Thursday, March 13, 2014

NIAT

Amal Bergantung Kepada Niat

Abul Laith Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Zaid bin Maisarah berkata: Allah terlah berfirman: Aku tidak menerima perkataan sesaorang hakim, tetapi aku melihat tujuan dan niatnya kepada Ku, maka aku jadikan diamnya untuk berfikir dan bicaranya sebagai zikir meski pun ia tidak berkata-kata.
Aun bin Abdullah berkata: Dahulu orang-orang soleh menulis surat kepada sahabatnya tiga kalimat;
Siapa yang beramal untuk akhirat, maka Allah mencukupi segala urusan dunianya.
Dan siapa yang memperbaikki niatnya, maka Allah akan memperbaikki zahirnya.

Dan sesiapa yang memperbaikki hubungannya dengan Allah, maka allah akan memperbaikki hubungannya dengan sesama manusia.
Nabi s.a.w bersabda: “Niat sesaorang Mukmin lebih baik dari amal perbuatannya” 
Oleh sebab itu, niat itu mendapat pahala tanpa amal, sedangkan amal tanpa niat tidak ada pahalanya.

Nabi s.a.w bersabda: ” Seorang hamba dihadapkan pada hari kiamat membawa hasanah sebesar bukit, lalu ada seruan;' Siapa yang pernah di aniaya oleh fulan boleh datang untuk dibayar'. Maka datanglah beberapa orang lalu mengambil bahagiannya sehingga tiada tinggal satu pun dari hasanah yang banyak itu, sehingga hamba itu menjadi bingung, lalu Tuhan berkata kepadanya: 'Untuk mu ada simpanan pada Ku yang tidak Aku perlihatkan kepada malaikat atau seorang pun dari makhluk Ku,' lalu ia bertanya:' Apakah itu'. Jawab Tuhan: Ia itu niatmu, yang kau selalu niat akan berbuat kebaikan, Aku tulis untuk mu berlipat ganda, tujuh puluh lipat ganda.' "

Seorang ‘abid Bani Israel, ketika berjalan melihat anak bukit, lalu ia ingin, andaikan bukit itu menjadi tepung, maka akan diberinya makan kepada Bani Israel yang sedang menderita kelaparan. Maka Allah menurunkan wahyu kepada Nabi ketika itu: "Katakanlah kepada ‘abid itu bahawa Allah berfirman; 'Telah Aku tetapkan bagimu pahala sekiranya bukit itu menjadi tepung dah kamu sedekahkanya.' "

Juga ada riwayat:
Akan dihadapkan pada hari kiamat seorang hamba, lalu ia meihat dalam suratan amalnya ada haji, umrah, jihad, zakat dan sedekah, maka ia berkata dalam hatinya; dari mana semua itu padahal aku tidak berbuat semua itu, mungkin ini bukan suratan amalku. Maka Allah berfirman;' Bacalah itu suratan mu, semasa hidupmu dulu sering berkata, andainya aku mempunya harta nescaya aku jihad. Aku mengetahui akan niatmu itu, maka Aku beri pada mu pahala semua itu."

Abu Hurairah r.a. berkata; Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa mu, dahn tidak melihat harta mu, dan tidak melihat keadaan mu, tetapi melihat amal dan hati mu.



Sahabat yang dimuliakan,
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w.bersabda maksudnya : "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ulama’ telah bersepakat mengatakan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh Mukmin yang mukallaf tidak dikira dari sudut syara’ dan tidak diberi pahala dengan hanya melakukannya kecuali disertai dengan niat. Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat langsung (al-‘ibadatul maqshudah) seperti solat, haji dan puasa. Ibadat-ibadat tersebut dikira tidak sah kecuali apabila dilakukan dengan niat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,
Niat yang ikhlas untuk melakukan sesuatu ibadah atau perbuatan adalah terletak dihati. Niat inilah menjadi ibu dalam semua amal ibadah, amal soleh dan amal kebajikan  yang kita lakukan. Ibadah dan pekerjaan kita akan terbatal dan tidak dipandang oleh Allah s.w.t apabila tidak ada niat atau niatnya menyempang dari tujuan asal.


Hati kita juga perlu dilatih dan dididik supaya ia menjadi sihat dan khusyu'. Hati yang khusyu' amat diperlukan dalam ibadah dan seterusnya dalam kehidupan. Hati yang hidup dan sihat adalah hati yang apabila disebut nama Allah s.w.t. terasa gementar dan apabila dibacakan al-Qur'an bertambah Imannya. Hati seperti ini akan bersih dari keduniaan dan akan lahirkan keikhlasan kepada Allah s.w.t. dalam setiap tindak-tanduk perbuatannya. Manusia melihat zahir kita sedangkan Allah melihat hati kita. Untuk memiliki hati yang khusyu' ia perlu dilembutkan dahulu dan disinilah lahirnya pelbagai cara dalam melahirkan jiwa yang khusyu'.


Nabi Muhammad s.a.w bersabda,
"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."
(Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)


Ulama mengkategorikan hati manusia terbahagi kepada beberapa jenis;


1. Hati yang sahih (qalbun sahih)
Bermaksud hati yang suci, bersih dan bebas daripada segala gangguan yang menyebabkan terhalangnya manusia melaksanakan perintah Allah s.w.t. Di sinilah letaknya ikhlas, yakin, percaya , berazam dan penyerahan secara sepenuhnya kepada Allah.


2. Hati yang mati (qalbun mayyit)
Bermaksud mereka yang memiliki hati yang degil dan ego untuk menyembah Allah s.w.t. Manusia jenis ini bekerjasama atau sekutu dengan syaitan dan nafsu. Hati seperti ini ditutupi dengan selaput hitam yang menjadi penghalang dari menerima hidayah dan petunjuk daripada Allah s.w.t.


3. Hati yang sakit (qalbun maridh)
Bermaksud hati yang masih mempunyai kehidupan tetapi hatinya ada benih-benih penyakit. Kadangkala mereka hidup sihat berpandukan iman tetapi ada kalanya mereka mengutamakan nafsu yang menggila. Hati seperti inilah dia turun dan naik. Iman yang terletak dihati seperti ini kadangkala naik kuat dan kadangkala turun dan lemah. Jika di biarkan hati ini boleh menjadi hati yg kedua iaitu hati yang mati.


Nabi s.a.w sentiasa berdo'a kepada Allah s.w.t. supaya hati ini diberikan petunjuk dan jalan ketaatan :
"Ya Allah, Tuhan yang menunjukkan hati, tunjukkanlah hati-hati kami kepada jalan ketaatan kepada-Mu."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang berbahagia,
Jadikanlah niat yang ikhlas dalam hati kita sebagai pendorong untuk kita lakukan amal-amal soleh walaupun kita belum mampu untuk melaksanakannya.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama."
(Hadis Riwayat Tirmizi).

Setakat lintasan hati kita untuk membuat kebaikan belum dikira mendapat pahala disisi Allah s.w.t. selagi kita tak merancang dan berazam dengan sungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Hadis diatas menjelaskan keazaman seseorang yang ingin bersedekah sekiranya ditakdirkan memiliki harta seperti orang kaya tersebut.

Begitu juga apabila kita berazam dan cita-cita untuk mati syahid dan berusaha ke arah itu iaitu menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah dan menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara kita yang sedang berjihad menghadapi kafir harbi maka ianya dikira kita sedang berjihad fisabilillah. Niat yang diserta dengan azam dan tindakkan akan memberi pahala yang sama dengan mereka yang sedang melakukan amalan terebut.

Contoh yang jelas adalah dizaman dahulu Nabi s.a.w menceritakan seorang telah membunuh 100 orang, bila dia berazam dengan sepenuh hati untuk bertaubat tiba-tiba mati ditengah jalan, maka kerana niat dan azam yang dimiliki oleh lelaki tersebut dia telah dipilih oleh Allah s.w.t termasuk dikalangan hamba-hamba-Nya yang bertaubat dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Begitu juga sesuatu maksiat yang ingin dilakukan oleh seseorang sekiranya dia berusaha dan berazam untuk melakukannya sekiranya dalam masa perjalanan dia mati maka dia tetap dikira mendapat dosa kerana niatnya untuk  melakukan maksiat tersebut.


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Apabila dua orang Muslim berbunuh-bunuhan dengan pedang maka pihak yang membunuh dan yang terbunuh kedua-duanya masuk Neraka. Abu Bakrah bertanya, “Wahai Rasulullah, orang yang membunuh memanglah masuk Neraka tetapi bagaimana orang yang terbunuh pun masuk Neraka?” Jawab baginda, kerana ia berniat dengan bersungguh-sungguh hendak membunuh lawannya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

Akhirkata marilah kita betulkan niat-niat hati kita untuk melakukan kebaikan dan berazam sepenuhnya untuk melaksanakan kebaikan dan beramal soleh tanpar ragu-ragu. Oleh itu kita perlulah berhati-hati dalam setiap amalan, percakapan dan niat dihati, semuanya hendaklah dibuat ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t. Kita buat sesuatu kerana Allah dan tinggalkan sesuatu juga kerana Allah. Kita cinta dan kasih seseorang kerana Allah dan kita benci seseorang juga kerana Allah. Untuk kita sentiasa kekal dalam keadaan ikhlas perlulah sentiasa berdo'a kepada Allah s.w.t. supaya Dia sentiasa tetapkan hati dan jiwa kita dalam keadaan bersih dan terhindar daripada syirik kepada-Nya.





No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML