Thursday, May 15, 2014

Jaminan syafaat di padang mahsyar

SALAH satu ciri mukmin beruntung di dunia dan akhirat ialah orang mempelajari al-Quran dan selalu membacanya. 



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya.” (Hadis riwayat Bukhari, Abdu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah). 



Jadi, berdasarkan apa yang diingatkan Rasulullah s.a.w itu, kita wajar mendorong hati supaya sentiasa rindu mempelajari serta membaca al-Quran. 



Jika selama ini kita terbiasa dengan amalan wajib mesti membaca akhbar setiap pagi hari, apa salahnya kita membaca al-Quran sebagai amalan yang tidak boleh ditinggalkan. 



Bina satu slogan peribadi, ‘Tak Sempurna Hari Tanpa Membaca al-Quran’. Tampalkan di rumah supaya diri serta seluruh keluarga menatapnya setiap masa. 



Keuntungan seseorang yang membaca al-Quran pada hari akhirat kerana dijamin akan diberikan syafaat ketika kita amat memerlukan pertolongan di padang mahsyar. 



Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya, “Bacalah al-Quran. kerana pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaat kepada para pembacanya.( Hadis Riwayat Muslim.)



Seperkara lagi yang seharusnya kita sedari ialah amalan membaca al-Quran juga metodologi dalam penyembuhan penyakit jiwa atau hati. 



Jika fikiran dan jiwa seorang itu sentiasa diselubungi pelbagai emosi dan berserabut, perasaan pasti terungkai apabila membaca al-Quran. 



Rasulullah berpesan, “Tidak ada orang-orang yang berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca dan mempelajari al-Quran, kecuali mereka akan memperoleh ketenteraman, diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan nama mereka disebut Allah di kalangan malaikat.” (Hadis riwayat Muslim, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Abu Daud). 



Seseorang mukmin yang selalu mempelajari dan membaca al-Quran tergolong di kalangan mukmin yang dicintai Allah. 



Inilah kehebatan penuntut dan pembaca al-Quran malah Rasulullah s.a.w mengiktirafkan amalan membaca kitab suci itu sebagai ibadah terbaik. 



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Yang paling utama daripada ibadah umatku adalah membaca al-Quran.” (Hadis riwayat al-Baihaqi). 



Pupuk anak dan isteri membudayakan membaca al-Quran kerana itulah acuan keluarga bahagia yang dipayungi rahmat Allah. 



Anak yang membesar dalam ruang lingkup emosi yang berpaksikan nur al-Quran pastinya akan muncul anak yang soleh.



Membentuk jiwa anak-anak dengan budaya cintakan al-Quran akan menjadi tembok paling ampuh dan satu bekalan teragung apabila mereka meningkat dewasa. 



Jangan biarkan jiwa anak kita ketandusan dengan keberkatan al-Quran kepada kesannya cukup buruk dan memungkinkan berlakunya iman semakin menipis yang menjadi punca nafsu syaitan untuk memporak perandakan jiwa. 



Rasulullah s.a.w berpesan, “Sesungguhnya orang yang di dalam dadanya tidak ada al-Quran sama sekali, tidak ubahnya seperti rumah yang rosak.” (Hadis at-Tirmidzi,Ahmad,Hakim  dan  al-Darimi). 



Mempelajari dan membaca al-Quran umpama baja yang akan menyuburkan hati dan jiwa serta mengukuhkan akar iman dan takwa seseorang. 



Jika tidak dibaja dengan bacaan al-Quran, jiwa menjadi kering, layu dan mungkin terus terkulai mati. Baca dan renunglah dengan bersungguh akan peringatan Rasulullah s.a.w kepada sahabat Baginda, Abu Dzar ini. 



Kata baginda, “Wahai Abu Dzar, kamu pergi untuk mempelajari satu ayat al-Quran itu lebih baik daripada kamu solat seratus rakaat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML