Wednesday, October 22, 2014

KESUSAHAN HIDUP TANDA KERINDUAN ALLAH



Hidup dalam dunia yang penuh kemewahan dan semua yang ada di dalamnya berlumba-lumba pada hari ini sering menghanyutkan kita dengan seribu macam perkara. Hari-hari yang dilalui, dipenuhi dengan jadual dan aktiviti untuk mencapai yang dihajatkan oleh hati. Ingin mengejar itu dan ini.

Hati dan fikiran fokus kepada hal-hal dunia sehinggakan masa untuk kita berhubung mesra dengan ALLAh Ta’ala, berkhalwat dengan ALLAH Ta’ala sudah hampir tiada. Kalau ada pun, berapa ramaikah dari kita yang tergolong dari orang-orang yang sedaya upaya mencuri masanya untuk berhubungan ‘heart to Rabb’ dengan Dia?

Yang parahnya adalah, dalam 1 hari yang dilalui itu, ada manusia yang langsung tidak mengingati Tuhannya dek kesibukan yang mengikat diri. Dan ALLAh Ta’ala, punya cara yang tersendiri untuk menyedarkan! Dan hanya selepas itu, manusia yang tersedar.

ALLAH Punya Cara-Nya Sendiri 

Dia Maha Penyayang, Maha Mengingati dan Maha Mengasihi kepada semua hamba-Nya.

Apabila kita menyayangi seseorang, mesti timbul rasa rindu apabila berjauhan, dan rasa rindu untuk berhubung serta bermesra, bergurau sendanya dengannya. Begitulah juga tamsilan, halnya dengan kerinduan ALLAh Ta’ala terhadap hamba-Nya.

Tapi, cara manusia dan cara ALLAh Ta’ala memanggil, menyeru dan berhubung dengan hamba yang dikasihi-Nya sangat luar biasa. Tidak sama seperti cara manusia. ALLAh Ta’ala punya cara-Nya sendiri. Tapi sayang, dek kerana lemahnya iman yang ada, sangat sedikit dari pada manusia (termasuk saya) yang sedar dan faham akan cara ALLAh menyeru dan memanggil kita untuk mendekati dan mendampingi-Nya.  

Musibah dan masalah dalam kehidupan itu sebenarnya merupakan panggilan-panggilan ALLAh supaya manusia berhubung dengan-Nya. Manusia sering lupa untuk mengingati ALLAh Ta’ala. Sering!

Bagaimana mahu berhubung dengan ALLAH Ta’ala? Melalui telefonkah? Bukan, sayang.

ALLAH Ta’ala menyeru dan memanggil manusia untuk menghampiri-Nya dengan menurunkan kesusahan demi kesusahan, supaya dengan itu, manusia boleh tersedar dan lembut hatinya untuk kembali kepada-Nya berdoa, mengadu dan meluahkan masalah dalam hidup.

Ini soal pergantungan manusia sebagai seorang hamba kepada Tuhannya!

ALLAH Ta’ala yang menurunkan bala bencana dan ALLAH Ta’ala jugalah yang akan mengangkat kesemua bala bencana itu kembali daripada kita.  

Pernah terfikir tidak, kenapa diri sendiri ditimpa musibah secara tiba-tiba, padahal beberapa minit atau beberapa jam sebelumnya hati lapang dan gembira serta tersenyum tawa dengan hati yang riang? Mengapa ALLAh Ta’ala turunkan suatu masalah yang sangat menghimpit jiwa secara tiba-tiba tanpa sebarang alamat?  

Maka, itulah sebenarnya maksud dan perancangan ALLAh Ta’ala pada setiap waktu dan ketika menanti-nanti manusia yakni hamba-Nya meluangkan masa untuk bersama-Nya. Setiap kali ALLAh Ta’ala menyeru dan memanggil manusia melalui kesusahan-kesusahan hidup itu, ALLAh mahu manusia menyahut panggilan-Nya dengan berusaha merapat pada-Nya melalui solat, doa dan munajat.

Ujian kesusahan, kedukaan dalam kehidupan itu bukanlah tanda ALLAh Ta’ala itu zalim. Tetapi kerana zalimnya manusia terhadap diri sendirilah yang menyebabkan ALLAh Ta’ala dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih menyedarkan manusia dari lamunan duniawi.

Itu adalah tanda kasih dan sayang-Nya!

Saya sendiri, dan anda yang membaca,

tidakkah terasa kecut jiwa untuk mahu tunduk terhadap ALLAh?

Dia, ALLAh Ta’ala. Tuhan kita, sentiasa ada untuk menjaga kita.

Maka, jagalah Dia dalam urusan kehidupanmu.

Semoga ALLAh merahmati.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML