Berzikir Kepada Allah SWT Boleh Menghidupkan Hati
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abu Musa r.a. Rasulullah SAW besabda yang bermaksud : “Perumpamaan orang yang berzikir dengan yang tidak berzikir, seperti orang yang hidup dan orang yang mati.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Berdasarkan hadis Nabi SAW diatas dapatlah kita ambil iktibar bahawa perumpamaan hidup dan matinya manusia adalah bergantung kepada berzikir atau tidaknya seorang manusia itu. Apabila ia tinggalkan zikir bermakna seolah-olah seperti sudah mati walaupun darisegi fizikalnya ia masih hidup. Sebaliknya pula orang yang berzikir diumpamakan oleh Nabi SAW seperti orang yang hidup.
Fungsi dan kedudukan zikir pada hati sama dengan fungsi makanan bagi tubuh. Seseorang yang tidak memenuhi ruang hati dan rohnya dengan zikir, samalah umpama tubuh yang tidak diberi bekalan makanan sebagai sumber kekuatan. Apabila hati kosong dengan zikrullah, semakin hari ia semakin lemah, mudah terumbang ambing, goyah dan resah. Hati yang lemah mudah dikuasai oleh hawa nafsu dan mudah dikotak katikkan oleh syaitan laknatullah. Akhirnya apabila keadaan ini berterusan hati akan menjadi keras, sakit dan akan terus mati.
Hati yang mati adalah hati yang tidak dapat menjalankan apa-apa fungsi. Manusia yang memiliki hati yang sakit atau mati, adalah manusia yang tidak ada nilai, tanpa pengemudi. Neraca penentuan sikapnya hanya ditentukan oleh hawa nafsu. Keadaan mereka ini lebih dahsyat jika dibandingkan dengan orang yang mati fizikalnya.
Manusia yang mati fizikalnya tidak membawa kemudaratan kepada manusia sekelilingnya namun manusia yang mati hatinya akan merugikan diri sendiri dan akan memudaratkan orang lain. Oramg yang mati hatinya akan bertindak mengikut hawa nafsu dan melakukan banyak kerosakkan, maksiat, jenayah dan perbuatan dan amalan yang membawa kemurkaan Allah SWT.
Sahabat yang dimuliakan,
Hati yang sentiasa diisi dengan zikir kepada Allah SWT, akan menjadi kuat, teguh, istiqamah, mampu mematahkan serangan dan pengaruh hawa nafsu yang dikendalikan oleh syaitan. Hati yang hidup, bersih dan salim akan dekat kepada Allah SWT, jauh dari gelisah dan keluh kesah dan sentiasa tenang dan gembira. Hati-hati seperti inilah yang akan diingati oleh Allah SWT, dikasihi dan diredai-Nya .
Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Berzikirlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu.” (Surah al-Baqarah ayat 152)
Seorang pemuda bertanya kepada Rasulullah SAW : “Ya Rasulullah, sesungguhnya pintu-pintu kebaikan itu banyak, tapi aku tak mampu melakukan seluruhnya. Beritahukanlah kepadaku nasihat apa yang dapat aku pegang teguh, nasihat yang singkat sehingga aku tidak mudah melupakannya.”
Rasulullah SAW menjawab, “Basahlah lidahmu selalu dengan zikrullah.”
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Barangsiapa yang mengatakan ‘subhanallah wa bihamdhi’, akan ditanam untuknya pohon kurma di syurga.”
(Hadis Riwayat Tirmizi).
Berdasarkan dua hadis diatas zikrullah begitu sederhana dan mudah dilaksanakan. Namun ganjarannya yang akan diperolehi adalah besar. Walaupun ianya mudah untuk dilaksanakan tetapi anggota masyarakat kita merasakan ianya amat sukar. Mereka lebih tertarik dengan lagu-lagu irama merdu, mengasyikkan dan melalaikan hati.
Sahabat yang dikasihi,
Zikrullah banyak caranya boleh dilakukan. Boleh dilakukan dengan menyebut asma’ Allah (nama-nama Allah), sifat dan memuji-Nya seperti ucapan ‘Subhanallah, Alhamdulillah, Laa Ilaahaillallah, Allah akbar,dan zikir-zikir lain yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Didalam kitab zikir Al-Ma’thurat merupakan himpunan zikir-zikir yang diajarkan Rasulullah SAW yang perlu dibaca waktu pagi dan petang adalah sebahagian daripada panduan yang perlu di amalkan untuk melaksanakan amalan-amalan zikir kepada Allah SWT.
Selain daripada zikrullah, tilawahul Quran (membaca al-Quran) adalah salah satu bentuk zikir yang dituntut untuk diamalkan. Al-Quran diturunkan adalah sebagai petunjuk dan rahmat, dan sebagai penawar dan ubat daripada penyakit-penyakit hati.
Khabab bin Art r.a pernah berwasiat kepada seorang katanya, “Hampirkanlah diri kalian kepada Allah SWT mengikut batas kemampuanmu. Dan ketahuilah bahawa kalian tidak mungkin mendekati Allah SWT dengan sesuatu yang lebih Dia cintai dengan firman-Nya. (al-Quran)”
Firman Allah SWT. yang bermaksud, “Dan kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang zalim selain kerugian.”
(Surah al-Isra’ ayat 82)
Sahabat yang dihormati,
Oleh itu ingatlah bahawa hati yang hidup adalah hati yang masih terkesan dengan zikrullah, membaca al-Quran dan ibadah. Ia juga kuat berpegang pada agama dan berani menyatakan yang hak. Tidak takut kecuali Allah SWT.
Akhirkata, Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah mempunyai bejana di bumi dan bejana itu adalah hati. Maka bajana yang paling disukai Allah ialah yang paling bersih (dari dosa), paling kukuh, paling halus dan paling lembut (pada saudaranya).”
(Hadis Riwayat al-Thabrani)
No comments:
Post a Comment