Monday, March 17, 2014

PERKUKUHKAN TALI PERSAUDARAAN

Perkukuhkan Ikatan Silaturahim Sesama Muslim

 Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Tidak masuk Syurga mereka yang memutuskan silaturahim."
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa yang suka supaya diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalankan hubungan tali silaturahim."
(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Imam Ibnul Atsir berkata : "Silaturahim adalah suatu ungkapan berkaitan dangan menjalinkan perbuatan baik terhadap kaum kerabat yang memiliki hubungan senasab atau perkahwinan, berlemah lembut kepada mereka, menyayangi mereka, walaupun mereka jauh dan berbuat jahat. Manakala memutuskan silaturahim adalah berlawanan dengannya."

Rasulullah s.a.w di awal-awal dakwah baginda bermula dengan mengajak kaum keluarganya untuk beriman kepada Allah s.w.t . Bermula dengan isteri dan anak-anaknya, bapa saudara, sepupu dan seterusnya kepada kaum keluarganya dari Bani Hashim dan sahabat-sahabat dekat baginda.

Oleh itu sebagai individu Muslim kita di tuntut untuk perkukuhkan hubungan kasih sayang, meraikan dan menjalini hubungan mesra kepada ahli keluarga dan kaum keluarga dengan hubungan silaturahim semata-mata kerana Allah s.w.t. Hubungan yang di tuntut bukan sahaja hubungan keduniaan semata-mata tetapi yang lebih penting bagaimana kita ingin menyelamatkan diri kita ,ahli keluarga kita yang lain daripada azab Allah s.w.t., supaya mereka beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t.

Perhubungan yang baik terhadap ahli keluarga ini perlulah sentiasa di lakukan bertepatan dengan petunjuk Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Sekiranya ada ahli keluarga kita yang kafir atau fasik, jalinan kekeluargaan dapat di lakukan dengan nasihat yang baik serta memberi tunjuk ajar selain berusaha mengajak mereka kejalan yang benar dengan hikmah.

Menjalinkan silaturahim memiliki begitu banyak menfaat antaranya sebagai usaha melaksanakan perintah Allah dan RasulNya, membina suasana kasih sayang yang harmoni dan saling bantu membantu, merapatkan hubungan dan peluang dakwah yang lebih baik.

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan hadis di atas Allah s.w.t akan memperluaskan rezeki dan di panjangkan umur kepada sesiapa sahaja yang sentiasa menjalin ikatan tali silaturahim. Terdapat satu kisah di zaman Nabi Daud a.s. bahawa menjalin ikatan silaturahim dengan izin Allah dipanjangkan umur. Mengikut riwayat, pada suatu ketika malaikat maut datang kepada Nabi Daud. Pada masa itu kelihatan seorang lelaki duduk di depannya.

Malaikat maut berkata "Enam hari lagi, orang ini akan dicabut nyawanya". 

Bagaimanapun, selepas beberapa hari, Nabi Daud menjenguk lelaki itu yang ternyata dia masih hidup. Bahkan keadaannya bertambah sihat. Lelaki itu juga kelihatan bertambah muda berbanding sebelumnya. 

Nabi Daud pun bertanya kepada malaikat maut,"Mengapakah demikian (dia masih hidup) sedangkan katamu tinggal enam hari saja lagi lelaki itu akan dicabut nyawanya?". 

Malaikat maut pun menjawab. "Ketika itu, selepas beredar dari hadapanmu, dia sudah menyambung silaturahimnya yang sudah lama terputus, maka Allah menambahkan umurnya hingga 20 tahun lagi."

Hubungan baik juga membolehkan berkongsi ilmu serta kebaikan, meraih kekuatan dengan kesatuan kekeluargaan yang terbina, menjauhi keburukan seperti fitnah atau buruk sangka dan akhirnya di beri jaminan Syurga oleh Allah s.w.t.

Daripada Abu Ayyub al-Ansari, katanya : "Seorang lelaki datang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. "Wahai Rasulullah, beritahu kepadaku suatu amal yang dapat masukkan aku kedalam Syurga dan menjauhkan aku dari neraka."

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Engkau beribadah kepada Allah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan menjalinkan silaturahim."
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.)

Realiti masyarakat kita masa kini amat membimbangkan, hubungan kekeluargaan sudah mula banyak berlaku keretakan. Ibu bapa sudah tidak di hormati, anak-anak sanggup derhaka dan meninggalkan mereka hanya kerana menolak pilihan teman hidup mereka, dan sanggup mengadai maruah semata-mata kerana mengikut perasaan dan hawa nafsu. Ada di kalangan anak-anak pula sanggup menghantar ibu bapa mereka kepusat-pusat jagaan orang-orang tua dan membiarkan mereka kesaorangan. 

Pergaduhan dan permusuhan juga berlaku di kalangan adik beradik kerana berebut harta pusaka dan ada di kalangaan mereka sanggup bergaduh hingga membawa kepada kecederaan, dakwa mendakwa di mahkamah dan pulau memulau. Kadangkala hal-hal yang kecil dan remeh-temeh boleh menyebabkan permusuhan di kalangan ahli keluarga dan saudara mara hingga tidak mahu bertegur sapa.

 Terdapat juga dikalangan umat Islam berselisih pendapat di dalam hal-hal cabangan (furu') daripada ajaran Islam dan perbezaan pendapat ulamak feqah boleh mendatangkan permusuhan dan tuduh menuduh. Seharusnya perkara tersebut tidaklah boleh dijadikan hujah untuk bermusuhan sesama umat Islam.

Sedangkan kalau mereka tahu betapa besarnya dosa memutuskan silaturahim sesama mereka, mereka tidak akan sanggup melakukannya.

Al-Imam As-Syahid Hassan al-Banna pernah berkata, "Kita bekerjasama di dalam perkara-perkara yang dipersetujui bersama dan bermaaf-maafan di dalam perkara-perkara yang diperselisihkan selagi  yang diperselisihkan itu bukan masaalah prinsip."

Sahabat yang dihormati,
Oleh itu marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya, mengikut kitab suci al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w dalam kita menjalinkan hubungan ukuwah Islamiyyah dan silaturahim supaya Allah s.w.t. mencucuri rahmat-Nya kepada kita semua.

Teruskanlah kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah tanpa penat dan jemu, perbetulkanlah diri kita, ahli keluarga , jiran, rakan-rakan, seterusnya anggota masyarakat kita semuga mereka kembali pada ajaran Islam sebenarnya.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML