Pesan Jibril Kepada Nabi s.a.w
Jibril datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata kepada baginda, “Hai Muhammad!
1. Hiduplah seperti mana yang engkau kehendaki, tetapi ingat, engkau pasti akan mati.
2. Berbuatlah apa yang engkau kehendaki tetapi ingat, engkau pasti akan ditanya tentangnya.
3. Dan cintailah sesiapa yang engkau kehendaki tetapi ingat, engkau pasti akan berpisah dengannya.
4. Ketahuilah bahawa kemuliaan seorang Mukmin itu terletak pada qiamulailnya, dan
5. Kehebatannya apabila ia tidak bergantung kepada orang lain."
Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan hadis di atas dan pesanan JIbril kepada Nabi s.a.w maka kita perlulah mengambil iktibar di atas pesanan tersebut.
Pertama : Hiduplah seperti mana yang engkau kehendaki, tetapi ingat, engkau pasti akan mati..
Setiap yang hidup akan mati. Dan setiap kematian akan disoal apabila ia kembali menemuai Allah s.w.t.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila sudah sampai ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya (melambatkan) barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) memajukannya (mempercepatkannya).”
(Surah al-A’raf, ayat 34)
Alam pertama yang akan dilalui adalah alam barzakh..
Sabda Nabi s.a.w maksudnya :
"Apabila dikebumikan hamba yang beriman, maka kubur berkata kepadanya, 'marhaban wa ahlan' (ucapan selamat datang), kamu adalah orang yang aku kasihi di kalangan mereka yang berjalan di atas belakangku, dan apabila aku menerimamu hari ini, lihatlah apa aku akan lakukan kepada kamu."
Sambung Nabi, "Maka kubur pun menjadi luas sejauh pandangan matanya dan dibukakan juga kepadanya pintu yang menghadap ke Syurga.."
"Dan apabila dikebumikan hamba yang berdosa dan kafir, maka kubur berkata kepadanya, 'la marhaban wa la ahlan' (yakni tidak diundang dan tidak diterima kehadirannya).' Engkaulah antara mereka yang paling aku benci yang berjalan di atas belakangku selama ini. Dan apabila aku menerima kamu hari ini, kamu akan saksikan apa yang bakal aku lakukan terhadapmu."
Sabda Nabi s.a.w yang maksudnya, "Maka kubur pun sedikit demi sedikit mula menghimpit tubuhnya hingga bertemu rapatlah segala tulang belulangnya."
Rasulullah mengepal jari-jarinya lalu menyambung, " Dihantarkan kepadanya tujuh puluh ular besar lagi berbisa, jika seekor daripadanya menyemburkan bisanya ke atas muka bumi ini, nescaya tidak akan tumbuh sesuatu apa pun. Selama mana baki dunia ini, maka selama itulah dia akan dibelit dan dipagut ular-ular itu hinggalah tiba hari perhitungan (Yaumul Hisab)."
Nabi s.a.w bersabda lagi maksudnya :
"Kubur itu samaada sebuah taman Syurga ataupun sebuah lubuk api Neraka."
(Hadis Riwayat Abu Sa'id Al-Khudri r.a)
Kedua : Berbuatlah apa yang engkau kehendaki tetapi ingat, engkau pasti akan ditanya tentangnya. .
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Setiap hamba pada hari qiyamat tidak akan mengorak langkah menuju ke mana-mana selagi dia belum selesai disoal-siasat tentang empat perkara :
Pertama : Tentang umurnya di manakah dihabiskan sewaktu di dunia dahula?
Kedua : Masa remajanya, bagaimana dia menghadapi ujian di waktu itu?
Ketiga : Tentang harta, dari mana dia perolehi dan bagaimana dia membelanjakannya?
Keempat : Tentang ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmu itu?"
(Hadis Riwayat Muaz bin Jabal r.a.)
Oleh itu hidup di dunia ini kita tak boleh bebas sepenuhnya kerana empat persoalan itu perlu dijawab . Jika seseorang terlepas dan dapat menjawab dengan baik maka akan selamatlah ia daripada menerima azab Allah s.w.t. Yang akan menjawab bukannya lidah manusia tetapi yang menjawab adalah amalannya dan setiap anggotanya, bumi, hari, masa dan makhluk Allah s.w.t yang lain. Mereka akan menjadi saksi dan memberi jawapan dengan tepat dan tidak ada pendustaan.
Ketiga : Dan cintailah sesiapa yang engkau kehendaki tetapi ingat, engkau pasti akan berpisah dengannya.
Cinta manusia sesama manusia lain di dunia hanyalah bersifat sementara. Manusia pasti akan berpisah dengan orang yang di cintai apabial tiba masanya. Cinta pada ibu- bapa, isteri, suami, anak-anak, ahli keluarga, kekasih, sahabat, guru, dan sebagainya adalah tidak berkekalan. Mereka yang di cintai akan mengiringi seseorang yang di cintai setakat ke kuburan saja selepas itu mereka akan pulang kerumah.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Tiga perkara yang akan mengikuti mayat dan dua daripadanya akan pulang. Hanya satu sahaja yang akan bersamanya dalam kubur. Perkara tersebut ialah : Kaum kerabat, harta benda dan amalannya. Semua kaum kerabat dan harta bendanya akan pulang, manakala yang kekal bersamanya ialah amalannya "
Oleh itu banyakkanlah beramal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan kerana ianya akan menjadi teman setia kalian di alam barzakh.
Keempat : Ketahuilah bahawa kemuliaan seorang Mukmin itu terletak pada qiamulailnya.
Orang Mukmin yang hebat dan sentiasa menjaga hubungan hatinya dengan Allah s.w.t tidak akan meninggalkan qiyamulail kerana dengan qiyamulail akan memberi kekuatan rohani yang luar biasa untuk memikul amanah yang besar kepada Allah s.w.t.
Dalam sebuah hadis dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamulail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.”
( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)
Dari Sayidina Umar Ibnu Khattab, dari Nabi s.a.w bersabda maksudnya : “Sesiapa yang mengerjakan solat di waktu malam (tahajjud) serta membaguskan solatnya, Allah akan memberikan dia kemuliaan sembilan macam. Lima macam di dunia, dan empat macam di akhirat.
“Yang lima macam di dunia, ialah :
1. Allah akan memeliharanya dari segala macam bahaya.
2. Ditunjukkan tanda-tanda sebagai orang yang taat pada mukanya.
3. Ia akan dicintai di hati orang-orang Mukmin dan segenap hati manusia umumnya dan
4. Pembicaraannya berisi hikmat ,
5. Dijadikan dia orang bijaksana, yakni dia dikurnai fikiran cerdas.
“Yang empat macam di akhirat nanti, ialah :
1. Dibangkitkan dia dari kubur, wajahnya putih bercahaya,
2. Akan dimudahkan dia waktu dihisab,
3. Ia akan melintas di atas shirat (titian) seperti kilat, dan
4. Diberikan buku amalannya di tangan kanannya di hari kiamat."
Lima : Kehebatannya apabila ia tidak bergantung kepada orang lain.
Kehebatan orang Mukmin adalah kerana ia hanya bertawakkal kepada Allah s.w.t.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud :
"Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)."
(Surah al-Thalaq ayat 3).
Firman Allah s.w.t.yang bermaksud :
“… Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman.”
(Surah al-Maidah ayat 23)
Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Barangsiapa menginginkan dirinya menjadi orang terkuat hendaklah dia bertawakkal kepada Allah.”
Firman Allah s.w.t.yang bermsksud :
"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya."
(Surah At-Talaq ayat 2-3)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita muhasabah diri kita terhadap lima pesanan Jibril kepada Nabi s.a.w. Walaupun pesanan tersebut diberikan kepada baginda tetapi hakikat sebenarnya Jibril hendak memberi pesanan dan peringatan kepada semua manusia bahawa hidup di dunia ini adalah sementara dan akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi dan kepentingan qiyamulail dan bertawakkal kepada Allah s.w.t. Semoga pesanan ini dapat kita hayati dalam kehidupan kita semua.
No comments:
Post a Comment