Friday, January 10, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 43

Soal Jawab Agama Siri 43 

(Segerakan Amal Soleh, Gejala Murtad, Tugas Dakwah dan Lain-lain Lagi)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 43 adalah menjawab persoalan fitnah akhir zaman dengan segerakan amal soleh, gejala murtad, tugas berdakwah, keizinan ibu bapa untuk berkahwin dan tanggungjawab anak lelaki.

501. Soalan : Apakah yang perlu kita lakukan untuk mengelakkan diri daripada fitnah dunia akhir zaman? Pengaruh kebendaan telah menguasai masyarakat kita hingga ada yang sanggup menjadi murtad untuk mendapatkan sedikit habuan dunia.

Umat Islam sekarang ini tidak boleh duduk berdiam diri sahaja tanpa menjalankan dakwah amar makruf nahi mungkar. Musuh-musuh Islam sedang bekerja untuk menyesatkan umat Islam dengan mengajak keluar daripada Islam untuk menjadi murtad.

Apa sahaja kerja yang membawa kebaikan dan amal soleh tidak boleh ditangguh-tangguhkan sebagaimana hadis Nabi SAW. mengingatkan kita bahawa tetap teguk melaksanakan amal soleh.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia." (Hadis Riwayat Muslim)

Lebih teruk lagi apabila maksiat sudah menjadi kebiasaan dan bergembira dengan maksiat.
Sabda Nabi S.A.W maksudnya : " Barang siapa di antaramu melihat kemungkaran hendaklah ia merubahnya (mencegah) dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak sanggup, maka dengan  lisannya (nasihat), dan jika tak sanggup juga, maka dengan hatinya (merasa tidak senang dan tidak setuju) dan itu adalah selemah-lemahnya Iman. " (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadis di atas jika seseorang itu tidak rasa bersalah dengan maksiat yang dilakukan dan gembira pula maka sebenarnya sedikit pun iman tidak ada didalam hatinya.

502. Soalan : Kenapa masih berlaku di dalam masyarakat kita gejala murtad? Sedangkan agama Islam adalah agama yang paling lengkap dan sempurna berbanding dengan agama-agama yang lain?


Masaalah murtad dikalangan umat Islam telah menjadi suatu masaalah yang besar. Gejala terkutuk ini tidak sepatutnya berlaku di Malaysia kerana majoriti rakyatnya adalah beragama Islam dan di dalam perlembangaan telah termaktub bahawa  orang-orang bukan Islam tidak boleh memurtadkan umat Islam. Tetapi yang menjadi tanda soal kenapa orang-orang bukan Islam bebas memurtadkan orang-orang Islam dan tidak ada tindakkan tegas daripada pemerintah?

Murtad  adalah bermaksud berpaling dari agama Islam kepada agama kufur samada dengan niat atau perbuatan atau perkataan yang membawa kepada kufur samada secara persendaan, engkar atau iktiqad.

Murtad adalah satu perbuatan yang paling keji dan hina . Paling dikutuk oleh Allah SWT kerana sesiapa yang murtad akan  mendapat balasan neraka Jahanam mereka kekal di dalamnya.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "..Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni Neraka, mereka kekal di dalamnya."
(Surah Al-Baqarah ayat 217)


Terdapat tujuh faktor boleh menyebabkan seseorang dengan mudah menjadi murtad iaitu :

1. Tidak mendapat didikan agama yang sempurna.

2. Iman terlalu lemah hinggakan dalam hati tidak ada perasaan takut kepada Allah SWT.

3. Kemiskinan dan tidak ada pendapatan yang tetap untuk menyara kehidupan.

4. Faktor  sudah jatuh cinta kepada pasangannya yang beragama lain.

5.Mengikut rakan-rakan sebaya yang tertarik dengan tawaran kewangan

6. Terpengaruh dengan kehebatan seseorang ketua yang mungkin menggunakan ilmu sihir.

7. Saudara baru yang murtad (kembali kepada agama asal) disebabkan tidak mendapat bimbingan yang sempurna setelah masuk Islam.

Untuk mengatasi masaalah murtad maka pihak kerajaan termasuk Jakim dan Jabatan Agama Islam setiap negeri perlulah memantau, menyekat dan menghalang pihak-pihak luar yang cuba mengambil kesempatan untuk menjalankan dakyah palsu mereka dengan tindakkan yang tegas. Ibu bapa, guru-guru dan badan-badan bukan kerajaan Islam perlulah bersatu tenaga untuk menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiah kepada semua anak-anak remaja dan umat lsam seluruhnya di negara kita.

503. Soalan : Kenapakah tugas berdakwah dan mengajak kepada Islam adalah satu tugas yang sangat mulia di sisi Allah SWT?

Tugas berdakwah dan mengajak manusia kepada iman dan Islam adalah tugas mulia yang dijalankan oleh para Rasul bermula Nabi Adam a.s hingga kepada Nabi Muhammad SAW. Tugas ini adalah sebaik-baik amalan di sisi Allah SWT.  

Islam perlu ditegakkan secara kaffah (sempurna) di tengah-tengah kehidupan lantaran aktiviti-aktiviti dakwah. Terdapat banyak dalil yang memerintahkan agar kaum muslimin untuk sentiasa berdakwah. Ganjaran pahala yang disediakan bagi para pendakwah juga amat besar. 

Antara dalil yang menjelaskan tentang keutamaan dakwah adalah sepertimana firmanNya: 

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلاً مِّمَّن دَعَآ إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَـلِحاً وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ الْمُسْلِمِينَ 

Maksudnya : “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, 'Sesugguhnya aku adalah daripada kalangan orang muslim (yang berserah diri)?” (Surah Fussilat (41) ayat 33) 

Secara zahirnya, sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Alusi, seruan dakwah yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah melalui lisan. Manakala perkataan kepada Allah SWT di sini bermaksud mengajak kepada mentauhidkan Allah SWT dan taat kepadaNya.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Demi Allah, sesungguhnya satu orang yang diberikan petunjuk (oleh Allah) melalui perantaraanmu (pendakwah), maka itu lebih baik daripada unta merah” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan al-Nasa’i). 

Apabila dakwahnya diterima, pahala yang diberikan kepadanya pun terus mengalir. Rasulullah SAW juga bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang menunjukkan atau mengajarkan suatu kebaikan, maka dia mendapat pahala yang sama sepertimana orang yang melakukannya (mengikutinya)”. (Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan Ahmad).


504. Soalan : Kawan saya seorang pelajar perempuan sedang belajar di pusat pengajian tinggi awam telah jatuh cinta dengan seorang pelajar lelaki ditempat pengajian yang sama tetapi lelaki tersebut berasal daripada luar negara. Mereka berhasrat untuk berkahwin tetapi kedua ibu bapa pelajar perempuan tidak bersetuju kerana lelaki tersebut bukan warganegara Malaysia. Adakah dikira derhaka jika si anak ini menentang pendapat kedua ibu bapanya yang melarang mereka berdua untuk berkahwin dan mereka merancang untuk bernikah dan melarikan diri ke luar negara selepas tamat pengajian. 

Seorang anak wajib mentaati kedua ibu bapanya , dia tidak boleh bertinak mengikut hawa nafsu kerana anak yang derhaka tidak akan selamat hidup di dunia dan akhirat dan akan mendapat kutukan daripaad Allah SWT.


Amalan baik yang  lakukan anak derhaka akan menjadi `kosong' dan sia-sia, tidak diterima Allah sekiranya melakukan penderhakaan terhadap ibu bapa. 

Hal ini dapat difahami melalui sepotong hadis yang bermaksud: "Tiga hal yang menyebabkan sia-sia amal iaitu menyekutukan Allah, menentang kedua ibu bapa dan melarikan diri daripada medan perang." (Hadis riwayat Tabrani).

Balasan setimpal disediakan Allah bagi orang yang menderhaka kepada ibu bapa ialah tidak akan dapat masuk syurga. Perhatikan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Hak Allah atas empat orang yang tidak akan dimasukkan ke dalam syurga dan tidak akan merasakan kenikmatannya iaitu, orang yang sentiasa minum arak, pemakan riba, pemakan harta anak yatim dan orang yang tidak suka kedua orang tuanya." (Hadis riwayat al-Hakim).

Seorang anak perempuan jika beliau hendak berkahwin wajib mendapat keizinan daripada kedua ibu bapanya kerana bapanya kerana bapanya akan menjadi wali pernikahan. Reda Allah SWT bergantung kepada keredaan ibu bapa.

Tolong nasihatkan kepada rakan saudari bahawa ikutlah nasihat kedua ibu bapanya jika ingin keberkatan dalam kehidupan berkeluarga. Mereka  melarang berkahwin dengan orang luar negara kerana banyak risikonya apabila tinggal diluar negara berbagai perkara luar jangkaan boleh berlaku. Dia tetap akan menjadi anak derhaka jika dia melarikan diri dan bernikah diluar negara tanpa keizinan kedua ibu bapanya.

505. Soalan : Saya ingin tahu sekiranya seorang anak lelaki telah berkahwin dan mempunyai keluarganya sendiri adakah dia masih bertanggung jawab menjaga dan membantu kedua ibu bapanya jika mereka miskin dan telah tua?

Walaubagaimana pun seorang anak lelaki telah berkahwin dan memiliki keluarganya sendiri tetapi tanggungjawab kepada kedua ibu bapanya tidak boleh diabaikan kerana ia masih terikat dengan tanggungjawab tersebut. 

Dalam Hadis Sahih Bukhari, seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad SAW maksudnya : “Siapakah yang perlu kita hormati dan kasihi selepas Allah dan Nabi?”Jawab Nabi “Ibu kamu”“Selepas itu?”- “Ibu kamu”“Selepas itu?”- “Ibu kamu”Kali ke 4 lelaki itu bertanya, “Selepas itu?”Jawab Nabi “Ayah kamu” 

Lihatlah betapa tingginya nilai ibu di dalam Islam. Seorang ibu tidak ada apa cara sekalipun dapat kita membalasnya. Seorang lelaki datang kepada Sayyidian Umar al-Khattab r.a dan berkata, "Saya telah mendokong ibu saya sepanjang tawaf dan haji, sudahkah saya dapat membalas jasa ibu." Jawab Umar r.a., " Kamu belum dapat membalas jasa ibumu walaupun setitis air mata ibumu semasa melahirkanmu." 

Hadis di atas menjelaskan  selepas Allah dan Rasul-Nya, orang yang perlu dihormati dan dikasihi adalah ibu dan bapa. Bukan setakat menghormati dan mengasihi mereka tetapi segala keperluan hidup ,keselamatan  dan hak-hak mereka perlulah di penuhi sekadar kemampuan si anak tadi. 

Menurut Al Qurthubi, derhaka kepada kedua orang tua ialah menyalahi perintah keduanya, sebagaimana bakti keduanya bererti mematuhi perintah mereka berdua. Berdasarkan ini jika keduanya atau salah seorang dari mereka menyuruh anaknya, maka anaknya wajib mentaatinya, jika perintah itu bukan maksiat. Meskipun pada asalnya perintah itu termasuk jenis mubah, begitu pula bila termasuk jenis mandub (sunat).

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML