Saturday, December 13, 2014

RINGKASAN TAFSIR SURAH AN-NUR ( SIRI I )

تعلموا من النبي صلى الله عليه وسلم عشرَ آياتٍ لم يجاوزوها حتى يتعلموا ما فيها من العلم والعمل، قالوا: فتعلّمنا القرآنَ والعلمَ والعملَ جميعا
)مقدمة تفسير الطبري( 
Yang bermaksud: 
Berkata Abu Abdul Rahman As-Sulamy**: "Kami diberitahu bahawa para sahabat meminta Rasulullah untuk membacakan kepada mereka al-Qur’an. Mereka akan mempelajari 10 ayat dan beramal dengannya. Setelah beramal barulah mereka mempelajari ayat-ayat yang lain. Sehingga kami mempelajari al-Qur’an dan mengamalkan secara keseluruhan." 
(Hadith Riwayat Al-Hakim, sahih menurut Adz-Dzahabi dan Ahmad Syakir)

Al-Quran (القرآن) itu sendiri mempunyai beberapa maksud yang tersirat;
* Membaca
* Menghafaz
* Memahami
* Mengamal 
[Keempat-empat ini berasal dari Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wasallam yang disampaikan oleh Jibril 'alaihissalam].


** Abu Abdul Rahman As-Sullamy merupakan seorang tabi'in (tabi'in: ialah orang yang berjumpa atau berguru dengan sahabah Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam).
-----------------------------  
.

كتب عمر - رضي الله عنه - إلى أهل الكوفة: علموا نساءكم سورة النور


Pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al-Khattab, beliau menulis kepada penduduk Bandar Kuffah memberi arahan kepada mereka dengan mengatakan: 
"Ajarlah Surah an-Nur kepada isteri-isteri dan kaum wanita kamu". 
[Tafsir Mubin, Jilid 4, m/s: 224]


Al-Quran resm 'Uthmani mempunyai 604 mukasurat, surah an-Nur berada di antara atau di tengah (middle) di dalamnya di mukasurat 350-359, dan bilangan surah yang ke 24 dari 114 surah.

Surah an-Nur diturunkan selepas hijrah, surah ini termasuk dalam Surah Madaniyyah.

Surah Madaniyyah diturunkan yang berkaitan dengan hukum-hakam yang praktikal, iaitu hukum yang berkaitan dengan urusan kekeluargaan yang merupakan batu pertama yang dibina dalam pembinaan sebuah masyarakat yang lebih besar. Ia juga membicarakan masalah panduan hidup dan budi pekerti, di samping memberi fokus kepada masalah-masalah umum yang berkaitan dengan sosial masyarakat untuk dijadikan bahan pendidikan bagi umat Islam seluruhnya, baik secara individu atau sebuah masyarakat.

Antara lain dalam surah ini menerangkan:

* Adab meminta izin tuan rumah terlebih dahulu sebelum memasuki rumah seseorang.
* Memelihara pandangan.
* menjaga kesucian anggota kelamin.
* Menjaga kesopanan dalam urusan pergaulan lelaki dengan wanita yang bukan mahram.
* Dasar-dasar yang patut menjadi kaedah dalam kehidupan bagi setiap keluarga dan rumahtangga setiap Muslim; 
- sikap berhati-hati dan menutup aurat
- menjaga kehormatan diri
- sentiasa istiqamah dalam beribadah serta dalam menjalankan syari'at Allah subhanahu wata'ala.
- melindungi keluarga Muslim daripada dicemari dari unsur-unsur keretakan, kemelut moral dan segala yang berkaitan yang boleh menghancurkan umat Islam dan negara.

* beberapa peraturan yang berkaitan dengan hudud; iaitu syari'at yang telah diwajibkan dan ditetapkan oleh Allah subhanahu wata'ala. iaitu:
- masalah perzinaan
- tuduhan berzina (qazaf) li'an.

Setiap hukum hudud yang disyari'atkan adalah dengan tujuan untuk menjaga kesucian dan kehormatan masyarakat dari dinodai oleh kerosakan dan kecelaruan, bercampur baur nasab dan keturunan, kemerosotan akhlak, dengan matlamat mengawal umat Islam daripada dilanda unsur-unsur kehancuran yang menyebabkan hilangnya  susur galur keturunan serta hancurnya maruah dan harga diri.

Dinamakan surah ini dengan An-Nur; kerena di dalamnya terdapat banyak Nur Rabbani; iaitu:

- peraturan mengenai undang-undang dan adab
- ketinggian nilai kemanusiaan yang merupakan sedutan dan cebisan daripada Nur Allah subhanahu wata'ala dengan limpahan rahmat dan kasih sayangNya.

Ayat 1:



Ertinya: 
"Ini ialah satu surah yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat".

   سُورَةٌ : dari kalimah سور ; iaitu tembok yang mengelilingi kota atau bangunan.
      
Makna istilah; سُورَةٌ  adalah sekumpulan ayat-ayat al-Quran yang mempunyai pendahuluan dan penutup.

      
Imam Ibn 'Athiyyah (Mufassir kitab tafsir المحرر والجيز) berkata: "Sekiranya kamu hendak menggantikan atau menukarkan kalimah "سُورَةٌ" dengan kalimah yang lain, nescaya kamu tidak akan mampu atau menjumpai kalimat yang paling sesuai/ tepat".

      
Kenapa Allah meletakkan kalimah سُورَةٌ di awal surah an-Nur? kerana untuk menunjukkan ketinggian surah ini, maka Allah memberi nama  atau perumpamaan dengan kalimat "سُورَةٌ".
     
Surah an-Nur merupakan sebagai pelindung kepada individu, keluarga dan masyarakat daripada perkara-perkara yang merosakkan (maksiat).

  أَنْزَلْنَاهَا : Kami turunkan; supaya (manusia) dapat hidup dengan panduan hukum hakan yang jelas.

  
فَرَضْنَاهَا : Kami wajibkan,berasal dari kalimat فرض: memotong sesuatu yang keras dan atau memberi bekas kepadanya. 

Tetapi kalimat فرض di dalam ayat ini memberi maksud mewajibkan, iaitu lebih banyak ditekankan kepada penetapan kepastian hukum wajibnya sesuatu.

وَأَنْزَلْنَا فِيهَا آَيَاتٍ بَيِّنَاتٍ : Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat (tanda-tanda) yang jelas.

* Ayat-ayat /tanda-tanda; terbahagi kepada dua:

1. Tanda-tanda tentang kejadian atau kebesaran Allah yang dapat dilihat dengan mata. Seperti kejadian tumbuh-tumbuhan, binatang; binatang yang berkaki empat, berkaki dua, binatang yang melata dan sebagainya.

2. Ayat-ayat: ayat-ayat al-Quran.

 لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ : supaya kamu beringat. Agar manusia saling ingat mengingati; istiqamah. 
Menunjukkan bukan sahaja saling mengingati, tetapi lebih kepada memahami dan mengamalkannya dengan berterusan (istiqamah dalam menjalankan ibadah/ syari'at kepada Allah).

عن أبي عمرو وقيل أبي عمرة سفيان بن عبد الله رضي الله عنه قال : قلت: يا رسول الله قل لي في الإسلام قولاً لا أسأل عنه أحداً غيرك, قال: قل آمنت بالله ثم استقم 
 (رواه مسلم)
Ertinya: 
"Katakanlah kamu beriman dengan Allah, dan istiqamahlah (teguh pendirian/ berterusan dalam beramal)".

Dalam al-Quran juga dijelaskan; antaranya dalam surah al-Fatihah: 6:



Ertinya: 
"Tunjukkan kami jalan yang lurus".

dan surah Fussilat: 30:



Ertinya: 
Sesungguhnya orang-orang yang berkata: "Tuhan kami adalah Allah", kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka.....".

Ayat 2:



Ertinya: 
"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebatan; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jikalau benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan manusia yang beriman".


-----------------------------------
Rujukan:
- Al-Quranul kareem
- Tafsir At-Thabary
- Tafsir Ibn Kathir
- Tafsir Mubin**
- Tafsir al-Misbah
- Sahih Muslim

**Buku yang digunakan oleh Dr. Sofiah: Tafsir Mubin


insha Allah akan bersambung penerangan ayat ke 2...... ;-)

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML