Friday, January 10, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 47

Soal Jawab Agama Siri 47 

(Was-was, Harta Pusaka, Sedekah, Adab Menegur Dan Berpurda Semasa Mengajar)

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Soal Jawab Agama Siri 47 menjelaskan persoalan was-was selepas berwuduk, harta pusaka, kebaikan bersedekah di bulan Ramadan, adab menegur dan berpurda ketika mengajar.

521. Soalan : Ada seseorang yang mengalami gangguan pada perutnya, barangkali kerana sering masuk angin, sehingga ia sangat menyusahkan ketika menyempurnakan wuduk. Misalnya ketika membasuh wajah, ia merasa angin keluar dari perutnya (was-was buang angin / kentut ). Kerana khawatir wuduknya tidak sempurna iapun mengulanginya. Hal itu juga di alaminya ketika sedang solat. Namun ia tidak mencium bau apapun. Bagaimanakah cara mengatasinya?

Jawapan : 

Sebenarnya segala perasan was-was adalah dari gangguan syaitan  untuk merosakkan ibadah seorang muslim. Ia harus menepis perasaan was-was tersebut. Ia tidak perlu membatalkan solatnya atau mengulang wuduknya hingga ia mendengar bunyi atau mencium baunya. Berdasarkan riwayat Muslim dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu ia berkata bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda (maksudnya): “Jika salah seorang di antara kamu merasakan sesuatu pada perutnya sehingga membuatnya ragu apakah keluar sesuatu darinya ataukah tidak, hendaknya ia tidak keluar dari masjid sehingga ia mendengar bunyi atau mencium baunya.”

Maksudnya adalah ia benar-benar yakin telah buang angin (berhadas), selama ia masih ragu-ragu maka wuduknya masih dianggap sah.

522. Soalan :   Saya ingin menanyakan tentang hukum pembagian harta pusaka menurut Islam : 
1) Ayah saya meninggal dunia meninggalkan 1 orang isteri, 5 orang anak perempuan dan 1 orang anak lelaki.
2) Salah seorang anak perempuannya sudah meninggal dengan meninggalkan  suami dan 2 anak lelaki dan 1 anak perempuan 
3) Bagaimanakah kiraan untuk  harta pusaka secara hukum faraid untuk bahagian 2 (anak perempuan yang telah meninggal dunia)? 
4) Dahulu pernah ayah membahagi-bahagikan wang untuk 2 anak perempuan dan 1 anak lelaki sebelum dia meninggal dunia. Apakah untuk pembahagian kepada waris , pihak yang telah menerima hadiah masih boleh menerima lagi atau tidak? 

Di harapkan ustaz dapat memberikan pencerahannya.

Jawapan : 

Pembahagian secara terperinci adalah seperti berikut : 

1. Isteri mendapat 1/8; dan 1 anak lelaki dan 4 anak perempuan mendapat ashabah atau baki di mana anak lelaki mendapat dua kali ganda dari anak perempuan. Dengan demikian maka, setelah ditolak 1/8 (bagian isteri) baki harta tinggal 7/8 dibahagian dibahagikan kepada 1 anak lelaki dan 4 anak perempuan.

2. Kalau meninggalnya anak perempuan lebih dulu dari ayah, maka dia tidak mendapat harta pusaka. Sementara cucu lelaki dan perempuan (yakni anak-anak dari anak perempuan yang meninggal lebih dulu) tidak mendapat harta pusaka kerana terhalang anak kandung si mati. 

3. Tidak ada yang mendapat harta pusaka dalam bahagian 2. 
 (anak perempuan yang meninggal dunia meninggalkan suami dan 2 anak lelaki dan 1 anak perempuan tidak mendapat bahagian dalam hukum faraid)
  
4. Pembagian sebelum ayah meninggal dipanggil hadiah ( hibah)  yang tidak berkaitan pada harta pusaka. Maksudnya yang mendapat hibah tetap berhak mendapat harta pusaka secara hukum faraid.

523. Soalan : Apakah kebaikan bersedekah dan menjamu untuk orang berbuka di bulan Ramadan?

Jawapan :

1. Bersedekah.

Bersedekah dibulan Ramadan dilipat gandakan pahalanya berbanding bersedekah dibulan-bulan lain. 

Salah satu pintu yang dibuka oleh Allah SWT untuk meraih keuntungan besar dari bulan Ramadan adalah melalui sedekah. Islam sering menganjurkan umatnya untuk banyak bersedekah. Dan bulan Ramadan, amalan ini menjadi lebih dianjurkan lagi.
  
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, teladan terbaik bagi kita, baginda adalah orang yang paling dermawan, dan kedermawanan baginda lebih dahsyat lagi di bulan Ramadan. Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas radhiallahu’anhuma:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس ، وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل ، وكان يلقاه في كل ليلة من رمضان فيُدارسه القرآن ، فالرسول الله صلى الله عليه وسلم أجودُ بالخير من الريح المرسَلة

“Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah orang yang paling dermawan. Dan baginda lebih dermawan lagi di bulan Ramadan saat baginda bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al Quran. Dan kedermawanan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam melebihi angin yang berhembus.” (Hadis Riwayat Bukhari, no.6)

Dari hadis di atas diketahui bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada dasarnya adalah seorang yang sangat dermawan. Ini juga ditegaskan oleh Anas bin Malik radhiallahu’anhu:

كان النبي صلى الله عليه وسلم أشجع الناس وأجود الناس

“Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah orang yang paling berani dan paling dermawan.” (Hadis Riwayat Bukhari no.1033, Muslim no. 2307)

2. Menjamu untuk berbuka puasa .

Kebaikan orang yang menjamu untuk berbuka puasa pahalanya diperolehi sama dengan orang yang sedang berpuasa. 

Diriwayatkan hadis daripada Abdul Rahim hadis daripada Abdul Malik Ibni Abu Sulaiman, hadis daripada ‘Ata’. Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhani (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah SAW :  "Barangsiapa menjamu (makan minum) orang-orang yang berpuasa, ada baginya (pahala dan kebaikan) seumpama pahala (dan kebaikan) orang-orang yang berpuasa (yang dijamunya itu) tiada mengurangi dari pahala (dan kebaikan) orang-orang yang berpuasa sesuatupun (yakni, pahala orang-orang berpuasa yang dijamunya itu didapati juga olehnya tanpa megurangkan pahala orang yang dijamunya)." 
(Hadis Riwayat at-Termidzi, Kitab Saum)

524. Soalan :   Adakah apa-apa adab ketika kita menegur seseorang yang melakukan kesalahan kerana pada masa kini, saya sering melihat ada sesetengah orang yang menegur pembuat salah dengan cara yang kasar dan mencaci maki, apa pendapat ustaz?

Jawapan :

Dalam Islam terdapat adab-adab yang patut dipatuhi ketika kita berhasrat membuat teguran kepada saudara kita yang membuat kesalahan atau kesilapan. Teguran itu hendaklah dengan cara hikmah dan lemah lembut.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 125 yang bermaksud : “Ajaklah (wahai Muhammad) mereka ke arah jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang elok dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik…..”

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang melihat sesuatu kemungkaran maka hendaklah ia perbetulkan dengan  tangan atau kuasa jika tidak mampu,maka perbetulkan dengan  lidah dan jika tidak mampu dengan kata-kata  hendaklah membenci kemungkaran tersebut di hati."

Namun persoalan yang timbul sekarang ialah , adakah seseorang pendakwah itu boleh menegur sesuatu kesalahan dengan sewenang-wenangnya  tanpa mengendahkan  adab-adab persaudaraan sesama muslim sewaktu menegur?

Merujuk  kepada tafsiran Imam al-Qurtubi, menekankan bahawa adab menegur kesalahan seseorang itu  mestilah berpaksikan  kepada cara  berikut:

1.Hikmah atau cara  bijaksana,

2.Lemah lembut dan dan konsep kasih sayang

3.Penuh strategi  iaitu para pendakwah mestilah menjauhi sifat kasar dan keras ketika menegur dan memberikan nasihat agar orang yang ditegur tidak merasa malu dan melarikan diri sekaligus matlamat dakwah menjadi realiti dan terlaksana.

Perkara ini berdasarkan pendekatan  Fudhail bin I'yadh dalam kitab al-Wafi syarah Matan al-Arbain An-Nawawiyyah  iaitu:

“Seorang mukmin itu menasihati dan menutup (aib dan kesalahan) orang lain , manakala orang jahat  menyingkap dan mendedahkan (aib dan kesalahan)  orang lain”

Manakala Al-Qurtubi menambah lagi bahawa, hukum menasihati dan menegur sesama muslim secara lemah-lembut dan bijaksana ini kekal sehingga ke hari kiamat.Oleh itu saudara perlulah mengambil pendekatan ulamak sepertimana yang dikemukakan ketika ingin membuat teguran terhadap sesuatu kesalahan yang telah dilakukan. Wallahu a'lam.

 525. Soalan : Saya bakal menjadi guru tadika . Saya  seorang yang berpurdah (menutup muka). Bolehkah saya buka purdah ketika mengajar ?

Jawapan

Islam mewajibkan para wanita yang baligh menutup aurat kecuali dua tapak tangan dan muka.Sedangkan berpurdah bermaksud menutup muka daripada pandangan orang ramai adalah harus.

Adalah harus hukumnya saudari membuka purdah untuk tujuan memberi pengajian /pengajaran kepada anak didik ini kerana muka bukannya aurat sebagaimana yang ditetapkan oleh agama Islam. Wallahu a'lam.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML