Tuesday, December 31, 2013

KONSEP ZUHUD

Konsep Zuhud Dalam Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Apakah erti sebenar zuhud? Apakah dengan meninggalkan dunia dan menumpukan tujuan pada akhirat semata-mata itu dikira zuhud?

Para ulama merumuskan: "Bukanlah zuhud itu mengharamkan yang halal dan mensia-siakan harta tetapi sesungguhnya zuhud itu adalah apabila kamu lebih yakin dengan apa yang ada di sisi Allah berbanding dengan apa yang ada pada kamu."

Dalil-dalil daripada al-Quran mengenai zuhud :

1. Firman Allah SWT bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.”  (Surah Al-A’laa ayat 16-17)

Sifat zuhud adalah satu sifat yang mulia di sisi Allah SWT. Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-A'laa ayat 16 dan 17 , yang mana Allah SWT. menyifatkan orang bukan Islam mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, kemudian Allah SWT menyebut kehidupan akhriat lebih baik dan kekal.

2. Firman-Nya yang bermaksud, “Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggal(nya).”
(Surah  An-Naaziat ayat 37-39)

Merenungkan ayat-ayat al-Quran yang banyak menyebutkan tentang kehinaan dan kerendahan dunia serta kenikmatannya yang menipu (manusia). Dunia hanyalah tipu daya, permainaan dan kesia-siaan belaka. Allah mencela orang-orang yang mengutamakan kehidupan dunia yang fana ini daripada kehidupan akhirat

3. Firman Allah maksudnya :“Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).” (Surah At-Takaatsur ayat  6)

Perasaan seperti ini akan mendorong seorang hamba untuk hidup zuhud. Merasakan bahawa dunia itu membuat hati terganggu dalam berhubungan dengan Allah SWT, dan membuat seseorang merasa jauh dari kedudukan yang tinggi di akhirat kelak, dimana dia akan ditanya tentang kenikmatan dunia yang telah ia peroleh.

4. Firman Allah SWT  yang bermaksud: "Katakanlah (Wahai Muhammad), sesungguhnya kesenangan dunia itu hanyalah sementara sedangkan akhirat jualah yang lebih baik bagi orang yang bertakwa." (Surah al-Nisa ayat 77)

5. Nabi  SAW pernah menyebut bahawa Allah itu maha baik dan suka yang baik-baik. Cuma yang salah dalam hal harta ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah SWT dalam ayat berikut :-

كَلَّا بَلْ تُحِبُّونَ الْعَاجِلَةَ  وَتَذَرُونَ الْآخِرَةَ

Ertinya : "Sekali-kali janganlah demikian. Sebenarnya kamu (hai manusia) mencintai kehidupan dunia,  dan meninggalkan (kehidupan) akhirat "(Surah al-Qiyamah  ayat 20  dan  21 )

Manusia lebih mencintai kehidupan dunia berbanding kehidupan akhirat, maksudnya manusia tidak  suka dan malas menuntut ilmu tentang halal dan haram dalam pencarian dan perbelanjaan hartanya. 

Orang sebegini tidak  mengendahkannya samada ia riba, rasuah, pecah amanah, curi dan lain-lain, yang penting baginya adalah harta mesti dimiliki. 

Termasuklah juga, mengabaikan kewajiban Islam kerana terlalu mabuk dalam mencari harta, seperti tidak solat, tidak berzakat, abaikan tanggungjawab kepada rumahtangga dan lain-lain.

Ini bermakna zuhud itu adalah mencari dan membelanjakan harta tanpa melupakan hukum dan keredaan Allah SWT. Pandangan Allah akan sentiasa menjadi ‘priority' dalam pengurusan dan pendapatan hartanya. Ia juga akan memastikan zakat dan sedekah dikeluarkan. Itulah zuhud namanya dan bukannya menjadikan diri miskin  dan menjauhi dunia.

6. Tafsiran zuhud adalah bersandarkan firman Allah yang tidak menegah kita menjadi kaya dan berharta, tetapi yang dikehendaki adalah sentiasa peka dan berjaga dengan tipu daya harta agar tidak lalai dari halal haram dan keredhaaan Allah.

Firman Allah :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Ertinya : "Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi." (Surah  al-Munafiqun  ayat 9 )

Islam tidak melarang sama sekali kita untuk menjadi kaya dan menggunakan peralatan, kemudahan dan pakaian yang layak dengan pendapatan kita. Malah ia amat digalakkan untuk menjadi kaya dengan cara yang halal, kerana dengan itu zakat dapat dikeluarkan bagi membantu umat Islam yang tidak berkemampuan. Harta hanya akan menjadi tercela bila ia membawa kepada kelalaian dan pengabaian yang wajib di sisi Allah

Dalil-dalil daripada Hadis Nabi SAW :

1. Nabi SAW menyuruh gunakan rezeki dan nikmat Allah SWT yang telah dikurniakan-Nya kepada hamba-Nya. Buktinya adalah dari sabda Nabi SAW :-

قال أَتَيْتُ النبي في ثَوْبٍ دُونٍ فقال أَلَكَ مَالٌ قال نعم قال من أَيِّ الْمَالِ قال قد آتَانِي الله من الْإِبِلِ وَالْغَنَمِ وَالْخَيْلِ وَالرَّقِيقِ قال فإذا أتاك الله مَالًا فَلْيُرَ أَثَرُ نِعْمَةِ اللَّهِ عَلَيْكَ وَكَرَامَتِهِ

Ertinya : "Aku datang bertemu Nabi SAW dengan berbaju yang kurang elok lalu

Nabi SAW bertanya :

"Adakah engkau mempunyai harta ?"

Aku menjawab : " Ya"

Baginda bertanya lagi : "Dari mana dan apa jenis hartamu itu?"

Aku menjawab : "Allah telah memberiku harta dari ternakan unta, kambing dan kuda"

Nabi SAW  terus membalas dengan  katanya :

"Jika seseorang kamu telah diberikan harta (yang halal) maka hendaklah atau haruslah ditunjukkan kesan-kesan nikmat dan kemuliaan Allah (yang diberikan) kepadanya" ( Hadis Riwayat Abu Daud, no 4063, 4/51, Tirimidzi, no 2006, 4/364 ; Tirmidizi dan Albani : hadis hasan sahih.)

Imam Ibn Hajar berkata maksud hadis ini menyebut hendaklah seseorang itu memakai pakaian bersih yang layak dengan kedudukannya agar jika terdapat orang yang ingin meminta bantuan, maka boleh dikenali siapa yang boleh memberikannya. Pada masa yang sama mestilah ia menjaga niatnya dan menjauhi pembaziran. Demikian juga yang disebutkan di dalam kitab Tuhfatul Ahwazi  (Rujuk Fath Al-Bari,  10/260 ; Tuhfatul Ahwazi, 6/122)

2. Dari Abul Abbas, Sahel bin Sa'ad as-Sa'idi r.a. berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW seraya berkata, "Ya Rasulullah! Tunjukkanlah aku suatu amalan, jika aku kerjakannya, nescaya aku dicintai Allah, dan dicintai orang ramai". Bersabda Rasullulah SAW, "Berlaku zuhudlah di dunia, nescaya engkau dicintai Allah. Berlaku zuhudlah kepada pada apa yang ada di tangan manusia, nescaya engkau dicintai orang ramai" (Hadis Riwayat Ibnu Majah - hasan sahih dan lain-lain dengan sanad-sanad yang hasan.)

Huraiannya hadis di atas no.2.

Lelaki tersebut yang bertanya kepada Rasulullah SAW ingin mengetahui apakah bentuk amalan yang jika dilakukannya, maka Allah dan manusia akan mengasihinya. Dari soalannya yang tersebut menunjukkan minatnya terhadap melakukan amalan-amalan yang baik dengan niat yang ikhlas, dan jawapan dari Rasulullah SAW juga adalah tepat dan boleh dijadikan panduan hidup kepada seluruh umat Islam.

'Berlaku zuhudlah di dunia nescaya engkau dicintai Allah' bermaksud berlaku zuhudlah dengan mengambil harta dunia sekadar keperluan dan tidak berlebih-lebihan, apa lagi sehingga membawa ke peringkat tamak.

Pengertian zuhud bukan bermakna kita menolak semua kemudahan dan kebaikan kemajuan sains dan teknologi tetapi yang dikatakan zuhud adalah  hati dan jiwa seseorang  tidak terkesan dengan kemewahan dunia yang melekakan dan melalaikan tetapi hatinya tetap mencintai kehidupan di hari akhirat.

Zuhud dunia juga diertikan di segi syarak sebagai mengambil barang yang halal setelah meyakini kehalalannya dalam kadar yang perlu sahaja, dan sifat ini adalah lebih tinggi dari sifat warak.

Manakala sifat zuhud di kalangan muqarrabin (orang yang sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT) pula adalah dengan terus meninggalkan kenikmatan dunia; segala-galanya adalah tidak penting bagi mereka melainkan mendekati Allah SWT semata-mata.

'Berlaku zuhudlah pada apa yang ada di tangan manusia, nescaya dicintai orang ramai'

Bermaksud jika seorang yang kaya itu bersifat zuhud, maka ia akan memadai dengan rezeki yang dikurniakan Allah SWT dan tidak bersifat tamak dengan memperbanyakkan lagi harta bendanya, atau lebih buruk lagi, apabila sifat iri hati terhadap kelebihan orang lain mula menguasai dirinya.

Orang miskin pula dikatakan bersifat zuhud apabila ia tidak meminta-minta tanpa hajat kepada orang lain sehingga menimbulkan rasa kebencian. Jika ada pemberian orang terhadapnya maka haruslah diterimanya, itu pun jika perlu dan berhajat; tetapi jika sudah cukup ada pada miliknya, maka pemberian itu harus ditolak dan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Berdasarkan huraian di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa :

a. Allah SWT dan manusia akan kasih dan cinta kepada seseorang jika ia bersifat zuhud di dunia dan terhadap apa yang ada pada tangan manusia.

b. Orang yang kaya hendaklah merasa cukup dengan rezeki yang dikurniakan Allah kepadanya, dan jauhilah dari sifat tamak dan iri hati.

c. Orang yang tidak berada pula hendaklah mengelakkan dari sifat meminta-minta perkara yang tidak perlu supaya tidak timbul kebencian orang lain terhadapnya.

Oleh itu perlulah kita sentiasa mengamalkan sifat zuhud kepada dunia ini untuk mendapat reda dan kasih sayang Allah SWT  dan zuhud apa yang ada ditangan manusia supaya kita sentiasa dikasihi oleh manusia.

3. Sabda Nabi SAW. maksudnya :“Carilah apa yang bermanfaat bagi dirimu dan mintalah pertolongan kepada Allah dan jangan lemah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Zuhud yang disyariatkan dan bermanfaat bagi orang yang menjalaninya adalah zuhud yang dicintai oleh Allah dan rasul-Nya, iaitu meninggalkan segala sesuatu yang tidak bermanfaat demi untuk mencapai kehidupan akhirat. Adapun sesuatu yang memberi manfaat bagi kehidupan akhirat dan membantu untuk mendapatkannya adalah termasuk salah satu jenis ibadah dan ketaatan.

Yang bermanfaat bagi seorang hamba adalah beribadah kepada Allah, menjalankan ketaatan kepada-Nya dan kepada Rasul-Nya. Dan semua yang menghalangi hal ini adalah perkara yang mendatangkan kemudharatan dan tidak bermanfaat. Yang paling berguna bagi seorang hamba adalah mengikhlaskan seluruh amalnya kerana Allah.

Orang yang tidak memperhatikan segala yang dicintai dan dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya akan banyak menyia-nyiakan kewajiban dan jatuh ke dalam perkara yang diharamkan; meninggalkan sesuatu yang merupakan keperluannya seperti makan dan minum; memakan sesuatu yang dapat merosak akalnya sehingga tidak mampu menjalankan kewajiban; meninggalkan amar makruf nahi munkar; meningalkan jihad di jalan Allah kerana dianggap mengganggu dan merugikan orang lain. Pada akhirnya, orang-orang kafir dan orang-orang jahat mampu menguasai negeri mereka kerana meninggalkan jihad dan amar makruf tanpa ada maslahat yang nyata.

4. Sabda Nabi SAW maksudnya : "Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau seperti orang yang melintas ( Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Baginya orang yang memuji atau yang mencelanya ketika ia berada di atas kebenaran adalah sama saja. Seorang yang zuhud  menganggap dunia itu kecil sahaja, maka dia akan lebih memilih celaan daripada pujian. Hal itu akan mendorongnya untuk melaksanakan  kebenaran dan tidak  khawatir dicela atau dijauhi (oleh manusia), dia melakukan kebaikan semata-mata kerana Allah. Jadi, apabila seorang hamba telah menganggap sama kedudukan antara orang yang memuji atau yang mencelanya, bererti menunjukkan bahwa kedudukan makhluk di hatinya adalah rendah, dan hatinya dipenuhi dengan rasa cinta kepada kebenaran.

Hakikat zuhud itu berada di dalam hati, iaitu dengan keluarnya rasa cinta dan ketamakan terhadap dunia dari hati seorang hamba. Ia jadikan dunia (hanya) di tangannya, sementara hatinya dipenuhi rasa cinta kepada Allah dan akhirat.

5. Nabi SAW bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu mengambil bekalan dari dunia ini seperti bekalan orang yang bermusafir." (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibn Hibban)

Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa hidup di dunia ini adalah seperti seorang musafir yang dalam perjalanan. Biasanya seorang musafir tidak akan membawa bekalan yang terlalu banyak hingga membebankan perjalanannya. Dia akan membawa sekadar keperluannya supaya memudahkan perjalanan yang jauh.Inilah hakikat zuhud sebenarnya terhadap dunia yang fana ini.

Dalili-dalil daripada kata-kata  sahabat-sahabat Rasulullah SAW :

1. Sayyidina Ali k.wj. pernah berkata , "Aku telah talak dunia dengan talak tiga" ini bermaksud dunia ini tidak masuk di dalam hatinya, apa yang beliau lakukan adalah semata-mata kerana Allah dan tidak ada langsung kepentingan dunia masuk di dalam hatinya.

Sebagai seorang Khalifah Islam  , Saidina Ali bin Abi Talib k.wj. sentiasa bersifat zuhud dan kezuhudannya  tidak menghalang beliau untuk mentakbir negara dengan adil dan saksama dan menjaga kemaslahatan rakyat. Diberitakan setiap pagi beliau akan menghantar makanan dipintu rumah ibu-ibu tunggal yang miskin dan kematiaan suami. Setelah kewafatan beliau tidak ada lagi makanan yang dihantarkan, barulah rakyat tahu bahawa yang menghantar makanan adalah beliau sendiri.

Dalam pribadi Saidina Ali k.wj , antara zuhud dan tanggungjawab sosial bertemu. Beliau adalah seorang yang zuhud sekaligus orang yang paling peka terhadap tanggungjawab sosial. Beliau termasuk orang yang paling sukar tidur ketika menyaksikan ketidak adilan atau mendengar rintihan orang-orang kecil. Beliau tidak pernah mengenyangkan perutnya selama ada orang-orang yang lapar di sekitarnya. Beliau pernah berkata: "Demi Allah, aku bersumpah, andaikan aku dipaksa tidur di atas duri-duri padang pasir, atau aku dibelenggu kemudian dipendam hidup-hidup dalam tanah, sungguh ini semua lebih baik daripada aku berjumpa Allah dan Rasul-Nya di hari kiamat sementara aku pernah berbuat zalim kepada hamba-hamba Allah."

2. Kezuhudan Salman al-Farisi :

Dr. Aidh Abdullah al-Qarni menerusi kitabnya Ila Allazina Asrafu 'ala Anfusihim menukilkan kisah sifat zuhud dalam kalangan para sahabat antaranya Salman al-Farisi.

Gabenor Kufah ini telah menghairankan manusia yang menziarahinya pada hari-hari terakhirnya di dunia ini dengan tangisannya. Apabila ditanya mengapa beliau menangis, Salman menjawab: "Sesungguhnya aku teringat sabda kekasihku, "Hendaklah kamu mengambil bekalan dari dunia ini seperti bekalan orang yang bermusafir." (Riwayat Ahmad dan Ibn Hibban)

Selepas mengucapkan sabda Rasulullah SAW yang mulia ini, Salman menyambung kembali ucapannya, "Sedang kita telah mengambil seluruh dunia ini berserta isinya."

Penduduk Kufah melihat tiada satu pun dari dunia ini dimiliki oleh seorang Gabenor seperti Salman kecuali:

1. Sebatang tongkat untuk berjalan.

2. Sehelai kain serban yang besar untuk hamparan bagi tetamu dan untuk kegunaan ketika menghakimi.

3. Sebiji cawan besar untuk minum, berwuduk dan pelbagai kegunaan harian.

Maka mereka bertanya Salman: "Wahai Gabenor, sesungguhnya kami tidak melihat apa-apa dunia pun daripadamu kecuali keperluanmu  terhadap tiga benda ini sahaja."

Salman menjawab: "Itulah yang aku fikirkan. Bagaimana akan aku jawab di hadapan Allah  SWT. terhadap tiga benda yang aku miliki ini."

Subhanallah! Inilah kesempurnaan zuhud yang hanya mampu dicapai oleh mata hati yang sentiasa muraqabah terhadap Penciptanya. Ia akan terbentuk apabila insan melihat dunia ini dengan pandangan hakiki.

Takrif Zuhud di Sisi Ulama :

1. Khalifah Umar bin Abd Aziz.

Khalifah Umar bin Abd Aziz terkenang dengan sifat zuhudnya sehinggakan seorang Ketua Kerajaan dalam Negara kita ingin mencontohi keberibadian beliau. Walaupun sejak kecil lagi beliau hidup dalam golongan bangsawan, namu harta dan kemewahannya tidak mempengaruhi hidupnya. Dia hidup dalam penuh dengan kezuhudan.

Semasa menjadi gabenor Khuransan, beliau tidak duduk di istana malah memilih rumah yang sederhana. Beliau menyerahkan harta milik kerajaan yang dirampas secara haram kepada Baitulmal. Contoh kezuhudan beliau terselah kepada semasa beliau menegur isterinya. "Adakah kamu ingin bercerai dengan harta atau kamu berkecai dengan saya?"

Tetapi Fatimah memilih untuk bersama suaminya. Mereka hidup dalam keadaan sederhana. Semasa Umar Abdul Aziz dilantik jadi khalifah, beliau hanya menerima gaji yang tidak lumayan. Sedangkan beliau memberikan gaji yang sedikit tinggi kepada pengawai-pengawainya.

Semasa beliau dilantik menjadi khalifah, penjaga perbendaharaan Negara datang memberinya wang sebanyak 40,000 dinar dan berkata “Ini adalah bayaran gaji pendahuluan untuk khalifah bagi satu tahun. Ini yang kami lakukan pada khalifah sebelum tuan”.

Namun khalifah Umar hanya mengambil 200 dinar untuk pembelanjaan keluarganya. Bakinya dipulangkan pada perbendahaan Negara.

2. Syeikh Ibrahim bin Adham :

Syeikh Ibrahim bin Adham pernah ditanya seorang lelaki: "Bagaimana cara engkau mencapai darjat orang zuhud?" Ibrahim menjawab:

"Dengan tiga hal : 

Pertama, aku melihat kuburan itu sunyi dan menakutkan, sedang aku tidak menemukan orang yang dapat mententeramkan hatiku disana.  

Kedua, aku melihat perjalanan hidup menuju  akhirat itu amat jauh, sedang aku tidak memiliki cukup bekal.  

Ketiga, aku melihat Rabb Yang Maha Kuasa menetapkan satu keputusan atasku, sedang aku tidak punya alasan keputusan itu."

3. Syeikh Abu al-Qasim Karim Hawazin al-Qushairi dalam risalah al-Qushairiah menyebut bahawa Allah SWT. memberikan gambaran tentang kesempurnaan zuhud menerusi firmanNya yang bermaksud: "Katakanlah (Wahai Muhammad), sesungguhnya kesenangan dunia itu hanyalah sementara sedangkan akhirat jualah yang lebih baik bagi orang yang bertakwa." (Surah al-Nisa ayat 77)

4. Al-Imam Hasan Al-Basri menyatakan bahawa zuhud itu bukanlah mengharamkan yang halal atau menyia-nyiakan harta, akan tetapi zuhud di dunia adalah engkau lebih mempercayai apa yang ada di tangan Allah daripada apa yang ada di tanganmu. Keadaanmu antara ketika tertimpa musibah dan tidak adalah sama saja, sebagaimana sama saja di matamu antara orang yang memujimu dengan yang mencelamu dalam kebenaran.

5. Ibnu al-Qayyim mengatakan bahwa zuhud adalah meninggalkan apa yang tidak bermanfaat demi kehidupan akhirat.

6. Imam Malik r.a. berkata: "Zuhud itu terdiri daripada tiga huruf iaitu zai, ha dan dal. Zal bermaksud bekalan menuju ke akhirat. Ha pula bermaksud hidayah menuju agama. Manakala dal bermaksud istiqamah dalam melaksanakan ketaatan."

7. Imam Ibn Juzai berkata :-

ليس الزهذ بترك الحلال  , ولا إضاعة المال فقد يكون الغني زاهدا , إذا كان قلبه مفرغاً 

عن الدنيا , وقد يكون الفقير دنيويا إذا اشتدّ حرصه , وكان معمور القلب بالدنيا

Ertinya : Bukanlah zuhud itu dengan meninggalkan ( pendapatan dan harta) yang halal, bukan juga membuang harta, kemungkinan seorang yang kaya itu bersifat zuhud apabila hatinya kosong dari dunia (tidak mengharapkan sesuatu dari dunia dan kekayaannya untuk dunia), dan berkemungkinan orang faqir itu adalah orang yang bersifat duniawi apabila hatinya amat berkehendakan dunia, tatkala itu hatinya segar dengan ikatan kepada dunia. (Al-Qawanin Al-Fiqhiyyah, hlm 471 )

8. Imam Sufyan bin ‘Uyainah ditanya berkenaan zuhud lalu beliau menjawabnya :-

إن نقصت لم يغنم وإن زادت لم يفرح ولا يكره الموت لفراقها

Ertinya : "Sekiranya sesuatu harta itu hilang atau kurang sesorang itu tidak terlalu bersedih dan tatkala ia bertambah ia tidak pula gembira, dan ia tidaklah merasa bencikan mati kerana tidak mahu berpisah dengan hartanya " ( Jami' Al-ulum wal Hikam, hlm 256 )

9. Imam Al-Qarafi pula berkata :-

ليس الزهد عدم ذات اليد , بل عدم احتفال القلب بالدنيا , وإن كانت في ملكه

Ertinya : "Bukanlah zuhud itu tidak mempunyai sesuatu di dalam tangan, tetapi ia adalah tidak bergembiranya hati dengan dunia ( perolehan dunia) walaupun ia jatuh ke dalam miliknya" ( Az-Zakhirah, Al-Qarafi )

10. Abu Hazim az-Zahid pernah ditanya, “Berupa apakah hartamu?” Beliau menjawab, “Dua macam. Aku tidak pernah takut miskin karena percaya kepada Allah, dan tidak pernah mengharapkan apa yang ada di tangan manusia.” Kemudian beliau ditanya lagi, “Engkau tidak takut miskin?” Beliau menjawab, “(Mengapa) aku harus takut miskin, sedangkan Rabb-ku adalah pemilik langit, bumi serta apa yang berada di antara keduanya.”

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat empat perkara kenapa kita perlu kepada zuhud :

1. Keimanan yang kuat dan selalu ingat bagaimana ia berdiri di hadapan Allah pada hari kiamat guna mempertanggung-jawabkan segala amalnya, yang besar maupun yang kecil, yang nampak ataupun yang tersembunyi. Ingat! betapa dahsyatnya peristiwa datangnya hari kiamat kelak. Hal itu akan membuat kecintaannya terhadap dunia dan kelezatannya menjadi hilang dalam hatinya, kemudian meninggalkannya dan merasa cukup dengan hidup sederhana.

2. Merasakan bahwa dunia itu membuat hati terganggu dalam berhubungan dengan Allah, dan membuat seseorang merasa jauh dari kedudukan yang tinggi di akhirat kelak, dimana dia akan ditanya tentang kenikmatan dunia yang telah ia peroleh.

Firman Allah maksudnya :“Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).” (Surah At-Takaatsur ayat  6)

Perasaan seperti ini akan mendorong seorang hamba untuk hidup zuhud.

3. Dunia hanya akan didapatkan dengan susah payah dan kerja keras, mengorbankan tenaga dan fikiran yang sangat banyak, dan kadang-kadang terpaksa harus bergaul dengan orang-orang yang berperangai jahat dan buruk. Berbeza halnya jika menyibukkan diri dengan berbagai macam ibadah; jiwa menjadi tentram dan hati merasa sejuk, menerima takdir Allah dengan tulus dan sabar, ditambah akan menerima balasan di akhirat. Dua hal di atas jelas berbeza dan (setiap orang) tentu akan memilih yang lebih baik dan kekal.

4. Merenungkan ayat-ayat Al-Quran yang banyak menyebutkan tentang kehinaan dan kerendahan dunia serta kenikmatannya yang menipu (manusia). Dunia hanyalah tipu daya, permainaan dan kesia-siaan belaka. Allah mencela orang-orang yang mengutamakan kehidupan dunia yang fana ini daripada kehidupan akhirat, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud, “Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggal(nya).”
(Surah  An-Naaziat ayat 37-39)

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah sama-sama kita meningkatkan martabat diri kita menuju kepada zuhud kepada Allah SWT iaitu tidak ada sedikit pun kecintaan hati kita kepada harta dunia yang sementara ini. Dan hati kita sentiasa disebukkan dengan keyakinan pada hari akhirat dan nikmat syurga yang kekal abadi. Walaupun kita memiliki hati yang cinta pada hari akhirat tetapi ianya tidak menjejaskan kehidupan kita seharian. Bila kita bekerja kita bekerja bersungguh-sungguh tidak buang masa dengan sia-sia dan bila kita berniaga kita berniaga bersungguh-sungguh tidak ada penipuan dan pecah amanah. Semoga dengan keuntungan yang diperolehi akan dibayar zakat, bersedekah dan infak dijalan Allah SWT. Meningkatkan taraf ekonomi umat Islam adalah satu jihad yang besar.

Bersifat zuhud bukanlah bermaksud membiarkan diri miskin, tidak berusaha, berpakaian dan berkenderaan lusuh dalam keadaan berharta dan mampu. Justeru, amat diharapkan umat Islam tidak menjadikan zuhud sebagai alasan ketidakmajuan mereka 
dan tidak pula tersilap memahami konsep harta dalam Islam hanya kerana tidak faham erti sebenar zuhud. Sifat zuhud itu adalah bersederhana kerana kita memiliki harta yang banyak, tetapi sekiranya kita tidak mempunyai harta yang banyak, malah makan minum dan pakai kita masih tidak mencukupi, itu bukan disebut sebagai zuhud,,jangan menyalah gunakan perkataan zuhud ini...

Zuhud adalah sifat yang bersederhana di atas kekayaan yang dimilikinya,,disamping itu,,dia memanfaatkan seluruh kekayaannya ke jalan kebaikan dan bersedekah serta mengeluarkan zakat,(mereka tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap tuntutan agama)
serta kekayaan yang dimiliki tidak melekakan mereka dari terus berdakwah di jalanNya.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML