak suami) dan begitu juga untuk menafkahi mereka. Jika ia tidak memberi izin tanpa sebab yang munasabah, ia berdosa dan jika isteri melanggarnya sebahagian ulamak berpandangan isteri tidak dikira nusyuz ketika itu. Adalah harus isteri memberi belanja dari duitnya sendiri kepada ibu-bapanya sekalipun tanpa izin suami, namun eloklah ia meminta izin sebagai tanda menghormati suami. Jika suami menghalang tanpa sebab, tidak dikira nusyuz jika isteri melanggarinya.

Mengenai suami mengungkit pemberiannya kepada isteri, jika dengan niat yang baik seperti untuk memperingatkan isteri supaya taat kepadanya kerana ia telah pun melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami (iaitu memberi nafkah mengikut yang termampu) supaya isteri membalasnya dengan melaksanakan tanggungjawabnya pula (iaitu taat dan melayani suami), ungkitan sebegitu tidaklah dilarang, malah ada ketikanya perlu dilakukan. Adapun jika ungkitan semata-mata untuk menyakiti hati isteri, tidaklah harus dilakukan kerana ia menyalahi pergaulan yang yang disuruh oleh Allah dalam ayat tadi. Wallahu a'lam.

529. Soalan : Apakah kesan buruk perbuatan zina dan apakah yang dimaksudkan anak tidak sah taraf?

Jawapan :

Perbuatan zina adalah salah satu dosa besar dan ianya membawa banyak keburukan. 

Pengharaman zina ialah di sebabkan : 

1. Memelihara nyawa – kerana wanita yang tertekan mungkin membunuh diri

2. Memelihara nasab anak – agar anak tidak sah taraf tidak dimalukan dalam masyarakat

3. Memelihara keharmonian rumahtangga – sebab itu ada hukum li’an jika suami mencurigai isteri dan anak yang dikandungnya.

4. Memelihara kehormatan diri, keluarga, masyarakat setempat 


Anak tidak sah taraf adalah anak yang terhasil daripada anak zina, rogol, perkahwinan yang tidak sah atau teknologi moden yang memasukkan benih lelaki ke dalam rahim wanita. 

Contoh perkahwinan tidak sah ialah perbuatan cina buta atau nikah mutáh (yang diamalkan oleh penganut Syiah)

530. Soalan : Seorang kawan saya wanita baru kematian suaminya. Berapakah hari yang ditetapkan syarak untuk iddah wanita kematian suami. Sekiranya ada lelaki yang baik akhlaknya ingin melamar wanita tersebut untuk dijadikan isteri adakah dibolehkan lamaran dilakukan sebelum habis iddah

Jawapan :

Tempohnya ialah 4 bulan 10 hari dari tarikh kematian. Perlu diingatkan bahawa ‘bulan’ di sini ialah bulan dalam kalender Islam/ Hijrah bukannya kalender Masehi. Oleh itu, jumlah hari yang dia kena beriddah ialah kira-kira 130 hari. 
Firman Allah SWT maksudnya : “Orang-orang yang meninggal dunia diantaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beriddah) empat bulan sepuluh hari.” (Surah Al-Baqarah ayat 234)

Terdapat lima larangan yang dikenakan ke atas wanita yang kematian suami: 
1. Bertunang (secara berterus-terang)
2. Berkahwin
3. Berhias pada diri atau pakaian
4. Tidur di rumah selain rumah yang biasa didiami semasa hayat suami
5. Keluar dari rumah tanpa ada tujuan penting yang tertentu (jika keluar rumah kerana bekerja diharuskan) 

Para fuqaha sependapat bahawa wanita yang dalam iddah tidak boleh bertunang ataupun dipinang dengan cara berterus-terang. Namun jika mahu dipinang dengan berkias, maka ia diharuskan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Tiada larangan ke atas kamu tentang apa yang kamu kiaskan untuk meminang wanita”. Contoh : "Selepas 130 hari bolehkah saya ziarah puan jika puan sudi menerima kehadiran saya?"

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML