Detik demi detik berlalu, usia semakin menjangkau ke 24 tahun, namun hamba masih begini. Hijrah dan anjakan paragdima bagai fantasi di dunia realiti. Tuhan hamba tahu diri terlalu banyak dosa. Semalam hamba merintih padaMu, hari ini hamba masih berdosa sama. Hamba terus lalai dan leka mendambakan dunia. Masihkah ada hari esok untuk hamba berubah wahai Tuhan?
“Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”
(An-Nahl: 97)
Dosa semalam masih menyengat. Meninggalkan sisa baki penyesalan untuk mencuri perhatian Tuhan bukan makhluk penciptaannya. Berbuat dosa kepada manusia tidak sama berbuat dosa kepada Tuhan. Berharap kepada manusia tidak sama berharap kepada Tuhan.
Manusia itu, seberapa hebat pun di mata kita, jangan pernah berharap kepadanya. Kerna, sehebat mana pun, yang namanya makhluk, tidak akan pernah memberikan pertolongan kepada kita tanpa izin Allah SWT. Dan pada dasarnya, semua mahluk sama dengan kita, iaitu selalu berhajat memohon bantuan kepada Allah. Ketahuilah bahawa makhluk itu sangat lemah dan tidak memiliki daya serta kekuatan apapun selain dari yang diberikan oleh Allah, dan makhluk hanyalah jalan pertolongan Allah untuk kita.
Bila mana kita telah benar-benar hanya bergantung kepada Allah, kita akan menyedari bahawa Allah SWTlah yang lebih berkuasa daripada segala mahluk yang berkuasa. Kekuasaan Allah meliputi kekuasaan orang-orang yang berkuasa. Allahlah yang menggenggam jiwa-jiwa orang yang berkuasa. Allahlah yang menggenggam nasib dan takdir kita.
Jadi setelah kita menyedari dan menerapkan seteguh keyakinan di dalam hidup kita, percayalah! Allah SWT akan memberikan pertolongan dan perlindungan pada kita. Kekuatan Allahlah yang akan menolong kita, yang akan mengampunkan segala dosa kita, kerana Allah Maha Mengetahui, Maha Pengampun dan Maha Kuasa atas segala sesuatu. Hidup kita, pekerjaan kita, lingkungan di sekitar kita, semua berada dalam pantauan Allah, dan Allah tidak akan pernah mensia-siakan keyakinan hambaNya yang besandar padaNya.
BERKATI USIA INI WAHAI TUHAN
"Kau ada duit banyak mana pun, kau tak boleh bayar Allah untuk panjangkan umur kau."
Kejadian apa pun yang engkau temui, sungguh pena telah mengering, qadha telah ditetapkan, qadar telah selesai diputuskan, segala ketetapan telah selesai ditulis, pena telah diangkat dan lembaran telah mengering. Mati tidak mengenal masa, pangkat, nama, harta darjah kesolehan.
Manusia yang tidak takut mati adalah manusia yang sentiasa takut dengan Allah. Disebabkan ketakutannya kepada Allah itulah membuahkan keberanian yang sejati untuk menempuh alam yang lain demi bertemu dengan Penciptanya. Dalam riwayat menceritakan bahawa Allah berfirman dalam Hadith Qudsi :
"Aku tidak menghimpunkan dua ketakutan kepada seorang hambaKu, dan Aku tidak memberi dua kelapangan fikiran kepada seorang hamba. Sekiranya seorang itu tidak takut kepadaku di dunia ini, maka Aku akan membuat dia takut di akhirat nanti, Sekiranya di dunia ini dia sentiasa takut kepadaKu, maka Aku akan menyelamatkannya dari segala ketakutan”
Kiranya wasilah umur ini dapat mendekati Allah, pasti pertemuan yang Maha Agong menjadi igauan. Allah SWT menyedarkan kita hakikat kemanusiaan tidak lari daripada kerisauan tentang ajalnya. Umur yang diberi pinjaman sedang menanti detik waktu untuk ditarik semula pada bila-bila masa dan di mana jua.
Maksimumkanlah faedah umur kita dan tolonglah orang lain untuk manfaatkan masa dalam menyambung misi dakwah Rasulullah SAW. Hadkanlah masa penunaiannya. Biasakan hidup berjadual di hadapan. Bijaksanakanlah penggunaan waktu! Bersegeralah! Kerana sabda Nabi SAW bermaksud :
"Bertindak segeralah melakukan amal" (diulang 7 kali)
“Wahai Tuhanku, jika Kau jadikan umur ini sebagai ujian dan masa sebagai dugaan, dan Kau uji kami dengan perasaan yang terpendam dalam diam yang tak bertepian. Ketahuilah Tuhanku, separuh dari ujian sudah kami lalui dengan lelah sekali. Saat Kau tuliskan takdir yang menyakitkan, Kau selimuti hati kami dengan harapan agar esok kami bangkit dan teruskan kehidupan. Dan ternyata sehingga sampai waktu ini, tidak pernah ada ragu untuk berpaling dari doa-doa semalam. Moga Kau berkati umur dan segala amalan kami. "
No comments:
Post a Comment