NABI SAW telah mengajar umat Baginda agar sentiasa menjaga adab-adab dalam berdoa. Ini adalah kerana doa merupakan sebuah permohonan dan permintaan yang dilakukan kepada Allah Yang Maha Esa.
Mana mungkin Allah SWT menerima sesuatu permintaan yang dibuat tanpa menggunakan bahasa yang terbaik, merendah diri dengan perasaan kehambaan dan pengharapan yang tinggi kehadrat-Nya.
Bahasa doa yang paling terbaik ialah dengan menggunakan bahasa yang ditunjukkan dalam al-Quran dan hadis. Jika kita amati, doa-doa yang dikemukakan oleh al-Quran dan hadis amat ringkas tetapi padat. Ia tidak berjela-jela dan meleret-leret sehingga terkeluar daripada maksudnya yang sebenar.
Doa-doa daripada para Rasul dan Nabi-Nabi yang dirakamkan dalam al-Quran amat fokus dan tepat dengan maksudnya, di samping menunjukkan sifat kehambaan yang begitu unggul yang dimiliki oleh mereka.
Di samping perlu menjaga adab-adab dalam berdoa, kita juga perlu mengetahui waktu paling mustajab doa. Mudah-mudahan dengan kita amalkan doa pada waktu-waktu tersebut, Allah SWT akan makbulkan semua permintaan dan permohonan kita.
Kita perlu memahami bahawa terdapat waktu-waktu yang dimuliakan Allah SWT berbanding waktu-waktu yang lain. Sebagaimana bulan Ramadan lebih mulia daripada bulan-bulan lain dan hari Jumaat adalah hari paling mulia berbanding hari-hari lain. Ini bukannya bermaksud hari-hari lain tidak mulia, tetapi ia menunjukkan keutamaan dan fadilat yang lebih berbanding yang lain.
Antara waktu-waktu yang dimustajabkan doa ialah;
Akhir satu pertiga malam:
Akhir waktu sepertiga malam adalah waktu yang paling terbaik untuk seorang hamba bermunajat kepada Allah SWT. Pada detik dan saat ini, biasanya suasana lebih tenang dan damai, memudahkan sang hamba untuk memberikan fokus dan perhatian kepada pengakuannya dan taubatnya kepada Allah SWT.
Allah SWT juga suka untuk memakbulkan doa orang-orang yang bangun di tengah malam kerana tentunya mereka terpaksa mengorbankan masa tidurnya semata-mata kerana Allah SWT.
Daripada Abu Hurairah ra, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Allah SWT akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tatkala Berbuka Puasa Bagi Orang Yang Berpuasa:
Waktu ini terpilih kerana orang yang berpuasa telah berjaya mengharungi lebih kurang 12 jam menahan nafsu semata-mata kerana Allah SWT.
Oleh itu, waktu berbuka puasa ialah waktu yang amat mustajab kerana ia membuktikan sifat kehambaan seseorang yang telah meninggalkan keinginannya kerana Allah SWT.
Maka, ketika meraikan kejayaan tersebut ketika berbuka puasa, Allah SWT akan mendengar segala permintaannya dan akan dipertimbangkan untuk dimakbulkan.
Daripada Abdullah bin 'Amr bin 'Ash ra bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa terdapat ketika saat berbuka doa yang tidak ditolak. (riwayat Ibnu Majah)
Ketika selesai menunaikan solat fardu:
Ketika seseorang itu menunaikan solat, dia sebenarnya sedang bermunajat, memohon ampun dan berdoa kepada Allah SWT. Solat fardu adalah bukti dan manifestasi kehambaan seseorang itu kepada Allah SWT.
Maka itu, selepas menunaikan solat adalah detik yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh setiap Mukmin untuk berdoa kepada Allah SWT.
Daripada Abu Umamah, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang doa yang paling didengari oleh Allah SWT. Lalu Baginda SAW menjawab: "Di pertengahan malam yang akhir dan setiap selesai solat fardu." (sunan At-Tirmidzi)
Hari Jumaat:
Hari Jumaat adalah sayyidul ayyam, iaitu penghulu segala hari. Terdapat banyak peristiwa penting yang telah dan akan berlaku pada hari Jumaat.
Pada hari ini juga terdapat satu detik yang amat berharga. Pada detik itu, Allah SWT akan memakbulkan doa dan permintaan hamba-Nya. Namun, detik itu dirahsiakan dari pengetahuan manusia.
Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya pada hari Jumaat terdapat satu saat yang mana tiadalah seorang hamba Muslim solat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah, melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut. (riwayat al-Bukhari)
Antara azan dan iqamah:
Azan dan iqamah adalah panggilan untuk mendirikan solat. Pada waktu ini umat Islam akan meninggalkan urusan sehariannya dan akan menumpukan kepada solatnya.
Daripada Anas bin Malik ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Doa tidak akan ditolak di antara azan dan iqamah." (riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Baihaqi)
Ketika sujud:
Ketika sedang sujud, seorang hamba akan meletakkan kepala dan wajahnya di tampat yang paling rendah sekali. Ini adalah merupakan satu bentuk pengakuan bahawa dirinya adalah hamba yang sangat lemah, miskin dan hina. Sifat merendahkan diri ini sangat penting untuk merasakan kebesaran dan keagungan Allah SWT.
Daripada Ibnu Abbas ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ketika waktu sujud, maka bersungguh-sungguhlah dalam berdoa kerana pada detik itu sangat tepat untuk dikabulkan. (riwayat Muslim)
Sebenarnya, terdapat beberapa lagi waktu yang amat dimustajabkan doa seperti malam Lailatulqadar, hari Arafah dan sebagainya. Namun, yang paling penting sekali dalam melakukan doa ialah rasa keikhlasan dalam diri dan sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment