Thursday, May 15, 2014

Buruk kesudahan penentang Islam

IBNU Kathir berkata: Allah SWT berfirman sambil mengancam orang jahat yang telah dikurniakan dengan berbagai nikmat dunia, lalu dia mengingkari nikmat-nikmat tersebut dan menggantikannya dengan kekufuran serta membalasnya dengan keingkaran terhadap ayat-ayat Allah SWT. Dia juga mengada-adakan terhadapnya dan menganggap ayat-ayat tersebut hanya ungkapan manusia. Dan Allah telah menghitung berbagai-bagai nikmat yang telah Dia berikan kepadanya.



Firman Allah SWT: Biarkanlah Aku bertindak terhadap orang yang Aku telah menciptakannya sendirian. (al-Mudassir: 11).



Ibnu Kathir berkata: Maksudnya dia lahir daripada perut ibunya seorang diri tanpa membawa harta dan juga anak. Kemudian setelah itu Allah SWT memberi kepadanya rezeki.



Muqatil berkata: Biarlah Aku menghadapi dia kerana Aku akan membinasakannya dengan kebinasaan yang khusus.



Di sini terdapat ancaman keras terhadap kederhakaan al-Walid, keingkaran dan kesombongannya, kerana memperoleh harta dan kemuliaan. Lalu al-Walid berkata: "Aku adalah orang yang terhormat dan anak daripada golongan yang terhormat. Tidak ada seorang Arab pun yang setanding dengan aku dan tidak ada seorang Arab pun yang setanding dengan ibu bapaku."



Allah SWT telah menghinanya dan menghinakan pula jolokannya, sehingga jolokan itu tidak membawa makna kerana ia bertukar menjadi celaan kepadanya. Justeru, Allah SWT menjadikannya sebagai satu-satunya orang yang berada di dalam kejahatan dan kekejian.



Firman Allah SWT: Dan anak-anak yang selalu bersama dia, (al-Mudassir: 13).



Mujahid berkata: Maksudnya anak-anak mereka itu selalu hadir bersamanya dan tidak keluar untuk berdagang. Urusan dagangan tersebut diuruskan oleh hamba-hamba dan juga orang-orang yang dibayar oleh mereka, sedangkan mereka sendiri hanyalah duduk-duduk mendampingi ayah mereka untuk bersenang-senang bersamanya.



Terdapat khilaf ulama tentang bilangan mereka (anak-anak):


l Al-Suddi, Abu Malik, Ashim bin Umar bin Qatadah menyebutkan: Mereka ini berjumlah 13 orang.

l Mereka berjumlah 10 orang seperti yang disebutkan oleh Ibnu Abbas dan Mujahid.



Al-Maraghi berkata: Termasuk anak-anak yang selalu hadir bersamanya di Mekah. Mereka tidak pernah berpisah dengan bapanya, kerana mereka bergantung rezeki kepada bapa mereka. Ini disebabkan mereka tidak perlu bekerja mencari rezeki kerana mereka telah memiliki harta yang banyak. Al-Walid pun sukakan mereka dan senang dengan kehadiran mereka.



Firman Allah SWT: Dan Ku lapangkan baginya (rezeki dan kekuasaan) dengan selapang-lapangnya, (al-Mudassir: 14).



Ibnu Kathir berkata: Maksudnya, Aku telah berikan kepadanya pelbagai macam harta, perkakas rumah tangga dan sebagainya.



Al-Maraghi berkata: Menurut orang Arab, Tahmid bermakna melapangkan. Contohnya Mahadash shabiyya (Dia melapangkan rezeki kepada si anak). Aku lapangkan rezeki kepadanya, dan aku luaskan kehormatan. Sepatutnya dia bersyukur kepada Allah SWT terhadap nikmat yang diberikan kepadanya tetapi dia ingkar kepada Tuhannya, sehingga dia berpaling daripada seruan dakwah dan menyombongkan diri. Dia telah membalas nikmat dengan kekafiran dan membalas kurnia dengan keingkaran serta kederhakaan.



Firman Allah SWT: Kemudian dia ingin sekali supaya Aku menambahnya. Sekali-kali tidak (akan Aku tambah), Kerana Sesungguhnya dia menentang ayat-ayat kami. (al-Quran). (al-Mudassir: 15-16).



Ibnu Kathir berkata: Iaitu orang yang ingkar (kufur) akan nikmat-nikmat Allah SWT setelah dia mengetahuinya.



Al-Maraghi berkata: Walaupun dia bersikap tidak mahu mentaati Allah SWT tetapi dia masih lagi mengharapkan harta dan anaknya bertambah. 



Ayat ini juga mengandungi petunjuk bahawa kekafiran al-Walid adalah kekafiran yang berbentuk 'inad. Ini disebabkan dia telah mengetahui kebenaran itu dengan hatinya tetapi dia masih mengingkari dengan lidahnya. Inilah kekafiran yang paling nyata.



Penutup



Penulis menutup perbincangan ini dengan menyebut pendapat Sayid Qutub antara lain menyatakan, al-Quran menerangkan dengan panjang keadaan hidup makhluk yang kerdil itu dan nikmat-nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepadanya sebelum menerangkan kisah kedegilan dan keengganannya untuk beriman. 



Allah SWT telah menjadikannya dahulu seorang diri tidak memiliki sesuatupun walaupun kain bajunya. Kemudian selepas itu, Allah SWT telah mengurniakan kepadanya harta kekayaan yang melimpah-ruah, anak-anak yang ramai yang sentiasa berada di sekelilingnya serta kemudahan hidup yang sempurna.



Walaupun begitu yakin dan percayalah kesudahan penentang Islam seperti golongan musyrikin biasanya berkesudahan dengan banyak masalah yang menimpanya, di samping adanya pelbagai halangan dan kemudaratan dalam kehidupan mereka. 



Semoga kita semua menjadi hamba Allah yang sentiasa mendapat dan mencapai mardhatillah.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML