Tuesday, March 25, 2014

BOLEHKAH WANITA BERDAKWAH MELALUI NASYID???


Umat Islam terutamanya para muda mudi amat memintai muzik dan lagu. Para remaja Islam dalam kalangan lelaki dan wanita juga tidak terkecuali daripada menjadi peminat muzik ini. Walau bagaimanapun, mereka mengalihkan minat itu kepada dendangan lagu-lagu nasyid yang liriknya membawa kepada kebaikan dan kesedaran agama.

Tidak dapat dinafikan, banyak juga nasyid-nasyid ini yang dilihat menyimpang dari landasan asal lalu sifat komersialnya melebihi nasihatnya. Liriknya yang asalnya membawa kepada nasihat agama mulai bertukar kepada puja-puji wanita dan kekasih. Bezanya dengan lagu pop rock biasa hanyalah kerana ia diadun sedikit dengan menyebut nama-nama Allah sekali sekala, kalimah Islam atau apa-apa elemen Islam.

Saya akan menulis lanjut tentang hal ini kemudian, Insha’ Allah. Dalam penulisan ini, saya ingin mengajak pembaca melihat peranan kaum wanita muslimah dalam industri nasyid ini. Adakah ianya halal atau sebaliknya?

Suara Wanita

Majoriti ulama berfatwa suara wanita bukanlah aurat. Dalilnya mudah iaitu:

أنَّ رسول الله ـ صلَّى الله عليه وسلَّم ـ قال: “يا معشر النساء تصدقن وأكثرن الاستغفار؛ فإنِّي رأيتكنَّ أكثر أهل النار، فقالت امرأة جزلة

 منهنَّ: وما لنا يا رسول الله أكثر أهل النار؟ فقال: تكثرن اللعن، وتكفرن العشير”..

Ertinya: Sesungguhnya Rasulullah SAW berkata: wahai seluruh kaum wanita, bersedeqah dan banyakkan istighfar, sesungguhnya aku melihat wanita adalah majoriti ahli neraka. Maka berkatalah seorang wanita: Mengapa kami menjadi majoriti ahli neraka ya Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: “Wanita banyak yang melaknati dan mencela orang lain serta mengingkari kebaikan suaminya..” (Riwayat Muslim)
Saya bukan ingin mengulas isi kandungan hadith itu, tetapi ingin membawakan bukti bahawa suara wanita dalam keadaan biasa bukanlah aurat. Pertanyaan secara langsung wanita itu membuktinya. Selain hadith ini, banyak lagi hadith-hadith lain yang membuktikan suara wanita bukan aurat.

Hasilnya, pandangan terkuat dalam mazhab Hanafi, yang muktamad dalam Maliki, Syafie dan Hanbali menganggap suara wanita bukanlah aurat.

Berubah Menjadi Aurat

Bagaimana hukum jika seorang wanita itu melembut dan memanjakan suara di hadapan lelaki bukan mahram?.

Inilah perbincangan saya.

Tidak dapat dinafikan lagi jika demikian keadaannya, sudah tentu ia diharamkan oleh Islam.

“Eh ustaz, sedapnya suara wanita tadi ye” kata seorang rakan saya.

“Yang mana satu ni?” Tanya saya sambil cuba mengingat kembali.

“Ala, yang sekali meeting dengan kita tadi le” katanya menjelaskan.

“Sedap macam mana tu” tanya saya menduga.

“Ish..naik le bulu roma saya dan kalau boleh nak dengar tiap-tiap hari suara dia, astaghfirullah, eh.. dosa ke ustaz, suara bukan aurat kan?” katanya
sambil tersenyum kambing.

Bayangkan bagaimana keterlanjuran kata oleh siswa ini di hadapan saya. Wanita perlu mengetahui betapa lemahnya lelaki di hadapan mereka. Lelaki secara
umumnya (kecuali yang punyai keimanan yang hebat) memang mudah tergoda dengan suara merdu wanita walaupun wanita itu tidak langsung berniat untuk menggoda. Maka apatah lagi jika di ketika ia memang berniat untuk menggoda.

Saya masih ingat satu ketika di satu universiti, satu mesyuarat sedang berjalan. Saya mempengerusikan mesyuarat.

Suasana agak biasa, sehinggalah tiba-tiba seorang mahasiswi memberikan pandangannya kepada satu isu yang sedang dibincangkan.

Walaupun mahasiswi itu berada di belakang tabir, tetapi oleh kerana suaranya yang lembut dan lemak gemalai secara semulajadi (bukan sengaja dibuatnya), semua mahasiswa yang tadinya seperti mengantuk menjadi cergas dan terbeliak mata sambil berubah wajah seperti malu-malu serta cukup tekun mendengar setiap butiran ayat yang keluar dari mahasiswi itu.

Entah apa yang merasuk mereka..

Habis meeting, seorang dari mereka menyapa saya lalu berkata:

“Siapa tadi ye ustaz, siswi tadi tu”.

“Siswi mana?” tanya saya.

“Ala yang suara merdu tu, apa namanya ye ustaz..ehem ehem, terpikat juga saya dengar suaranya” tegaskan tanpa malu-malu.

Cuba lihat apa yang terjadi, hanya dengan suara tanpa melihat rupa pun sudah boleh meruntun hati seseorang siswa yang mengaji agama di universiti,
apatah lagi jika siswa yang mengaji rempitan di jalanraya!

Teringat Di Jordan

Saya juga teringat satu hari, ketika saya sampai ke satu universiti untuk memberikan ceramah, ketika itu agak kecoh siswa di sana berkenaan satu
VCD nasyid kumpulan wanita yang baru sampai dari Malaysia. Saya mendengar bahawa terdapat bakal-bakal ustaz ini yang berebut-rebut untuk melihat dan mendengarnya. Apabila saya bertanya lanjut tentang hal ini kepada seorang pemimpin mahasiswa, rupanya VCD itu begitu popular kerana penasyidnya terdiri dari kalangan anak-anak gadis yang ‘ada rupa’ serta ‘solehah’. Hmm solehahkah mereka …?

Pinjam meminjam pun berlaku dengan hebatnya di kalangan mahasiswa, ada juga yang menyalin ke dalam komputer masing-masing. Kemudian timbul aduan dari
salah seorang mahasiswa soleh kepada saya bahawa terdapat mahasiswa yang amat asyik dan mengulang-mengulang vcd tersebut.

Lihatlah kesannya, adakah ini dakwah ?..baca sampai ke habis, inshaAllah akan mendapat jawapannya.

Amaran Allah

Allah SWT yang menciptakan manusia sememangnya telah memberi peringatan akan hal ini apabila menyebut :-

تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِى فِى قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلاً مَّعْرُوفاً

Ertinya : “Maka janganlah kamu wahai wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik ( kandungan dan tatacaranya)” (Al-Ahzab: 32)

Para ulama tafsir  menyebut, suara wanita yang dilagukan adalah termasuk dari kecantikan-kecantikan (yang tidak harus dipertonton dan diperdengarkan kepada lelaki bukan mahram) tiada khilaf dalam hal ini (Adwa al-Bayan, 5/10: At-Tashil Li Ulum At-Tanzil, 3/137)

Imam As-Suddi berkata: larang ini bermaksud larangan kepada kaum wanita menipiskan suaranya (lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di hadapan khalayak lelaki. Imam Qurtubi pula mengatakan, kerana suara yang sebegini akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat (Tafsir Ibn Kathir, 3/483; Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, 14/177).

Berdasarkan dalil ayat ini, apa yang boleh saya fahami adalah nasyid wanita juga tergolong dalam bab yang diharamkan oleh Islam apabila ia diperdengarkan kepada lelaki yang bukan mahram. Adapun jika ia dinyanyikan oleh kanak-kanak wanita yang belum baligh atau ia dinyanyikan khas untuk para wanita. Ia adalah harus.

Suara Wanita Ketika Beribadah

Displin Islam dalam hal ini boleh dilihat dari perkara di bawah ini:-

1) Ingin Menegur Imam semasa solat, 
Jika kaum wanita ingin menegur imam lelaki yang tersilap bacaan atau terlupa rakaat dan lainnya. Nabi SAW hanya membenar para wanita mengingatkan imam dengan menggunakan tepukan sahaja.

Hadithnya :-

فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم ما لي رأيتكم أكثرتم التصفيق من رابه شيء في

صلاته فليسبح فإنه إذا سبح التفت إليه وإنما التصفيق للنساء 

Ertinya: Berkata Rasulullah SAW, mengapa aku melihat kamu banyak bertepuk apabila ragu-ragu (waswas) dalam sesuatu perkara semasa solatnya. Hendaklah kamu (lelaki) bertasbih dan sesungguhnya tepukan itu hanya untuk wanita” (Riwayat Al-Bukhari, no 652)

Arahan Nabi untuk wanita bertepuk bagi membantu imam itu adalah bagi menjaga suaranya dari memesongkan orang lelaki yang sedang solat (Faidhul qadir, 3/281; Al-hawi al-Kabir, 9/17)

2) Wanita dan azan

Imam al-Jassas ketika mentafsirkan ayat dari surah al-ahzab tadi menyebut bahawa ayat ini memberi hukum bahawa wanita dilarang dari melaungkan azan terutamanya jika kemerduan suaranya dijangka mampu mengelodak hati sang lelaki ( Ahkam al-Quran, 5/229 dengan pindaan ringkas)

Demikian juga pandangan mazhab Syafie dan hanbali, dan tidak diketahui ada yang bercanggah pendapat dalam hal ini , kata Imam Ibn Quddamah, Al-Mughni,
2/68)

3) Wanita menjadi imam solat kepada wanita lain atau ketika solat jahar.

Sudah tentu wanita harus untuk menjadi imam kepada wanita lain, tetapi mereka tidak dibenarkan mengeraskan bacaan quran mereka jika di tempat itu terdapatnya para lelaki yang bukan mahramnya. (Al-Mughni, Ibn Quddamah)

Imam Ibn Hajar berkata: “jika dikatakan bahawa sekiranya wanita menguatkan bacaannya di ketika solat maka solatnya batal, adalah satu pendapat yang
ada asasnya” (Fath Al-Bari, 9/509)

Jelas bahawa suara wanita yang dilagukan atau dalam keadaan biasa apabila melibatkan soal ibadah hukumnya dilihat semakin ketat kerana dibimbangi
menggangu ibdaaha wanita itu terbawa kepada kerosakan kaum lelaki yang lemah ini. Kerana itu disebutkan

فرع: صرّح في النوازل بأنّ نغمة المرأة عورة..ولهذا قال عليه الصلاة والسلام: (التسبيح للرجال والتصفيق للنساء، فلا يحسن أن 

يسمعها الرجل)

Ertinya: Ditegaskan bahawa suara wanita yang dilagukan adalah aurat ..kerana itu Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya tasbih untuk lelaki, dan tepukan
khas untuk wanita, maka tiada harus didengari ‘tasbih’ wanita oleh si lelaki”. ( Syarh Fath  Al-Qadir, 1/206 )

4) Suara wanita dan talbiah Haji 
Ijma’  ulama bahawa wanita tidak mengangkat suaranya kecuali hanya setakat didengari olehnya sahaja, demikian pendapat Ato’, Imam Malik, Syafie, Hanafi Awzaie ( AL-Um, 2/156 ; Al-MUghni , Ibn Quddamah, 5/16 )

Kesimpulan

Suara wanita boleh dibahagikan kepada dua jenis :-

1) Suara biasa wanita yang didengari secara jahar kepada lelaki awam; Ia diperbezakan hukumnya di kalangan ulama. Ada yang mengharamkannya secara total, ada yang mengharuskan secara total. Ada pula yang mengharuskannya apabila dijangka tidak membawa fitnah kepada lelaki
(Al-Jami’ Li Ahkami Quran, 14/227 ; Ibn Qayyim, al-Hasyiah, 6/156; ‘Ianah at-Tolibin, Ad-Dimyati; 3/260, Al-furu’, Ibn Al-Mufleh, 1/372 )

2) Yang dilembutkan dengan sengaja, dimanjakan dan dimerdukan. Ianya adalah diharamkan untuk diperdengarkan kepada khalayak lelaki
secara Ijma’. ( An-Nihayah, Ibn Athir, 42/2, Lisan al-Arab, Ibn Manzur, 73/8, Tafsir At-Tabari; 3/22, Hasiyah At-Tohawi; 1/161)

Maka
kumpulan nashid wanita hari ini termasuk di dalam kumpulan yang kedua tanpa khilaf. 

Malah bukan sekadar ‘illah suara sahaja yang boleh menjadikan mereka tercebur dalam perkara haram, malah pakaian dan pergerakkan mereka di khalayak awam juga.

Kebiasaannya apabila persembahan di buat, mereka kerap bersolek-solekan dengan pakaian yang canggih manggih. Di samping itu, duduk pula di atas pentas
menjadi tontotan lelaki, jika para ulama semasa menghukumkan haramnya bersanding pengantin di atas pentas dalam keadaan senyap tanpa berkata. Apatah lagi kumpulan nasyid wanita yang bersolek adakala seperti pengantin ini dan melentuk-lentuk tubuh dan suaranya di hadapan lelaki bukan mahram, sudah tentu haramnya lebih besar.

“Tapi ustaz, inikan alternative untuk mereka yang suka tengok penyanyi wanita yang seksi..eloklah mereka tengok kami” mungkin ini sebahagian
pertanyaan penyokong kumpulan nasyid wanita.

Jawapannya, benda yang haram tidak boleh dialternatifkan dengan yang haram juga.

Sebagaimana di sebut oleh dalil :-

إِنَّ اللَّهَ عز وجل لاَ يمحوا السيء بالسيء، وَلَكِنْ يَمْحُو السيء بِالْحَسَنِ، 

إِنَّ الْخَبِيثَ لاَ يمحوا الْخَبِيثَ.


Ertinya: ” Sesungguhnya Allah SWT tidak akan memadam yang buruk dengan buruk juga, tetapi yang buruk (haram) dipadamkan dengan yang baik (halal)
Sesungguhnya yang kotor itu TIDAK boleh mensucikan yang kotor” ( Riwayat Ahmad, 1/387: Perawi Ahmad adalah thiqah kecuali… sebahagiannya khilaf;
Majma’ Az-Zawaid, 10/228  )


Justeru, tidak boleh menggantikan penyanyi wanita seksi itu dengan penyanyi nasyid wanita. Kerana kedua-duanya haram buat si lelaki bukan mahramnya.

Jangan pula ada yang mendakwa kononnya ia adalah bentuk dakwah, TIDAK! Allah tidak akan menjadikan dakwah berkesan melalui perkara haram. Tiada siapa
boleh mengatakan ia sengaja minum arak kerana ingin mendakwah rakannya bahawa arak itu buruk.

Nabi SAW bersabda:

إن الله لم يجعل شفائكم فيما حرم عليكم

Ertinya: “Allah SWT tidak menjadikan penyembuhan kamu melalui perkara yang diharamkanNya” ( Riwayat Al-Bukhari )

Hadith ini menjelaskan tidak boleh mengambil apa jua yang diharamkan oleh Allah SWT untuk dijadikan ubat, kerana Allah tidak akan menjadikan ubat
dalam perkara yang diharamkanNya.  ( Tuhfatul Ahwazi , 6/168 )

Demikianlah dakwah dan pemulihan akhlak dan jiwa manusia, Allah SWT tidak akan menjadinya perkara yang diharamkanNya (melembutkan suara hadapan bukan
mahram) sebagai medium dakwah yang berkesan. Ia tidak lain hanyalah untuk komersial dan mengaut untung sahaja.

Setiap hasil untung dari jualan kaset nasyid wanita dewasa ini juga tidak lain kecuali hasil yang haram menurut sepakat ulama mazhab. Kecuali jika ia
khas untuk wanita dan dijual secara tertutup di majlis wanita sahaja. Persembahan juga untuk kaum wanita.

Sedarilah kumpulan nasyid wanita dan penyanyi wanita yang mendakwa dakwah melalui nasyid anda..Ia pasti tidak kan berjaya, usaha itu juga pastinya
tidak diterima oleh Allah SWT berdasarkan dalil-dalil yang diberi.

BANTAHAN KEPADA ARTIKEL: 

Apabila tulisan ini mula disebar luaskan, maka terdapat suara-suara penyokong nasyid wanita yang cuba mengharuskan tindakan mereka dengan memberikan
satu hadith berkenaan dua orang hamba wanita yang mempersembahkan nyanyian kepada Aisyah r.a di rumah Nabi SAW

Hadith ini adalah seperti berikut :-

عن عَائِشَةَ رضي الله عنها قالت دخل أبو بَكْرٍ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ

من جَوَارِي الْأَنْصَارِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَقَاوَلَتْ الْأَنْصَارُ

يوم بُعَاثَ قالت وَلَيْسَتَا بِمُغَنِّيَتَيْنِ فقال أبو بَكْرٍ

أَمَزَامِيرُ الشَّيْطَانِ في بَيْتِ رسول اللَّهِ وَذَلِكَ في يَوْمِ عِيدٍ فقال رسول اللَّهِ  يا أَبَا بَكْرٍ إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا وَهَذَا عِيدُنَا

Ertinya: Dari ‘Aisyah r.a berkata : Abu Bakar ( bapa Aisyah r.a ) masuk ke rumah dan dibersamaku dua orang jariah (hamba wanita) dari kalangan bangsa Ansar sedang menyanyi dengan kisah-kisah Ansar ketika hari Bu’ath, lalu asiyah berkata: Mereka berdua bukanlah penyanyi, Berkata Abu Bakar  r.a: ” Adakah seruling Syaitan di rumah Rasulullah SAW? Maka Rasul berkata: WAhai Abu Bakar, ini adalah hari raya). [HR Bukahri, 1/335]

Dalam riwayat lain:

عن عَائِشَةَ قالت دخل عَلَيَّ رسول اللَّهِ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ

تُغَنِّيَانِ بِغِنَاءِ بُعَاثَ فَاضْطَجَعَ على الْفِرَاشِ وَحَوَّلَ

وَجْهَهُ وَدَخَلَ أبو بَكْرٍ فَانْتَهَرَنِي وقال مِزْمَارَةُ

الشَّيْطَانِ عِنْدَ النبي فَأَقْبَلَ عليه رسول اللَّهِ عليه السَّلَام

فقال دَعْهُمَا

Ertinya: “Daripada ‘Aisyah, Rasulullah SAW masuk ke rumah dan bersamaku dua orang jariah (hamba wanita) dari kalangan bangsa Ansar sedang menyanyi dengan kisah-kisah Ansar ketika hari Bu’ath, maka baginda terus baring dan memalingkan wajanya, maka masuk pula Abu Bakar r.a lalu menegurku sambil berkata, adakah seruling syaitan di sisi nabi SAW, maka nabi terus mendapatkannya lalu berkata : Biarkannya”.

Secara ringkas, hujjah untuk mengatakan terdapat percanggahan atau harusnya nasyid wanita dengan dalil ini adalah tersasar dari kebenaran kerana:-

1) Ia dipersembahkan oleh hamba wanita. Maka hukum hamba adalah berbeza dengan hukum wanita merdeka dalam banyak hukum fiqh.

2) Dua orang jariah itu digambarkan dalam banyak riwayat lain sebagai bukan penyanyi khas, yang pandai menyanyi dengan teknik menyanyi yang dikenali dengan melembutkan suara, memerdu dan melunakkannya sebagaimana penyanyi profesional. Ini disebutkan melalui nas

“وليستا بمغنيتين”

Imam An-Nawawi dan Imam Ibn Hajar al-Asqolani mentafsirkannya sebagai:-

معناه ليس الغناء عادة لهما ولا هما معروفتان به

Ertinya: Maknanya, ia bukanlah nyanyian yang biasa digunakan pada masa itu, dan keduanya juga tidak dikenali pandai menyanyi (Nawawi, Syarh muslim, 6/182 : fath Al-Bari, 2/442)

3) Rasulullah juga digambar tidak turut serta menikmatinya tetapi hanya membiarkannya dinikmati oleh ‘Aisyah.

Ia juga adalah di dalam rumah Nabi Saw dan bukan di khlayak ramai. Imam An-Nawawi mengulas bahawa Nabi juga disebut berpaling wajah :-

وإنما سكت النبي عنهن لأنه مباح لهن وتسجى بثوبه وحول وجهه اعراضا عن اللهو ولئلا يستحيين فيقطعن ما هو مباح لهن

Ertinya: Nabi senyap dari tindakan itu kerana ia harus BAGI WANITA, dan nabi MENUTUP DENGAN PAKAIANNYA dan berpaling wajah darinya sebagai menjauhi perkara melalaikan” (Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 6/183)

4) Takrif ‘Jariah’ selain bermaksud hamba, ia juga digunakan untuk kanak-kanak wanita belum baligh. Sebagaimana disebut oleh Imam al-Aini & Imam As-Suyuti :-

قوله جاريتان تثنية جارية والجارية في النساء كالغلام في الرجال ويقال على من دون البلوغ

Ertinya: Dua orang jariah: disebutkan bagi mereka yang dibawah umur baligh (Umdatul Qari, 6/269)

قوله جاريتان الجارية في النساء كالغلام في الرجال يقعان على من دون البلوغ

Ertinya: Jariah untuk wanita, ghulam panggilan untuk lelaki yang keduanya digunakan untuk mereka yang di bawah umur baligh. (Sindi, 3/194: Syarhu As-Suyuti li sunan An-Nasaie, 3/197 )

Hal ini juga disebut di dalam Awnul Ma’bud :-

لأنهما جاريتان غير مكلفتين تغنيان بغناء الأعراب

Ertinya : kerana mereka berdua belum mukallaf ( belum baligh) lalu mereka menyanyikan lagu-lagu a’rab ( Awnul Ma’bud, 13/181)

Justeru, apa lagi hujjah yang boleh diguna untuk mengharuskannya?. Dharurat atau maslahat?..lupakan sahaja.



1.Manusia memerlukan hiburan dalam kehidupan seharian. Namun dalam memilih hiburan yang ada pada hari ini, manusia kerapkali terjerumus ke dalam perkara-perkara yang haram. Hal ini termasuklah dalam memilih lagu-lagu nasyid. Apakah dalil-dalil yang menyebut tentang hukum mendengar lagu dalam Islam?

Islam merupakan agama yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Tidak ada satu pun dalam ajaran Islam yang bertentangan atau tidak sesuai untuk dijadikan amalan dalam kehidupan kita.

Manusia sebagai makhluk yang dianugerahkan Allah s.w.t dengan naluri kejiwaan dan perasaan sememangnya memerlukan kepada sesuatu yang boleh memberi ketenangan, kerehatan minda dan keseronokan. Sehubungan dengan itu, hiburan melalui nyanyian telah menjadi salah satu medan atau platform yang paling popular dalam memenuhi tuntutan tersebut.

Islam sama sekali tidak mengharamkan hiburan, kerana ia merupakan salah satu keperluan dalam diri manusia. Namun persoalannya apakah bentuk nyanyian atau muzik yang menepati syariat Islam pada masa kini?

Mendengar lagu nasyid tanpa disertakan dengan alat muzik adalah dibenarkan, sebagaimana yang jelas dari nas-nas yang menunujukkan keharusannya, telah sabit (sahih) bahawa Rasulullah r dan para sahabat telah mendengar nasyid dan syair ketika bermusafir juga ketika berada di Madinah, ketika bekerja juga waktu rehat, samada secara perseorangan seperti nasyid Hassan, ’Amir Al-Akwa’, Anjasyah dan Bilal ra, juga secara beramai-ramai sebagaimana yang dikhabarkan oleh Anas ra dalam peristiwa menggali parit (Khandaq).

Adapun mendengar lagu (nyanyian) yang disertakan dengan alat-alat muzik maka ulama’ berbeza pendapat tentangnya;

Jumhur (majoriti) ulama’ silam -termasuklah ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie- mengharamkannya dikecualikan duff (kompang).

Mereka berdalil antaranya;

1-Hadis Nabi s.a.w. yang diriwayat oleh Abu Malik Al-Asy’ari ra menegaskan; “Akan ada di kalangan umat-ku orang-orang yang akan menghalalkan penzinaan, sutera dan alat-alat bunyian (muzik)”. [Hadis riwayat Imam Al-Bukhari]

Ini adalah mu’jizat Rasulullah saw, memang ramai betul orang sukakannya.

2-Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sebahagian manusia dari umatku mereka meminum arak dengan memberinya nama yang lain (yakni menukar namanya), kepala-kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita….” [Hadis Riwayat Ibnu Majah dari Abu Malik al-Asy’ari, dinilai sahih oleh Sheikh Al-Albani).

Hadis di atas menyentuh alat-alat muzik secara umumnya.

3- Hadis yang secara khusus menyebut alat-alat muzik pula ialah; Imam Ahmad meriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. yang telah menceritakan bahawa “Rasulullah s.a.w. telah mengharamkan arak, judi, gendang, biola dan setiap yang mengkhayalkan adalah haram”. Dalam satu lafaz yang lain, Rasulullah bersabda; “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas umatku arak, judi, tuak gandum, gendang dan biola”. (Riwayat Imam Ahmad)

4- Selain dari dalil-dalil di atas, suasana juga menunjukkan bahawa orang yang banyak mengguna dan mendengar alat-alat bunyian (muzik) ini telah menjadi adat atau kebiasaan orang-orang fasik (yakni suka melakukan maksiat dan tidak menjaga agama).

Namun sebahagian ulama’ mengharuskan alat-alat bunyian atau muzik dalam sebarang bentuk dan bunyi selagi ia tidak bercampur dengan perlakuan-perlakuan yang haram seperti minum arak, percampuran lelaki dan wanita, nyanyian-nyanyian yang bercanggah dengan agama (spt. memuja wanita, yang membangkitkan syahwat dsbnya) dan selagi tidak melalaikan ibadah dan tanggungjawabnya.

Di antara mereka ialah sahabat Nabi s.a.w. Abdullah bin Jaafar dan Abdullah bin az-Zubair, Imam Malik, Towus, Sa’ad bin Ibrahim az-Zuhri (seorang Tabi’in), Abdul-‘Aziz bin Salamah al-Majisyun, Imam Abu Bakar Ibnu Al-‘Arabi, Imam Ibnu Hazm dan sebagainya.

Hujah mereka ialah; tidak ada dalil yang benar-benar terang dan nyata yang menyebutkan pengharaman alat-alat bunyian atau muzik tersebut.

Jika ada sekalipun, umpamanya hadis riwayat Imam Bukhari di atas (yang dikemukakan oleh jumhur tadi)!!, ia kerana bercampur dengan arak, zina atau sebagainya yang jelas dilarang, bukan semata-mata kerana alat bunyian/muzik. Maka jika alat-alat bunyian/muzik tersebut bebas dari unsur-unsur haram tersebut, maka ia kembali kepada hukum asalnya iaitu harus. Sekalipun banyak hadis yang dikemukakan oleh ulama’-ulama’ yang berhujjah melarang alat-alat bunyian, namun hadis-hadis tersebut tidak sunyi dari kecacatan. Ia berlegar antara dhaif atau maudhuk (palsu) dan tidak harus dijadikan hujjah terutama untuk mengharamkan sesuatu di mana telah disepakati ulama’ bahawa pengharaman mesti berdasarkan dalil yang soheh. Sebagai contohnya, hadis riwayat Imam Ahmad di atas; di dalam sanadnya (yakni rangkaian periwayatnya) terdapat seorang bernama Al-Walid bin ‘Abadah di mana ia adalah majhul (tidak dikenali). Berkata Imam Ibnu Hazm; “Tidak ada sebarang hadis yang soheh yang mengharamkan nyanyian dan alat-alat bunyian. Semuanya adalah maudhuk (hadis-hadis palsu)”.

Ramai ulama’ semasa hari ini cenderung kepada pandangan kedua di atas, yakni; muzik adalah harus selagi tidak bercampur dengan perkara-perkara haram dan tidak melalaikan dari ibadah dan tanggungjawab. Begitu juga hukumnya dengan nyanyian yang hari ini tidak dapat dipisahkan dengan muzik. Di antara mereka ialah Dr. Yusuf al-Qaradhawi (rujuk kitab beliau; al-Halal Wa al-Haram Fil-Islam), Syeikh Muhamad al-Ghazali dan Mufti Mesir sekarang ini Dr. Ali Jum’ah (lihat buku Himpunan Fatwanya bertajuk; al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa ‘Asyriyyah, hlm. 452).

Perhatian;

Sebagai penuntut ilmu yang cintakan kebenaran, kita tidak sepatutnya berdiam diri apabila hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dipertikaikan kesahihanya, sedangkan ramai ulama’ tampil menjelaskan keraguan serta mempertahankan kesahihannya.

Demikian juga apa yang diriwayatkan bahawa sebahagian sahabat mempunyai hamba yang bermain dengan alat muzik, riwayat tersebut adalah ”batil’.

2.Apakah pula yang menjadi penentu kepada hukum lagu ataupun nasyid? Adakah pada liriknya, rentaknya ataupun situasi penyampaiannya?

Ketiga-tiganya sekali, lagu, lirik dan situasi..

Sebagaimana yang kita sebutkan di atas tadi bahawa tidak ada ulama’ yang mengharuskan nyanyian secara mutlaknya. Keharusan nyanyian adalah bersyarat. Secara ringkas, syarat-syarat utama yang telah ditetapkan ulama’ bagi nyanyian yang diharuskan ialah;

1. Hendaklah apa yang diperkatakan di dalam nyanyian itu (yakni lirik atau senikatanya) menepati ajaran Islam dan adab-adab Islam.

2. Cara nyanyian itu dipersembahkan juga penting untuk diperhatikan. Adakalanya senikata lagu tidak bercanggah dengan Islam, tetapi gaya penyanyi mempersembahkan nyanyian menimbul ghairah orang yang melihatnya atau membangkitkan nafsu mereka –seperti penyanyi perempuan yang tidak menutup aurat dan dengan suara menggoda-, maka nyanyian sebegitu adalah diharamkan walaupun senikatanya baik.

3. Tidak berlebihan hingga melalaikan dari kewajipan hidup yang sebenar dan lebih utama, seperti mengabaikan solat, tugas seharian lantaran mengikuti program / konsert yang di anjurkan.

3.Kita melihat terdapat banyak khilaf mengenai garis panduan alat muzik yang diberikan oleh ilmuwan Islam. Ada yang mengatakan gitar dibolehkan. Bagaimana pula dengan penggunaan biola, piano dan drum? Apakah garis panduan bagi alat muzik yang dibenarkan dan tidak dibenarkan di dalam Islam?
Terdapat hadis-hadis yang menyebut beberapa jenis alat yang diharamkan, seperti hadis riwayat Imam Ahmad di atas.

Menurut mazhab Syafi’ie; “Diharamkan mengguna dan mendengar alat-alat bunyian seperti biola, gambus, shonji (iaitu dua piring tembaga yang dilagakan keduanya untuk menghasilkan bunyi), gendang, serunai, dan sebagainya. Setiap alat muzik yang bertali adalah haram tanpa khilaf. Diharuskan duff bagi majlis kenduri kahwin, berkhatan atau sebagainya. Nyanyian jika tanpa alat bunyian, hukumnya makruh dan jika disertai alat-alat bunyian, hukumnya adalah haram”. (Lihat Mughni al-Muhtaj, Kitab asy-Syahadat).

Walaupun ada ulama’ mengharuskan penggunaan alat-alat muzik, tetapi meninggalkannya adalah lebih selamat.

4.Merujuk kepada pandangan Dr. Yusuf al-Qardhawi, penggunaan alat muzik dibolehkan bagi tujuan untuk berdakwah. Di Negara kita pula, nasyid sekarang sudah dijadikan satu industri yang mana para penasyid diletakkan sebaris dengan para penyanyi yang lain, serta diberikan anugerah dalam majlis-majlis yang turut dipenuhi dengan persembahan-persembahan yang tiada khilaf tentang keharamannya, seperti Majlis Anugerah Industri Muzik dan lain-lain. Adakah alasan berdakwah kepada para artis boleh diterima apabila menuntut para penasyid kita menghadiri majlis-majlis seperti ini?

Menghadiri majlis sedemikian menjadikan kita mengiktiraf perbuatan tersebut, sedangkan telah ada larangan daripada meramaikan golongan yang tidak baik, terdapatkan juga larangan menyerupai orang kafir atau fasiq, seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Ibnu Omar ra dengan sanad yang sahih;

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ maksudnya: ”Sesiapa yang menyerupai (gaya – tingkah laku) sesuatu kaum maka dia termasuk dari kumpulan tersebut”.

Alasan nak berdakwah, apa bukti kejayaan orang yang telah melakukannya, tapi sebaliknya ada, penasyid pula terikut2 dengan pakaian dan gaya mereka.

5.Dalam industri nasyid sekarang juga, kita melihat irama nasyid kebanyakannya diketengahkan dengan nada yang mendayu-dayu ataupun terlalu rancak seperti irama rap dan hip hop. Ini adalah sangat berbeza dengan tujuan nasyid zaman awal Islam yang menjadi peniup semangat jihad. Apa komen Dr? Bagaimanakah kita dapat kembalikan nasyid kepada tujuannya yang asal?

Memang nasyid kontemporari hari ini sudah hilang arah...

Perkembangan yang dialami oleh seni nasyid di Malaysia mengalami pasang surutnya. Bukan sahaja dari aspek penerimaan masyarakat kepada album nasyid melalui penjualan album, malah kepelbagaian bentuk nasyid juga semakin berwarna-warni hingga timbul pelbagai persoalan di sekitar hala tuju dan masa depan nasyid di negara kita.

Suatu masa nasyid dilihat sebagai suatu bentuk seni yang mempunyai identitinya yang tersendiri. Irama nasyid Malaysia menggabungkan elemen Timur Tengah dan Nusantara, menghasilkan kombinasi yang indah serta menepati bahasa jiwa dan perasaan pendengarnya. Sebagaimana lagu-lagu Islam di Turki, negara Arab dan Pakistan memakai pakaian budaya tempatan, begitu juga di Malaysia. Nasyid Malaysia mempunyai mempunyai identiti dan membentuk cara yang tersendiri.

Selepas menempuh perjalanan masa, unsur yang lebih asing mula menyerap masuk ke dalam pengungkapan irama nasyid Malaysia. Jika dahulu, kebanyakan nasyid menampilkan rentak, lirik dan persembahan yang dekat dengan kemelayuan persekitarannya, kini unsur-unsur yang lazimnya dikaitkan dengan budaya Barat mengambil alih hingga akhirnya menghasilkan “nasyid kontemporari” yang bernada raggae, blues, hiphop dan rock.

Hujjahnya ialah ingin mencari mencari kelainan.

Perubahan yang sedemikian rupa, berlaku atas beberapa faktor. Antaranya adalah soal desakan untuk menghasilkan kelainan. Setiap album nasyid yang mahu dipertaruhkan di pasaran, perlu berhempas pulas memikirkan elemen baru dan unik, demi untuk menggarap perhatian pendengar dan seterusnya diterjemahkan dalam pencapaian penjualan album yang memberangsangkan.

Untuk mencapai matlamat tersebut senikata yang diucapkan menjadi janggal dengan irama, contohnya apabila menyebut asma’ Allah serta sifat-Nya, atau Rasulullah saw serta selawat ke atasnya demikian juga dengan zikir. Semuanya kadangkala menjadikan telinga orang yang beriman sakit, kerana bimbang berlaku kesalahan dalam sudut aqidah.

Selain itu nasyid telah menjadi terlalu komersial....

6.Tidak kurang juga kita melihat di kalangan wanita Islam yang semakin menonjolkan diri dalam bidang nasyid di khalayak ramai. Apakah ianya dibenarkan dalam Islam hanya dengan memakai pakaian yang menutup aurat? Bagaimanakah sebenarnya kedudukan suara wanita dalam Islam?

Pakaian sebahagian ahli nasyid bahkan penceramah wanita tidak memenuhi etika berpakain.. OLeh itu, pakaian artis khususnya wanita perlu diberi nafas baru. Islam menerima perkembangan fesyen dan perhiasan, asalkan tidak melanggar batasan syarak. Imej yang agak seksi dan menggoda tidak mencerminkan anutan agama Islam dan budaya ketimuran. Soal aurat dalam Islam tidak ada kompromi, bagi mengharuskan nyanyian, persembahan atau ceramah, kewajipan menutup aurat adalah penting. Begitu juga persembahan dan pergaulan antara artis lelaki dan wanita perlu ada batasan. Sebarang bentuk sentuhan, pelukan dan geselan perlu dielakkan.

Aspek persekitaran juga menjadi kayu pengukur bagi mengharuskan sesuatu persembahan atau konsert. Kedudukan penonton yang diasingkan antara lelaki dan wanita serta yang berkeluarga adalah sangat baik dan bertepatan dengan budaya Islam.

Ini dapat membantu mengelakkan berlakunya sebarang bentuk maksiat serta pergaulan bebas sewaktu konsert berlangsung. Keadaan bersesak-sesak dan melompat menari antara lelaki dan wanita adalah salah di sisi agama.

Kesesuaian waktu dan kemudahan tempat juga penting supaya penonton tidak mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap tiang agama.

Berkait dengan hukum nyanyian bersama wanita, Islam telah meletakkan disiplin yang jelas tanpa wujudnya sebarang bentuk diskriminasi dan penindasan terhadap kaum wanita. Bagi mengelakkan sebarang fitnah yang berunsurkan pandangan yang bersyahwat dari golongan kaum lelaki dan memperagakan tubuh badan dari golongan kaum wanita, mengalun-alunkan suara (iaitu cara selayaknya sebagai penyanyi) dan seumpamanya, Islam melarang dan tidak membenarkan lelaki berduet bersama wanita dalam persembahan nyanyian. Ia bersalahan dengan adab Islam yang disebut di dalam Al-Quran Al-Karim iaitu firman Allah (s.w.t):

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ * وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ

وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ

بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي

الإرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا

أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ *

Yang bermaksud: “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya”. [Surah An-Nuur: 30-31]

Dan sabda Nabi (s.a.w) yang bermaksud: “Wahai Ali! Jangan kamu iringi pandangan pertamamu dengan pandangan kedua, sesungguhnya bagi kamu pandangan pertama tapi tidak pada pandangan kedua”.

Nyanyian yang dipersembahkan oleh wanita dikhalayak ramai adalah suatu perkara yang tidak dibenarkan oleh Islam. Al-Quran Al-Karim menyatakan arahan Allah (s.w.t):

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلا مَعْرُوفًا

Yang maksudnya: “…Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya…”. [Surah Al-Ahzab : 32]

Wanita hanya dibenarkan mempersembahkan nyanyian atau nasyid hanya untuk kalangan mereka sahaja dan tidak boleh dihadapan khalayak lelaki.

7.Dengan perkembangan nasyid yang begitu pesat sekarang, sejauh mana Dr. melihat nasyid ini dapat memberi kesan dalam berdakwah kepada golongan muda, ataupun mencetuskan kesedaran dan keinsafan serta dijadikan satu alternatif hiburan kepada golongan ini?

Nasyid sebagai alat bukan matlamat…

Jika nasyid didefiniskan sebagai jalan dakwah, maka ia sangat bergantung kepada faktor manusia yang membentuk nasyid itu sendiri. Rupa dan warna dakwah adalah gambaran seorang Da’ie terhadap apa yang beliau sendiri faham tentang mesej agamanya.

Jika nasyid bermaksud dakwah, maka nilai dakwah itu bukan hanya pada lirik dan lagu, tetapi ia sangat terkesan oleh apa yang ditonjolkan melalui keperibadian penyampainya.

Sama ada nasyid tradisional mahu pun yang kontemporari dengan gaya rap dan rock, latar belakang dan syakhsiah penasyid akan tetap menjadi sebahagian daripada penilaian masyarakat tentang sejauh mana relevannya dakwaan nasyid itu sebagai medium dakwah.

Nasyid adalah wasilah, maka ianya tidak sesuai disemua tempat dan waktu. Bagi golongan yang sentiasa hidup dengan alunan muzik, maka kita kemukakan nasyid sebagai alternative atau badil kepada muzik kegemarannya.

Tapi bagi muda mudi / pelajar aliran agama rasanya tidak perlu kita terikut-ikut dengan rentak golongan ini, lebih-lebih lagi pelajar aliran tahfiz, tumpukan kepada hafazan, kajian mendalam tentang hukum hakam adalah menjadi keutamaan sebagai seorang da’ie yang akan mengepalai masyarakat –dengan izin Allah- di masa depan.

Kata Abdullah bin Mas’ud ra:

( الغناء ينبت النفاق في القلب كما بنبت الماء البقل ).

Maksudnya: “Nyanyian itu menumbuhkan sifat munafiq di dalam hati, seperti air menumbuhkan sayuran” [HR Al-Baihaqi]

Ramai golongan muda mendengar lagu dari pagi ke malam, tapi tidak ramai yang menghabiskan masanya dengan alquran, ini kadangkala membuatkan kita terfikir kepada ayat yang dijadikan hujjah oleh ulama’ yang tidak membenarkan nyanyian.

Firman Allah yang bermaksud; “Dan ada di antara manusia orang yang membeli Lahwal-Hadith (cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan) untuk menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah tanpa sebarang ilmu/pengetahuan dan ia menjadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan ejekan. Mereka itu bagi mereka azab yang menghinakan”. (Surah Luqman, ayat 6).

Menurut Abdullah bin Mas’ud r.a.; maksud lahwal-Hadith dalam ayat di atas ialah nyanyian. Berkata Imam Hasan al-Basri; ayat di atas diturunkan kepada nyanyian dan alat-alat bunyian. Ada ulama’ berpendapat; lahwal-hadith itu ialah penyanyi-penyanyi dari kalangan jariyah (hamba perempuan).

Semoga perbincangan kita ini membuka pandangan untuk mengkaji dan berfikir tentang hukum Islam mengenai hiburan, bukan hanya setakat berselindung disebalik beberapa nama ulama’ besar untuk menghalalkan apa yang nafsu bersetuju dengannya, tanpa mengambil kira pandangan lain yang bertentangan serta sandaran dalil-dalilnya.
Sekian,

Sekian

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML