Tuesday, November 4, 2014

BILA HATI TIDAK HADIR BERSAMA

"Busuklah buah ni! Agaknya pokok dia dah rosak,"

 "Cantiknya buah ni. Rasanya pun sangat ranum dan sedap. Measti pokok dia membesar dengan baik sekali" 

Diibaratkan menanam pokok, dari benih tumbuh pokok. Dari pokok, membesar hinggalah mengeluarkan buah. Jadi, menanam pokok itu, yang mahu dilihat adalah hasilnya. Apakah ada hasil, mengeluarkan buah atau tidak. Jadi, kalau benih baik, nescaya buah pun baik, jadi elok. Boleh dimakan dan sedap rasanya. 

Perumpamaan Islam, begitulah. Kita beribadah hakikatnya untuk buah. Kalau betul benihnya, ia akan lahir pokok dan insyaAllah lahirkan buah. Dan buah tersebut bukan masam, tetapi manis dan dapat dirasai oleh ramai orang. 

Jika dirumuskan kembali, hasil dari benih dan pokok yang baik, kita lahirkan buah yang baik. Benih dan pokok itu adalah perumpamaan kepada ibadah yang baik, yang ada roh. Buah-buah yang baik ialah akhlak yang baik dan di antaranya ialah kita jadi penghibur kepada orang lain. Kita menghiburkan orang sehingga orang terhibur dengan akhlak islamiyyah kita. 

Bagaimana watak penghibur itu sehingga orang boleh terhibur dengan kita? Contoh : 

1. Di jalan raya, utamakan orang lain dahulu, sekalipun jalan kita.
2. Bertanya-tanyalah hal jiran samada Islam atau kafir. Kesusahannya dibantu, sakitnya diziarahi, ketiadaannya dorong kita menjaga rumahnya.
3. Waktu makan di kafe atau restoran, bayarkanlah orang di kanan kiri kita sekadar yang kita mampu.
4. Begitu juga di pasar, bayarkanlah orang yang membeli di sebelah kita lebih-lebih lagi kalau dia miskin.
5. Apabila naik bas, utamakanlah orang tua atau kaum ibu untuk duduk.
6. Kalau ada orang susah meminta, berilah, jangan dikecewakan. Kita berhutang kerananya pun tak mengapa.
7. Hutang orang kepada kita, jangan dipinta. Kalau mereka bayar, Alhamdulillah. Jika tidak, halalkan sahaja.
8. Jika kita bersalah dengan siapa sahaja, minta maaflah. Orang bersalah dengan kita, maafkanlah sahaja sekalipun dia tidak memintanya. 

Untuk dapat semua ini, mesti berasaskan cinta dan takut Tuhan. Bila ada rasa cinta dan takut Tuhan dalam ibadah kita, baru boleh lahirkan buah-buah sebegini. 

Mengapa? 

Sebabnya apabila kita cinta dan takut kepada Tuhan, automatik, kita akan berkasih sayang sesama manusia. Allah campakkan dalam hati kita rasa kasihan kepada makhlukNya. Dan Allah limpahkan rahmatNya kepada kita, suka berbuat baik kepada orang. Akan terdorong dalam hati, rasa ingin membantu dan menghiburkan orang lain. 

MENGIDAM BUAH IBADAH YANG SEGAR? 

Apakah buah ibadah? 

Itulah dia akhlak yang baik. Yang mana bukan sahaja kita selamat, tetapi kita menyelamatkan orang. Kebaikan kita lebat dan manfaatnya merata kepada orang lain. Orang dapat banyak manfaat dari kita. Orang dapat berbagai-bagai kebaikan dari kita. 

Kita menjadi penghibur kepada orang dan orang terhibur dengan kita. Inilah sepertimana yang disebut oleh Rasulullah SAW : 

“Sebaik-baik manusia ialah manusia yang banyak memberi manfaat kepada orang lain.” 

Apakah kita sudah jadi seperti itu? Kalau belum, elok “check” benih dan pokok kita tadi yakni ibadah yang kita lakukan. Apakah ibadah kita itu, ambil contoh yang utama seperti sembahyang, sudah betul? 

Atau bimbangnya, sembahyang kita itu hanya luaran sahaja, tak melibatkan yang dalam. Sembahyang kita itu, fizikal sahaja menghadap Tuhan, tapi hati entah ke mana-mana. Dalam sembahyang, hati kita membesarkan dunia, bukan Tuhan. Bila mula sembahyang, kita melafaz Allahuakhbar, tetapi ia sekadar lafaz. Hati tak terasa sebegitu. Hati tidak hadir bersama dalam setiap lafaz dalam solat. Fikiran kita melayang entah ke mana. Mungkin di planet pluto? 

Kalau benar sedemikian realiti sembahyang kita, mustahil ibadah kita itu dapat membuahkan akhlak. Agak sukar ia dapat melahirkan buah-buah mahmudah(sifat-sifat terpuji). Tidak hairanlah, dunia hari ini huru-hara dibuatnya. Manusia berkrisis di sana-sini, jiran-jiran tiada aman dibuatnya, sesama Islam dengki-mendengki hingga hilang kasih sayang, yang bukan Islam pula jelik dengan perangai buruk orang Islam. 

Semua ini hanya boleh dielakkan jika benih dan pokok yang kita tanam itu tepat dan sesuai, hingga boleh mengeluarkan buah yang baik-baik. Itulah dia ibadah yang ada roh. Ibadah yang dilakukan atas dasar cinta dan takut Tuhan. Barulah nanti, buahnya adalah akhlak yang baik. Kita selamat, begitu juga orang lain. Masing-masing menghiburkan satu sama lain. 

AKHLAK RASULULLAH SAW IALAH AL-QURAN! 

Sebenarnya Allah SWT menciptakan manusia hanyalah bertujuan supaya mereka itu beribadah kepadaNya semata sebagaimana Firman Allah yang bermaksud : 

" Dan tidak Aku ciptakan Jin dan manusia melainkan supaya mereka tunduk mengabdikan diri kepada-Ku."
(Al-Zariat:56) 

Persoalan akhlak juga amat dititikberatkan oleh Islam ke atas penganut-penganutnya. Malah ianya menjadi tujuan utama utusan Allah, sebagaimana sabda Nabi, mafhumnya : 

"Sesungguhnya aku diutuskan ialah untuk menyempurnakan akhlak mulia". 

Akhlak dalam Islam adalah bertitik tolak daripada pengabdian seseorang kepada Allah SWT dengan mengikut sunnah Rasulullah SAW. Baginda adalah peribadi contoh terbaik. Semua perangai yang bertentangan dengan akhlak Rasulullah SAW adalah dikira tidak berakhlak. 

Firman Allah SWT. bermaksud : 

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad ) mempunyai akhlak yang paling mulia. 
(Al-Rum:4) 

Sayyidatina Aisyah r.a apabila ditanya tentang akhlak Rasulullah SAW baginda berkata : 

"Adalah akhlak baginda SAW itu ialah Al-Quran". 

Akhlak adalah umpama buah bagi pokok yang hidup subur, tanpa pokok tiadalah buah, begitu juga dengan ibadah. Tanpa ibadah tiadalah akhlak. Buah yang baik tentunya memerlukan pokok yang hidup subur, begitu juga dengan akhlak yang luhur tentunya memerlukan ibadah yang berkualiti dan dikerjakan secara berterusan. Jika ibadah seseorang itu teguh, teguhlah akhlaknya dan begitulah pula sebaliknya. 

Oleh itu pengukur untuk menilai akhlak seseorang sama ada baik atau buruk, perlu dilihat kepada penghayatan seseorang terhadap kandungan Al-Quran secara keseluruhannya.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML