Monday, January 13, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 1

Soal Jawab Agama Siri 1

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Alhamdulillah sepanjang penglibatan saya di dalam penulisan tazkirah samaada di dalam blog atau facebook saya banyak menerima soalan-soalan mengenai agama dan persoalan masalah kehidupan yang dikemukakan oleh rakan-rakan blog dan facebook. Maka di sini saya cuba himpunkan sebahagian soalan-soalan tersebut berserta jawapannya untuk perkongsian kita semua. Saya akan cuba kemukakan soalan-soalan dan jawapan secara bersiri in syaa Allah.

1. Soalan: Apakah amalan yang perlu saya lakukan sebelum saya tidur?

* Mengibaskan tempat tidur dengan ujung sarung atau dengan pakaiannya sebanyak tiga kali. (Hadis Riwayat Bukhari).

*Tidur dengan berwuduk terlebih dahulu. Hal ini berdasarkan sabda Nabi  SAW maksudnya : “Apabila kamu hendak tidur maka berwuduklah sebagaimana wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di atas sisi kananmu”, (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). 

*Dan lebih elok memulakan tidur dengan membaringkan tubuh ke sisi sebelah kanan sebagaimana dalam hadis di atas.

* Jangan tidur dengan tengkurap, berdasarkan sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya itu adalah cara tidur yang dimurkai Allah ‘azza wa jalla”. (Hadis Riwayat Abu Daud dengan sanad yang shahih)

2.Soalan: Apakah surah yang boleh kita amalkan supaya boleh dijadikan pelindung semasa tidur?

Mengumpulkan kedua telapak tangannya. Kemudian ditiup dan dibacakan: surat Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas. Kemudian dengan kedua telapak tangan tadi mengusap tubuh yang dapat dijangkau dimulai dari kepala, wajah dan tubuh bagian depan. Hal ini dilakukan sebanyak tiga kali. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Membaca doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah, seperti membaca doa “Bismika Allahumma amuutu wa ahyaa (Dengan menyebut nama-Mu ya Allah aku mati dan hidup)” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

3.Soalan: Apakah yang perlu dilakukan apabila saya terjaga daripada tidur di tengah malam akibat termimpikan sesuatu perkara?

Apabila tiba-tiba terbangun di tengah malam, maka dianjurkan meminta kepada Allah SWT
kerana saat itu adalah saat yang mustajab doa, sebagaimana sabda Nabi SAW maksudnya “Tidaklah seorang muslim yang tidur dalam keadaan suci dan berzikir lalu tiba-tiba terbangun di malam hari kemudian mohon kepada Allah kebaikan dunia dan akhirat kecuali Allah akan mengabulkannya”, (Hadis Riwayat Abu Daud) 

Dan jika terjaga daripada tidur akibat mimpi buruk, Nabi SAW bersabda maksudnya,  "Ketika bermimpi buruk hendaknya berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk dan dari keburukan yang dilihat dalam mimpi”, (Hadis Riwayat Muslim).

4.Soalan: Apakah cara penyelesaian yang terbaik apabila saya dan rakan sekerja sering berselisihan pendapat mengenai sesuatu perkara?

Di dalam Islam terdapat kaedah untuk menyelesaikan sesuatau perbezaan pendapat iaitu dengan berbincang dan bermuzakarah secara baik dan sopan mengikut lunas-lunas ajaran Islam. 

Firman Allah SWT maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya-jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”  
(Surah an-Nisa', ayat 59).

5.Soalan: Saya dan jiran berselisihan faham dan dia membuka aib dan memfitnah saya kepada jiran yang lain. Apakah akibat perbuatan tersebut?

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Mereka yang suka membuat fitnah sebenarnya dia juga telah memutuskan silaturahim.
Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud: "Tidak akan masuk syurga bagi yang memutuskan silaturahim.” (Hadis Riwayat Muslim).  

Kita perlu buangkan sifat mazmumah yang bersarang di dalam hati kita iaitu sifat suka membuat fitnah, mengumpat, mendedahkan aib, menghina dan menjatuhkan maruah seseorang. Sayangkanlah segala amal ibadah, amal soleh dan amal kebaikan yang kita telah lakukan sejak akil baligh hingga sekarang supaya ianya tidak terhapus begitu saja  disebabkan kita melayan suasana masyarakat yang suka buat fitnah dan mendedahkan aib seseorang dan kita berada bersama-sama kumpulan tersebut.

6.Soalan: Apakah kesan dan akibat seseorang yang suka membuat fitnah dan mendedahkan aib seseorang melalui laman sosial?

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : "Tidaklah seorang hamba menutupi aurat  (aib ) orang lain di dunia kecuali Allah menutupi auratnya ( aibnya ) di akhirat." (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Muslim (orang Islam) adalah saudara bagi orang Islam lainnya, dia tidak menganiayanya dan tidak pula menyerahkannya kepada musuhnya ( tidak juga meninggalkannya tanpa pertolongan), barangsiapa menolong saudaranya untuk memenuhi hajatnya, maka Allah bersamanya dalam memenuhi hajatnya, dan barangsiapa melapangkan suatu kesusahan dari seorang muslim, maka Allah akan melapangkan baginya suatu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat, dan barangsiapa menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat. “ (Hadis Riwayat Muslim)

Fitnah adalah dosa besar yang tidak di ampunkan oleh Allah SWT sekiranya orang yang membuat fitnah tidak memohon maaf daripada orang yang difitnahkan. Sekirannya fitnah tersebut disebarkan melalui internet dan berjuta-juta manusia membaca dan melayarinya maka setiap seorang yang mendapat berita tersebut maka orang yang membuatnya akan mendapat dosa. Jika selama 20 tahun berita fitnah itu masih ada di internet selagi ada orang membacanya maka dosa itu akan mengalir terus kepada pembuat fitnah seperti air sungai yang mengalir. Sekiranya orang yang difitnah itu memaafkan kesalahan orang yang membuat fitnah, dosa tersebut tidak mudah terhapus kerana berita fitnah tersebut sukar untuk di hapuskan kerana ramai orang yang menyimpan video atau tulisan tersebut atau mereka masih mempercayainya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sesiapa yang menyebarkan fitnah di laman sosial sebenarnya dia telah mengumpul dosa yang banyak dan sukar dihapuskan, Selagi berita fitnah itu di simpan dan dipercayai selagi itulah dosa yang akan ditanggung berterusan, perbuatan ini amat memudahkan seseorang menjadi muflis di hari akhirat nanti.

7.Soalan : Apakah perkara terbaik yang perlu dilakukan apabila diri sedang diuji oleh Allah SWT?

Pertama, kita perlu bersabar dan redha dengan ujian Allah SWT, kerana kita terdiri dari orang-orang yang beriman. Orang beriman akan tenang menghadapai segala dugaan dan ujian.

Firman Allah SWT maksudnya : “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.” (Surah Al-Ankabut, ayat 2-3).

8.Soalan: bagaimanakah cara yang terbaik untuk menghadapi situasi yang mana saya tidak dapat apa yang saya hajatkan?

Allah SWT mengetahui apa yang terbaik untuk diri manusia. Kita hanyalah insan kerdil yang tidak mampu mengaturkan apa yang terbaik dalam kehidupan dan juga masa hadapan. Kadangkala kita sudah fikir perancangan kita adalah baik namun bukanlah yang terbaik disisi Allah SWT. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu  menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

9.Soalan: Bagaimana untuk kita persiapkan diri bagi menghadapi ujian dan dugaan yang diberi?

Kita perlu persiapkan diri untuk bagaimana harus menghadapi dugaan ini iaitu dengan meminta pertolongan daripada Allah SWT melalui sabar, berdoa dan solat. Mengadulah kepada Allah SWT semoga Dia permudahkanlah ujian yang sedang kita hadapi. 

Sesungguhnya orang orang yang bersabar dan mengerjakan solat adalah salah satu golongan yang dikasihi oleh Allah SWT. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." (Surah Al-Baqarah,ayat 45)

10.Soalan: Apakah balasan untuk orang orang yang sabar dalm menghadapi dugaan tersebut?

Balasan untuk orang yang sabar adalah pahala yang besar sebagaimana  firman Allah SWT yang bermaksud : "Apa yang ada disisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan Kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl,ayat 96)

Kesan daripada sabar ini hati akan menjadi tenang dan bahagia ini adalah satu kurniaan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang dikasihi-Nya. Hati yang sejahtera ini tidak akan putus asa dan rasa kecewa walaupun dia dikecewakan oleh insan lain kerana pertalian yang kukuh di antara hatinya dengan kecintaan kepada Allah SWT.

11.Soalan: Islam menggalakkan kita untuk berwangi-wangian. Adakah hukum jika kita sembahyang dengan memakai minyak wangi beralkohol?

Minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis. Dari itu, adalah sah sembahyang seseorang yang memakai minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.

12.Soalan: Apakah amalan yang boleh dilakukan untuk ibu bapa kita yang telah meninggal dunia?

Amalan-amalan anak untuk kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia :

1. Mohon keampunan untuk mereka.
Doakan kepada mereka.supaya diampunkan dosa-dosa mereka. (Setiap selepas solat fardu berdoalah kepada Allah SWT untuk  kedua ibu bapa supaya Allah SWT mengampunkan semua dosa-dosa mereka)

Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya : "Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (Hadis Riwayat Muslim).

"Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla menaikkan darjat seorang lelaki yang soleh di syurga, lalu dia bertanya: “Wahai Tuhan! Kenapakah saya mendapat kelebihan ini?”
Di jawab: “Disebabkan permohonan ampun anak kamu kepada kamu.” (Hadis Sanad Hasan Riwayat Ahmad dalam Musnadnya – hadis no: 10610 (jld. 2, ms. 509) dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth.)

Doa keampunan kepada ibubapa yang boleh diamalkan daripada al-Quran seperti mana doa berikut :

“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan; dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!” (Surah Nuh (71) ayat 28)

Memandangkan hadis yang pertama menyebut doa seorang anak yang soleh secara umum, maka dianjurkan juga mendoakan rahmat kepada ibubapa sebagaimana berikut:

“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra’ (17) ayat 24)

Demikianlah dua doa yang diajarkan oleh al-Qu’an dan ia mencakupi dua perkara yang amat diperlukan oleh ibubapa setelah mereka meninggal dunia: keampunan dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Doa-doa ini boleh kita baca di mana-mana dan pada bila-bila masa. Ia tidak terhad kepada saat menziarahi kubur ibu bapa.

2. Menunaskan hutang mereka.

Hutang seperti ini akan menawan ibubapa yang meninggal dunia sehinggalah ia dilunaskan.

Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda kepada Sa‘ad ibn al-Atswal radhiallahu 'anh yang baru kematian saudaranya: "Saudara kamu tertahan disebabkan hutangnya, oleh itu pergilah engkau melunasinya." (Hadis Sahih Riwayat Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 2433 .Kitab al-Ahkam, Bab membayar hutang orang yang meninggal dunia).

3.  Laksanakan wasiat ibadah yang mereka tinggalkan. 
Jika ibu bapa memiliki hajat untuk melaksanakan sesuatu ibadah lalu mereka tidak sempat kerana meninggal dunia, maka kita boleh melaksanakan ibadah tersebut. ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma menerangkan:

Bahawa seorang wanita daripada Juhainah datang menemui Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan berkata: “Sesungguhnya ibuku bernazar untuk melaksanakan haji akan tetapi dia tidak sempat melaksanakan haji tersebut sehingga dia meninggal dunia. Apakah boleh aku melaksanakan haji tersebut untuknya?”

Rasulullah menjawab: “Ya, hajikanlah dia. Apa pandangan kamu jika ibu kamu memiliki hutang, adakah kamu juga akan melunasinya? Lunaskanlah untuk Allah kerana (hutang kepada) Allah adalah lebih berhak untuk dilunasi." (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 1852 (Kitab al-Hajj, Bab menunaikan nazar haji untuk yang meninggal dunia).

4.  Melaksanakan Rancangan Atau Janji Ibu bapa.
Jika ibu bapa memiliki rancangan tertentu dan mereka tidak sempat melaksanakannya, kita sebagai anak boleh melaksanakannya dan ganjaran kebaikan akan mengalir kepada ibu bapa dan juga kita. Jabir bin ‘Abd Allah radhiallahu 'anh menerangkan:

Nabi SAW pernah bersabda : “Apabila datang harta dari Bahrain nescaya aku akan memberi engkau sekian-sekian.”

Namun harta dari Bahrain tidak datang sehinggalah Nabi SAW wafat.

Ketika harta dari Bahrain sampai, Abu Bakar (radhiallahu 'anh) memerintahkan seseorang menyeru: “Sesiapa yang memiliki janji atau hutang dengan Nabi SAW datanglah kepada kami.”

Maka aku datang dan berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW berjanji kepada aku sekian-sekian.” Maka dia memberi aku satu genggaman dan aku menghitungnya, ternyata jumlahnya lima ratus (dirham). Dia berkata: “Ambillah lagi seumpamanya.” (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 2296 (Kitab al-Kafalah, Bab orang yang bertanggungjawab untuk menunaikan hutang si-mati…).

Dalam hadis di atas, janji Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada Jabir dilaksanakan oleh Abu Bakar radhiallahu 'anh sebagai pemerintah pada saat itu. Dalam kes ibu bapa, janji atau rancangan mereka boleh dilaksanakan oleh anak-anaknya.

5. Meneruskan Apa Yang Baik dan Menghentikan Apa Yang Buruk.
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun". (Hadis Sahih Riwayat Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 1017 (Kitab al-Zakat, Bab suruhan bersedekah sekalipun dengan setengah biji tamar…)

6. Berhubung Dengan Orang Yang Dicintai Oleh Ibu bapa.
Kebaikan yang terakhir adalah setinggi-tinggi kebaikan yang dapat dilakukan oleh seorang anak kepada ibu bapanya yang telah meninggal.

Hadisnya adalah seperti berikut: Dalam satu perjalanan ke Mekah, ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma menemui seorang Arab Badui. Lantas Ibn ‘Umar mengucapkan salam kepada beliau, menaikkan beliau ke atas keldai yang tadi ditungganginya dan kemudian memberikan beliau serban yang sedang dipakainya. Ibn Dinar (yang menyaksikan perbuatan Ibn ‘Umar) berkata kepadanya:

“Semoga Allah memperelok keadaan kamu! Sesungguhnya mereka adalah orang Arab Badui dan sesungguhnya mereka sudah mencukupi dengan sesuatu yang sedikit.”

Maka Ibn ‘Umar menjawab: “Sesungguhnya ayah orang ini adalah sahabat yang amat dicintai oleh (ayahku) ‘Umar bin al-Khaththab. Sesunguhnya aku mendengar Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya bakti terbaik seorang anak ialah menghubung silaturahim dengan orang yang dicintai ayahnya.”

(Hadis Sahih Riwayat Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2552 (Kitab al-Birr wa al-Sholah wa al-Adab, Bab keutamaan berbuat baik kepada rakan ayah dan ibu).

Berdasarkan hadis di atas, hendaklah kita berbuat baik kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia dengan menjalinkan hubungan silaturahim dan berbuat baik kepada sesiapa sahaja yang dicintai atau menjadi sahabat karib ibu bapa semasa mereka masih hidup.

Selain daripada perkara-perkara diatas seorang anak yang soleh atau solehah akan melakukan beberapa perkara kebaikan untuk membantu ibu bapa mereka yang sedang berada di alam barzakh sebagai ikhtiar dan usaha-usaha untuk membantu mereka beroleh kebaikan dan tambahan pahala yang berterusan.

1. Banyakkan bersedekah terutama sedekah jariah : Terutama pembinaan sekolah agama, masjid, rumah anak yatim dan mewakafkan tanah perkuburan orang Islam dan niatkan untuk mereka.

2. Sedekahkan al-Quran dan buku-buku Islam : Untuk sekolah-sekolah agama atau maahad tahfiz atau dimasjid-masjid niatkan untuk mereka.

3. Selalu sedekahkan ayat-ayat al-Quran seperti : Surah al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-nas, surah Yasin, surah al-Baqarah dan ayat-ayat al-Quran yang lain untuk mereka. Sebaik-baik yang membacanya adalah kita sendiri sebagai seorang anak.. Sedekah bacaan al-Quran menurut majoriti ulama ahli sunah waljamaah sampai kepada simati 

Abu al-Lajlaj Abu Khalid (seorang sahabat) mendengar Nabi SAW menggalakkan para sahabat membaca ayat suci al-Quran di bahagian kepala dan kaki si mati di atas kubur. Lalu mewasiatkan amalan tersebut kepada anaknya supaya berbuat demikian.

Abd Rahman bin al-A’la bin Lajlaj daripada bapanya, katanya : berkata Abu al-Lajlaj Abu Khalid : “Wahai anakku, apabila aku meninggal dunia kebumikanlah aku. Apabila kamu meletakkan jasadku di liang lahad, bacalah: “Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah SAW, Kemudian curahkanlah tanah dengan cermat ke atasku. Kemudian bacalah disisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda sedemikian.” (al-Thabrani, Mu’jam al-Kabir, 1982, Maktabah al-Ulum Wal Hikam, hlm 220 juz 19)

4. Beramal dengan amalan Islam. 

Semua anak-anak yang masih hidup apabila mereka tidak mengamalkan cara hidup Islam dengan melakukan maksiat dan dosa, anak perempuan tidak menutup aurat,  bergaduh sesama adik beradik kerana harta pusaka semua tindakkan ini menyusahkan dan membebankan ibu bapa kita yang berada dialam barzakh. Ibu bapa akan menyesal kerana mereka tidak mendidik anak-anak mereka dengan cara hidup Islam hingga mereka melakukan maksiat kepada Allah SWT. Ketika ini penyesalan sudah tidak berguna lagi kerana perkara tersebut sudah berlaku. Tetapi untuk anak-anak pula macamana mereka hendak membantu ibu bapa mereka yang sudah mati tadi? Maka mereka perlu beramal soleh, beramal ibadah dan beramal kebaikan kerana semua pahala yang kalian buat akan membari saham yang besar kepada ibu bapa kalian yang sedang menderita di alam barzakh.

Amalkanlah ilmu yang diajarkan oleh kedua ibu bapa kalian maka mereka akan mendapat pahala ilmu yang bermanfaat. Banyakkan sedekah jariah dan niatkan untuk ibu bapa maka ibu bapa kalian akan mendapat pahala sedekah jariah.

 13. Soalan : Adakah sumber pendapatan yang haram seperti judi, rasuah dan riba boleh digunakan untuk sedekah dan mengerjakan haji?

Dilarang umat Islam memiliki sumber yang haram.Memiliki sumber wang haram contoh daripada sumber judi, rasuah atau riba akan membawa kemurkaan Allah SWT. Sekiranya orang yang memiliki wang haram digunakan untuk menyara keluarga, membeli rumah, tanah dan dilaburkan dalam perniagaan semuanya menjadi haram dan tidak akan mendapat keberkatan. Sekiranya pemilik asal  harta haram ini telah meninggal dunia tetapi warisnya tetap menggunakan harta tersebut untuk perniagaan, membeli harta dan mengembangkan harta tersebut , ahli waris tidak berdosa kerana mereka tidak mengetahuinya tetapi pemilik asalnya akan menanggung dosa di atas perbuatan mereka ketika di dunia.  Maka dosa-dosa yang akan diperolehi bertali arus masuk ke alam barzakh, dan azab di alam barzakh akan diterima berterusan hingga ke hari kiamat.

Harta yang haram tidak sah jika digunakan untuk bersedekah, bayar zakat , mengerjakan haji dan sebagainya. Di akhirat nanti semua hasil sumbangan daripada harta haram akan dilemparkan dimuka memiliknya.


Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun". (Hadis Sahih Riwayat Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 1017 (Kitab al-Zakat, Bab suruhan bersedekah sekalipun dengan setengah biji tamar…)

Sabda Rasulullah SAW maksudnya :“Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya “( Hadis riwayat at-Tirmizi.)

Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya makan makanan yang halal lagi baik dan sumber pendapatan juga dari sumber yang halal kerana banyak hikmah tersendiri di sebalik perintah tersebut. Makanan merupakan ciri utama dalam pembentukan fizikal yang sihat bagi manusia. Seseorang mukmin yang sentiasa prihatin terhadap pemilihan makanan halal, suci dan bersih dalam pemakanan sehariannya pasti akan lahir dalam dirinya keimanan dan nur yang dapat memandu jiwanya ke arah ketakwaan dan peningkatan ibadahnya kepada Allah S.W.T.

14. Soalan: Apakah hukum kita mengamalkan ilmu sihir dan mempelajarinya?

Mempelajari dan mengamalkan ilmu sihir adalah berdosa besar kerana ilmu sihir adalah amalan jin kafir dan syaitan.

Dalam kitab-kitab muktabar oleh ulama yang menulis dan menjelaskan tentang pengertian sihir, kesimpulannya diertikan sebagai suatu jampi mentera (biasanya berasusiasi) berurusan dengan makhluk halus (jahat) melalui proses amalan atau perbuatan halus untuk menganggu rohani dan jasmani mangsa dengan tujuan jahat menganggu dan menyakiti orang-orang tertentu.

Ditujukan kepada fikiran atau tubuh badannya bagi memaksa mengasihi sesuatu atau menyimpan kebencian yang boleh berlaku porak peranda dalam hubungan insan yang sedang berkasih atau suami isteri sehingga menyebabkan perceraian atau menganggu fizikal sehingga boleh menjadi penyebab kepada kematian dan sebagainya.

Itulah pengertian umum, bahawa sihir adalah ilmu yang dipelajari dan diamalkan bagi suatu tujuan yang biasanya untuk mendatangkan berbagai-bagai kemudaratan

Pengertian atau pengenalan istilah sihir sudah menjadi sebutan umum, penyakit yang berpunca dari perbuatan orang atau suatu amalan halus yang dinamakan ilmu hitam atau black magic yang rata-ratanya ada hubung kait dengan amalan syaitan, yang membantu manusia bagi mengenakan sesuatu tujuan jahat untuk memuaskan kehendak nafsu bagi tujuan jahat.

Dalam hadis 2766, al-Bukhari dan hadis 89 al-Muslim, Nabi SAW menggesa umatnya menjauhi tujuh perkara yang membinasakan dan salah satu daripada tujuh itu adalah perbuatan sihir.

Dalam hadis an-Nasai pula disebut (mafhumnya), "Sesiapa yang simpulkan benang dan dijampi menterakan untuk sesuatu tujuan jahat, maka sesungguhnya dia telah melakukan sihir. Dan sesiapa yang melakukan sihir, maka dia telah mensyirikkan Allah S.W.T."

Mengamalkan ilmu sihir dan mengajarkan ilmu tersebut atau mencipta satu kaedah untuk membuat maksiat (contoh satu cara permainan judi dan sebagainya) adalah dosa besar.

Satu lagi dosa yang berterusan akan ditanggung oleh seseorang itu adalah apabila dia mengajarkan ilmu yang batil seperti ilmu sihir, ilmu perbomohan yang syirik atau kaedah-kaedah untuk membuat maksiat sedangkan ilmu itu diikuti , dipelajari dan diperturunkan kepada orang lain maka dosa-dosa besarnya akan ditanggungnya selagimana perkara tersebut di amalkan oleh orang lain.

15.Soalan: Apakah antara amalan yang dapat membantu kita bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi hari akhirat?

Antara  amalan yang dapat membantu kita adalah dengan memberi sumbangan untuk jihad fisabilillah dan sedekah jariah. Seperti firman Allah SWT yang  bermaksud : “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya : “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku- ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang soleh.” (Surah al-Munafiqqun ,ayat 10)

Orang mukmin akan mengambil kesempatan semasa hidup di dunia untuk membuat pelaburan untuk hari akhirat. Harta yang dimiliki untuk jihad fisabilillah, bersedekah, amal jariah dan membantu fakir miskin dan anak-anak yatim. Allah SWT akan menggandakan sedekah kita sehingga 700 kali ganda atau lebih.

16.Soalan: Bagaimanakah cara untuk saya memohon keampunan dari Allah SWT?

Bertaubat dan beristighfarlah setiap hari kerana Nabi SAW beristighfar 100 kali sehari. Sesiapa yang sentiasa bertaubat kepada Allah SWT dia akan bersih daripada dosa-dosa. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud:"Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Surah Al-Baqarah ayat 222)

Dari Anas bin Malik ra., ia berkata : Saya mendengar Rasulullah SAW. bersabda : Allah berfirman maksudnya : “Wahai anak Adam ( manusia ), sesungguhnya selama kamu berdoa dan mengaharap kepadaKu, Aku memberi keampunan kepadamu terhadap apa (dosa ) yang ada padamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adam seandainya dosamu sampai ke langit kemudian kamu minta ampun kepadaKu maka Aku memberi ampun kepadamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adaml, sesungguhnya apabila kamu datang kepadaKu dengan kesalahan sepenuh bumi kemudian kamu menjumpai Aku dengan tidak mensekutukan Aku dengan sesuatu nescaya Aku datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi”. (Hadits Riwayat Tirmidzi).

17.Soalan: Apakah hukum orang yang menggantung gambar keluarga atau pun gambar sendiri dirumah mereka?

Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Imam Bukhari bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya para malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada didalamnya gambar, patung, anjing dan orang yang junub.”

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa malaikat tidak masuk kerumah orang yang ada gambar, patung,anjing dan orang yang berjunub. Malaikat yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah malaikat Rahmat. Gambar yang dimaksudkan adalah gambar makhluk bernyawa seperti gambar manusia dan binatang.Haram bagi orang yang meletakkan gambar yang bernyawa di rumah-rumah mereka, seperti gambar bersanding, menerima ijazah dan sebagainya sekali pun gambar keluarga, sama ada separuh gambar atau sempurna gambar tersebut. 

Untuk patung permainan kanak-kanak di bolehkan untuk permainan bukan untuk perhiasan. Sebagaimana hadis riwayat Aisyah r.ha. 

Saidatina Aisyah r.ha berkata, "Aku biasa bermain-main dengan anak-anakan perempuan (boneka perempuan) di sisi Rasulullah SAW dan kawan-kawanku datang kepadaku, kemudian mereka menyembunyikan boneka-boneka tersebut kerana takut kepada Rasulullah SAW., tetapi Rasulullah SAW malah senang dengan kedatangan kawan-kawanku itu, kemudian mereka bermain-main bersama aku." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

18.Soalan: Bagaimana pula jika digantung gambar seperti gambar bunga dan pemandangan?

Tiada mengapa dan diharuskan meletakkan gambar yang berbentuk bunga, pohon pokok, kapal, rumah, ayat Al-Quran, kata-kata hikmah, kereta, motorsikal dan sebagainya.

19.Soalan: Bagaimana pula hukum orang yang menjadikan patung manusia ataupun patung haiwan sebagai perhiasan rumah?

Patung manusia atau patung haiwan diharamkan dijadikan barang perhiasan diletakkan di dalam atau atas almari. Malaikat rahmat tidak akan masuk rumah di dalamnya terdapat patung makhluk bernyawa. Tetapi patung mainan kanak-kanak diharuskan (patung mainan tersebut setelah digunakan kanak-kanak hendaklah disimpan dikotak permaian bukannya dipamerkan) berdasarkan hadis riwayat Aisyah.

20.Soalan : Kenapa membela anjing di larang?

Sesiapa yang membela anjing berdasarkan hadis Nabi SAW malaikat rahmat tidak akan datang kerumah tersebut.

“Suatu ketika Malaikat Jibril berjanji kepada Nabi yang mana dia akan datang menemui Nabi, tetapi dia tidak datang-datang. Dan kemudiannya dia (Jibril) memberitahu, “Kami dari golongan malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya mengandungi gambar (berupa makhluk bernyawa) atau anjing.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/54), no. 450)

‘Aisyah menyatakan bahawa Jibril (‘alaihis salam) berjanji dengan Rasulullah SAW untuk menemuinya pada masa yang telah ditetapkan, namun pada masa yang tersebut, dia (Jibril) tidak datang. Kemudiannya Nabi mencampakkan tongkat di tangannya dan berkata, “Tidak pernah Allah dan utusannya (Malaikat Jibril) memungkiri janji”. Kemudian Nabi terlihat dan menemui anak anjing di bawah katil dan berkata, “Aisyah, bila anjing ini masuk ke sini?” Dan beliau (‘Aisyah) menjawab, “Demi Allah, saya tidak tahu.” Kemudiannya Nabi mengarahkan dan anjing itu pun dikeluarkan. Tidak lama selepas itu, Jibril pun datang dan Rasulullah berkata kepadanya, “Engkau berjanji kepada saya dan saya menantikan engkau, tetapi engkau tidak datang-datang. Jibril pun menyatakan, “Di dalam rumah-mu ada anjing, di mana ia menghalang (saya untuk masuk), untuk kami (malaikat) tidak masuk rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar”.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Pakaian dan Perhiasan (24), no. 5246)

Menurut Dr. Yusuf Al­Qaradawi di dalam. bukunya Halal dan Haram Dalam Islam pula menjelas­kannya begin; Memelihara anjing di dalam rumah tanpa ada suatu keperluan, terma­suk perkara yang dilarang oleh Nabi SAW. Alasannya, dengan membenar­kan anjing berkeliaran di dalam rumah dibimbangkan akan tertinggalnya najis pada bekas minuman kesan dari jilatan anjing tersebut.

Sebahagian ulama berpendapat, hik­mah dilarang memelihara anjing di rumah adalah; kalau anjing itu menya­lak akan menakutkan tetamu yang datang, menyebabkan orang lari dan mengganggu orang yang sedang lalu lalang.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML