Tuesday, December 31, 2013

MENZIARAHI ORANG SAKIT

Muslim Yang Menziarahi Saudaranya Yang Sakit Perlu Ingatkan Supaya Tidak Tinggalkan Solat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebagai seorang muslim kita mempunyai beberapa tanggungjawab dan hak kepada saudara sesama muslim. Tanggungjawab ini kita tidak boleh di abaikan dan memandang ringan sahaja. Apabila kita dengan ikhlas memenuhi tanggungjawab ini maka kita akan mendapat pahala dan ganjaran yang besar disisi Allah SWT. Begitu juga sebaliknya apabila kita tinggalkan tanggungjawab dan hak sesama muslim kita akan mendapat dosa dan di akhirat nanti Allah SWT. akan murka kepada kita.

Salah satu hak muslim yang wajib ditunaikan adalah jika saudara sakit maka hendaklah kita menziarahinya. Menziarahi orang sakit sama ada di hospital atau rumah termasuk antara kunjungan diwajibkan.

Diriwayatkan Imam Ahmad: "Saya mendengar Rasulullah SAW. bersabda: "Barang siapa mengunjungi orang sakit, tujuh puluh ribu malaikat mengikutnya dan memintakan ampun kepadanya hingga petang. Baginya pahala satu tahun di syurga. Dan jika ia mengunjunginya pada malam hari, maka tujuh puluh ribu malaikat mengikutnya dan semua memintakan ampun untuknya hingga pagi. Dan baginya pahala satu tahun di syurga."

Daripada Anas bin Malik pula mengungkapkan bahawa Rasulullah SAW. bersabda bermaksud: "Barang siapa berwuduk dengan sempurna lalu berkunjung kepada saudaranya yang sakit semata-mata mengharap reda Allah, ia akan dijauhkan daripada api neraka sejauh perjalanan 60 kharif (satu kharif bersamaan dengan satu tahun)."

Sementara Abu Hurairah menyatakan Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa berkunjung kepada saudaranya yang sakit, maka seseorang menyeru dari langit: Beruntunglah engkau, beruntunglah perjalananmu dan sungguh engkau sudah membangun rumah di syurga." 

Mengunjungi muslim yang sedang sakit adalah suatu kewajiban ke atas muslim lain. Lebih-lebih lagi jika pesakit itu kaum kerabat dan sahabat handai sendiri. Mengunjungi orang sakit tersmasuk salah satu amal solih yang sangat afdhal. Rahmat Allah senantiasa menaungi diri pesakit dan orang yang mengunjunginya.

Orang yang datang berkunjung sebaik-baiknya menasihati si sakit supaya bersabar dan jangan tinggalkan solat. Mendoakan untuk pesakit agar dia lekas sembuh dan menasihatinya supaya memperbanyak taubat dan berpesan dengan pesan-pesan penting lainnya.

Sahabat yang dimuliakan,
Sudah menjadi perkara lumrah ramai pesakit muslim yang tinggal di hospital tidak melakukan solat. Sedangkan solat wajib dikerjakan samaada secara duduk, berbaring, mengiring atau isyarat mata kerana tidak mampu mengerakkan anggotanya. Islam tidak mengizinkan solat ditinggalkan walaupun pesakit terpaksa memakai pampers kerana penyakit yang dialami.

Islam hanya membenarkan solat ditinggalkan dalam beberapa keadaan sahaja iaitu ketika terlupa atau dalam keadaan tertidur. Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu , Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda maksudnya : "Jika tertidur seseorang daripada kamu sehingga tertinggal solahnya ataupun terlupa mengerjakannya, maka hendaklah dia mendirikan solah yang tertinggal itu apabila dia sudah teringat, sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:”Dirikanlah solah untuk mengingati Aku”. (Hadis Riwayat Muslim). 

Nabi SAW dan para sahabat ketika dalam musafir pernah tertidur sehingga terlepas waktu Subuh. Apabila mereka terjaga, Nabi SAW mengarahkan supaya berjalan keluar daripada lembah tempat mereka tidur, kemudian mereka qada solah Subuh mereka. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi Salallahu 'Alaihi Wasallam bersabda maksudnya, "Sesungguhnya yang membezakan antara seseorang dengan kesyirikkan dan kekufuran adalah dengan meninggalkan solat". (Hadis Riwayat Muslim)

Jika dia meninggalkan solat kerana malas atau lalai tetapi masih mengiktikadkan kewajiban solat itu atas dirinya, maka Imam Malik dan Asy Syafi'i menetapkan bahawa orang itu tidak kafir, hanya dipandang fasik (melakukan dosa besar) dan disuruh bertaubat. 

Nabi SAW bersabda maksudnya, "Solat itu tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa meninggalkan solat dia telah meruntuhkan agama."
(Hadis Riwayat Baihaqi dari Ibnu Umar) 

Berdasarkan firman Allah SWT dan hadis Rasulullah SAW yang jelas dan tegas itu tidak ada alasan bagi orang mukmin untuk meninggalkan solat walau dalam apa keadaan sekalipun. Mengingkari perintah solat bererti menolak perintah Allah, dan barangsiapa yang menolak perintah Allah maka dia telah merosakkan imannya dan meruntuhkan agamanya.

Sahabat yang dihormati,
Sebahagian daripada pesakit sedang berada dalam keadaan tenat dan sedang menunggu saat kematian. Alangkan ruginya sekiranya di saat-saat akhir hayatnya tidak menunaikan solat dan memandang ringan kewajipan solat, ahli keluarga dan pelawat yang menziarhi pesakit perlu mengingatkan pesakit supaya sentiasa mengerjakan solat mengikut kemampuan mereka. Ahli keluarga yang menjaga pesakit haruslah membantu pesakit berwuduk, utamakan solat lebih daripada perkara yang lain. Di haruskan menjamakkan solat ketika sakit yang serius kerana kesukaran mengambil wuduk dan keuzuran fizikal.

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Persoalan pertama yang akan ditanya dipertanggungjawabkan) kepada manusia di hari akhirat, ialah solat. Apabila solatnya dapat diterima (oleh Allah), maka akan diterima seluruh amalnya, dan sekiranya solatnya ditolak (oleh Allah), akan ditolak seluruh amalnya".(Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama membiasakan diri menziarahi saudara kita yang sakit di hospital atau dirumah untuk  menginsafkan diri kita bahawa setiap yang sihat akan mengalami sakit dan yang setiap yang hidup  akan mengalami kematian. Jika kesempatan ziarah ini perlulah ingatkan pesakit mengenai kefarduan solat (jangan ditinggalkan) dan nasihatkan banyak bersabar kerana sakit adalah ujian Allah SWT dan akan mendapat pahala jika bersabar dan suruh pesakit banyakkan berzikir jika mampu  supaya hati sentiasa mengingati Allah SWT setiap masa.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML