Soal Jawab Agama Siri 9
(Gambar, Doa Qunut,Berhutang, Membinasakan Diri, Anak Angkat, Putuskan Silaturahim, Saka, Nampak Jin, Pelaris dan Lain-lain)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 9 adalah persoalan mengenai hukum mengantung gambar, anak-anak bising dimasjid, doa qunut, berhutang, membinasakan diri, hukum anak angkat, pejam mata ketika solat, putuskan silaturahim, saka, nampak jin, pelaris, mendedahkan gambar lama, perintah suami, berwuduk , haids, dan jaul beli secara talian.
161.Soalan: Apakah hukumnya jika melukis gambar yang bernyawa seperti gambar manusia tetapi tidak lengkap seperti separuh badannya sahaja?
Melukis gambar makhluk bernyawa samaada penuh atau separuh badan adalah dilarang. Jika melukis dengan tujuan pendidikan atau mengajar ilmu sains tidak dilarang . Yang dilarang adalah gambar tersebut digantung di dalam rumah, malaikat rahmat tak masuk rumah orang islam yang ada gambar manusia atau makhluk bernyawa.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah r.ha., ia berkata (maksudnya) : "Suatu hari Rasulullah S.A.W pulang dari musafir, sementara aku telah menutup jendela rumahnya dengan langsir yang padanya terdapat gambar ( makhluk bernyawa ). Ketika melihat langsir tersebut, rona wajah baginda berubah. Baginda lalu bersabda : "Wahai Aisyah, orang yang paling berat seksanya pada hari kiamat kelak di sisi Allah adalah orang yang membuat sesuatu yang menyerupai makhluk Allah.' Aku pun memotong kain tersebut, lalu jadikan satu atau dua biji bantal."
162.Soalan: Saya sering melihat ramai kanak-kanak yang berbuat bising dan bermain main ketika para jemaah menunaikan solat di masjid. ?
Anak-anak yang datang ke masjid kerana dibawa oleh ibu bapanya adalah satu amalan yang baik kerana boleh mendekatkan anak-anak untuk cinta kepada masjid, supaya apabila dewasa nanti mereka terus melibatkan diri dengan aktiviti di masjid. Tetapi perkara yang biasa berlaku anak-anak yang datang ke masjid suka bermain-main, membuat bising hingga menganggu para jemaah yang sedang solat atau sedang mengadakan kuliah agama.
Untuk mengatasi masaalah ini ahli jawatankuasa masjid perlulah merancang dan mengadakan program-program untuk anak-anak ini supaya masa mereka dapat di isi dengan baik. Contoh mengadakan kelas membaca al-Quran, kelas fardu ain atau aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan minat anak-anak kecil.ketika ibu bapa sedang mengikuti tazkirah di antara Magrib dan Isyak.
Anak-anak perlu diberitahu oleh ibu bapa bahawa membuat bising ketika solat adalah berdosa kerana menganggu orang yang sedang solat. Ajarkan adab-adab ketika berada di masjid perlu beradab sopan dan jangan membuat bising dan perlu solat bersama dengan orang dewasa. Perlu bersabar dan banyakkan memberi nasihat kepada anak-anak supaya mereka dapat faham akhlak Islam yang sebenarnya.
163.Soalan: Apakah hukum membaca doa qunut semasa solat subuh? Ada pendapat mengatakan doa qunut tidak sunat dibaca semasa solat subuh? Minta ustaz tolong menjelaskan menjelaskan dalili-dalilnya.
Membaca qunut semasa solat subuh menurut mazhab Syafie adalah sunat . Ahli fuqaha berselisih pendapat dalam menetukan masaalah doa qunut ketika solat Subuh. Ada di antara mereka menganggap doa qunut sebagai sunah Rasulullah SAW, manakala yang lainnya tidak berpendapat sedemikian.
Rasulullah SAW sendiri membaca doa qunut ketika solat Subuh sebagaimana terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. Dari Muhammad bin Sirin, bahawa ia berkata, “Aku berkata kepada Anas bin Malik r.a, “Apakah Rasulullah SAW. qunut pada solat subuh? ‘Ia menjawab, ‘Ya, sesaat setelah rukuk.” (Hadis Sahih Riwayat Muslim ( I:468no.298)
Di dalam hadis yang lain : Dikatakan oleh Umar bin Ali Al Bahiliy, dikatakan oleh Khalid bin Yazid, dikatakan Abu Ja’far Ar-Razy, dari Ar-Rab i’ bin Anas berkata : Anas r.a ditanya tentang qunut Nabi SAW bahawa apakah betul baginda SAW berqunut sebulan, maka berkata Anas r.a : Baginda SAW selalu terus berqunut hingga wafat, lalu mereka mengatakan maka qunut Nabi SAW pada solat subuh selalu berkesinambungan hingga baginda SAW wafat, dan mereka yang meriwayatkan bahawa qunut Nabi SAW hanya sebulan kemudian berhenti maka yang dimaksud adalah qunut setiap solat untuk mendoakan kehancuran atas musuh-musuh, lalu (setelah sebulan) baginda SAW berhenti, namun qunut di solat subuh terus berjalan hingga baginda SAW wafat.
Berkata Imam Nawawi : Mengenai qunut subuh, Rasulullah SAW tidak meninggalkannya hingga baginda SAW wafat, demikian riwayat sahih dari Anas r.a. (Syarah Nawawi ala shahih Muslim)
164.Soalan: Kawan saya sudah berkahwin tetapi telah bercerai. Ketika dulu sebelum bercerai mereka berdua telah berhutang kepada peminjam wang (bukan ah long) Siapakah yang perlu melangsaikan hutang mereka kerana sekarang mereka sudah berpisah dan tidak berhubung lagi. Adakah suami nya kerana sepatutnya isteri adalah tanggungan suami atau dia sendiri yang perlu melangsaikannya?
Berhutang adalah amalan yang tidak digalakkan oleh Islam kerana hutang itu merupakan "kesusahan di malam hari dan penghinaan di siang hari". Hutang juga akan menyebabkan seseorang itu menanggung amanah yang mesti ditunaikan iaitu melunaskan hutang. Jika ketika hidupnya hutang tersebut belum dilunaskan, maka apabila dia meninggal dunia hutang tersebut hendaklah dibayar daripada harta pusaka yang ditinggalkannya sebelum dibahagi-bahagikannya kepada waris-warisnya. Demikianlah beratnya tuntutan Islam dalam kewajipan membayar hutang.
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Sesiapa mati, sedangkan dia msih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambilkan (ganti) daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham." (Hadis Riwayat Ibnu Majah).
Jika suami isteri sudah bercerai dan mereka meninggalkan hutang maka jika perkara yang dihutang itu dibawah tanggungan suami seperti hutang barang makanan harian, hutang pakaian, hutang pendidikan anak-anak atau pun hutang sewa rumah, bil eletrik dan telefon rumah maka suamilah yang wajib membayarnya. Jika hutang kereta atas nama isteri maka isterilah yang akan menyambung bayar ansuran kereta tersebut, begitu juga jika suami ambil pinjaman bank untuk membeli rumah dan rumah itu atas nama suami maka suamilah yang membayarnya kerana hak rumah itu atas namanya. Jika bekas isteri atas kerelaannya untuk menyelesaikan hutang yang dibuat semasa berkahwin dahulu dan dia merasakan bahawa bekas suaminya tidak mampu untuk membayarnya atau bekas suami sengaja tidak mahu membayarnya maka adalah suatu amalan yang mulia kerana tuntutan hutang tersebut tidak akan berakhir di dunia sahaja ianya akan dituntut di akhirat.
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: "Sesiapa yang menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan seorang mukmin di antara kesusahan-kesusahannya di dunia, maka Allah akan menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan di antara kesusahan-kesusahannya pada hari kiamat. Sesiapa yang memberikan kemudahan atas orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud dan Tirmidzi).
Hadis di atas jelas menunjukkan kelebihan orang yang melepaskan kesusahan orang lain termasuk membantu membayar hutang orang lain (bekas suami).
165.Soalan: Betulkah kalau kita buat benda yg membahayakan diri atau kesihatan seperti ambil dadah,rempit dan seumpamanya amalan kita sah tetapi menjadi sia-sia?
Allah SWT melarang hamba-Nya mencampakkan diri kepada kebinasaan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan belanjalah pada jalan Allah, dan janganlah anda
mencampakkan diri ke jalan kebinasaan, dan berbuat baiklah sesungguhnya Allah sangat
suka mereka yang melakukan kebaikkan." (Surah al-Baqarah ayat 195).
Perbuatan seperti mengambil dadah, merempit, adalah perbuatan haram dan berdosa kerana meletakkan diri kepada kebinasaan. Dadah jelas haram kerana ianya boleh merosakkan akal fikiran yang waras hingga tidak sedar diri dan merosakkan fizikal, merempit pula seperti membunuh diri kerana merbahayakan diri dan nyawa dan membahayakan pengguna jalan raya yg lain. Mati seperti ini adalah sia-sia kerana hendak menunjukkan ego , takbur dan ikut hawa nafsu. Jika orang yang tidak bersalah dilanggar oleh mat rempit maka mereka akan mendapat berdosa besar.
Mereka yg mengambil dadah jika hendak bertaubat perlulah jauhkan suasana dan rakan-rakan yang lama, dan perlu menjalani rawatan dan berazam untuk meninggalkannya. Taubatnya in syaa Allah akan diterima oleh Allah SWT jika mereka benar-benar insaf dan ingin kembali kepangkal jalan. Begitu juga mat rempit yg sudah bertaubat dan tidak mahu mengulagi perbuatan tersebut, taubatnya juga akan diterima, bersyukurlah kerana semasa merimpit tidak berlaku kemalangan hingga meninggal dunia kerana jika mati semasa merempit matinya adalah su'ul khatimah nauzubillahiminzalik.
166.Soalan: Apakah hukumnya seorang anak angkat yang berbin atau bintikan nama bapa angkat,? Bapa saudara saya telah menggambil anak angkat dan berbintikan dengan namanya sendiri. Adakah perlu ditukar nama bapa angkat kepada nama bapa kandung yang sebenar.?
Dalam Islam anak angkat tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada bapa angkatnya, bahkan haram berbuat demikian. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disenghajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Ahzah ayat 5)
Adapun sebab turun ayat ini ialah mengenai Zaid bin Haritsah. Perkataan Ibnu 'Umar: "Kami pada masa dahulu tidaklah memanggil Zaid bin Haritsah melainkan Zaid bin Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam", menunjukkan bahawa mengangkat anak telah berlaku pada masa jahiliah dan semasa Islam.Dengan mengangkat anak itu berlakulah waris mewarisi (di antara bapa angkat dan anak angkat) sehingga Allah memansukhkan hukum pengangkatan anak yang membawa kepada waris mewarisi itu.
Dengan turunnya ayat di atas maka Rasulullah SAW telah menukar nama Zaid bin Muhammad kepada bapanya yang sebenar iaitu Zaid bin Haritsah.
Apabila seseorang anak angkat tidak diketahui bapanya yang sebenar, maka harus bagi seorang anak angkat itu dibinkan atau dibintikan dengan Abdullah (hamba Allah) atau nama-nama lain daripada nama-nama Allah seperti Abdul Rahman (hamba yang mempunyai rahmat yang sangat luas) Jika kad pengenalan itu boleh ditukar sebaik-baiknya ditukar kerana kita telah berusaha menyahut arahan Allah SWT di dalam al-Quran. iaitu berbinkan ayah kandung sebenar, untuk kembali kepada waris sebenar bukannya sentiasa kekal dengan berbinkan ayah angkat.
167.Soalan: Bolehkah kita memejamkan mata ketika solat kerana dengan memejamkn mata itu lebih membuatkan kita khusyuk dalam solat berbanding dengan melihat tempat sujud?
Sebahagian ulama mengatakan bahawa memejamkan mata dalam solat adalah makruh hukumnya. Tetapi Imam Ibnul Qayyim mengatakan: "Pendapat yang benar ialah, apabila membuka mata itu tidak mengurangi khusyuk maka itulah yang lebih utama, dan jika ada yang mencederakan khusyuk seperti terpandang hiasan-hiasan yang membimbangkan nescaya tidaklah dimakruhkan memejamkan mata bahkan disunatkan. Kita memejamkan mata dalam keadaan itu lebih dekat kepada dasar-dasar syarak dan maksud-maksudnya."
Tujuan solat pada asasnya melakukan pengabdian sepenuh hati dan penuh ikhlas kepada Allah. Sekiranya memejamkan mata adalah merupakan jalan atau cara yang sesuai untuk itu maka lakukanlah, demikian juga sebaliknya.
Saya menyokong pandangan mengharuskan pejam mata hanya dalam keadaan yang benar-benar di yakini dapat menambah kekhusukkan serta mengelakkan gangguan pandangan dari perkara yang pasti menganggu khusyuk, justeru hukumnya adalah berbeza menurut keadaan seseorang. Selain itu, membuka mata semasa solat adalah lebih utama.
168.Soalan: Perkataan “kebetulan” tidak sesuai digunakan oleh orang Islam kerana apa-apa yang berlaku adalah suratan. Saya mohon ustaz berikan hujah atau nas yang menyokong pandangan ini.
Sebenarnya perkataan "kebetulan" tidak tepat disebut di dalam amalan harian kita. Ianya sesuai dikatakan "Allah izin" atau "dengan izin Allah" kerana setiap peristiwa dibumi semuanya sudah ditakdirkan oleh Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan apa yang Dia kehendaki dan di sisi-Nya terdapat Ummul Kitab.” (Surah Ar-Ra’d ayat 39).
Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri." (Surah Al-Hadid ayat 22-23)
Begitu juga jika kita secara tiba-tiba berjumpa kawan lama tanpa disangka-sangka maka yakinlah bahawa pertemuan tersebut telah ditakdirkan berlaku oleh Allah SWT dan kita dapat bertemu semuanya dengan izin-Nya bukan bertemu secara kebetulan.
169.Soalan: Saya dan rakan sekelas telah berlaku sedikit selisih faham, rakan saya tidak mahu menegur sapa dengan saya walau pun saya cuba memulihkan hubungan baik di antara kami. Adakah ini dikira memutuskan silaturrahim?
Seseorang yang engan berbaik-baik setelah berselisih faham maka ianya dikira memutuskan silaturahim. Siapa kita yang berat untuk memaafkan kesalahan orang lain sedangkan Allah SWT Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang memiliki kerajaan langit dan bumi sentiasa bersedia mengampunkan kesalahan para hamba-Nya apabila dia memohon ampun.
Sabda Nabi SAW yang maksudnya : “Tidak halal bagi seorang muslim tidak bertegur sapa saudaranya melebihi tiga hari, maka barangsiapa yang tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari, nescaya akan masuk neraka”. ( Hadis Riwayat Abu Dawud : no 4914).
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku mempunyai kaum kerabat yang aku eratkan hubunganku dengan mereka tetapi mereka memutuskan, dan aku berbuat baik dengan mereka tetapi mereka membuat jahat kepadaku, aku berlemah lembut dengan mereka tetapi melakukan kekasaran terhadap aku.” Maka jawab Rasulullah, “Jika benarlah apa yang engkau katakan itu maka seolah-oleh engkau memberi makan abu panas (mereka melakukan dosa besar) dan Allah sentiasa bersama engkau memberi pertolongan selagi kamu mengekalkan sifat-sifat kamu.” (Hadis Riwayat Muslim)
170.Soalan: Arwah bapa mertua saya mempunyai saka tetapi kini sudah tidak bertuan semenjak arwah bapa mertua meninggal dunia. Emak mertua saya kini memaksa suami saya membela saka tersebut tetapi suami saya tidak mahu menerimanya . Adakah suami menjadi anak derhaka kerana ingkar pada ibunya?
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat." (Surah al-Jinn ayat 6)
Seseorang semasa hidupnya bersahabat atau meminta pertolongan jin kafir untuk kekuatan diri, perlindungan rumah dan kebun atau jin tersebut boleh memberikan harta. Sebelum jin tersebut memberikan khidmatnya kepada seseorang maka mereka telah pun membuat perjanjian. Jin tersebut di panggil saka atau jin belaan . Jika simati tidak sempat membuangkannya atau diserahkan kepada waris maka saka tersebut akan menganggu keluarga simati dan berkeliaran tanpa tuan. Saka perlu dibuangkan atau pulangkan dia ketempat asalnya oleh mereka yang arif (pakar perubatan Islam bukan bomoh) dan tidak perlu di warisi, jika suami puan tidak menerimanya tidak dikira anak derhaka kerana dikhuatiri membela saka boleh menjadi syirik kerana ada perjanjian di antara jin dan manusia.
Cuba ikhtiarkan cara terbaik untuk membuangkannya dan minta suami puan cerita secara baik dengan ibunya supaya beliau tidak berkecil hati.
171. Soalan: seorang anak saya berumur empat tahun mengadu kepada saya sentiasa melihat makhluk halus terutama ketika berada di bilik air. Bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah ini?
Di dalam tandas adalah 'rumah' kepada jin dan syaitan , oleh sebab itu Nabi SAW mengajarkan umatnya apabila hendak masuk ke dalam tandas perlu membaca doa adab-adabnya adalah seperti berikut :
Ketika memasuki tandas dahulukan kaki kiri dan sebelum melangkah masuk, bacalah doa masuk tandas terlebih dahulu:
بسم الله، اللهم إني أعوذ بك من الخبث والخبائث
"Ya Allah Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari syatan laki-laki dan syaitan betina" (Hadis Riwayat Bukhari)
Keluar dari tandas, dahulukan kaki kanan dan apabila telah berada di luar tandas bacalah doa berikut:
غفرانك، الحمد لله الذي أذهب عني الأذى وعافاني
"Segala puji milik Allah semata yang telah menghilangkan kotoran daripadaku, dan menjadikan aku sehat walafiat." (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)
Puan perlu membaca doa di atas ketika masuk ke tandas dan ajar anak puan doa-doa tersebut jika hendak memasuki tandas atau bilik air. Di samping itu amalakan bacaan zikir al-Mathurat (pagi dan petang) dan membaca al-Quran dirumah supaya rumah puan sejuk dan dilindungi Allah SWT daripada gangguan makhluk halus yang jahat iaitu jin-jin kafir dan syaitan. Rumah yang sentiasa dibacakan ayat-ayat al-Quran akan di hadiri oleh malaikat rahmat.
Nabi SAW bersabda, "Apabila kamu masuk ke tempat tidurmu, maka bacalah ayat Kursi 'Allahu La Ilaha Illa Huwal Hayyul Qayyum', sehingga habis ayat ini. Maka sesungguhnya, akan sentiasa ada penjaga dari Allah untuk kamu dan syaitan tidak akan dapat mendekati kamu sehingga pagi". (Hadis Riwayat Bukhari)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Janganlah kamu menjadikan rumah-rumah kamu seperti kubur (hanya untuk tidur sahaja). Sesungguhnya syaitan itu lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya." (Hadis Riwayat Muslim).
Puan banyakkan berdoa dan solat hajat mohon kepada Allah SWT supaya anak puan tidak lagi melihat makhluk halus kerana jika beliau sentiasa melihatnya akan mengganggu kehidupannya.
172.Soalan: bagaimanakah untuk kita mengetahui restoran makanan itu menggunakan ilmu pelaris atau tidak?
Sebelum kita memasuki kedai muslim untuk makan perlulah kita berdoa kepada Allah SWT supaya makanan yang kita makan itu adalah daripada sumber yang halal dan tidak ada perkara syubahat di dalamnya. Sebelum masuk ke kedai tersebut baca : Bismillahirahmanirrahim, minta perlindungan Allah SWT daripada gangguan syaitan yang direjam dan baca :
"Bismillahilladzi i laa yadhurru ma'asmihi syay'un fiil ardhi wa laa fiis samaa'i wa huwassamii'ul 'aliimu." (3x)
Maksudnya : "Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya tidak ada suatu pun dapat mendatangkan bahaya di bumi dan dilangit Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
Dan baca ayat kursi jika ada pelaris yang bersandarkan bantuan jin akan naik bulu roma. Jiwa tak akan tenang berada di dalam kedai tersebut.
173.Soalan: Apa kesannya sekiranya kita termakan makanan yang mengandungi pelaris itu sebab sebahagian pelaris yang digunakan adalah dari benda-benda yang kotor.Bagaimana ingin 'membersihkan' diri jika telah termakan makanan itu?
Biasanya pelaris ada dua jenis :
Pertama adalah benda yg dijadikan azimat oleh bomoh dengan jampi serapah dengan memanggil jin-jin atau syaitan menjadi daya tarikan kepada orang ramai untuk datang makan dikedai mereka. Tetapi bagi orang yg beriman yang sentiasa zikir kepada Allah SWT "pelaris" tersebut tidak berkesan.
Kedua : Pelaris dicampurkan kedalam makanan yg dimasak sebagai syarat ianya menjadi sedap dan menjadi ketagih bagi sesiapa yang terkena hasil campuran barang kotor tersebut.
Untuk membuangkan barang-barang kotor sekiranya sudah termakan adalah dengan kita banyak berzikir dan beristighfar kepada Allah SWT, jin dan syaitan yang bersarang di perut dan hati kita akan kepanasan dan akan keluar daripada badan kita dan banyakkan minum air zam-zam dan baca "Bismillahirahmanirrahim." dan niatkan dalam hati semoga keberkatan air zam-zam dapat membuangkan kotoran yang ada dalam perut dan saluran darah kita.
Sabda Nabi SAW, Maksudnya : "Air zamzam itu mengandung berkah, makanan yang mengenyangkan dan ubat bagi penyakit." (Hadis Riwayat al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra (9751); ath-Thabrani dalam al-Mu’jam ash-Shaghir (296); ath-Thayalisi dalam Musnadnya (457) dari hadits Abu Dzar radliallahu ‘anhu. Hadits ini dishahihkan oleh al-Mundziri dalam at-Targhib wa at-Tarhib (2/135) dan al-Albani dalam Shahih al-Jami’ (2435).
Maksud dari sabda nabi SAW di atas adalah berkah air zamzam tercapai sesuai dengan niat peminumnya. Jika dia meminumnya agar kenyang, maka Allah akan mengenyangkannya. Jika dia meminumnya untuk berubat (untuk membuangkan makanan kotor bercampur sihir di dalam perut) nescaya Allah akan menyembuhkannya. Dan jika dia meminumnya untuk memohon perlindungan kepada Allah, nescaya Allah akan melindunginya. Demikianlah, dengan menghadirkan niat yang baik ketika meminum air zamzam, nescaya apa yang diniatkan oleh peminumnya akan tercapai dengan karunia Allah SWT, Zat yang memberikan karunia kepada siapa saja yang dikehendaki-Nya, kerana Allah-lah pemilik karunia yang sangat besar.
174. Soalan: Apakah hukumnya menyiarkan gambar seorang wanita yang sudah memeluk Islam, beserta dengan gambar sebelum Islamnya (yang tidak menutup aurat). Perkara ini saya temui dalam laman social. Untuk pengetahuan, gambar tersebut bukan diletakkan oleh empunya diri, tetapi oleh orang lain.
Mengambil gambar orang lain yang tidak menutup aurat dan menyiarkan gambar tersebut di facebook adalah berdosa dan haram. Aib seorang muslim wajib ditutup dan tidak dibenarkan mendedahkannya. Selagi orang ramai memandangnya, dimuat turunkan gambar tersebut maka orang yang menyiarkan akan mendapat dosa.
Nabi SAW bersabda maksudnya: " Barang siapa menutup aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Muslim)
Gambar yang tidak menutup aurat adalah aib seorang muslimah, orang lain tidak boleh mendedahkannya termasuk individu tersebut juga haram mendedahkan gambarnya sendiri semasa belum menutup aurat. Allah SWT murka apabila Dia telah menutup aib hamba-Nya tiba-tiba ada orang lain mededahkan aibnya kepada orang ramai.
175. Soalan: seorang suami meminta isterinya yang memang sedia menutup aurat supaya memakai jilbab atau purdah apabila keluar rumah kerana cemburu, wajibkah taat?
Isteri wajib taat pada suami dalam perkara yang harus dan tidak mengandungi perkara maksiat. Suami ada hak atas isterinya dalam perkara hendak membendung fitnah dan perasaan cemburu.
Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila ia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Al-Imam Bazzar berkata Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka." (Hadis riwayat Al Imam Bazzar)
176. Soalan: Mengapakah lelaki diberi sembilan akal dan satu nafsu manakala wanita dikurniakan sembilan nafsu dan satu akal?
Sebenarnya pendapat mengatakan lelaki diberi 9 akal 1 nafsu dan wanita diberi 9 nafsu 1 akal adalah kurang tepat. Kerana Islam mengajar semua manusia samaada lelaki atau wanita supaya mengawal nafsu dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh membangkitkan nafsu syahwat. Islam mewajibkan wanita tutup aurat dan menjaga pandangan supaya terhindar daripada godaan hawa nafsu yang ada pada diri wanita sendiri dan diri kaum lelaki. Lelaki juga diperintahkan supaya menjaga mata dan tidak boleh mengekori aurat wanita.
Di larang wanita dan lelaki berdua-duaan kerana yg ketiga adalah syaitan.Jika masing-masing boleh menjaga akhlak dan mengikut perintah Allah SWT dan suruhan Nabi SAW maka akan terpeliharalah nafsu manusia dan akan disalurkan kepada jalan yang dihalalkan saja. Nafsu tak boleh dihapuskan kerana ianya fitrah manusia tetapi perlu dikawal dengan iman dan takwa kepada Allah SWT
177. Soalan: Pekerja saya ada berurusan dengan seorang pelanggan yang membuang bangkai khinzir di tapak pelupusan sampah. Pelanggan bukan Islam membuang khinzir tanpa memakai sarung tangan dan apabila ingin membayar pelanggan tersebut hanya membasuh tangan dan menyebabkan duit yang diberikan kepada pekerja tersebut basah. Apa hukumnya?
Orang bukan Islam bagi mereka khinzir adalah binatang makanan mereka dan mereka tak tahu hukum najis atau tidak. Jika mereka basuh tangan sudah memadai kerana mereka tak tahu erti samak (sertu) boleh ambil duit itu tak mengapa sebab sudah tidak ada bekas najis pada tangannya.
178. Soalan: Apakah kelebihan berwuduk dan adalah disunatkan kita berwuduk semasa membaca al-Quran dan adakah wanita disunatkan menutup aurat ketika membaca al-Quran?
Di dalam hadis yang lain Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : "Jika seorang hamba yang muslim atau mukmin berwuduk ketika ia basuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya semua kesalahan yang dilihat dengan kedua matanya bersama air atau bersama tetes air terakhir. Jika membasuh kedua tangannya, keluarlah dari kedua tangannya semua kesalahan yang dilakukan tangannya bersama keluarnya air atau tetes terakhir air. Jika membasuh kedua kakinya, keluarlah semua kesalahan yang diperbuat kakinya bersama air atau tetes terakhir air, sampai ia selesai wuduk dalam keadaan bersih dari dosa." (Hadis Riwayat Muslim).
Dalam hadis yang lain, Dari wuduk yang sempurna dan terhapus semua dosa-dosanya (dosa-dosa) kecil sahaja kerana dosa-dosa besar terhapus dengan bertaubat kepada Allah) yang terdapat pada anggotanya maka memang layaklah untuknya terbuka delapan pintu-pintu syurga.
Dari Abu Hurairah r.a. yang berkata, bahawa ia mendengar Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan bersinar putih wajah dan anggota wuduknya dari bekas-bekas wuduk. Barangsiapa di antara kamu ingin memanjanglan sinarnya, maka lakukanlah." (Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)
Di sunatkan berwuduk semasa membaca al-Quran dan disunatkan juga menutup aurat semasa membaca al-Quran .
179. Soalan: Bagaimana dengan pendapat yang mengatakan orang perempuan dalam haid tidak boleh baca dan pegang al-Quran?Bukankah dengan baca al-Quran hati dan fikiran boleh tenang?
Wanita ketika datang haid tidak boleh solat atau puasa tetapi berzikir dan membaca al-Quran (yang di hafalnya) diharuskan malahan digalakkan berzikir dan beristighfar kerana dapat menghalang godaan dan bisikan syaitan dan untuk kurangkan tekanan jiwa. Yang tidak dibenarkan menurut pendapat ulama adalah memegang al-Quran asli teks arab sepenuhnya. Jika al-Quran terjemahan dan ada tafsirannya maka ia dibolehkan pegang dan membacanya.
Telah ijmak (sepakat) para ulama bahawa wanita yang dalam haid dan nifas diharamkan mengerjakan solat dan juga puasa (termasuk puasa Ramadan). Puasa Ramadan wajib diqada, adapun solat tidak perlu diqada.
Dalil larangan solat dan puasa tersebut ialah hadis Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a. yang menceritakan; Nabi SAW. telah bertanya kaum wanita; “Bukankah kesaksian seorang wanita sama seperti separuh kesaksian seorang lelaki?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lalu berkata; “Itu tanda kurangnya akal wanita”. Baginda bertanya lagi; “Bukankah jika kamu kedatangan haid, kamu tidak boleh mengerjakan solat dan berpuasa?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lantas berkata; “Itu tanda kurangnya agama wanita” (Hadis Riwayat Bukhari dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.)
Dalam ash-Shahihain, dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam diriwayatkan bahawasanya baginda pernah berkata kepada isteri baginda Aisyah, ketika Aisyah mengalami haid pada waktu berhaji,
اِفْعَلِيْ مَا يَفْعَلُ الْحَاجُ غَيْرَ أَلاَّ تَطُوْفِيْ بِالْبَيْتِ حَتىَّ تَطْهُرِيْ
“Lakukanlah apa saja yang dilakukan oleh jamaah haji lainnya selain tawaf di Kaabah, hingga engkau suci.”
Tentunya kita telah maklumi bersama bahawa para jamaah haji disyariatkan membaca Al-Quran, padahal membaca Al-Quran merupakan perkara yang sering dilakukan oleh jamaah haji yang tidak dikecualikan oleh Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam. Hal itu menunjukkan bahawa wanita haid boleh membaca Al-Quran, tetapi tidak boleh menyentuhnya.
Imam Malik berpandangan; Diharuskan wanita dalam haid dan nifas membaca al-Quran dari ayat-ayat yang dihafalnya jika dibimbangi takut hilang dari ingatannya jika tidak dibaca sepanjang tempoh haid atau nifasnya. Mengenai zikir dan doa, tidak ada nas (dalil dari al-Quran atau as-Sunah) yang melarang wanita yang kedatangan haid dan nifas dari melakukannya. Oleh itu, ia kekal sebagai harus (tidak dilarang). Dalam kaedah fiqh ada dinyatakan “Sesuatu itu kekal dalam hukum asalnya selagi tidak ada dalil yang mengubahnya atau mengecualikannya dari hukum asal.”
180. Soalan: Sekarang ramai yang berniaga secara dalam talian. Apakah hukumnya jika kita membayar dan memasukkan wang ke dalam bank penjual terlebih dahulu dan barulah penjual menghantarkan barang yang kita beli itu?
Dalam Islam perlu ada kejujuran, keikhlasan dan niat yang baik untuk memberi barangan yang bermutu. Jika kedua-duanya bersetuju membeli dan menjual maka diharuskan. Untuk keselamatan penjual perlukan wang diberikan dahulu supaya barang dapat dihantar selepas wang diterima, dikhuatiri barang sampai wang tidak masuk. Pihak penjual perlu jujur dan nyatakan nombor telefon dan alamat yang tepat supaya pembeli dapat menghubunginya jika barang tidak sampai sedangkan wang sudah dimasukkan ke dalam akaun bank penjual.
No comments:
Post a Comment