Konsep Perniagaan Dalam Islam
Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam Islam, harta bukanlah sesuatu dilarang kepada umatnya untuk mencari, memiliki dan menggunakannya dalam kehidupan seharian. Malah, Islam menganggap harta itu sebagai urat nadi kehidupan yang akhirnya akan membawa kesejahteraan hidup di dunia dan juga di akhirat di samping ia juga adalah sebahagian daripada kepentingan individu dan masyarakat umum.
Salah satu cara untuk mendapatkan harta dengan cara yang halal adalah dengan perniagaan.
Perniagaan adalah suatu kegiatan ekonomi yang amat dianjurkan Islam kepada umatnya. Ini kerana aktiviti perniagaan menjanjikan hasil pulangan berlipat ganda kepada peniaga yang berusaha bersungguh-sungguh.
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “9/10 (90%) rezeki itu adalah datang daripada perniagaan.”
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Perniagaan dalam Islam adalah satu ibadah yang sekiranya dilakukan dengan niat yang ikhlas serta bersesuaian dengan kehendak syari'at Islam akan mendapat keredhaan Allah.
Ini selari dengan satu kaedah fiqh yang berbunyi:
"Sesuatu itu menjadi wajib apabila yang wajib tidak dapat dilaksanakan tanpanya."
Memenuhi tanggungjawab terhadap diri dan kehidupan sosial sesuai dengan kesan falsafah yang diasaskan oleh tauhid, tujuan kewujudan sesuatu syarikat ialah untuk memenuhi tanggungjawab berikut:
Perkhidmatan dan sumbangan sosial, termasuk berusaha untuk menegakkan agama Islam, membantu kearah pencapaian matlamat negara seperti membasmi kemiskinan, menyediakan pekerjaan, menstabilkan harga, keselamatan,dan lain-lain.
Oleh itu jelas bahawa dalam Islam falsafah perniagaan ialah untuk membangunkan spiritual, mental dan jasmani manusia supaya manusia dapat melaksanakan tugasnya sebagai Khalifah Allah dimuka bumi dengan sebaik mungkin. Dalam Islam apa sahaja yang kita lakukan untuk mencari harta adalah dilihat sebagai alat untuk mencapai matlamat yang unggul iaitu untuk mentaati Allah dalam semua aspek kehidupan kita. Oleh itu termasuk diantara tujuan perniagaan ialah untuk usahawan mendapatkan keuntungan kerana itu merupakan hak yang diberikan kepada mereka kerana usaha dan risiko yang harus mereka tanggung.
Di samping itu, medan perniagaan juga adalah antara tempat turunnya limpahan rahmat Ilahi kepada Muslim yang melakukan kebajikan dalam bidang perniagaan. Sehubungan itu, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Allah memberikan rahmat-Nya pada setiap orang yang bersikap baik ketika menjual, membeli dan membuat suatu kenyataan.” (Hadis riwayat Bukhari).
Di dalam al-Quran, salah satu istilah yang sering digunakan dalam helaian al-Quran untuk memerihalkan amal soleh demi meraih keredaan dan rahmat Ilahi adalah perniagaan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau secara terang-terangan, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan mereka dari limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya).” (Surah Faathir, ayat 29-30)
Sahabat yang dimuliakan,
Berniaga bukan semata-mata untuk mencari untung kerana di dalam perniagaan tidak semestinya kita sentiasa mendapat keuntungan. Dalam perniagaan sering juga kita menghadapi kerugian. Tujuan perniagaan mengikut Islam sebenarnya ialah untuk memperbesarkan, memperpanjangkan dan memperluaskan aktiviti syariat dan dengan tujuan beribadah dan mendapat pahala yang banyak. Justeru di dalam perniagaan, hendaklah kita sentiasa mencari keredhaan Tuhan dengan niat yang betul serta perlaksanaan yang betul.
Mari kita lihat betapa di dalam perniagaan itu luas sekali syariatnya atau luas sekali ibadah yang berlaku di mana kebaikan dan pahalanya pula amat banyak.
Kebaikan-kebaikan terebut adalah seperti berikut :
1. Di dalam Islam berkawan itu disuruh. Di hari akhirat kelak, kawan itu boleh memberi syafaat. Melalui perniagaan, kita akan banyak dapat kawan sama ada dari kalangan pembekal-pembekal, kawan-kawan sekerja ataupun para pelanggan.
2. Melalui perniagaan, kita dapat memberi khidmat secara langsung mahupun tidak langsung kepada manusia dan ahli-ahli masyarakat.
3. Islam sangat menggalakkan kerjasama. Di dalam perniagaan banyak terdapat unsur-unsur kerjasama dan peluang serta keperluan untuk bekerjasama.
4. Di dalam perniagaan juga ada banyak tolak ansur, iaitu satu sifat terpuji yang sangat dianjurkan oleh Islam. Kalau tidak ada tolak ansur tidak boleh berniaga.
5. Perniagaan membantu dan memudahkan manusia dan ahli masyarakat mengurus dan mendapatkan keperluan hidup mereka, terutama di bidang makan minum dan keperluan harian. Peniaga Muslim akan utamakan kehalalan sesuatu barang makanan dan tidak bercampur barang haram di dalamnya. Mendahulukan, mengutamakan dan memudahkan orang lain itu sangat dipandang tinggi dan baik dalam Islam.
6. Dengan berniaga kita dapat menyelamatkan barangan keluaran umat Islam sama ada hasil pertanian, hasil ternakan dan lain-lain dengan mengumpul dan memasarkannya. Kalau tidak, barangan itu akan rosak dan terbuang. Akan timbul pembaziran. Dalam Islam pembaziran sangat dilarang. Menjauhi dan mengelak pembaziran adalah satu kewajipan.
7. Kita dapat memperolehi banyak pengalaman melalui perniagaan sama ada di bidang pengurusan, perakaunan, mengenal barang, mengenal tempat, mengenal cara hidup dan masalah manusia dan lain-lain lagi. Dalam Islam, mencari ilmu dan pengalaman seperti ini sangat dituntut.
8. Dalam berniaga, kita boleh berlatih sabar dan berlapang dada dalam menghadapi berbagai kerenah manusia. Ia sentiasa mencabar emosi dan perasaan kita. Orang yang sabar diberi pahala oleh Tuhan tanpa hisab.
9. Berniaga merupakan salah satu cara untuk memajukan agama, meningkatkan ekonomi umat Islam. Ia merupakan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Tuhan di muka bumi supaya dapat dilihat kebesaran Tuhan serta dapat dibesarkan dan dinikmati segala nikmat dan anugerah-Nya agar manusia boleh bersyukur dan mendapat pahala pula di atas kesyukuran mereka itu.
10. Dalam berniaga, kita berpeluang mengeluarkan zakat perniagaan. Dengan itu salah satu dari rukun Islam dapat kita tunaikan. Dapat kita wujudkan salah satu sumber atau saluran untuk membantu fakir miskin dan asnaf-asnaf yang lain. Banyak golongan akan terbantu dan terbela.
11. Perniagaan mewujudkan peluang pekerjaan untuk manusia sebagai sumber mencari rezeki. Dengan perniagaan, manusia boleh mengelak diri dari menganggur yang ditegah oleh syariat. Sekaligus tenaganya dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Ertinya, dengan adanya perniagaan, tenaga manusia tidak dibazirkan dan manusia itu boleh jadi produktif dengan mengeluarkan hasil untuk faedah manusia lain.
Jelas sekali bahawa dengan apa yang disenaraikan di atas, begitu banyak syariat Islam dapat kita tegakkan melalui perniagaan. Maksudnya, berbagai-bagai aspek dalam Islam dapat kita bangunkan di dalam perniagaan. Apabila banyak aspek yang kita bangunkan maka banyaklah ibadah kita. Oleh itu, tidak hairanlah Islam menganggap orang yang berniaga secara jujur dan menepati kehendak-kehendak syariat itu sebagai orang yang berjihad fisabilillah. Munasabah juga berniaga itu dianggap kerja paling baik dalam Islam kerana kebaikan yang diperolehi oleh masyarakat hasil dari perniagaan adalah terlalu banyak.
Peniaga yang sentiasa membaca dan memahami al-Quran akan menjadikan al-Quran sebagai imam dan pembimbing ke arah menjalankan aktiviti perniagaannya dengan penuh jujur, adil dan saksama. Al-Quran akan bertindak sebagai perisai bagi seorang peniaga daripada melakukan penipuan, penyelewengan, rasuah dan lain-lain amalan yang dilarang syarak.
Bukankah Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang yang beriman yang mengerjakan amal soleh bahawa mereka beroleh pahala besar.” (Surah al-Isra’ ayat 9)
Peniaga yang solatnya khusyuk akan tercegah daripada perbuatan keji dan mungkar seperti mana ditegaskan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Bacalah dan ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedah dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)
Menafkahkan sebahagian harta dimiliki untuk kepentingan golongan lebih memerlukan seperti fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal, pesakit yang memerlukan sumber kewangan bagi menampung kos perubatan mereka dan lain-lain lagi adalah antara amalan yang amat dituntut Islam. Amalan menafkahkan harta pada hakikatnya akan mengembangkan dan juga menambahkan keberkatan harta yang dimiliki itu.
Sahabat yang dikasihi,
Jadikanlah perniagaan ini satu wasilah untuk kita membina kembali ekonomi umat Islam supaya dengan ini kita dapat membina semula kekuatan negara Islam yang akan mampu menandingi kekuatan orang-orang kafir untuk melaksanakan syariat Islam. Umat Islam tidak akan mudah dihina dan ditindas apabila kekuatan kebendaan dan ekonomi telah di miliki.
Kejatuhan Khalifah Islamiyah Turki adalah kerana umat Islam lemah daripada ekonomi dan tidak mampu untuk mempersiapkan diri dengan kekuatan ketenteraan dan persenjataan akhirnya orang-orang kafir dapat mengalahkan umat Islam dalam peperangan mengakibatkan kejatuhan Khalifah Islamiyah dan negara Palestin diserahkan kepada bangsa Yahudi laknatullah.
Umat Islam dimana sahaja berada perlulah menceburkan diri dalam bidang perniagaan kerana 90% rezeki yang Allah s.w.t kurniakan adalah dalam bidang perniagaan. Bekerja makan gaji dan berpuas hati dengan gaji bulanan sebenarnya mematikan daya kreatif dan kurang bertawakkal kepada Allah s.w.t.
Sahabat-sahabat Rasulullah ramai terdiri daripada ahli perniagaan yang berjaya dalam masa beberapa tahun saja dapat mengatasi kekuatan ekonomi kaum Yahudi di Madinah dan mampu memberi sumbangan yang besar kepada Daulah Islamiyah Madinah yang di bina oleh Rasulullah s.w.t. Dengan dana yang besar hasil sumbangan usahawan para sahabat yang di infakkan kepada Baitulmal mereka mampu membayai pentadbiran negara Islam Madinah dan mampu membiayai peperangan demi peperangan untuk menyebarkan Islam keseluruh dunia.
Salah satu daripada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Arasy di hari akhirat nanti adalah seorang dermawan (hasil daripada perniagaan) yang memberi sedekah hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya. Dalam hadis yang lain juga mengatakan bahawa para dermawan yang ikhlas akan memasuki Syurga lebih awal daripada para syuhada dan ulama'.
No comments:
Post a Comment