Tuesday, November 4, 2014

SAAT TERFIKIR INGIN BERMAKSIAT



Sedang asyik menonton cerita orang puteh, kita tak sedar bahawa kita sudah lali dengan beberapa adegan yang berunsurkan lucah, tak senonoh dan tidak selari dengan ajaran Islam. Hasil daripada kebiasaan tontonan tersebut kita juga dengan tidak sengaja seringkali mengkhayalkan mahupun berIMAGINASI perkara tersebut dalam kehidupan seharian. Sama ada sedang duduk bersendirian, belajar, bekerja mahupun dalam SOLAT! 

Semua individu pasti akan terlintas untuk melakukan maksiat dan dosa, khususnya yang melibatkan dorongan seksual. Lantaran itu hasil kerja professional syaitan dan ajakan nafsu yang gersang di dalam diri kita. Setiap kali terfikir maksiat terbabit, pasakkan dalam hati dan minda kita akibat buruk yang menunggu darinya seperti : 

1. azab api neraka 

2. azab kubur 

3. mati buruk (suul khatimah) dalam kemaksiatan 

4. jauh dari rahmat Allah swt 

5. tiada peruntukan syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak 

6. dan lain-lainnya. 

Memang benar, implikasi buruk ini semuanya berupa hal-hal ghaib, namun bukan itu sahaja, terdapat banyak pula implikasi buruk di dunia yang mesti disenaraikan di dalam minda dan hati seperti : 

1. penceraian 

2. pasangan zina mengandung 

3. membunuh anak luar nikah kerana malu 

4. anak-anak terabai dan terbiar 

5. kejian masyarakat dan keluarga 

6. ditangkap basah dan diumum di media 

7. akan dijangkiti HIV dan seterusnya AIDS 

8. hati gelap dan dilaknat oleh para malaikat dan Allah SWT 

9. dibuang kerja kerana imej buruk kepada syarikat 

10. mati ketika zina dan khalwat dilakukan dan banyak lagi boleh disenaraikan. 

Pasakkan semua implikasi negatif berbentuk spiritual (ghaib) dan fizikal ini di dalam minda setiap kali nafsu syahwat itu ingin dituruti atau mempengaruhi, dengan harapan agar nyalaannya akan mengecil. 

MENGAWAL NAFSU DAN SYAHWAT 

Panduan Kawalah nafsu syahwat secara ringkas dan padat (tidak mengikut aturan tertib) : 

1. Fikirkan target kehidupan dan usahalah melaksanakannya, pinggirkan pemikiran berkenaan jenayah, maksiat, seks dan syahwat, sedaya mungkin. Sibukkan diri mencapai target tersebut. 

2. Datangkan keyakinan bahawa setiap masa Allah Maha Melihat setiap perbuatan kita ketika bersama dengan orang ramai mahupun bersendirian 

3. Sedarkan diri bahawa Malaikat Raqib dan Atid turut sentiasa bersama kita mencatat setiap amalan kita, apa yang ditulis, diucap dan dilakukan. 

4. Mencari sahabat soleh dan merapatkan hubungan dengan ahli keluarga yang baik dan soleh 

5. Putuskan hubungan ‘songsang' dan ‘gelap' sama ada yang dibuat secara suka-suka atau serius, yang diperolehi melalui internet atau fizikal, melalui laman chat, email, web dan sebagainya. Putuskan semua medium yang boleh mendorong kepada peningkatan membuat dosa. Jika berseorangan di hadapan komputer itu boleh menyebabkan pemikiran "tidak baik" naik, maka elakkan diri berseorangan di hadapan komputer. Jika berbual mesra dan makan tengahari bersama rakan sekerja dengan berlainan jantina itu puncanya, elakkan diri daripadanya dan makan sendirian atau bersama dengan jantina yang sama sahaja. Begitulah seterusnya. 

6. Putuskan hubungan adik, kakak dan abang angkat berlainan jantina kerana ia tidak lain kecuali haram dan pendorong maksiat kerana niat kita hanyalah sekadar suka-suka dan main-main. 

7. Ubah rutin kehidupan yang mendorong kepada peningkatan melakukan dosa, semua orang tahu dan sedar apa jenis tindakan yang boleh mendorong nafsunya, ia mungkin tidak sama antara satu sama lain. 

8. Hadiri majlis ilmu dan sibukkan diri membuat target baru seperti membuat blog dan update, fokus dan bersungguh-sungguh menuntut ilmu, bekerja dengan amanah, melakukan aktiviti sihat seperti berkebun dan memcancing dan sebagainya. Buat satu target lain dalam hidup yang boleh menyibukkan diri untuk mencapainya. 

Tanpa target dalam kehidupan, keinginan nafsu akan membiak dan berkembang akibat waktu kosong. 

9. Sertai kumpulan bersifat keagamaan yang boleh membawa kepada ingatan kepada Allah, tapi awas elakkan kumpulan songsang dan ajaran sesat. 

10. Sertai kumpulan NGO atau kumpulan berasaskan dakwah dan kegamaan, dengannya membuka ruang mendapat rakan dan sahabat yang baik, selain itu masa kosong dan pemikiran "tidak baik" akan dapat dibendung hasil kesibukan menganjur program dalam kumpulan terbabit. 

Sekarang, mulakan usaha mencari kumpulan-kumpulan sebegini, sebagai contoh Persatuan Mahasisa Islam, BADAR, GAMIS, NISA, PAPISMA, Yayasan AMAL, Persatuan UIama' Malaysia, Persatuan Anak Negeri, IKRAM, JIM, KARISMA, PERKIM, Persatuan Pengguna Islam dan sebagainya. Diharapkan dengannya waktu akan lebih terisi dengan program yang baik dan membentuk diri. 

11. Kalau anda sedang bekerja atau belajar, target untuk cemerlang dalam pelajaran dan kerja anda, dengan itu anda akan lebih sibuk dari biasa dan pemikiran akan lebih terarah kepada tujuan yang digariskan, dengan itu, pemikiran "tidak baik" akan mula menurun atau ruangannya disempitkan 

12. Ziarahi kubur secara kerap agar nafsu menjadi tawar akibat pemikiran kepada kematian. Bukankah berfikir tentang mai menjadikan kita lebih bijak? 

13. Fikirkan bahawa anda akan mati ketika sedang melakukan maksiat itu, adakah anda redha untuk menerima kematian dalam situasi itu? Fikirkan selalu. 

14. Kalau komputer dan internet kerap menjadi asbab peningkatan nafsu, perdengarkan dan hayati bacaan Al-Quran setiap kali di hadapan komputer, InsyaAllah dengannya rasa malu akan timbul, kalau tidak banyak, sedikit. Kalau syahwat masih menggila di hadapan komputer itu, segera berhenti dan keluarlah dari bilik dan melihat awan, langit, pokok dan laut dan ingatkan kebesaran Allah. Ingatilah Allah selalu! 

15. Jangan sesekali membiarkan diri terus menerus dipukau nafsu dan syaitan, satu jurus langkah kepada maksiat adalah kunci untuk syaitan menjerumuskan kepada maksiat yang lebih besar. Apa sahaja perbuatan yang mampu mendorong kepada hampirnya dengan maksiat yang lebih besar mesti disekat segera. 

Kerana itu Allah SWT mengingatkan : 

"Dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan, sesungguhnya dia adalah musuh kamu yang amat jelas" 
( Al-Baqarah : 168 ) 

16. Menjaga pemakanan, pastikan makan makan yang halal dan bersih. Makanan haram mendorong kepada nafsu yang lebih liar dan hati bertambah kotor, bahkan tertutup terhijab daripada hidayah Allah SWT. 

17. Berzakatlah. Memastikan harta perolehan adalah dari sumber halal. Sumber haram menambah perisa nafsu kepada yang lebih kuat dan dahsyat. Ibarat mutasi virus yang lebih merbahaya kepada kesihatan. 

18. Amalkan puasa sunat, zikir secara berdisplin setiap kali (baca zikir mathurat contohnya) selepas solat dan doa sebanyak mungkin semasa sujud di dalam solat agar diberikan kekuatan untuk mengawal nafsu syahwat. 

19. Segara beristighfar dan bertaubat walaupun belum jatuh dalam maksiat yang berat. 

"dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang terbentang seluas langit dan bumi, disediakan bagi orang bertaqwa" 
(Al-Imran) 

20. Secara logiknya, manusia yang bercouple sangat mudah untuk melakukan dosa, sama ada dosa ringan-ringan mahupun yang berat. Apabila bersama, ter- atau sengaja bersentuhan adalah perkara normal yang boleh dilakukan setiap saat berlalu. Zina hati pula usah dikira. 

Demikian beberapa cara, usaha dan kaedah yang mampu disenaraikan demi membantu sesiapa sahaja untuk mengawal dan mengekang nafsu. Sekali nafsu sudah merasuk emosi, hati, akal kewarasan dan fizikal seseorang, individu tersebut akan lupa hakikat sebenar dan ditipu oleh kenikmatan dunia yang sementara. Lupa kepada keburukan kekal yang menanti. Sama-sama kita ingat-mengingat. 

Akhirnya Allah SWT berfirman : 

"Telah berjayalah orang yang membersihkan hatinya dan telah rugilah mereka yang mengotorkannya" 
(Al-Shams : 9-10)

 p/s : artikel ini juga sudah lama disimpan, dikeluarkan semula dan diedit supaya serasi dengan kebobrokan gejala maksiat masa kini semua hanya untuk perkongsian bersama dalam memperbaiki diri mencari mardhotillah (keredhaan Allah)



No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML