Monday, January 13, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 7

Soal Jawab Agama Siri 7 

(Talak, Zihar, Hukum bersumpah, Tinggalkan Solat Jumaat, Sifat Marah, Sentuhan Kulit, Anak Susuan, Menjual Pakaian, Sambuatan Hari Lahir dan Musafir)

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Soal Jawab Siri 7 membincangkan mengenai persoalan talak, hukum zihar, hukum bersumpah, tinggalkan solat Jumaat, sifat marah, sentuhan kulit lelaki dan wanita, anak susuan,  menjual pakaian yang tidak menutup aurat, sambutan hari lahir dan amalan-amalan semasa musafir.

Talak

121.Soalan: Apakah jenis talak jika si suami menceraikan isterinya sebanyak tiga kali?

Talak ini terbahagi kepada dua bahagian. Pertama ialah Talak Raj`i iaitu apabila suami menceraikan isterinya satu atau dua kali, ianya boleh rujuk kembali sebelum habis iddahnya. Kedua Talak Baa'in iaitu suami menceraikan isteri kali ketiga. Talak Baa'in tidak boleh dirujuk semasa iddah.

Sekiranya seorang suami menceraikan isterinya untuk kali ketiga iaitu  Talak Baa`in maka tidalah boleh lagi proses rujuk walaupun belum atau habis iddahnya. Kalau keduanya ingin berkahwin kembali mestilah perempuan itu kahwin dahulu dengan lelaki lain kemudian setelah cerai dengan suami kedua dan setelah habis iddahnya barulah boleh berkahwin kembali dengan suaminya yang pertama. 

Seperti firman Allah SWT yang bermaksud: ”Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Selepas itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkan-Nya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.” (Surah Al-Baqarah ayat 230)

122.Soalan:  Apakah yang dinamakan Tebus Talak?

Tebus Talak dikenali sebagai Khuluk yang mana ada situasi si isteri meminta cerai dengan suaminya tetapi suaminya berkeras tidak mahu bercerai ataupun belum bersedia kearah itu sehingga isteri saggup memberikan wang atau sejumlah harta tertentu asalkan suaminya mahu menceraikannya. Keadaan seperti ini dinamakan Khuluk. Penceraian seperti ini hukumnya harus dalam agama dan berlainan dengan talak lain.

Cara melakukan Tebus Talak jika isteri berkata kepada suaminya: ”Jika abang ceraikan saya maka saya bayar kepada abang RM1000” atau “Ceraikan saya dengan RM1000” Jika suami bersetuju dengan syarat tersebut dan isterinya pun membayar wang yang ditentukan  dan berjanji dengan itu maka sahlah Khuluk tersebut. Dalam hal seperti ini perlu disyaratkan:

1) Mestilah diperdengarkan oleh suami dengan menjatuhkan talak yang diminta oleh isterinya.

2) Kalau jarak masanya lama   baru si suami memberikan talaknya maka yang demikian Khuluk tidak terjadi tetapi hanya talak yang biasa yang mana tidak wajib bagi isteri untuk membayarnya.

Kejadian Khuluk juga boleh berlaku jika suami mengucapkan kepada pasangannya “Aku talakkan engkau dengan RM1000” lalu dijawab isterinya “Aku terima” dan isteri membayar wang yang diminta itu dengan tidak berantara dengan kata kata yang lain atau masa yang panjang. Sahlah Khuluk tersbut.

123.Soalan: Adakah boleh jika merujuk kembali kepada pasangan tersebut jika Khuluk terjadi?

Perempuan yang telah mencapai keinginan cerai dengan cara Khuluk maka tiada boleh dirujuk kembali tetapi keduanya boleh kahwin kembali dengan cara nikah yang baru.

124. Soalan :  Apakah yang dimaksudkan cerai cara Taklik? Adakah jatuh talak jika suami berkata kepada isterinya, "Jika kamu pergi kerumah abang kamu Osman maka jatuh talak satu? Dan si isteri pergi juga kerumah abangnya Osman.

Cerai cara taklik bermaksud perceraian yang berlaku kerana suami telah bertaklik. Taklik ialah perkataan Arab yang memberi maksud (dalam bahasa Melayu) bergantung, tergantung atau bergantungan. Biasanya diterjemahkan sebagai cerai bersyarat. Manakala daripada segi Istilahnya, ialah perceraian yang berlaku kerana suami telah melafazkan talak atau cerai ke atas isteri dengan syarat-syarat atau peristiwa yang tertentu. Seperti persetujuan suami ketika akad nikah, “Apabila saya meninggalkan isteri selama empat bulan tanpa nafkah, dan isteri telah mengadu kepada hakim syarie serta telah membuat bayaran RM1 bagi pihak diri saya, maka jika sabit kesalahan, pada masa itu jatuhlah satu talak ”. 

Apabila suami berkata kepada isterinya, "Jika kamu pergi ke rumah abang kamu Osman maka akan jatuh talak satu" dan si isteri pun pergi kerumah abangnya Osman samaada dengan sengaja atau tidak sengaja maka akan jatuh talak satu.

125.Soalan: Apakah hukumnya jika suami menyamakan isterinya sama dengan ibunya seperti “badanmu sama seperti badan ibuku”? 

Zihar pada segi istilah syarak, ertinya suami yang  menziharkan juzuk tubuh badan isterinya dengan muhram suami dengan mana-mana anggota lahirnya. Namun demikian tidaklah sampai jatuh talak sehingga menyebabkan pasangan suami isteri itu mesti bercerai tetapi hukuman tetap dikenakan kifarah bersabit dengan kesalahan tersebut.

Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Mujadalah ayat 2 yang maksudnya:  "Orang-orang yang menziharkan isterinya di antara kamu, (menganggap isteri sebagai ibunya) padahal tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka sungguh-sungguh mengucapkan satu perkataan yang mungkar dan dusta. Dan sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun"

Apabila suami berkata begitu dan tidak terus gugur talak isterinya, wajiblah dia membayar kifarah dan haram keatas dirinya bersetubuh dengan isterinya itu sebelum membayar kifarah. Kifarah tersebut terbahagi kepada tiga bahagian iaitu memerdekakan seorang hamba abdi, kalau tidak sanggup memerdekakan hambanya wajiblah kifarahnya berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika tidak sanggup memerdekakan hamba dan tidak mampu berpuasa dua bulan berturut turut maka kifarahnya member makan 60 orang miskin  tiap tiap seorang ¼ gantang (0.675kg) dari makanan asasi di negeri itu seperti di negara kita dengan beras.  Perkataan zihar ini adalah perkataan mungkar dan dilarang dalam agama.

TAKSIRAN

1 Cupak beras = ¼ gantang Baghdad = 0.675kg
1 Gantang Baghdad bersamaan dengan 2.7kg
Kadar Nilaian yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada tahun 2009 secupak beras = RM1.75

Contoh :

Sekiranya seseorang tidak mampu berpuasa 60 hari berturut-turut disebabkan sakit atau tua hendaklah memberi makan 60 orang fakir miskin. Bersamaan 60 x 1.75 = RM 105.00

126.Soalan: Apakah hukumnya jika suami berjanji atau bersumpah tidak mahu bersama dengan isteri dalam masa empat bulan tetapi suami melanggari janjinya?

Perbuatan ini dinamakan Ilaak iaitu ucapan dan perbuatan yang tidak baik diucapkan dalam hubungan suami isteri seperti mengatakan: “Demi Allah aku tidak akan bersama (mencampuri) dengan isteriku selama empat bulan.” Maka jika ucapan itu dilafazkan bahawa dia tidak mahu bersama isterinya ia adalah termasuk dalam Ilaak. Suami hendaklah menunggu sehingga empat bulan tersebut. 

Jika dia kembali berbaik dengan isterinya sebelum tempoh empat bulan, maka wajiblah baginya membayar kaffarah sumpahnya sahaja iaitu:

1) Memberi makan sepuluh orang miskin, atau

2) Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin, atau

3) Memerdekakan seorang hamba.

Jika tidak mampu melakukan tiga pilihan di atas, maka mengikut tertib berikutnya hendaklah dia berpuasa tiga hari samada secara berturut-turut atau tidak berturut-turut. Para fuqaha telah bersepakat bahawa puasa hanya boleh dilakukan jika dia tidak mampu melakukan tiga pilihan di atas.

Sebagai kesimpulan, kaffarah sumpah mesti ditunaikan dengan melakukan salah satu daripada tiga pilihan seperti yang disebut dalam ayat al-Quran di atas. Puasa hanya boleh dilakukan apabila dia tidak mampu melakukan tiga pilihan tersebut.

Firman Allah SWT :

    لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖفَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَ‌ٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَ‌ٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah dan jagalah peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur." (Surah al-Maidah ayat 89)

Tetapi jika empat bulan dia tidak kembali berbaik dengan isterinya, hakim berhak menyuruh pilih kepadanya antara dua perkara iaitu membayar kaffarah sumpah serta kembali baik kepada isterinya atau menceraikan isterinya itu. Jika suami tidak mahu melaksanakan salah satu daripadanya hakim berhak menceraikan isterinya secara paksaan.

127.Soalan: Kerja seharian saya adalah memantau keadaan pesakit yang tenat dan terpaksa melakukan pekerjaan tersebut walaupun pada waktu sembahyang Jumaat, apakah hukumnya meninggalkan sembahyang Jumaat satu kali atau lebih disebabkan keadaan kerja saya seperti ini?

Perkara yang dilarang dalam Islam adalah meninggalkan sembahyang Jumaat walau pun sekali tanpa uzur, sedangkan uzur itu dalam kes ini adalah sangat jelas. Maka hendaklah seseorang muslim berusaha bersungguh-sungguh mengelakkan keuzuran tersebut sebaik mungkin kerana seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan adalah mengikut niatnya. Jika saudara bersungguh sungguh mengelakkan keuzuran tersebut maka saudara akan memilih untuk tidak meninggalkan sembahyang Jumaat. Saudara boleh berbincang dengan pegawai atasan untuk di gantikan pada masa solat Jumaat seorang kaki tangan wanita atau bukan Islam supaya dapat menunaikan solat Jumaat yang difardukan oleh Allah SWT.

128.Soalan: Saya telah berhirah ke satu fasa yang lebih baik iaitu bertudung dengan niat untuk menutup aurat dan ingin lebih dihormati sebagai wanita, tetapi ada yang memandang serong atas perubahan saya ini dengan mengatakan saya memakai tudung adalah untuk mengaburi mata orang ramai atas kesilapan yang lalu. Adakah betul niat yang saya tanamkan atas perubahan saya ini?

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin Al Khattab r.a berkata: “ Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat dan setiap orang mendapat pahala berdasarkan apa yang diniatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menerangkan bahawa sesiapa yang telah berniat untuk melakukan sesuatu amal soleh tetapi terdapat keuzuran yang kuat seperti mati, sakit atau seumpamanya yang menghalang mereka daripada melaksanakan perbuatan yang diniatnya maka dia diberi paha berdasarkan niatnya itu. Hadis ini juga membimbing kita agar sentiasa ikhlas di dalam setiap amalan ibadat sehingga kita mendapat ganjaran dan pahala di akhirat juga mendapat taufik dan kejayaan di dunia.

Saudari teruskan dengan amal soleh dan menutup aurat kerana segala kebaikan yang saudari lakukan akan dinilai oleh Allah SWT bukannya manusia. Jika mereka mengata atau mengumpat dibelakang saudari sebenarnya mereka sedang memberikan pahala kebaikan kepada saudari, banyakkan bersabar dan bertenang anggaplah ini sebagai ujian saudari untuk mentaati Allah SWT.

129.Soalan: Saya sering memarahi pekerja saya kerana mereka selalu melakukan kerja tidak menepati citarasa yang saya mahukan. Apakah tabiat buruk saya ini akan memberikan kesan buruk terhadap diri saya?

Amalan memarahi atau panas baran adalah satu sifat yang tercela dalam Islam. Islam menyarankan agar kita selalu bersabar dalam setiap perkara yang dihadapinya kerana kemarahan adalah kesukaan syaitan. Apabila seseorang menghambakan sifat tercela ini dalam dirinya maka dirinya sendiri akan jatuh bersama kesan buruk yang akan menimpanya dan juga masyarakat. Ia bukan sahaja memudaratkan kepada individu iaitu pada badannya, malah pada akhlaknya dan juga imannya. Perbuatan ini dapat dilihat pada raut wajahnya, menggeletar,darahnya meluap luap, urat lehernya tegang dan pergerakan akan menjadi kelam kabut dan mudah mengeluarkan kata kata kejian. Semestinya gerak kerja yang akan dilakukan menjadi tidak menentu lalu boleh jadi menyakiti tubuh badannya sendiri. Kemudaratan kepada masyarakat juga terlibat jika kemarahan tidak dapat dibendung. Mula perasaan dengki dan menyembunyikan niat jahat pula. Ia dapat mencetuskan permusuhan dan kebencian terhadap sahabat handai dan rosaklah kehidupan bermasyarakat.

Dalam riwayat Abu Said al-Khudri Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sebaik-baik orang adalah yang tidak mudah marah dan cepat meredai, sedangkan seburuk-buruk orang adalah yang cepat marah dan lambat meredai " (Hadis Riwayat Ahmad).

Diriwayatkan dari Abu Hurairah rahiyallahu ‘anhu, ada seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW : “Berilah saya nasihat.” Baginda SAW .bersabda, “Jangan marah.” Lelaki itu terus mengulang-ulang permintaannya dan baginda tetap menjawab, “Jangan marah.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Firman Allah SWT maksudnya yang bermaksud: ”Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.  Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;” (Surah Ali Imran ayat 133-134)

130.Soalan: Apakah cara-cara anjuran Islam untuk mengatasi atau mengurangkan perasan marah?

Perasaan marah dapat diatasi dengan mengikuti beberapa panduan yang ditunjukkan oleh Islam, iaitu:

1. Hendaklah melatih diri dengan akhlak yang mulia seperti sabar, lemah lembut, berhati-hati dalam membuat keputusan. Sifat ini hendaklah berpandu kepada contoh yang paling baik iaitu contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW terutamanya contoh yang terdapat dalam sunahnya yang bersifat amali. Hendaklah mengawal dan menguasai diri ketika didatangi perasaan marah, iaitu dengan mengingati akibat buruk yang akan menimpa dan kelebihan pahala orang yang menahan marah serta memaafkan sahaja seseorang melakukan kesalahan yang menyebabkan dia marah, firman Allah SWT maksudnya: "…Dan orang yang menahan kemarahan-nya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (Surah Ali Imran ayat 134)

2. Memohon kepada Allah SWT supaya menjauhkannya daripada syaitan yang dilaknat. Panduan ini dinyatakan didalam Al-Quran melalui firman Allah S.W.T.: "Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui." (Surah al-A'raf (7) ayat 200)

3. Meninggalkan tempat yang menyebabkan seseorang itu marah. Sabda Baginda maksudnya : "Apabila seseorang kamu marah, sedang dia berdiri, maka duduklah, jika marahnya berhenti (maka baiklah) jika belum, maka hendaklah dia berbaring." (Hadis Riwayat Abu Daud)

4. Mengambil wuduk, sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya marah itu dari syaitan. Syaitan itu dijadikan daripada api,apabila kamu marah, maka hendaklah dia mengambil wuduk." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Oleh kerana besarnya bahaya marah, Nabi SAW melarang keras seseorang daripada marah, dengan menyifatkan orang yang berjaya menahan diri daripada perasaan marah sebagai pahlawan yang berani. "Bukannya kuat (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergusti, tetapi kekuatan sebenarnya ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah." (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)

131.Soalan: Apakah hukum bersentuhan kulit (tidak sengaja) antara lelaki dan 
perempuan ketika proses jual beli (terutama ketika memulangkan baki duit)?

Islam melarang sentuhan kulit antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Sebaiknya elakkan sentuhan walaupun ketika jual beli barangan. Dinasihatkan wanita atau lelaki yang bekerja di pondok-pondok tol sebaik baiknya memakai sarung tangan kerana bersentuhan di antara lelaki dan wanita tidak dapat dielakkan ketika bayaran harga tol dilakukan. 

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda: "Persoalan anak Adam berkaitan zina telah ditentukan. Tidak mustahil, ia pasti melakukannya. Dua mata berzina dengan melihat, dua telinga berzina dengan mendengar, lidah berzina dengan berkata-kata, tangan berzina dengan menyentuh, kaki berzina dengan melangkah, hati berzina dengan angan-angan (kehendak), dan kemaluanlah yang akan membenarkan (merealisasikan) atau mendustakan semua itu.” (Hadis Riwayat Muslim, Sahih Muslim, 13/125, no. 4802)

132.Soalan: Saya lelaki dan mempunyai seorang sepupu perempuan yang sejak kecil disusukan oleh nenek sebelah ibu. Setelah dewasa saya berkemusykilan tentang hukum aurat dan hubungan mahram, adakah dia dikira ibu saudara susuan?

Huraian mengenai ibu susuan adalah seperti berikut: Diriwayatkan oleh Abdullah Mulaika r.a: Uqbah bin Harith r.a berkata bahawa ia menikahi anak perempuan Abi Ihab bin Aziz. Tidak lama kemudian seorang perempuan menemuinya dan berkata: “Akulah yang menyusui Uqbah dan perempuan yang dinikahinya. Uqbah berkata kepadanya: Aku tidak tahu kamu telah menyusui ku dan kamu tidak mengatakannya kepada ku. Kemudian dia pergi menemui Rasulullah SAW di Madinah dan bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hal itu. Rasulullah SAW menjawab: 'Bagaimana kamu boleh (memperisterikannya) padahal telah dikatakan kepada mu (bahawa ia saudara sesusu mu)' ? Kemudian Uqbah menceraikan isterinya dan kemudian isterinya berkahwin dengan orang lain." 
(Hadis Riwayat Bukhari )

Huraian Hadis: Apabila seorang perempuan menyusukan seorang bayi di bawah umur dua tahun sebanyak lima kali susuan atau lebih, maka anak tersebut menjadi anak susuannya dan anak suaminya. Oleh yang demikian anak susuan itu menjadi mahram kepada perempuan yang menyusukan dan suaminya, begitu juga terhadap keturunan kedua suami isteri tersebut. Berikut disenaraikan orang-orang yang menjadi mahram kepada anak susuan itu:·

1. Perempuan yang menyusukan. 2. Suami ibu susuan. 3. Ibu bapa kepada ibu susuan. 4. Ibu bapa kepada suami ibu susuan. 5. Adik beradik kepada ibu susuan. 6. Adik beradik kepada bapa susuan. 7. Anak-anak kepada ibu dan bapa susuan. 8. Anak-anak kepada ibu susuan. 9. Anak-anak kepada bapa susuan

Manakala orang-orang yang menjadi mahram kepada ibu susuan dan bapa susuan adalah anak susuan yang disusukannya, begitu juga anak kepada anak susuannya hingga ke bawah. Tetapi ibu bapa, nenek, ibu atau bapa saudara dan adik beradik kepada anak tersebut tidak menjadi mahram kepada ibu dan bapa susuan berkenaan. Ini kerana susuan itu tidak menjadikan mahram kepada usul bagi anak yang menyusu seperti bapa, nenek sehingga ke atas dan hawashinya seperti adik beradik dan ibu atau bapa saudara. Hukum mahram itu hanya kepada anak yang menyusu itu hingga furu'nya seperti anak-anaknya, cucu sehingga ke bawah. 

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Di haramkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” 
(Surah an-Nisa'ayat 23)

Serta sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: "Sesuatu yang diharamkan dengan sebab penyusuan sebagaimana apa-apa yang diharamkan oleh sebab nasab.”

Berdasarkan huraian di atas anak susuan tadi telah menjadi ibu saudara susuan kepada saudara kerana nenek sudara telah menyusukannya. Maka dia adalah mahram saudara.

133.Soalan: Ibu saya ada menanam pokok tebu di belakang rumah tetapi ada jiran beragama lain mengambilnya untuk melakukan sembahyang dan lain-lain untuk menyembah dan sebagainya dan mereka meminta secara baik. Apakah hukumnya jika saya memberi tebu tersebut? 

Jika kita tahu jiran yg bukan Islam mahu meminta pokok tebu untuk sembahyang agama dia maka haram kita untuk memberikannya kerana kita tidak boleh bersyubahat di dalam perkara akidah. 

Firman Allah SWT maksudnya : " Katakanlah: Hai orang-orang kafir . Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah . Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah . Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah . Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah . Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku" (Surah Al-Kafirun ayat 1-6)

Jika kita tidak tahu tujuannya tidak jadi masalah apabila kita memberikannya. Berbaik-baik dengan jiran adalah dituntut walaupun jiran bukan Islam.

134.Soalan: saya seorang peniaga pakaian. Apakah hukumnya jika saya menjual pakaian yang tidak menutup aurat? 

Dalam Islam setiap penjual perlulah memastikan barang jualannya adalah barangan halal, bersih dan tidak mengandungi bahan yang merbahaya. Islam amat mementingkan kemaslahatan pengguna, barangan baik, bermutu dan tidak terlalu mahal sehingga menyusahkan pengguna. Satu perkara lagi Islam melarang umatnya menjual pakaian perempuan yang jelas bila dipakai mendedahkan aurat kerana penjual dikira bersyubahat untuk mempromosikan pakaian yang mendedahkan aurat. Menjual baju kanak-kanak yang belum baligh masih diharuskan kerana kanak-kanak tidak diwajibkan menutup aurat. Baju dalam atau seluar dalam lelaki dan wanita juga harus kerana ianya dipakai di dalam sahaja. Kain ela bersifat umum boleh dijual kerana terpulang kepada pengguna jenis baju yg mereka hendak buat.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubahat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubahat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubahat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.)

135.Soalan: Saya selalu menghadiri jemputan makan malam oleh sahabat sahabat dihotel-hotel, soalannya benarkah sesuatu makanan yang dimasak yang disyaki bercampur wain akan menyebabkan amalan kita tidak diterima selama 40 hari? Saya tidak pasti atau nampak wain itu digunakan atau tidak cuma dengar dari kawan kawan yang bercerita.

Makan di hotel yang tidak ada sijil halal dan dimiliki oleh bukan Islam termasuk makanan syubahat. Jika di dapati terdapat wain dalam campuran masakan tersebut jelas makanan tersebut haram di makan, sesiapa yang minum arak atau makanan yg bercampur arak maka ibadah seseorang tidak akan diterima selama 40 hari. 

Sabda Nabi SAW maksudnya : "Barangsiapa yang meminum arak dan mabuk, solatnya tidak diterima selama 40 hari dan jika dia mati, dia akan masuk neraka." (Hadis Riwayat Ibn Maajah no. 3377)

136.Soalan: Adakah menjadi satu kesalahan jika kita dengar lagu lagu dari cakera padat (CD) semasa memandu dan juga main muzik untuk diri sendiri, serta bermain muzik untuk penonton? 

Mendengar lagu dari CD tidak salah jika lagu-lagu tersebut berbentuk nasihat, nasyid, puji-pujian kepada Allah SWT, lagu-lagu mengajak kepada adab sopan dan sebagainya. Lagu-lagu berunsurkan cinta untuk melakukan maksiat berdua-duaan, putus asa dengan rahmat Allah SWT, mengagungkan budaya barat adalah dilarang kerana perbuatan tersebut mengajak kepada dosa dan kemurkaan Allah SWT. Masa cukup berharga, oleh itu gunakanlah dengan sebaik-baiknya semasa memandu seperti mendengar CD ceramah agama, bacaan al-Quran, atau pun mendengar saluran radio IKIM kerana banyak ilmu dan informasi yang menfaat di dalam rancangan radio IKIM. dan lagu-lagu yang di perdengarkan adalah lagu-lagu yang baik senikatanya dan mengandungi kata-kata nasihat.

137.Soalan: Apakah hukumnya menyambut hari lahir seseorang, menyambut hari ulang tahun perkahwinan, memotong kek, meniup lilin dan menyanyi lagu “happy Birthday”?

Sambutan hari lahir dan hari perkahwinan dengan tujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim di antara suami isteri, ibu bapa dan anak-anak atau saudara mara adalah tidak dilarang. Pastikan sambutan tersebut tidak berlaku pembaziran, dijauhi cara-cara barat menyambutnya (tiup lilindan sebagainya) dan dijauhi pergaulan bebas lelaki dan wanita tanpa batas, seperti mengadakan majlis tari menari . Jika di adakan majlis tersebut terdapat unsur-unsur maksiat dan dosa maka perbuatan tersebut dilarang. Sebaik-baiknya majlis tersebut di sertai dengan tazkirah ringkas,ucapan dari tetamu dan doa selamat adalah lebih baik dan bermanfaat.

Memberi ucapan doa jika seseorang di hari lahirnya adalah diharuskan kerana dengan ucapan tersebut terjalin ikatan ukuwah dan kasih sayang sesama saudara muslim. Balas membalas doa juga digalakkan kerana doa sahabat kepada sahabatnya yang lain adalah mustajab di sisi Allah SWT. Begitu juga doa ibu bapa kepada anak-anaknya mustajab disisi Allah SWT . Dan doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapa juga mustajab disisi Allah SWT.

138.Soalan: Apakah hukumnya jika kita bersolat dengan memakai pakaian yang bergambar kartun seperti angrybird, mickey mouse dan sebagainya? Bagaimana cara untuk menebus semula kesalahan yang pernah dilakukan itu?

Islam mengajar umatnya berakhlak mulia dan terdapat adab-adab dalam Islam semasa solat, makan, bergaul dengan masyarakat. Pakaian seorang mukmin juga penuh adab sopan. Memakai pakaian bergambar karton seperti angrybird, mickey mouse, upin dan ipin untuk remaja atau orang dewasa adalah kurang sopannya kerana pakaian tersebut disukai oleh kanak-kanak. Anak-anak kita perlu juga diajar supaya tidak memakai pakaian yang bergambar atau mengandungi kata-kata yang kurang sopan. Jangan pakai pakaian bergambar ketika solat kerana boleh menganggu kekhusyukan jemaah lain.

139.Soalan: Saya seorang yang pemalu. Kawan saya sering mengajak saya berjumpa kawan kawan yang lain berhibur di tempat karaoke dengan alasan saya akan dapat berkawan dengan membuang sifat malu nanti. Apakah pandangan ustaz?

Sifat malu adalah fitrah dari Allah SWT dan sifat ini adalah sifat yang mulia di sisi Allah SWT .Kawan saudara yang cuba mengajak ketempat karaoke adalah kawan yang bukanlah jenis kawan yang baik atau soleh kerana tempat karaoke adalah tempat membuang masa dan jika terdapat pergaulan bebas lelaki dan wanita ianya akan menjadi tempat maksiat. 

Orang yang mempunyai sifat malu  akan menjauhkan diri daripada tempat maksiat dan perbuatan jahat yang lain serta keburukan akhlak yang lain. Oleh itu, sifat malu ini merupakan sumber kebaikan dan salah satu cabang iman. Bersyukurlah kerana saudara dikurniakan sifat ini sedangkan orang yang melakukan perbuatan maksiat adalah orang yang tidak malu. Jangan diikuti ajakan kawan saudara dan nasihatkannya supaya menjauhi tempat tersebut kerana banyak keburukannya daripada kebaikan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman." (Hadis Riwayat Muslim No.50)

Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemalu lebih daripada gadis gadis pingitan (gadis yang selalu di rumah).

140.Soalan: Saya belajar di utara tanah air. Saya sering menaiki bas untuk berulang alik ke sana dan ke semenanjung. Sepanjang perjalanan saya sering tidak boleh tidur kerana risau akan keselamatan diri. Apakah perkara terbaik yang boleh saya amalkan?

Sebelum menaiki bas saudara perlulah membaca doa-doa tersebut sebagai doa perlindungan Allah SWT untuk keselamatan daripada musibah.

Terdapat empat amalan perlu dilakukan oleh seorang mukmin untuk dijauhi kemalangan dan musibah (dengan izin Allah) iaitu :

1. Membaca doa keluar rumah.
2. Membaca doa naik kenderaan.
3. Membaca doa dijauhi musibah
4. Membaca doa untuk bermusafir.

Huraiannya :

1. Membaca doa keluar rumah :

Setiap keluar rumah hendaklah selalu membaca doa. Nabi SAW mengajarkan kita supaya menbaca doa ini :

بِسْمِ اللهِ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ.

(Bismillahi tawakaltu ‘alallahi laa haula walaa quwwata illa billah)

Maksudnya : “Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan selain dari Allah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Nasai )

2. Membaca doa naik kenderaan :

Nabi SAW mengajar kepada kita apabila hendak mulakan perjalanan perlulah membaca doa naik kenderaan : (Subhanalladzi sakhara lana hadza wama kunna lahu muqrinin wainna ila robbina lamunqalibun...)

Maksudnya : "Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!" (Surah az-Zukruf ayat 13-14)

3. Membaca doa di jauhi musibah.

Dari Abu Darda' r.a dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda maksudnya ; "Barangsiapa diwaktu pagi dan petang membaca ; 'Hasbiallahu lailahaillahu alaihitawakkaltu wahuwarabbul 'arsilazim' (Cukuplah Allah bagiku; tidak ada tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal. dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy yang agung ' (Surah at-Taubah ayat 129), membaca 7 kali, maka Allah akan mencukupi apa yang diinginkan dari perkara dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Ibnu Sunni dan Ibnu Asakil secara marfu').

Termasuk terhindar daripada musibah dan kemalangan atau di jauhi daripada gangguan sihir dan hasad dengki.

4. Membaca doa untuk bermusafir:

الله أَكْبَر ، الله أَكْبَر سُبْحانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ ‏‏اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ‏ وَالتَّقْوَى وَمِنْ الْعَمَلِ مَا ‏ ‏تَرْضَى ، اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا‏ سَفَرَنَا هَذَا‏ وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ ،‏ اللَّهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ‏ وَالْخَلِيفَةُ فِي‏ الأَهْلِ ‏،‏ اللَّهُمَّ‏ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ ‏ ‏وَعْثَاءِ‏ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوءِ ‏ ‏الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالأَهْلِ

Maksudnya : “Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya Allah kami memohon kepadaMu kebaikan dan ketakwaan pada perjalanan kami dan dengan amalan yang Engkau redai, Ya Allah ringankanlah perjalanan kami dan pendekkanlah jaraknya, Ya Allah Engkaulah Teman dalam perjalanan, dan Ketua bagi ahli keluarga, Ya Allah aku memohon perlindungan-Mu dari kesulitan perjalanan, pandangan yang samar, dan dari kejahatan yang boleh menimpa kepada harta dan ahli keluarga ”

Jika saudara beramal keempat-empat doa di atas sebelum saudara memulakan perjalanan  untuk bermusafir ke distinasi yang hendak dituju maka insya Allah saudara akan terpelihara daripada sebarang musibah atau kemalangan yang tidak di ingini.

Yakinilah dengan mengamalkan doa-doa tersebut di atas saudara akan disertai malaikat rahmat yang menjaga keselamatan saudara dengan izin Allah SWT.

Satu lagi amalan yang dapat menjauhkan daripada musibah adalah banyakkan bersedekah. Walaupun jumlahnya sedikit sekadar kemampuan tetapi ianya mempergaruhi keselamatan diri saudara dan malaikat yang menjaga rezeki akan mendoakan keselamatan orang yang bersedekah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud :  “Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).” 
(Hadis Riwayat al-Tirmidzi)

Semasa di dalam perjalanan banyakkanlah berzikir kerana seseorang mukmin amat memerlukan ketenangan hati dan jiwa. Amalan berzikir ini boleh menghubungkan hati kita dengan Allah SWT dan bergantung pertolongan daripada-Nya. Allah akan mengurniakan kelebihan dan rahmat-Nya melalui kebenaran dan petunjuk. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang. Dia lah yang memberi rahmat kepada kamu - dan malaikat-Nya pula (berdoa bagi kamu) - untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah ia sentiasa melimpah-limpah rahmat-Nya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat).” (Surah al-Ahzab ayat 41-43)


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML